Showing posts with label Sulmu Al-Mubtadi. Show all posts
Showing posts with label Sulmu Al-Mubtadi. Show all posts

Tuesday, December 8, 2009

Perkara Sunat Ketika Solat - Bahagian 3

4. Sujud Sahwi
Sujud sahwi dilakukan apabila tertinggal atau terlupa melakukan perkara sunat abadh dalam solat. Tahiyyat awal dan doa qunut pada solat subuh adalah antara perkara-perkara tersebut. Sekiranya sudah terlupa atau tertinggal perkara tersebut maka jangan kembali melakukannya. Teruskan solat dan lakukan sujud sahwi. Sujud ini dilakukan selepas tahiyyat akhir, sebelum memberi salam dan perlu berniat sebelum melakukan sujud tersebut. Dalam solat sekiranya ragu-ragu bilangan rakaat yang dikerjakan maka ambillah bilangan rakaat yang kurang. Contohnya apabila ragu-ragu dengan 3 atau 4 rakaat maka anggaplah masih 3 rakaat. Buat tahiyyat akhir, sujud sahwi dan tambahlah satu rakaat lagi. Makmum wajib mengikut sekiranya imam melakukan sujud sahwi dan sunat dilakukan sekiranya imam tidak melakukannya dengan syarat dilakukan selepas imam memberi salam kedua.

Tidak perlu dilakukan sujud sahwi sekiranya tertinggal perkara sunat haiah. Antara perkara sunat haiah:
1. Angkat 2 tangan pada takbiratul ihram
2. Doa iftitah
3. Nyaringkan bacaan
4. Baca amin selepas fatihah
5. Baca surah selepas fatihah
6. Baca takbir iktiqalat antara 2 rukun
7. Baca tasbih
8. Selawat kepada Nabi Ibrahim

5. Sujud sajadah
Dilakukan mengikut imam apabila tiba pada tempat-tempat ini dalam bacaaan Al-Quran:
1. Surah 7 (Al-A’Raaf) Ayat 206
2. Surah 13 (Ar-Ra’d) Ayat 15
3. Surah 16 (Al-Nahl) Ayat 50
4. Surah 17 (Al-Isra’) Ayat 109
5. Surah 19 (Maryam) Ayat 58
6. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 18
7. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77
8. Surah 25 (Al-Furqaan) Ayat 60
9. Surah 27 (An Naml) Ayat 26
10. Surah 32 (As-Sajdah) Ayat 15
11. Surah 38 (Shaad) Ayat 24
12. Surah 41 (Fushshilat) Ayat 38
13. Surah 53 (An-Najm) Ayat 62
14. Surah 84 (Al-Insyiqaq) Ayat 21
15. Surah 96 (Al-'Alaq) Ayat 19

6. Sujud Syukur
Dilakukan apabila menerima satu kenikmatan atau tertolak daripada bala tanda kesyukuran. Caranya duduk antara dua sujud, berniat, mengangkat takbir, sujud dan memberi salam.

Thursday, December 3, 2009

Perkara Sunat Ketika Solat - Bahagian 2

Perkara sunat ketika solat:
1. Azan dan iqamah
Azan ialah zikir yang menandakan masuknya waktu solat manakala iqamah ialah zikir yang tertentu menandakan solat hampir didirikan. Syarat sah azan ialah bilalnya orang Islam yang tamyiz, lelaki serta masuk waktu. Disunatkan azan subuh selepas tengah malam. Lafaz azan dan iqamah seperti yang dibentangkan dalam perbentangan lepas (Rujuk sini). Makruh sekiranya terlalu berlagu ketika azan.

2. Tahiyyat Awal
Sama seperti tahiyyat akhir. Dibaca sehingga syahadah sahaja.

3. Doa qunut
Sunat muakad bagi mazhab Syafie. Dilakukan pada solat Subuh, selepas iktidal rakaat kedua sebelum sujud. Doanya seperti perbentangan lepas (Rujuk sini).

Wednesday, October 28, 2009

Perkara Sunat Ketika Solat

Ini suatu fasal dan sunat sembahyang dahulu daripada masuk kepadanya itu dua perkara pertama bang dan kedua qamat hanya dituntut pada sembahyang fardhu yang maktubah jua (dan syarat) sah bang itu Islam lagi tamyiz dan laki2 jika bagi laki2 dan masuk waktu melainkan yang sah maka masuk waktunya daripada tengah malam dan iaitu:
dan lafaz iqamah:
dan ditambah pada subuh kemudian daripada:
dan sunat yang kemudian daripada masuk kepadanya dua perkara (pertama) tasyhadul iaitu seperti tasyhadul akhir yang tersebut itu (dan kedua) membaca qunut kemudian daripada rukuk yang kedua pada iktidalnya pada sembahyang subuh iaitu:
dan sunat dikerjakan di dalam sembahyang sujud sahwi bermula makna sahwi itu iaitu dikhabarkan yang dikerjakan yang ditegah dan yang meninggalkan sunat abadh dan sunat sujud sahwi dan tiap2 pekerjaan yang dikerjakan yang membatalkan dengan senghajanya dan tiada membatalkan dengan lupanya dan yang ditinggalkan di dalam sembahyang itu pertama fardhu maka iaitu tiada diboleh digantikan dengan sujud sahwi tetapi wajib ia kembali kepadanya mendatangkan dia jika ada masanya itu lagi hampir dan dihubungkan dia kemudian ia sujud sahwi (keduanya) sunat maka jangan jangan ia kembali seperti ia lupa akan tahiyyat awal atau qunut witir pada nisfu yang kedua daripada bulan ramadhan manakala sudah ia berdiri betul atau sudah sujud jangan lagi kembali kepada keduanya hanya sunat sujud sahwi ganti daripada keduanya atau ia syak pada lebihnya seperti ia syak pada rakaatnya yang keempatnya adakah ketiganya atau yang keempat kemudian nyata yang keempat sunat sujud sahwi dan hendaklah diniatkan pada hatinya aku hendak sujud sahwi kemudian ia sujud dahulu daripada salam kemudian daripada tahiyyat dan selawat (dan ketiga) yang ditinggalkan itu sunat haiah maka jangan ia kembalikan kepadanya dan tiada pula sujud sahwi (faedah) sunat sujud tilawah bagi yang membaca dan mendengar membaca ayat sajadah yang empat belas tempat pada Quran dan lagi sunat sujud syukur bagi orang yang kedatangan nikmat atau sejahtera daripada berbahaya atau melihat orang yang kena bala dan takbirnya meniat sujud tilawah dan niat sujud syukur kemudian ia sujud satu kemudian ia beri salam

Sulmu Al-Mubtadi M.S 10
9 Jun 2009
Surau g. Jawa

Saturday, July 4, 2009

Rukun Solat - Bahagian 3

7. Iktidal
Berdiri kembali dalam keadaan asal. Tempoh berdiri tidak boleh lebih lama daripada membaca fatihah

8. Tomakninah pada iktidal
Sekurang-kurang pada bacaan rabbana walakal hamdu.

9. Sujud
Perlu 7 anggota diletakkan atas tanah; dahi, dua tapak tangan, dua lutut dan dua hujung tapak kaki. Paling kurang dua hujung tapak kaki ialah ibu jari kaki ditekan atas tanah. Anggota sujud tidak boleh berada atas barang yang boleh bergerak contohnya dahi tidak boleh diletak atas hujung tali serban yang berada pada kedudukan dahi ketika sujud. Kedudukan punggung ketika sujud juga perlu berada lebih tinggi daripada kepala.

10. Tamakninah pada sujud
Sekurang-kurang pada bacaan subhanarabbiayal a'la wa bihamdih.

11. Duduk antara dua sujud
Duduk dengan tempoh tidak lama daripada membaca tahiyyat.

12. Tomakninah pada duduk antara dua sujud
Sekurang-kurang pada bacaan yang selalu dibaca ketika ini dan tidak melebihi tahiyyat.

13. Duduk tahiyyat akhir
Duduk dalam keadaan tawarruq iaitu punggung diletakkan di atas lantai, kaki kiri di atas lantai dan kaki kanan ditegakkan.

14. Membaca tahiyyat
Rukun qauli. Bermula daripada attahiyya sehingga mengucap dua kalimah syahadah.

15. Selawat ke atas nabi
Rukun qauli. Berselawat ke atas Baginda Rasulullah SAW dan disunatkan sambung sehingga akhir. Disunatkan juga membaca doa sebelum salam. Doa dalam bahasa arab.

16. Memberi salam pertama
Diiringi berpaling ke sebelah kanan. Sekiranya disambung dengan salam kedua, salam tersebut masih dikira dalam solat. Sekiranya terbatal ketika memberi salam kedua maka batal solat seseorang. Memberi salam kedua dengan berpaling ke sebelah kiri. Sunat membaca doa ketika berpaling ke arah kedua-dua salam.

17. Tertib
Mengikut segala urutan yang telah ditetapkan. Sekiranya terlupa satu rukun, perlu kembali kepada rukun tersebut sebelum hendak melakukan rukun yang seterusnya. Sekiranya telah berlaku rukun yang seterusnya maka perlu menambah rakaat bagi melengkapkan rakaat tersebut.

Monday, June 29, 2009

Rukun Solat - Bahagian 2

Sembahyang atau solat beerti doa. Jika dari sudut syara' bermaksud perbuatan dan perkataan yang dimulakan dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam. Rukun-rukun solat adalah juzuk-juzuk dalam solat. Setiap rukun bersifat sementara dan meninggalkannya menyebabkan tidak sah solat seseorang. Rukun solat ada 17 perkara bermula dengan;

1. Niat
Iaitu qasad dengan hati diikuti perbuatan. Rukun qalbi. Terdapat 3 cara berniat mengikut solat yang hendak dilakukan. Pertama untuk solat sunat mutlak iaitu solat yang tiada waktu, cukup sekadar qasad "sahaja aku solat". Kedua bagi solat sunat yang ada waktu, perlu kepada qasad yang disertakan dengan takyin iaitu "sahaja aku solat (nama solat sunat)" contohnya "sahaja aku solat dhuha", "sahaja aku solat hari raya", dan seumpama dengannya. Ketiga untuk solat fardhu, perlu kepada qasad, taarud, dan takyin iaitu "sahaja aku solat FARDHU (nama solat fardhu)" contohnya "sahaja aku solat fardhu subuh", "sahaja aku solat fardhu Zohor" dan seumpama dengannya.

2. Takbiratul Ihram
Salah satu rukun qauli iaitu rukun yang perlu disebut "Allahu Akbar" dan didengar oleh orang yang melakukannya. Pada ketika ini dimuqaranahkan atau dilintaskan niat solat antara alif (untuk kalimah Allah) dan ra (untuk kalimah akbar).

3. Berdiri tegak
Untuk solat fardhu dan bagi yang berkemampuan. Harus untuk solat sunat. Meskipun harus, pahala orang yang solat duduk separuh daripada orang yang solat berdiri

4. Membaca Al-Fatihah
Rukun Qauli. Bagi mazhab Syafie bermula dengan bismillah kemudian membaca segala perkataan dalam 155 atau 156 perkataan dengan tashdid serta baris yang betul yang tidak mengubah maksud perkataan atau ayat. Sekiranya tidak tahu membaca Al-Fatihah boleh membaca surah lain yang hampir sama tempohnya dengan Al-Fatihah atau berzikir sebanyak perkataan Al-Fatihah. Sekiranya tidak tahu berzikir cuma berdiri tegak selama bacaan fatihah dibaca.

5. Rukuk
Sekurang-kurang tapak tangan diletakkan atas lutut. Paling afdhal kedudukan badan seolah-olah diletak papan di belakang dan papan tersebut tidak jatuh dalam erti kata badan lurus ketika rukuk.

6. Tomakninah pada rukuk
Sekurang-kurang pada kadar membaca subhanarabbiayal azimi wa bihamdih.

Wednesday, June 10, 2009

Perkara yang Membatalkan Sembahyang

Ini suatu fasal dan yang membatalkan sembahyang itu berkata2 dengan dua huruf atau satu huruf yang memberi faham melainkan jika lupa sedikit perkataan dan membatalkan pula dengan perbuatan yang banyak seperti tiga kali memukul berturut2 atau satu perbuatan yang jahat seperti melompat satu lompat dan demikian lagi membatalkan dengan dilebihkan satu rukun fi'li dan dengan makan dan minum melainkan dengan lupa dan sedikit makannya dan dengan niat hendak memutuskan sembahyang dan dengan digantungkan hendak memutuskan dan dengan taradud padanya atau mengerjakan perbuatan sembahyang serta syak pada niat takbiratul Ihram atau panjang musasyaknya dan terbuka auratnya dan kedatangan hadas atau kedatangan najis yang tiada dimaafkan dan jika jatuh najis yang kering atas kainnya maka dikibaskan dia pada ketika itu jua tiada batal sembahyangnya.
Sulmu Al-Mubtadi (M.S 9)
12 Mei 2009
Surau Kg. Jawa

Perkara-perkara yang membatalkan sembahyang:
1. Berkata-kata
Dua huruf yang tiada maksud atau satu huruf ada maksud. Berdehem dan tarik nafas panjang sangat dengan sengaja boleh batalkan sembahyang. Jika tidak sengaja atau lupa hanya terhad kepada 4 perkataan (ada kata 6 perkataan).

2. Perbuatan yang berlebihan
Melebihi tiga gerakan oleh anggota besar seperti tangan, siku, kaki. Anggota kecil seperti jari tidak termasuk dalam kiraan pergerakkan anggota. Perbuatan yang besar seperti melompat walaupun sekali sudah dikira batal sembahyang.

3. Dilebihkan satu rukun
Seperti rukuk, iktidal, rukuk kembali. Apabila garu lutut dan kebawah ketika berdiri tegak dianggap rukuk.

4. Makan dan minum
Batal juga jika makanan terlekat celah gigi dan air liur melaluinya kemudian tertelan air liur tersebut.

5. Niat memutuskan sembahyang
Termasuk juga niat bersyarat; contoh "Jika seseorang datang saya batalkan sembahyang"; dari awal lagi sembahyang tidak diterima. Haram putuskan niat solat fardhu.

6. Was-was
Terlalu lama was-was dalam sembahyang. Kaedah penyelesaian; ambil bilangan kecil, contoh 'Jika was-was antara 2 rakaat atau 3 rakaat pilih 2' meskipun sebenarnya sudah 3 rakaat. Jika was-was masuk atau tidak waktu sembahyang juga tidak sah sembahyang. Ijtihad yang kuat boleh diterima mengatasi masalah was-was.

7. Terbuka aurat
Pakaian mesti tidak nampak warna kulit

8. Kedatangan hadas
Sesuatu yang keluar dari rongga besar seperti hidung, mulut, kemaluan; termasuk darah jika keluar semasa sembahyang maka batal sembahyangnya. Jika terkena najis termasuk bulu kucing juga akan terbatal solat. Jika najis kering terkena baju dan sempat dikibas buang dengan segera maka sembahyang masih diterima. Salam kedua jika dilakukan masih dianggap dalam solat. Jika terkentut ketika memberi salam kedua maka batal sembahyang seseorang itu.

Seorang mualaf tidak perlu qadha solatnya sebelum masuk Islam tetapi golongan murtad yang kembali kepada Islam perlu qadha kembali solatnya sepanjang dia murtad. Na'uzubillah min zalik. Harap dilindungi kita daripadanya.

Wing 0: Bab ini dibincangkan dahulu sebelum masuk rukun sembahyang

Friday, June 5, 2009

Rukun Solat - Bahagian 1

Ini suatu fasal pada menyatakan rukun sembahyang (bermula) rukunnya itu tujuh belas perkara pertama niat dengan hati bagi sembahyang jika ada sembahyang itu sunat mutlak atau yang dihubungkan dengan dia dan meqasadkan perbuatannya dan ta'yinkan dia jika sembahyang yang mempunyai waktu seperti hari raya kedua dan sunat rawatib qabliah dan ba'diah jika ada ba'diahnya dan meqasadkan bagi perbuatan sembahyang ta'arudh akan fardhunya jikalau fardhu kifayah sekalipun dan ta'yin jika ada ia sembahyang fardhu seperti aku sembahyang fardhu zohor (dan kedua) takbiratul ihram disebutkan dia sekira2 kedengaran bagi dirinya seperti itulah segala rukun qauli iaitu Allahu Akbar serta dimuqaranahkan niat yang tersebut itu daripada alif Allah hingga kepada ra akbar atau dihimpunkan segala niat yang tersebut itu pada suku takbirnya nisbah bagi orang awam memadailah (ketiga qiam) bagi yang kuasa pada sembahyang fardhu iaitu membetulkan tulang belakangnya (keempat) membaca fatihah serta dengan (bismillahirrahmanirrahim) dan segala tashdidnya yang empat belas dan segala hurufnya jangan ditukar satu huruf daripadanya dengan huruf yang lain dan dengan tertibnya dan dengan mualat serta keluar segala hurufnya itu daripada makhrajnya bagi yang kuasa dan jangan dibacanya dengan jalan yang mencederakan dengan makna dan haram membaca dengan lahan yang tiada mencederakan maknanya dan tiada batal sembahyangnya (kelima) rukuk dengan bahawa cenderung dirinya sekira2 sampai dua tapak tangannya akan dua lututnya (keenam) tamakninah padanya qadar membaca (subhanallahu wabihamdihi) (ketujuh) iktidal seperti berdiri betul kembali ia kepada qiam (kelapan) tamakninah padanya (kesembilan) sujud di kala seperti dua bahawa dihantar akan dahinya atas tempat sujudnya serta terbuka dahinya dan ditekankan kepala kepada tempat sujudnya serta ditinggikan punggungnya daripada kepalanya dan dihantarkan dua lututnya dan dua perut tapak tangannya dan dua perut dua anak jari kakinya (kesepuluh) tamakninah pada kedua sujudnya qadar membaca (subhanarabbiyal a'la wabihamdih) (kesebelas) duduk antara dua sujud (kedua belas) tamakninah padanya (ketiga belas) duduk tasyhadu akhir dan barang yang kemudiannya daripada tasyhadu dan membaca selawat dan salam (keempat belas) membaca tasyhadu akhir maka iaitu (attahiyyatul mubrakatus solawat.... asyhadu an la ilaha ilallah wa asyhadu anna Muhammadur Rasulullah) (kelima belas) selawat atas nabi (Allahumma solli ala Muhammad) dan sunat dilebihkan (waala ali Muahmmad) hingga akhirnya dan sunat membaca doa (keenam belas) salam iaitu (assalamualaikum warahmatullah) sunat dua kali yang kedua itu sunat dan hendaklah berpaling pada yang pertama pihak kanan dan yang kedua kali pada pihak kiri (ketujuh belas) tertib seperti aturan yang tersebut itu maka jika ia tinggal tertibnya dengan sengaja seperti ia sujud sebelum ia rukuk batal sembahyangnya maka jika ada ia dengan lupa hendaklah ia kembali kepadanya jika belum lagi sampai kepadanya rukun itu maka jika sudah sampai maka disempurnakan dia dengan rakaatnya dan sia-sia barang yang antaranya

Sulmu Al-Mubtadi (M/S 9 hingga 10)
26 Mei 09
Surau Kg. Jawa

Tuesday, May 19, 2009

Syarat Sah Sembahyang

(Fasal) ini suatu fasal dan setengah daripada syarat sembahyang menghadapkan qiblat iaitu ka'abah Allah dengan dada dan bagi orang yang kuasa dengan dilihat jika hampir dengan khabar yang melihat akan dia atau dengan zan daripada ijtihad jika kesukaran melihat dan mengambil khabar daripada orang yang mengetahui akan dia (dan) dimaafkan meninggalkan qiblat bagi orang yang takut dikala berada tapak dua perang yang harus (dan demikian lagi) orang yang sembahyang sunat di dalam musafir jika hampir sekalipun maka hendaklah dihadapkan pihak seterunya dan pada jalan yang ia hendak pergi kepadanya maka jika ada ia yang musafir itu berkenderaan ia isyarat pada rukuk dan sujudnya tetapi isyarat pada sujud terlebih rendah daripada rukuknya dan jika ia berjalan kaki maka hendaklah ia hadapkan kepada qiblat yang lainnya daripada qiamnya dan tahiyatnya (Dan setengahnya) syarat sah sembahyang itu mengetahui ia akan masuk waktunya dengan zan pada orang yang ijtihad (dan setengahnya) Islam dan tamyiz dan mengetahui ia akan kifayah sembahyang seperti bezakan fardhunya daripada sunatnya atau i'tiqad segala yang perbuatan itu sekaliannya fardhu dan jangan dii'tiqadkan yang fardhu itu sunat (dan setengahnya) menutup aurat dengan pakaian yang suci dan menutup pihak atas dan kelilingnya dan aurat laki2 dan sehanya sahaya perempuan antara pusat dan lutut dan aurat perempuan yang merdeka sekalian tubuhnya melainkan muka dan tapak tangannya (dan demikian lagi) wajib menutup auratnya dihadapan orang yang hilat dan harus membuka auratnya jika pada tempat yang sunyi dikala kepanasan dan kerana menyapu sampah dan dikala mandi jika tiada seorang yang hilat yang melihat akan dia

Sulmu Al-Mubtadi (M/S 8-9)
28 April dan 12 Mei 09
Surau Kg Jawa

Syarat sah sembahyang seperti yang diterangkan dalam kitab ini:
1. Menghadap qiblat
Qiblat yang dimaksudkan ialah kaabah dengan cara dada mesti menghadap ke arahnya. Bagi yang dapat melihat Kaabah maka perlu melihatnya. Sekiranya berada jauh mengikut arah yang diberitahu dan diyakini arah kaabah tersebut dan sekiranya tidak mengetahui maka dibolehkan menggunakan keyakinan sendiri sekiranya sukar untuk mengesan arah qiblat. Syaratnya perlu yakin ketika solat tanpa sedikit was-was. Jika ada was-was maka terbatal solatnya.

Pengecualian menghadap qiblat apabila berada di tengah-tengah medan pertempuran atau peperangan. Selain itu dibolehkan juga tidak menghadap qiblat untuk solat sunat bagi mereka yang sedang menaiki kenderaan tidak kira jauh atau dekat destinasi yang dituju. Qiblat ketika ini mengikut arah kenderaan tersebut dan perlu diisyaratkan rukuk dan sujud dengan tunduk yang dapat membezakan kedua-duanya. Bagi yang berjalan kaki, solat sunat yang dilakukan perlu menghadap qiblat ketika qiam dan tahiyyat selain mengisyaratkan rukuk dan sujud seprti dalam kenderaan sebentar tadi.

2. Yakin telah masuk waktu

3. Islam dan tamyiz
Seminima syarat untuk golongan tamyiz ialah mereka dapat membezakan kiri dan kanan. Di dalam solat mereka perlu mengetahui dan membezakan yang mana wajib dan yang mana sunat.

4. Menutup aurat
Menutup aurat perlu dengan pakaian yang bersih dan suci. Syarat menutup aurat juga perlulah tidak nampak warna kulit badan. Bagi golongan lelaki dan hamba sahaya (perempuan) auratnya antara atas pusat (sekelilingnya) dan lutut. Bagi mereka yang memakai kain pelekat harus berwaspada sekiranya kainnya berada di bawah pusat kerana apabila rukuk, ruangan baju pada leher yang terbuka boleh membatalkan solat. Batasan aurat ini hanya ketika solat. Ketika bertemu dengan perempuan ajnabi, aurat lelaki adalah antara bahu hingga ke lutut kecuali lengan. Ibu mertua tiri juga adalah tergolong dalam golongan wanita ajnabi.

Bagi golongan perempuan yang merdeka pula auratnya adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Sekiranya tiada telekong masih boleh sembahyang sekiranya boleh menutup kesemua anggota badan terutama pada pergelangan tangan. Aurat ini juga wajib ditutup ketika berhadapan dengan golongan mahram. Aurat diharuskan buka di tempat yang sunyi, ketika panas, sapu sampah dan ketika mandi (makruh mandi bogel bagi lelaki dan perempuan) selagi mana tidak dilihat oleh golongan mahramnya.

Wing 0: Berhati-hati meskipun mudah

Wednesday, April 29, 2009

Haid, Nifas, Wiladah dan Darah Istihadah

(Fasal) Ini suatu fasal mewajib atas semuanya atau ibu bapanya mengajarkan isterinya dan akan anaknya hukum haid dan nifas dan wiladah istihadah (bermula) erti haid itu darah yang keluar daripada perempuan yang sampai umurnya sembilan tahun atau lebih sekurang-kurangnya sehari semalam dan sebanyak-banyaknya lima belas hari dan malamnya lima atau enam atau tujuh hari maka dinamakan darah haid (dan erti) nifas itu darah yang keluar kemudian daripada selesai keluar anaknya maka sekurang-kurangnya satu titik dan sebanyak-banyaknya enam puluh hari dan ghalibnya empat puluh atau dua puluh dan lebih kurang daripadanya (dan erti) wiladah beranak jika tiada berserta darah dan sekeliannya mewajibkan mandi diangkatkan hadasnya daripada haid atau daripada nifas atau daripada wiladah dan wajib meninggalkan sembahyangnya dan puasa dan membaca quran dan berhenti di dalam masjid (dan erti) istihadah itu darah penyakit yang keluar dari bukan masa haid dan nifas seperti darah yang lebih daripada sebanyak-banyak haid dan nifas maka dinamakan darah istihadah maka tiada dimenegahkan daripada sembahyang dan puasa dan mengambil kesukaan oleh suaminya
Sulmu Al-Mubtadi (M/S: 8)
28 April 2009
Surau Kg. Jawa

Meskipun haid dan sekelompok dengannya tidak berlaku kepada golongan lelaki namun mengetahuinya adalah wajib untuk mengajar ahli keluarga terutama isteri dan anak perempuan kerana boleh menyebabkan dosa isteri dan anak perempuan mereka juga tertanggung oleh si suami. Betapa pentingnya ilmu ini juga dapat dilihat apabila si isteri yang keluar daripada rumah tanpa kebenaran suaminya untuk mempelajari ilmu ini tidak dikira nusyuz. Kekeliruan perbezaan antara haid dan sekelompok dengannya juga boleh menyebabkan dosa kerana silap mandi.

Haid seperti yang diterangkan dalam kitab ini merujuk darah yang dikeluarkan oleh seorang perempuan ketika umurnya 9 tahun atau ke atas dan paling awal dikira 16 hari sebelum masuk umur 9 tahun. Sekiranya keluar lebih awal daripada itu maka masih belum diwajibkan ke atas mereka perkara wajib seperti solat selepas tamat tempoh haid tersebut. Sekiranya telah keluar sekali maka dibenarkan mengikut adat iaitu tempoh jika bulan ini keluar 7 hari maka bulan hadapan juga 7 hari. Cara memeriksa haid tersebut berhenti adalah dengan memasukkan kain putih atau kapas ke dalam kemaluan dan pada kain atau kapas tersebut tiada warna darah seperti merah, kuning, atau seumpama dengannya dan kain tersebut berwarna putih. Tempoh darah haid keluar ialah 24 jam dalam 15 hari. Sekiranya kurang maka perlu qadha kembali solat yang ditinggalkan.

Antara perkara yang tidak boleh dilakukan ketika haid ialah solat, puasa, memegang Al-Quran, tawaf, sujud tilawah dan sujud syukur. Namun dalam keadaan haid boleh dibaca ayat Al-Quran selagi tidak diqasad membacanya seperti membaca zikir amalan, untuk perlindungan gangguan makhluk terutama memasuki tempat yang mencurigakan hingga tegak bulu roma, dan untuk tujuan perubatan*. Mereka yang haid juga tidak dibenarkan untuk tinggal atau menetap di dalam masjid dalam erti kata berhenti seketika dalam masjid selepas masuk ke dalamnya. Hanya dibenarkan untuk menetap di tempat yang tidak dilakukan solat seperti di tangga dan kolah masjid. Dibenarkan untuk melalui dalam masjid dengan masuk pintu yang berbeza dengan pintu keluar selagi mana wanita itu tidak berhenti seketika dan tiada darah yang menitik di dalam masjid.

Nifas ialah darah yang keluar selepas bersalin tidak kira lahir secara normal atau melalui pembedahan sekurang-kurangnya setitik. Syarat darah tersebut mestilah bayi tersebut telah keluar sepenuhnya tanpa tinggal sedikit juzuk dalam badan si ibu. Sekiranya darah yang keluar sebelum itu dinamakan darah tolaq dan masih diwajibkan ke atas wanita tersebut untuk menunaikan kewajiban seperti solat dan lain-lain sekiranya darah ini keluar. Sekiranya darah nifas tidak keluar pada waktu kelahiran dan darah tersebut keluar dalam tempoh tujuh hari selepas kelahiran maka wajib ke atas wanita tersebut mandi nifas. Tempoh paling lama darah ini keluar adalah 60 hari dan selalunya dalam tempoh 20 hari atau 40 hari. Selepas darah nifas berhenti diwajibkan mandi dan perlu melaksanakan perkara wajib seperti solat dan lain-lain.

Wiladah berlaku apabila seseorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah. Perkara ini berlaku pada anak Baginda Nabi Muhammad S.A.W; Fatimah ketika melahirkan anak. Wajib ke atas wanita tersebut untuk mandi wiladah selepas melahirkan anak dan diwajibkan untuk menunaikan perkara wajib seperti solat dan lain-lain. Sekiranya darah keluar dalam tempoh 7 hari selepas itu maka dinamakan darah tersebut darah nifas dan sekiranya darah keluar pada hari ke-8 dan seterusnya dinamakan darah haid.

Darah istihadah adalah darah penyakit yang keluar dalam keadaan abnormal melebihi 15 hari. Keadaan wanita yang keluar darah istihadah wajib melakukan perkara-perkara yang wajib seperti solat dan sebagainya. Sekiranya mengikut adat, seorang wanita yang haidnya pada hari pertama hingga ke-7 pada setiap bulan tiba-tiba keluar darah dari hari ke-10 hingga ke-16 maka diwajibkan ke atas wanita tersebut qadha kembali solatnya untuk hari ke-10 hingga ke-16. Seorang suami boleh meniduri isterinya ketika darah istihadah keluar dari isterinya.

*Sekiranya belajar dengan Tuan Guru Ustaz Haron Din, ayat rawatan perubatan yang diberi beliau ada yang menggunakan selawat. Sebaik-baiknya menggunakan selawat ini ketika merawat dalam keadaan haid

Wing 0: Berasap kepala memahami bab ini :-p