Wednesday, February 10, 2016

Sirah kelahiran Rasulullah SAW

 
Di akhirat kelak, Nabi Muhammad SAW dapat memberi syafaat yang dapat menarik kita daripada memasuk api neraka. Berusahalah untuk mendapat syafaat Nabi SAW dengan mengenali Baginda, dan mengasihi Baginda.
 
Banyak peristiwa besar yang Baginda alami berlaku pada hari Isnin. Antaranya hari Baginda dilahirkan, wafat, berlaku isra' dan mikraj, hari keluar hijrah dan sebagainya. Dalam kata lain, hari istimewa Rasulullah SAW ialah hari Isnin, manakala hari istimewa bagi ummah Baginda ialah hari Jumaat.

Antara keistimewaan hari Isnin ialah hari pertama Aminah, ibu kepada Nabi Muhammad SAW mengandung Baginda. Ketika itu keadaan Mekah berubah serta-merta seolah-olah orang yang bogel dipakaikan pakaian.
 
Pada ketika itu suasana kemarau berhenti dengan kedatangan hujan, buah-buahan dan tanaman menjadi, bumi menjadi subur. Haiwan-haiwan bercakap sesama mereka. Antara yang mereka cakapkan ialah berhala-berhala akan runtuh selepas kelahiran Baginda nanti.
 
Paderi-paderi menyedari perubahan-perubahan ini. Mereka pelik kenapa berlaku perubahan ini. Suasana menunjukkan seluruh makhluk bergembira dengan kedatangan rasul akhir zaman ini.
Setiap malam Aminah mendapat bisikan, yang anaknya ialah penghulu sekalian alam. Bisikan itu juga sentiasa menasihati Aminah agar menjaga diri baik-baik supaya kandungannya sentiasa berada dalam keadaan baik.

Ketika umur Baginda SAW 2 bulan dalam kandungan, ayah Baginda, Abdullah bin Abdul Mutalib melawat saudara-maranya di Madinah. Selepas melawat ketika dalam perjalanan pulang beliau meninggal dunia.

Nabi Muhammad berada dalam kandungan selama 9 bulan. Umat nabi SAW normalnya mengandung 9 bulan. Cuma mereka yang tertentu sahaja berada dalam kandungan lebih daripada itu antaranya imam Syafie yang berada dalam kandungan selama 4 tahun.


Ummu Syifa' emak kepada Abdul Rahman bin Auf ialah bidan ketika Rasulullah SAW dilahirkan. Ummu syifa' berkata dia tak pernah menyambut bayi seperti Rasulullah SAW. Baunya seharum kasturi, menyambutnya umpama menyambut bulan yang indah. Ketika dilahirkan juga, Baginda sudah khitan. Pada malam itu juga, wanita-wanita syurga seperti Mariyam, Asiah, dan para bidadari turun berada di sisi Aminah.

Menurut tradisi Arab Quraisy, selepas kelahiran orang yang awal dibenarkan melihat kandungan ialah waris bayi tersebut. Disebabkan kelahiran Baginda SAW penuh bercahaya, orang ramai bersesak di rumah Aminah untuk lihat bayi yang dilahirkan sehingga Baginda terpaksa ditutup dengan kawah yang tebal kerana tidak mahu bagi orang lain melihat Baginda dahulu.

Waris pertama yang melihat Baginda SAW ialah Abdul Mutalib. Ketika beliau hendak mengangkat kawah tersebut, kawah terbelah kerana pancaran cahaya daripada Baginda SAW. Abdul Mutalib pada ketika itu sedang melakukan tawaf, mendukung Baginda menyambung tawafnya sehingga habis. 


Jika diikut urutan sepatutnya Abu Lahab ialah waris yang seterusnya boleh melihat Baginda. Namun dia tidak hadir dan menghantar Suhaibah bagi membantu Aminah sepenuh masa. Suhaibah juga menjadi ibu susu Baginda yang pertama. Disebabkan jasa inilah setiap kali hari kelahiran nabi, Abu Lahab akan dapat merasa 3 titik susu dari jarinya ketika di neraka kelak.

Selepas 3 hari Baginda dilahirkan, datang rombongan orang Arab dari desa untuk mengambil anak-anak dari kota Mekah untuk upah menyusu. Halimatus Saadiah ialah salah seorang daripada rombongan itu. Banyak ibu-ibu tidak mahu memberi kepadanya memandangkan beliau seorang yang cukup kurus. Ibu-ibu tersebut risau anak-anak mereka tidak mendapat cukup susu.

Disebabkan tiada lagi orang yang mengambil Baginda, Halimatus Saadiah menawar diri untuk menyusu Baginda. Aminah membenarkan dan bertanya berapa lama ingin disusu Baginda. Halimtus Saadiah memohon untuk mengambil Baginda SAW selama 4 tahun. Aminah ketika itu amat sedih namun terpaksa membenarkan Baginda disusu selama itu.


Ketika hendak pulang, Halimatus Saadiah telah merasai banyak perubahan. Unta yang beliau bersama suami dan anaknya tunggang yang lemah tiba-tiba menjadi kuat, dan berjalan laju. Sehinggakan untanya yang berada belakang sekali mampu mengejar rombongan yang paling hadapan. Rombongan tersebut terkejut dengan kekuatan unta Halimatus Saadiah yang mereka ketahui lemah sewaktu datang ke Mekah.

Kehidupan Halimatus Saadiah cukup mewah selama 4 tahun beliau menyusu Baginda. Tanaman mereka menjadi subur, ternakan gemuk-gemuk dan banyak dan banyak laginyang beliau dan keluarganya nikmati. Kemewahan tersebut kemudiannya menyebabkan orang lain mula iri hati. Sewaktu itu Halimatus Saadiah menghantar kembali Baginda pulang ke sisi ibunya Aminah.

Ketika kembali ke pangkuan ibunya, Rasulullah SAW bertanya di mana ayahnya. Aminah membawa Baginda melawat kubur ayahnya di Madinah. Selepas melawat kubur suaminya, Aminah jatuh sakit dan meninggal dalam perjalanan pulang ke Mekah.


Baginda meneruskan kehidupannya sebagai seorang yang yatim piatu ketika Baginda hanya berjumpa ibunya beberapa ketika. Ujian yang cukup besar dalam Allah SWT melatih Baginda untuk menjadi penghulu sekalian alam.

Wing 0: Sirah daripada kuliah Tuan Guru Haji Salleh Sik sempena menyambut maulidul Rasul. Marilah kita sentiasa berselawat ke atas Baginda Nabi SAW.

Twitter: Farhan_Yusri

No comments: