(108:1) Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat)
(108:2) Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
(108:3) Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).
Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/
Terdapat khilaf ulama’ tentang surah Surah al-kauthar diturunkan sebagai makkiyyah atau madaniyyah. Ibnu kathir menyatakan surah ini adalah surah madaniyyah. Waktu turun surah ini Baginda SAW dalam keadaan mengantuk dan terlelap seketika. Kemudian tiba-tiba Baginda SAW tersenyum. Apabila sahabat tanya mengapa Baginda SAW senyum, Baginda menyatakan surah ini diturunkan ketika Baginda terlelap sebentar tadi.
Baginda SAW bertanya kepada sahabat, “Tahukah kamu apa itu Al-Kauthar?”
Sahabat menjawab, “Hanya Allah SWT dan RasulNya yang lebih mengetahui.”
Baginda SAW menyatakan ialah Al-Kauthar ialah sungai daripada syurga yang mengalir ke satu kolam. Kolam ini adalah untuk umat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak. Mereka yang minum air dari kolam ini tidak akan dahaga selama-lamanya. Ada riwayat menyatakan kedudukan kolam ini berada sebelum melintas ke syurga dan neraka. Ada juga pendapat menyatakan putih kolam ini lebih putih daripada susu dan manisnya lebih manis daripada madu.
Dalam hadith ada menceritakan bahawa ada di kalangan umat Baginda SAW yang dihalang daripada mendekati kolam ini. Baginda SAW meminta agar malaikat tidak menghalang mereka dengan menyebut “ummati”. Malaikat menyatakan bahawa Baginda SAW tidak mengetahui apa yang mereka lakukan selepas kewafatan Baginda SAW. Mereka yang menyeleweng daripada ajaran Nabi SAW akan dihalau daripada kolam ini.
Penting supaya solat kerana Allah SWT, begitu juga ketika melakukan korban. Ayat kedua adalah ayat yang membahaskan bab tasawwuf. Perlu mengelakkan diri daripada solat kerana riya’ kerana tindakan ini tidak mendatangkan manfaat kepada mereka yang solat. Lebih besar haiwan yang disembelih maka lebih besar ganjaran pahala kerana memberi manfaat kepada lebih ramai orang untuk makan.
Mereka yang menghina Nabi SAW akan dihina hingga ke kiamat. Mereka ini terputus daripada segala kebaikan. Kewajiban kita adalah mempertahankan dan memuliakan. Walau bagaimanapun kita perlu faham bahawa seteruk mana pun orang menghina Baginda Nabi SAW, Baginda tetap mulia di sisi Allah SWT, tetap mulia di alam dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment