Thursday, July 14, 2016

Tafsir surah Al-Falaq oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 6 Mei 2016


(113:1) Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk,

(113:2) "Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan;

(113:3) "Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk;

(113:4) "Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);

(113:5) "Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya".

Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/


Surah Al-Falaq ialah surah makkiyah yang berkait dengan akidah. Surah ini menyuruh umat Islam agar sentiasa bergantung dengan Allah SWT dalam menghadapi apa jua cabaran. Hanya Allah SWT yang boleh melindungi kita daripada perkara yang nampak dan perkara yang tidak nampak.

Falaq pada ayat pertama bermaksud waktu subuh. Berlaku cerah selepas berlaku gelap. Cerah yang menyinari seluruh alam. Siang yang datang selepas waktu malam.

Hanya Allah SWT yang boleh melindungi makhluk daripada kejahatan apa yang Allah SWT diciptakan. Ada makhluk yang baik dan ada makhluk yang jahat. Allah SWT mengajar makhluk yang baik agar memohon perlindungan daripada Allah SWT. Allah SWT mencipta makhluk jahat sebagai ujian bagi hamba-hambaNya.

Waktu malam adalah waktu paling mudah untuk makhluk jahat melakukan kejahatan. Kita diajar agar memohon perlindungan daripada Allah SWT yang mencipta waktu siang dan malam.

Di dunia ada orang yang menjadi ahli sihir. Salah satu cara adalah dengan menggunakan simpulan tali. Mereka menggunakan jin untuk aktiviti sihir. Mereka adalah manusia dan jin yang jahat.

Nabi Muhammad SAW pernah disihir oleh Nabit bin Al-Aqsam dengan meniup pada tali yang disimpul, diikat pada lilin yang dibentuk seperti lembaga. Ditikam lilin tersebut dengan jarum. Nabi rasa seberti ditikam dan berasa lemah. 

Nabi Muhammad SAW membaca surah ini. Setiap kali Baginda membacanya tercabut sihir ini. Dikatakan ada 11 ikatan yang digunakan untuk menyihir Baginda SAW. 

Malaikat Jibril memberitahu Nabi Muhammad SAW ada barang yang diletakkan di dalam telaga yang menyebabkan Baginda disihir. Baginda meminta Saidina Ali KW untuk membuang barang tersebut.

Manusia yang berkawan dengan jin kafir boleh menjadi kafir apabila jin mengajar benda-benda yang boleh menjatuhkan aqidahnya seperti menulis ayat Al-Quran dengan darah haid.

Ahli-ahli sihir tidak boleh memberi mudarat selain daripada keizinan Allah SWT. Pada akhir zaman dajjal akan menggunakan sihir yang lebih dasyat dalam menyesatkan umat Islam. Semua ini dibenarkan oleh Allah SWT untuk menguji iman setiap orang.

Dalam sebuah kitab tassawuf ada menceritakan seorang nelayan yang memuji Allah SWT tetapi hanya mendapat seekor ikan sahaja. Ada seorang lagi memuja jin dan syaitan mendapat ikan yang banyak. Malaikat mengadu kepada Allah SWT mengapa berlaku perkara ini, Allah SWT menyuruh malaikat melihat tempat kedua-dua nelayan tersebut di syurga dan neraka. 

Di dunia mungkin hidupnya susah. Namun sekiranya dia sabar dan redha maka nikmat syurga yang bakal diperoleh. Begitu juga sebaliknya. Kehidupan di dunia hanya sementara.

Dalam sejarah, pemerintahan Muawwiyah diganti oleh anaknya Yazid dan kemudiannya Malik bin Marwan. Pada ketika ini Abdullah bin Zubir memberontak menyatakan Mekah bebas daripada pemerintahan Malik bin Marwan yang zalim. Malik bin Marwan menghantar Hajjaj bin Yusuf As-Saqafi yang terkenal dengan kezaliman menyerang Abdullah bin Zubir.

Perang yang lama sehinggakan Abdullah bin Zubir dan tenteranya dikepung. Seorang demi seorang tenteranya berundur kerana tidak tahan dengan tekanan dihadapi. Hajjaj menawarkan perdamaian dengan meminta Abdullah bin Zubir mengiktiraf kerajaan Muawwiyah ketika itu.

Asma’ bin Abu Bakar RA didatangi oleh anaknya Abdullah bin Zubir bin Awwam dan ditanya pendapat ibunya itu tentang perdamaian yang diberikan. Ibunya menjawab sekiranya Abdullah bin Zubir berlawan kerana dunia maka terimalah tawaran tersebut. Sekiranya lawan kerana akhirat, teruskan perjuangan.

Abdullah berkata lagi yang sekiranya dia terus berlawan dia tinggal seorang. Semua telah lari. Asma’ menjawab sekiranya kamu lemah, pengikutmu lebih lemah daripada kamu. Hidup di dunia ini sementara sahaja. Hidup di akhirat selama-lamanya. Sekiranya kamu menerima tawaran ini kamu akan senang di dunia tetapi hina di akhirat selama-lamanya.

Abdullah berkata lagi, "Wahai ibu, saya akan dibunuh dan di salib." Asma menjawab lembu yang di sembelih tidak sakit apabila dilapah. Teruskan dalam hidup mulia, mati mulia. Tegakkan kebenaran meskipun susah.

Dalam sejarah diceritakan akhirnya Abdullah bin Zubir dibunuh dan disalib di kaabah.

Kita mohon perlindungan daripada Allah SWT daripada golongan yang hasad. Hasad ialah orang yang tidak suka melihat orang lain lebih daripadanya dan dia mahu jatuhkan orang itu. Hasad dan dengki ialah benda yang sama.

No comments: