Showing posts with label Kuliah. Show all posts
Showing posts with label Kuliah. Show all posts

Thursday, July 14, 2016

Tafsir surah Al-Falaq oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 6 Mei 2016


(113:1) Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk,

(113:2) "Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan;

(113:3) "Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk;

(113:4) "Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);

(113:5) "Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya".

Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/


Surah Al-Falaq ialah surah makkiyah yang berkait dengan akidah. Surah ini menyuruh umat Islam agar sentiasa bergantung dengan Allah SWT dalam menghadapi apa jua cabaran. Hanya Allah SWT yang boleh melindungi kita daripada perkara yang nampak dan perkara yang tidak nampak.

Falaq pada ayat pertama bermaksud waktu subuh. Berlaku cerah selepas berlaku gelap. Cerah yang menyinari seluruh alam. Siang yang datang selepas waktu malam.

Hanya Allah SWT yang boleh melindungi makhluk daripada kejahatan apa yang Allah SWT diciptakan. Ada makhluk yang baik dan ada makhluk yang jahat. Allah SWT mengajar makhluk yang baik agar memohon perlindungan daripada Allah SWT. Allah SWT mencipta makhluk jahat sebagai ujian bagi hamba-hambaNya.

Waktu malam adalah waktu paling mudah untuk makhluk jahat melakukan kejahatan. Kita diajar agar memohon perlindungan daripada Allah SWT yang mencipta waktu siang dan malam.

Di dunia ada orang yang menjadi ahli sihir. Salah satu cara adalah dengan menggunakan simpulan tali. Mereka menggunakan jin untuk aktiviti sihir. Mereka adalah manusia dan jin yang jahat.

Nabi Muhammad SAW pernah disihir oleh Nabit bin Al-Aqsam dengan meniup pada tali yang disimpul, diikat pada lilin yang dibentuk seperti lembaga. Ditikam lilin tersebut dengan jarum. Nabi rasa seberti ditikam dan berasa lemah. 

Nabi Muhammad SAW membaca surah ini. Setiap kali Baginda membacanya tercabut sihir ini. Dikatakan ada 11 ikatan yang digunakan untuk menyihir Baginda SAW. 

Malaikat Jibril memberitahu Nabi Muhammad SAW ada barang yang diletakkan di dalam telaga yang menyebabkan Baginda disihir. Baginda meminta Saidina Ali KW untuk membuang barang tersebut.

Manusia yang berkawan dengan jin kafir boleh menjadi kafir apabila jin mengajar benda-benda yang boleh menjatuhkan aqidahnya seperti menulis ayat Al-Quran dengan darah haid.

Ahli-ahli sihir tidak boleh memberi mudarat selain daripada keizinan Allah SWT. Pada akhir zaman dajjal akan menggunakan sihir yang lebih dasyat dalam menyesatkan umat Islam. Semua ini dibenarkan oleh Allah SWT untuk menguji iman setiap orang.

Dalam sebuah kitab tassawuf ada menceritakan seorang nelayan yang memuji Allah SWT tetapi hanya mendapat seekor ikan sahaja. Ada seorang lagi memuja jin dan syaitan mendapat ikan yang banyak. Malaikat mengadu kepada Allah SWT mengapa berlaku perkara ini, Allah SWT menyuruh malaikat melihat tempat kedua-dua nelayan tersebut di syurga dan neraka. 

Di dunia mungkin hidupnya susah. Namun sekiranya dia sabar dan redha maka nikmat syurga yang bakal diperoleh. Begitu juga sebaliknya. Kehidupan di dunia hanya sementara.

Dalam sejarah, pemerintahan Muawwiyah diganti oleh anaknya Yazid dan kemudiannya Malik bin Marwan. Pada ketika ini Abdullah bin Zubir memberontak menyatakan Mekah bebas daripada pemerintahan Malik bin Marwan yang zalim. Malik bin Marwan menghantar Hajjaj bin Yusuf As-Saqafi yang terkenal dengan kezaliman menyerang Abdullah bin Zubir.

Perang yang lama sehinggakan Abdullah bin Zubir dan tenteranya dikepung. Seorang demi seorang tenteranya berundur kerana tidak tahan dengan tekanan dihadapi. Hajjaj menawarkan perdamaian dengan meminta Abdullah bin Zubir mengiktiraf kerajaan Muawwiyah ketika itu.

Asma’ bin Abu Bakar RA didatangi oleh anaknya Abdullah bin Zubir bin Awwam dan ditanya pendapat ibunya itu tentang perdamaian yang diberikan. Ibunya menjawab sekiranya Abdullah bin Zubir berlawan kerana dunia maka terimalah tawaran tersebut. Sekiranya lawan kerana akhirat, teruskan perjuangan.

Abdullah berkata lagi yang sekiranya dia terus berlawan dia tinggal seorang. Semua telah lari. Asma’ menjawab sekiranya kamu lemah, pengikutmu lebih lemah daripada kamu. Hidup di dunia ini sementara sahaja. Hidup di akhirat selama-lamanya. Sekiranya kamu menerima tawaran ini kamu akan senang di dunia tetapi hina di akhirat selama-lamanya.

Abdullah berkata lagi, "Wahai ibu, saya akan dibunuh dan di salib." Asma menjawab lembu yang di sembelih tidak sakit apabila dilapah. Teruskan dalam hidup mulia, mati mulia. Tegakkan kebenaran meskipun susah.

Dalam sejarah diceritakan akhirnya Abdullah bin Zubir dibunuh dan disalib di kaabah.

Kita mohon perlindungan daripada Allah SWT daripada golongan yang hasad. Hasad ialah orang yang tidak suka melihat orang lain lebih daripadanya dan dia mahu jatuhkan orang itu. Hasad dan dengki ialah benda yang sama.

Monday, July 11, 2016

Tafsir surah Al-Ikhlas oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 29 April 2016

(112:1) Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;

(112:2) "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;

(112:3) "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;

(112:4) "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".

Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/


Surah Al-Ikhlas ialah surah makkiyah yang menyatakan sifat-sifat Allah SWT yang maha suci yang tidak sama daripada apa yang difikirkan oleh agama-agama lain. Menurut ulama’ sebab diturunkan surah ini apabila terdapat pemimpin Quraisy bertemu dengan Rasulullah SAW dan meminta Baginda SAW menyifatkan Allah SWT. Lalu diturunkan surah ini.

Allah SWT tidak sama seperti apa yang dipercayai oleh agama Kristian yang menyatakan tuhan ada 3. Tidak sama dengan apa yang dipercayai oleh Yahudi yang mempercayai Uzir adalah anak Allah dan Allah bersifat seperti sifat makhluk. Orang musyrikin pulak menyifatkan Allah dengan sifat yang tidak layak bagi Allah, ada sekutu-sekutu yang lain.

Meskipun nama dan sifat Allah SWT banyak namun Allah tetap satu dan tidak sama nama dan sifat Allah SWT dengan makhluk. Tidak ada yang sepertiNya. Sekiranya ada banyak tuhan maka akan bercelarulah alam ini. Allah SWT tidak boleh dibandingkan dengan apa sahaja.

Barangsiapa membaca surah ini adalah seperti membaca 1/3 Al-Quran kerana surah ini adalah satu bidang daripada bidang agama iaitu aqidah. Selain daripada itu adalah syariat dan akhlak. Ganjaran pahala apabila membaca surah ini amat besar seperti membaca 1/3 Al-Quran.

Dalam satu hadith ada seorang imam sangat suka membaca surah al-ikhlas. Makmum tidak berpuas hati lalu memaklumkan kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda memanggil beliau dan bertanya mengapa beliau membuat demikian dan beliau menjawab yang beliau amat sukakan surah ini. Rasulullah SAW mengatakan kepada beliau yang beliau akan bersama surah ini di akhirat kelak.

Dinamakan surah Al-Ikhlas menyatakan keikhlasan (kepercayaan) kita kepada Allah SWT. Yang menyatakan iman yang menentukan segala perbuatan lain. Surah ini menyatakan akidah yang betul untuk kita ikuti.

Thursday, July 7, 2016

Tafsir surah Al-Masad oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 22 April 2016


(111:1) Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!

(111:2) Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya.

(111:3) Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.

(111:4) Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api.

(111:5) Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.

Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/


Surah Al-Masad adalah surah Makkiyah yang dikenali sebagai surah Al-Lahab, atau Tabbat. Surah ini menceritakan cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah SAW ketika di Mekah. Baginda SAW ditentang oleh bapa saudaranya sendiri iaitu Abu Lahab atau nama sebenarnya Abdul Uzza bin Abdul Mutalib. Abu Lahab adalah gelaran yang bermaksud bapa api neraka. Surah ini menceritakan juga bahawa ahli keluarga terdekat tidak dapat membantu sekiranya tidak beriman.

Sirah menceritakan bahawa Abu Lahab adalah orang yang begitu gembira apabila kelahiran Nabi SAW sehingga menghadiahkan seorang hamba bagi menyusu Nabi SAW. Walau bagaimanapun dia tidak mengikut ajaran Nabi SAW. Ini memberi maksud yang sama bagi mereka yang meraikan maulud Nabi tetapi melawan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.

Sebab turun surah ini diriwayatkan oleh para ulama tafsir, menurut riwayat Ibnu Abbas surah ini turun selepas Allah SWT menyuruh nabi berdakwah secara terbuka, pertama sekali kepada keluarga terdekat dahulu. Nabi memanggil keluarga Baginda di atas bukit untuk menyatakan kenabian Baginda SAW. Abu Lahab adalah orang pertama yang mencela Nabi SAW ketika itu dan selepas itu surah ini diturunkan.

Mengikut riwayat Tariq Al-Muhallibi, bukan seorang penduduk Mekah menceritakan sedang mereka berada di pasar, dia terlihat seorang pemuda (Nabi Muhammad SAW) menyeru kepada Allah SWT. Tiba-tiba ada seorang di belakang pemuda tersebut baling batu kepada pemuda tersebut sambil menyatakan bahawa pemuda ini adalah pembohong. Tariq Al-Muhallibi bertanya siapa pemuda itu, orang Mekah menyatakan pemuda itu adalah Nabi Muhammad SAW dan dibelakang Baginda adalah bapa saudara Baginda, Abu Lahab.

Tabbat bermaksud binasa, celaka. Ulama’ tafsir menafsirkan tabbat dalam ayat pertama adalah doa dan ayat kedua mengkhabarkan memang Abu Lahab dibinasakan oleh Allah SWT. Tangan adalah anggota yang terpenting bagi Abu Lahab. Segala harta, usaha dan amal kebajikannya sia-sia kerana melawan Nabi SAW. Allah SWT menyediakan baginya api neraka yang dasyat yang bakal membinasakannya.

Isterinya ialah seorang pembawa kayu berduri. Dia tahu di mana jalan Nabi. Dia meletakkan kayu tersebut di mana Nabi SAW jalan. Dia mengikat kayu-kayu berduri yang dibawanya untuk menyekat usaha Nabi di mana sahaja. Dia juga dibinasakan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.

Ulama’ meriwayatkan Abu Lahab ada 3 orang anak. 2 orang memeluk Islam apabila pembukaan kota Mekah manakala seorang lagi tidak memeluk Islam. Ummu Kalsum dan Ruqayyah (kedua-dua anak Nabi) berkahwin dengan anak-anak Abu Lahab iaitu Utaibah dan Utbah. Selepas kenabian Rasulullah SAW, Abu Lahab meminta kedua-dua anaknya menceraikan anak-anak Nabi SAW.

Seorang lagi anak Abu Lahab yang bukan menantu Baginda adalah seorang yang suka menemani bapanya. Setelah diceraikan anak Abu Lahab dengan anak Baginda Nabi SAW dia menyanyi lagu yang mencela Nabi SAW. Nabi berdoa agar dia dibinasakan oleh anjing-anjing Allah SWT. Ketika dia mengikut bapanya ke Syam, dia diserang dan mati oleh anjing-anjing di sana.

Abu Lahab ketika perang Badar menghidap penyakit yang luar biasa. Penyakit yang berbau sangat busuk. Sehingga akhirnya dia mati, mayatnya dibiar selama 3 hari. Mayatnya diseret, ditanam dan dikambus dengan batu dengan baling dari jauh. Dia dilaknat sehingga ke akhirat.

Isteri Abu Lahab, Ummu Jamil apabila mengetahui turun ayat yang mencelanya, dia hendak mencederakan Nabi SAW. Dia membawa batu bersamanya. Ketika itu Baginda SAW duduk bersama sahabat. Isteri Abu Lahab mendekati Saidina Abu Bakar RA yang ada bersama ketika itu dan bertanya adakah mereka nampak nabi. Saidina Abu Bakar RA hanya berdiam diri lalu isteri abu Lahab beredar. Rasulullah SAW berkata Allah SWT telah menutup pandangannya daripada nampak Baginda SAW. Isteri Abu Lahab juga dilaknat di dunia sehingga akhirat kelak.

Monday, July 4, 2016

Tafsir surah An-Nasr oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 15 April 2016


(110:1) Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),

(110:2) Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai,

(110:3) Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/


Surah An-Nasr ialah surah sempena kemenangan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW yang berjaya menawan kota Mekah. Surah ini diturunkan sebelum berlakunya pembukaan kota Mekah untuk menyatakan mukjizat nabi SAW.

Ayat sebelum ini menyatakan umat Islam boleh masuk Mekah. Apabila menerima ayat tersebut, Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat untuk bersedia ke Mekah untuk menunaikan umrah. Di tengah jalan mereka dihalang oleh bala tentera musyrikin Mekah yang menghalang mereka daripada masuk Mekah. Ini menjadi ujian kepada umat Islam ketika itu untuk meyakini janji Allah SWT. Golongan munafik ketika itu mempertikai suruhan Allah tersebut.

Selepas itu Rasulullah SAW menghantar Saidina Uthman RA untuk berunding dengan pihak musyrikin Mekah. Namun beliau tidak balik selepas dihantar. Mengikut adat semenjak zaman jahiliyyah tidak boleh menghalang orang daripada masuk ke Mekah tetapi golongan musyrikin Mekah telah mengingkari adat yang telah mereka tetapkan.

Thursday, June 30, 2016

Tafsir surah Al-Kafirun oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 8 April 2016




(109:1) Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!

(109:2) "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.

(109:3) "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.

(109:4) "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.

(109:5) "Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.

(109:6) "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".

Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/


Surah Al-Kafirun ialah surah makkiyah yang disebut dengan surah yang menegakkan tauhid, mengesakan Allah SWT dan menolak syirik kesesatan dalam segala bentuk. Surah ini membezakan ahlul iman dan ahlul syirik.

Diturunkan surah ini apabila pemimpin Mekah bertemu dengan Baginda dan berunding untuk tolak ansur dalam menyembah Allah dan berhala; tahun ini sembah Allah, tahun depan sembah berhala. Disebabkan ini Allah menurunkan surah ini dalam menolak sepenuhnya syirik tidak kira ketika walau apa jua keadaan.

Surah ini bukan hanya kepada penyembah berhala, hatta kepada agama yang menyembah Allah seperti Yahudi tetapi mengikut ajaran paderi-paderi mereka yang menyimpang daripada ajaran sebenar yang diturunkan Allah SWT.

Kita tidak sembah apa yang mereka sembah, tidak puja apa yang mereka puja, tidak buat apa yang mereka buat. Mereka juga tidak sembah apa yang kita sembah meskipun mereka menyatakan patung-patung tersebut sebagai perantaraan antara kita dengan Allah. Kita tidak sembah Ka’abah. Meskipun Ka’abah dimusnahkan, kita tetap menghadap ke arah asal Ka’abah dibina oleh Nabi Ibrahim AS.

Ulama menafsirkan bahawa ayat “kami tidak sembah apa yang kamu sembah” yang kedua sama dengan ayat yang pertama untuk menguatkan ayat yang pertama. Ada ulama menafsirkan ayat pertama untuk yang telah lalu dan kedua untuk masa yang akan datang.

Ayat yang terakhir menyatakan bahawa kufur itu adalah satu dalam menentang Islam. Kita perlu bersatu dalam menentang mereka. Nabi SAW membaca surah ini ketika diturunkan di Mekah. Dalam perjanjian-perjanjian nabi tegas dengan perkara akidah, termasuk dalam piagam Madinah.

Rub’i bin Amir RA telah dihantar oleh Saad bin Abi Waqas RA menemui panglima Parsi iaitu Rustam untuk berunding sebelum berlaku peperangan. Rustam memberi pelbagai tawaran untuk tidak mahu berperang dan tanda memerli umat Islam tetapi ditolak oleh Rub’i yang menyatakan kedatangan umat Islam kerana Allah SWT. Akhirnya berlaku peperangan yang akhirnya membawa kemenangan kepada tentera Islam.

Monday, June 27, 2016

Tafsir surah Al-Kauthar oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 1 April 2016


(108:1) Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat)

(108:2) Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

(108:3) Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).

Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/


Terdapat khilaf ulama’ tentang surah Surah al-kauthar diturunkan sebagai makkiyyah atau madaniyyah. Ibnu kathir menyatakan surah ini adalah surah madaniyyah. Waktu turun surah ini Baginda SAW dalam keadaan mengantuk dan terlelap seketika. Kemudian tiba-tiba Baginda SAW tersenyum. Apabila sahabat tanya mengapa Baginda SAW senyum, Baginda menyatakan surah ini diturunkan ketika Baginda terlelap sebentar tadi.

Baginda SAW bertanya kepada sahabat, “Tahukah kamu apa itu Al-Kauthar?”

Sahabat menjawab, “Hanya Allah SWT dan RasulNya yang lebih mengetahui.”

Baginda SAW menyatakan ialah Al-Kauthar ialah sungai daripada syurga yang mengalir ke satu kolam. Kolam ini adalah untuk umat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak. Mereka yang minum air dari kolam ini tidak akan dahaga selama-lamanya. Ada riwayat menyatakan kedudukan kolam ini berada sebelum melintas ke syurga dan neraka. Ada juga pendapat menyatakan putih kolam ini lebih putih daripada susu dan manisnya lebih manis daripada madu.

Dalam hadith ada menceritakan bahawa ada di kalangan umat Baginda SAW yang dihalang daripada mendekati kolam ini. Baginda SAW meminta agar malaikat tidak menghalang mereka dengan menyebut “ummati”. Malaikat menyatakan bahawa Baginda SAW tidak mengetahui apa yang mereka lakukan selepas kewafatan Baginda SAW. Mereka yang menyeleweng daripada ajaran Nabi SAW akan dihalau daripada kolam ini.

Penting supaya solat kerana Allah SWT, begitu juga ketika melakukan korban. Ayat kedua adalah ayat yang membahaskan bab tasawwuf. Perlu mengelakkan diri daripada solat kerana riya’ kerana tindakan ini tidak mendatangkan manfaat kepada mereka yang solat. Lebih besar haiwan yang disembelih maka lebih besar ganjaran pahala kerana memberi manfaat kepada lebih ramai orang untuk makan.

Mereka yang menghina Nabi SAW akan dihina hingga ke kiamat. Mereka ini terputus daripada segala kebaikan. Kewajiban kita adalah mempertahankan dan memuliakan. Walau bagaimanapun kita perlu faham bahawa seteruk mana pun orang menghina Baginda Nabi SAW, Baginda tetap mulia di sisi Allah SWT, tetap mulia di alam dunia dan akhirat.

Thursday, June 23, 2016

Tafsir surah Al-Ma'un oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 25 Mac 2016




(107:1) Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)?

(107:2) Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,

(107:3) Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.

(107:4) (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang

(107:5) (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;

(107:6) (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),

(107:7) Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).

Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/


Surah Al-Ma’un ialah surah Makkiyah untuk menceritakan 2 kumpulan yang jahat dalam Islam iaitu yang pertama golongan kafir dan kedua golongan munafik. Kedua-dua mereka adalah ahli neraka. Dikisahkan secara umum sifat-sifat orang munafik dala sura ini kerana di Mekah tidak jelas mereka yang munafik tetapi apabila di Madinah sikap mereka jelas.

Golongan kafir dan munafik ialah golongan yang membohongi ad-deen dan hari pembalasan (Yaumuddeen). Mereka membohongi ajaran Allah SWT yang berkait dengan hukum syariat, akidah, akhlak, dan yang berkait dengan semua perkara yang akan dibawa ke hari pembalasan.

Tanda pertama ialah orang yang menolak menolong anak yatim, iaitu anak yang kehilangan penjaga mereka. Mereka juga mengasari golongan anak yatim. Sedangkan haiwan mengasihi sesama mereka, nilai golongan ini lebih hina daripada haiwan.

Tanda kedua tidak menggalakkan memberi makan kepada orang miskin. Bukan sekadar mereka tidak mahu tolong, mereka juga menghasut orang lain supaya tidak membantu orang-orang miskin. Mereka ini ialah golongan yang tidak percaya dengan kelebihan sedekah.
Tanda ketiga tanda orang munafik iaitu golongan yang lalai daripada solat. Mereka ialah golongan yang meninggalkan solat, malas solat atau solat di luar waktu solat, sentiasa qadha. Bukan yang lalai ketika dalam solat.

Nabi Muhammad SAW pernah satu ketika selepas solat terus bangun meninggalkan Jemaah tanpa berwirid. Apabila ditanya selepas itu Baginda SAW menyatakan yang Baginda teringat ketika solat akan sesuatu barang yang ingin Baginda ambil di rumah untuk beri kepada orang lain.

Nabi Ayyub AS yang disembuhkan daripada penyakit ketika Baginda mandi Baginda terlihat belalang emas. Baginda terus terkam belalang emas tersebut tanpa Baginda sedari yang Baginda sedang mandi. Ketika Allah SWT tanya mengapa Baginda boleh lupa kepada pakaianmu, Nabi Ayyub menjawab aku bersyukur ke atas nikmatMu.

Tujuan orang munafik solat ialah untuk menunjuk kepada orang. Bukan sekadar solat hatta ibadah lain sekali mereka lakukan semata-mata untuk menunjuk. Menunjuk untuk mengajar adalah berbeza dan tidak tergolong dalam golongan ini. Orang munafik menunjuk untuk mempamerkan kehebatan mereka. Menunjuk sebegini tergolong dalam golongan riya’.

Golongan yang terakhir golongan yang menghalang daripada menyumbang perkara-perkara yang mudah (Al-Ma'un). Mereka bakhil untuk memberi sesuatu yang mudah. Ulama’ memberi contoh seperti hendak meminjamkan kapak, tali, mengambil air di perigi di sesuatu kampun dan sebagainya.

Sekiranya umat Islam ada sifat sebegini perlu bertaubat supaya dihilangkan sifat-sifat sebegini. Perlu ada sifat simpati antara satu sama lain.

Thursday, June 16, 2016

Tafsir surah Al-Fiil oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 11 Mac 2016



(105:1) Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?

(105:2) Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?

(105:3) Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan,

(105:4) Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras,

(105:5) Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.

Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/


Surah Al-fiil termasuk di dalam surah makkiyyah. Surah yang berkait dengan peristiwa besar yang diketahui oleh seluruh warga Mekah ketika itu. Berlaku irhas dalam peristiwa ini iaitu berlaku peristiwa luar biasa yang berlaku kepada orang Islam dan kafir untuk menunjukkan kekuasaan Allah SWT.

Allah SWT memusnahkan tentera bergajah kerana ka’abah telah dibina oleh Nabi Ibrahim AS dan akan menjadi qiblat umat Islam di zaman Baginda Nabi Muhammad SAW. Allah SWT bukan memusnakan tentera bergajah kerana penduduk Mekah ketika itu yang merupakan penyembah berhala kerana penyembah berhala dilaknat oleh Allah SWT.

Peristiwa berlaku pada tahun kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW. Bermula dengan kaum Habsyah yang menakluk negeri Yaman. Habsyah menyerang Yaman setelah peristiwa ashabul ukhdud yang mana raja yang menganut agama Yahudi membunuh penduduk Yaman yang menganut agama Nasrani setelah mereka beriman selepas melihat kehebatan seorang budak yang beriman dan dibunuh oleh raja yahudi tersebut.

Berita peristiwa ini sampai ke Raja Rom yang diperintah oleh raja yang beragama Nasrani. Dia mengarah negeri yang terdekat iaitu Habsyah untuk menyerang Yaman. Dihantar dua panglima iaitu Arbath dan Abrahah untuk mengetuai serangan terhadap Yaman.

Monday, June 13, 2016

Tafsir surah Al-Humazah oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 4 Mac 2016


(104:1) Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji,
(104:2) Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya;

(104:3) Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!

(104:4) Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam "Al-Hutamah".

(104:5) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Al-Hutamah" itu?

(104:6) (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya),

(104:7) Yang naik menjulang ke hati;

(104:8) Sesungguhnnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka.

(104:9) (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang.

Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/


Surah humazah adalah salah satu daripada surah makkiyah yang diturunkan untuk menguatkan keimanan generasi awal Islam bersama Rasulullah SAW ketikamana mereka dikepung, ditekan dan diseksa oleh golongan kafir Quraisy. Allah SWT menurunkan surah ini untuk memberi semangat, menambahkan kekuatan iman kepada orang Islam ketika itu sehinggakan sanggup mati kerana Islam.

Wail ialah azab neraka di mana gaungnya amat mendalam dan apinya sungguh panas. Neraka ini kepada mereka yang mengejek Islam terutama kepada orang yang lemah dan miskin dengan cara mengenyit mata, mengangkat kening. 

Kerja mereka yang mengejek Islam ini hanya mengumpul dan membilang harta untuk menyesatkan orang. Mereka ini berfikir dengan harta-harta mereka ini menyebabkan mereka tidak akan mati. Tetapi itu tidak mungkin berlaku.

Mereka ini akan dicampak ke dalam hutamah. Allah SAT tanya dalam surah ini apa itu Hutamah; Pertanyaan untuk memperlekeh orang yang benci Islam. Hutamah ialah api neraka yang dinyalakan. Api yang membakar, asalnya warna merah, diselam sehingga menjadi putih, diselam lagi hingga jadi hitam yang gelap yang membakar. Api ini membakar hingga ke jantung, di mana tempat paling disayangi manusia. Api neraka ini akan mengurung mereka, di tambat pada tiang-tiang yang memanjang.

Thursday, June 9, 2016

Tafsir surah Al-Asr oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 26 Febuari 2016


(101:1) Demi Masa!

(101:2) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian

(101:3) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.


Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/

Surah Al-Asr termasuk surah Makkiyah. Tujuan diturunkan untuk menguatkan iman generasi awal umat Islam dan menjadi pengajaran kepada orang Islam hingga akhirat kelak.

Betapa penting surah ini sehinggakan para sahabat nabi apabila hendak berpisah, bercerai, hendak meninggal majlis akan membaca surah ini. Ini kerana di dalamnya terdapat rukun penting dalam kehidupan.

Iman Syafie berkata kalau Allah tak turunkan melainkan surah ini kepada manusia sudah cukup. Rukun yang penting dalam kehidupan iaitu; iman, amal soleh, berpesan-pesan dengan perkara benar, berpesan-pesan dengan sabar.

Dalam bahasa Arab apabila dimulakan dengan sumpah bermaksud ayat selepas itu adalah penting. Allah SWT boleh bersumpah dengan makhluk tetapi makhluk tak boleh bersumpah selain Allah SWT.Ikut hukum syara’ kalau bersumpah selain Allah SWT meskipun sebelum masuk mahkamah juga tidak dikira.

Penting diisi masa dengan betul. Hari kematian dan hari kiamat semakin dekat apabila bertambah hari, bukan semakin jauh.

Iman sangat penting untuk dijaga, sehinggakan jika tolak salah satu daripada iman maka terbatallah iman. Segala amal kebaikan tidak akan diterima oleh Allah SWT sama sekali sekiranya menolak satu daripada rukun iman.

Perlu seiring dengan iman ialah beramal soleh dengan niat kerana Allah SWT. Perlu melakukan kebaikan kepada Allah SWT, diri, masyarakat dan seluruh alam, bukan melakukan ibadah semata-mata tanpa beramal soleh.

Perlu berpesan-pesan dengan perkara benar. Benar ialah perkara yang dibenarkan dari Allah SWT. Kebenaran daripada Allah SWT bukan daripada manusia. Perlu berlawan dengan orang yang berlawan dengan hukum Allah SWT secara berjemaah. Kita dibenarkan masuk dalam gelanggang orang jahat demi menyelamatkan mereka, bukan untuk mengikuti mereka.

Dalam berpesan dengan kebenaran perlu ada sifat berlapang dada dalam mendengar pandangan orang lain. Seperti mana Nabi Muhammad SAW sendiri ketika berada di medan Badar, Baginda SAW mendengar pandangan sahabat Badwi yang minta tempat mereka berkhemah diubah di hadapan mata air agar dapat menyusahkan pihak lawan.



Berpesan perlu dengan kesabaran kerana bukan semua orang mudah menerima kebenaran. Sehinggakan adakala terpaksa berlawan dengan mereka da nada sampai tahap perlu berperang dengan mereka.

Thursday, February 11, 2016

Hikmah bersabar dan mengikut nasihat


Dikisahkan ada sepasang suami isteri yang hidup susah. Disebabkan lama mereka hidup susah si suami bercadang agar mereka berpisah sementara dan si suami mencari pekerjaan dan fokus padanya sehingga Berjaya. Kejayaan tersebut mungkin mengambil masa bertahun-tahun. Si isteri bersetuju.

Si suami mencari kerja dan berjumpa dengan seorang majikan yang baik. Si suami ini membuat perjanjian agar gajinya dikumpulkan sehingga dia hendak satu hari nanti dan dia bebas hendak berhenti bila-bila masa sahaja. Majikan tersebut bersetuju dan si suami ini pun bekerja bertahun-tahun lamanya.

Apabila sampai satu masa, si suami sudah mula rindu hendak pulang. Dikatakan dalam 20 tahun juga dia berpisah dengan isterinya. Dia bertemu dengan majikannya dan menyatakan hasrat untuk dia berhenti. Majikan tersebut bersetuju dan memberi dia 2 pilihan antara mengambil gaji penuhnya atau mendengar nasihat tanpa mengambil gajinya.

Kuliah SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri 30 Januari 2016


Hikmah ke-61
Kadar cahaya hati dan rahsianya hanya Allah SWT tahu. Kita hanya dapat melihat kesan sahaja. Antara indikator mengetahui tahap cahaya hati seseorang ialah apabila seseorang itu meninggal, ramai orang melawatnya tanpa dipaksa.

Sheikh Syahrawi ketika meninggal tidak kurang daripada sejuta orang hadir ke majlis pengkebumiannya. Begitu juga Syeikh Ali Nadwi yang meninggal pada petang Jumaat dan terus ditanam. Ketika itu lebih setengah juta orang hadir ke majlis pengkebumiannya. Dalam masa sama banyak Negara termasuk Malaysia buat solat ghaib untuk beliau.

Allah meninggikan cahaya hati selagimana seseorang itu patuh kepada Allah SWT. Syarat pertama hendak meningkatkan cahaya hati adalah dengan berilmu. Orang yang tidak berilmu mudah diperkotak-katik, ditipu dan mudah rebah dengan ujian yang melanda. Tinggikan azam dan tekad untuk menuntut ilmu. ilmu tak mungkin diperoleh dgn kerehatan badan.

Rasulullah SAW pernah bertanya kepada sahabat Baginda, Harithah tentang apa hakikat iman yang diimaninya. Harithah menjawab seolah-olah dia nampak arasy tuhan, nampak keseronokan ahli syurga dan keseksaan ahli neraka. Rasulullah SAW berkata Harithah telah tahu hati seorang hamba yang Allah SWT cahayakan. Dia adalah orang beilmu, hatta hendak beriman juga perlu berilmu dahulu.

Hikmah ke-62
Elakkan berselisih pendapat kerana akan memberi hati dan jiwa yang tidak tenang, mudah membawa musibah, dan banyak memberi kesan tidak baik daripada kesan baik.

Sejarah telah menceritakan keburukan berkhilaf hingga berlaku kebinasaan. Banyak kejatuhan tamadun berlaku disebabkan masalah khilaf.

Masalah utama masyarakat ialah tidak reti menguruskan khilaf. Banyak perkara kita ketinggalan kerana hendak menguruskan perkara yang remeh-temeh melibatkan khilaf. Kesan terlalu layan khilaf akan menyebabkan hilang kredibiliti.

Mustahil Baginda Nabi Muhammad SAW hendak menjatuhkan 2 kerajaan besar melainkan dengan menyatukan hati sahabat-sahabat Baginda sehingga hubungan sesama mereka lebih kuat daripada hubungan suami isteri.

Hikmah ke-63
Jangan terlalu berprasangka

Hikmah ke-64
Gopoh-gapah adalah daripada syaitan. Jangan bergopoh-gapah dalam melakukan sesuatu kerana boleh menyebabkan masalah tidak selesai hatta bertambah lagi.

Wing 0: Saya masih lagi sedang mendapat kepastian kitab apa yang Sohibus Samahah pakai. Akan dimaklumkan sekiranya diberi maklum balas. InsyaAllah.

Twitter: Farhan_Yusri

Wednesday, February 10, 2016

Sirah kelahiran Rasulullah SAW

 
Di akhirat kelak, Nabi Muhammad SAW dapat memberi syafaat yang dapat menarik kita daripada memasuk api neraka. Berusahalah untuk mendapat syafaat Nabi SAW dengan mengenali Baginda, dan mengasihi Baginda.
 
Banyak peristiwa besar yang Baginda alami berlaku pada hari Isnin. Antaranya hari Baginda dilahirkan, wafat, berlaku isra' dan mikraj, hari keluar hijrah dan sebagainya. Dalam kata lain, hari istimewa Rasulullah SAW ialah hari Isnin, manakala hari istimewa bagi ummah Baginda ialah hari Jumaat.

Antara keistimewaan hari Isnin ialah hari pertama Aminah, ibu kepada Nabi Muhammad SAW mengandung Baginda. Ketika itu keadaan Mekah berubah serta-merta seolah-olah orang yang bogel dipakaikan pakaian.
 
Pada ketika itu suasana kemarau berhenti dengan kedatangan hujan, buah-buahan dan tanaman menjadi, bumi menjadi subur. Haiwan-haiwan bercakap sesama mereka. Antara yang mereka cakapkan ialah berhala-berhala akan runtuh selepas kelahiran Baginda nanti.
 
Paderi-paderi menyedari perubahan-perubahan ini. Mereka pelik kenapa berlaku perubahan ini. Suasana menunjukkan seluruh makhluk bergembira dengan kedatangan rasul akhir zaman ini.
Setiap malam Aminah mendapat bisikan, yang anaknya ialah penghulu sekalian alam. Bisikan itu juga sentiasa menasihati Aminah agar menjaga diri baik-baik supaya kandungannya sentiasa berada dalam keadaan baik.

Kuliah bulanan Tuan Guru Haji Salleh 7 Febuari 2016

 
Orang yang tidak berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW ialah orang yang kedekut.
 
Pada suatu ketika, orang Badawi hadir ke majlis Rasulullah SAW. Dia melangkah penuntut dalam majlis tersebut dan terus ke arah Baginda. Dia bertanya kepada Baginda;
 
"Bila akan berlakunya qiamat?"
 
Rasulullah bertanya kepadanya; 
 
"Apakah persediaan anda untuk menghadapi qiamat?"
 
Arab badawi berkata yang dia baru seminggu sahaja memeluk Islam. Dia tidak reti beribadah lagi, dia hanya mencintai Baginda Rasulullah SAW.
 
Rasulullah SAW berkata;
 
"Seseorang itu bersama dengan orang yang dia kasihi di akhirat kelak."
 

Friday, February 5, 2016

Nota kuliah Tafsir Jumaat TGHH 22 Januari 2016


Tafsir surah Al-Adiyat ayat 6-11.

Selepas Allah SWT mulakan surah ini dengan bersumpah dengan kuda mujahidin dan cerita tentangnya, Allah SWT menceritakan pula tentang keengkaran manusia.

Kurniaan Allah SWT lebih daripada apa yang diberikan oleh ibu bapa. Sebab itu kita perlu kasih kepada Allah SWT dan Rasul melebihi segala-galanya.

Untuk mendapat kemanisan iman ada 3 cara; 
  1. Mencintai Allah SWT dan Rasullah SAW melebihi segala-galanya 
  2. Mengasihani manusia kerana Allah SWT 
  3. Membenci kekufuran sebenci-bencinya seperti membenci masuk neraka.
Apabila orang yang jahil ditegur tentang kekufuran dan dia marah, itu tandanya masih ada iman pada orang tersebut. Mereka perlu diajar lagi tentang Islam. 

Manusia cukup engkar dan lupa tentang nikmat Allah SWT. Manusia sangat sayang kepada benda yang baik (harta) walaupun harta itu sumbernya haram. Mereka sayang pada yang baik mengikut tanggapan mereka semata-mata.

Mereka ini tak sedar segala yang berlaku akan dibangkitkan oleh Allah SWT dari kubur. Menjadi tanda kekuasaan Allah SWT menghidupkan semula segala-galanya dari kubur, menghidupkan kembali manusia daripada benih yang tak boleh dimusnahkan. Pada hari itu Allah SWT mendedahkan segala-galanya yang rahsia, tersurat dan tersirat. Malaikat telah mencatat segala-galanya dan manusia tidak dapat lari daripada apa yang telah mereka lakukan ketika hidup di bumi.

Twitter: Farhan_Yusri

Nota kuliah Sirah Jumaat TGHH 22 Januari 2016

(Video kuliah boleh dilihat pada post sebelum ini)

Ibnu Ishak dikatakan oleh imam syafie adalah orang yang paling sahih dalam meriwayatkan sejarah Nabi SAW.

Satu ketika sebelum kelahiran Nabi SAW, Rabiah bin Masar, seorang raja dari negeri Yaman telah bermimpi sesuatu yang menakutkan. Rabiah telah memanggil semua ahli sihirnya dan menyoal mereka siapa yang mahir dalam menafsir mimpi. Mereka telah mencadangkan 2 orang ahli nujum pada zaman tersebut untuk menafsir mimpi Rabiah.

Kedua-dua ahli nujum tersebut telah dipanggil secara berasingan. Awalnya Rabiah hanya menyebut yang dia bermimpi ngeri. Ahli nujum pertama terus bersajak menyatakan raja tersebut bermimpi melihat api. Api tersebut keluar dari kegelapan, lalu jatuh di lembah dan terus memakan setiap yang hidup. 

Raja berkata betul apa yang dikata oleh ahli nujum tersebut. Disebabkan sebelum kelahiran Nabi SAW pintu langit terbuka, maka jin dan syaitan dapat mengambil rahsia-rahsia langit dan memberi maklumat kepada ahli nujum. Jadi tidak pelik ahli nujum boleh mengetahui perkara-perkara rahsia ketika itu. Kita diharamkan percaya sama sekali sebarang ramalan dari ahli nujum walaupun sedikit.

Ahli nujum pertama menafsirkan mimpi tersebut; 

Dia berkata akan datang ancaman dari Habsyah (Afrika) dan akan menakluk Yaman dari Abyan sehingga Jarash. 

Rabiah bertanya zaman bila akan berlaku perkara itu?

Ahli nujum berkata pada masa akan datang dalam 60 atau 70 tahun yang akan datang. Ketika masa itu Rabiah bukan lagi Raja Yaman.

Rabiah bertanya lagi adakah penakluk itu selama-lamanya? 

Ahli nujum berkata tidak hatta orang-orang Habsyah itu akan diperangi dan dihalau. Ketika itu diketuai perang tersebut diketuai oleh orang Yaman.

Rabiah bertanya lagi adakah pemerintahan itu berkekalan?

Nota kuliah Aqidah Jumaat TGHH 22 Januari 2016


Hikmah ke-7 berlaku hari akhirat.

Allah SWT menjadikan manusia dengan ilmu, akal dan kemampuan. Setiap manusia diuji mengikut tahap ilmu dan kemampuan masing.

(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!" 
Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!" 
Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya); 
Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin; 
Dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya), 
Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba!
(Surah Al-Fajr 89:15-20) 

Allah SWT tidak memberi semua kebaikan kepada orang Islam kerana Allah SWT tahu, bukan semua muslimin akan gunakan kebaikan tersebut untuk kebaikan orang lain.

Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya (serta mengalahkannya) maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya. Setelah selesai pertempuran itu maka (terserahlah kepada kamu) sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang-orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusnya) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya. (Bertindaklah demikian terhadap golongan kafir yang menceroboh) sehinggalah berakhir peperangan jihad itu (dan lenyaplah sebab-sebab yang memimbulkannya). Demikianlah (diperintahkan kamu melakukannya). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Ia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi Ia (perintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu). Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan agamanya), maka Allah tidak sekali kali akan mensia-siakan amal-amal mereka.
(Surah Muhammad 47:4)

Allah SWT tidak menjadikan Islam menang selama-lamanya kerana Allah SWT hendak menguji hamba-hambaNya. Mudah untuk Allah SWT menghukum orang-orang kafir seperti kaum Nabi Nuh, tetapi sengaja Allah SWT biarkan selama 950 tahun kepada mereka sebelum ditimpa banjir yang besar di muka bumi ini.

Friday, January 29, 2016

Nota kuliah Jumaat TGHH 22 Januari 2016


Bahagian 1: Aqidah

Segala yang berlaku di dunia memberi positif dan negatif. Semuanya ada hikmahnya. Manusia telah diberi peluang untuk menguruskan dunia ini. Manusia juga sudah diberi petunjuk, sekiranya berbuat baik akan mendapat pahala, manakala berbuat jahat akan dapat dosa. Segalanya akan dihitung di akhirat kelak. Kiamat adalah ketetapan sebagai sempadan pengakhiran dunia yang menunjukkan kekuasan Allah SWT. 

Allah SWT tidak akan membeban seseorang dengan perkara yang tidak mampu hambanya tanggung. Allah SWT memberi sesuatu mengikut kemampuan dan taklifan yang ada pada seseorang.

Orang miskin diberi ganjaran pahala atas kesabaran mereka manakala orang kaya perlu bertanggungjawab terhadap harta mereka; dari mana mereka ambil dan ke mana digunakan. Pahala yang cukup besar bagi orang kaya sekiranya mereka berjaya menguruskan harta mereka dengan baik. Pahala mereka lebih besar daripada pahala sabar kerana mereka bersyukur dengan kenikmatan yang diberikan.

Thursday, January 28, 2016

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman, Siri 7 oleh Ust Wadi Annuar


Antara makhluk yang dipanjangkan umur seperti iblis, syaitan, dan Nabi Isa ialah dajjal. Sahabat Nabi SAW pernah berjumpa dengan dajjal secara bersemuka di sebuah pulau. Ada kemungkinan orang lain juga pernah bertemu dajjal di pulau ini.

Fitnah dajjal adalah fitnah yang paling besar di dunia ini hatta lebih besar daripada fitnah iblis. Ini kerana dajjal menyuruh manusia mengaku dia adalah tuhan, dan suruhan tersebut datang secara bersemuka, bukan melalui bisikan. Pada ketika itu, semua benda akan mematuhi dajjal. Daripada tanah, awan hingga ke syaitan dikawal oleh dajjal sebagai tenteranya.

Allah SWT himpunkan semua fitnah yang pernah berlaku pada zaman nabi-nabi terdahulu pada akhir zaman. Disebabkan itu banyak kelebihan Allah SWT kurniakan kepada umat akhir zaman. Antara kelebihan tersebut ialah dapat dimasukkan ke syurga tanpa dihisab. Semua umat nabi sebelum Nabi Muhammad SAW hatta nabi-nabi juga tidak dapat kelebihan ini.

Apabila seseorang itu rapat dengan Allah SWT, segala makhluk termasuk iblis dan dajjal tidak menjadi masalah bagi mereka. Selagi alam itu bukan syurga, akan sentiasa ada ujian dan seksaan daripada Allah SWT. Orang beriman sentiasa selamat dengan izin Allah SWT. Keperluan kita ialah bersedia untuk menghadapi hari kiamat, bukan menunggu bila akan berlaku hari kiamat.

Sebelum keluar dajjal, dunia akan mengalami kemarau selama 3 tahun. Tahun pertama kurang sepertiga hujan. Pada tahun kedua berkurang dua pertiga, tahun ketiga hujan tak turun langsung. Selepas 3 tahun kemarau, keadaan yang terdesak menyebabkan mereka yang lemah iman mudah mengaku dajjal itu tuhan. Sewaktu dajjal keluar mengaku tuhan dia datang dalam rupa manusia yang buta sebelah. Namun pada waktu itu ramai yang mengikutnya.

Daerah yang mengaku dajjal tuhan, dajjal akan mengarah hujan ke kawasan tersebut. Penduduk yang tidak mengaku ketuhanan dajjal akan terus kelaparan meskipun kebun mereka sebelah daerah mereka yang mengaku ketuhanan dajjal.

Ada ulama' takwil keadaan negara pada ketika itu berlaku seperti sekarang. Negara yang tak ikut dajjal akan dihancurkan sehingga negara tersebut berada dalam keadaan sengsara, tiada makan dan minum. Manakala yang lainnya berkata keadaan seperti yang dikisahkan dalam hadith. Walau bagaimanapun semua ulama' bersepakat bahawa mereka yang ikut dajjal akan mendapat makanan dan minuman, manakala jika tidak ikut sengsara.

Selepas dajjal hancurkan satu kawasan itu, dajjal datang balik membawa kemewahan harta emas menyebabkan kawasan itu diuji oleh dajjal untuk kali kedua. Pada ketika itu ada juga kawasan yang tertewas, percaya kepada dajjal. Sewaktu itu, makanan bagi orang yang beriman hanyalah zikir yang dapat mengenyangkan mereka.

Dajjal akan memerintah selama 40 hari. Namun pemerintahannya umpama 14 bulan 14 hari. Hari pertama pemerintahannya umpama setahun, hari kedua umpama sebulan, hari umpama ketiga seminggu, manakala hari keempat kembali normal. Dajjal akan membawa syurga dan neraka, serta sungai air dan syurga api untuk menguji manusia. Mengikut hadith Nabi SAW apabila diuji oleh dajjal dengan sungai air dan sungai api, maka terjunlah ke dalam api, kerana sungai api dajjal sebenarnya ialah air yang sejuk.

Twitter: Farhan_Yusri

Tuesday, March 6, 2012

Pintu rumah

Ada dikisahkan bahawa Nabi Ibrahim A.S datang melawat anaknya Nabi Ismail A.S. yang berada di Mekah. Nabi Ibrahim A.S. yang bertolak dari dari Baitulmaqdis tiba di rumah Nabi Ismail A.S. ketika anaknya itu tiada di rumah. Ketika itu isteri Nabi Ismail yang tidak mengenali Nabi Ibrahim menyambut Baginda. Nabi Ibrahim A.S. menanya isteri Nabi Ismail A.S. tentang suaminya dan isteri Nabi Ismail A.S. menceritakan masalah yang dihadapi olehnya sebagai isteri Nabi Ismail A.S. Sebelum beredar Nabi Ibrahim A.S. meminta isteri Nabi Ismail A.S. pesan kepada suaminya yang suaminya perlu menukar pintu rumah baru.

Apabila Nabi Ismail A.S. pulang ke rumah, isterinya menceritakan tentang kehadiran seorang lelaki semasa Nabi Ismail A.S tiada. Setelah menceritakannya Nabi Ismail A.S. menyatakan kepada isterinya bahawa lelaki tersebut ialah Nabi Ibrahim, bapanya. Maksud perlu menukar pintu baru ialah dia perlu bercerai dengan isterinya dan mencari isteri baru. Nabi Ismail A.S. taat dengan nasihat bapanya dengan bercerai dengan isterinya dengan berkahwin lain.

Pada satu ketika selepas itu Nabi Ibrahim A.S. datang melawat Nabi Ismail A.S. lagi dan pada masa sama juga Nabi Ismail A.S tiada di rumah dan Baginda disambut isteri Nabi Ismail A.S. Nabi Ibrahim tanya tentang Nabi Ismail kepada isteri Nabi Ismail A.S. Hanya perkara baik diceritakan oleh Isteri Nabi Ismail kepada Baginda meskipun pada hakikatnya kehidupanya penuh mencabar. Sebelum beredar Nabi Ibrahim meminta isteri Nabi Ismail pesan kepada suaminya supaya menjaga pintu rumah elok-elok.

Apabila Nabi Ismail A.S. pulang ke rumah, isterinya menceritakan kembali tentang kehadiran Nabi Ibrahim A.S. Setelah menceritakannya Nabi Ismail A.S. menyatakan kepada isterinya bahawa lelaki tersebut ialah Nabi Ibrahim, bapanya. Maksud perlu menjaga pintu rumah elok-elok ialah Baginda A.S. perlu menjaga isterinya elok-elok kerana isterinya adalah seorang isteri yang solehah yang layak menjadi isteri kepada Nabi Ismail A.S.

Wing 0: Isteri solehah menyokong pejuangan suaminya menegakkan agama Allah SWT
http://cikgusantai.com/farhan