Allah SWT menjadikan manusia dengan ilmu, akal dan kemampuan. Setiap manusia diuji mengikut tahap ilmu dan kemampuan masing.
(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!"
Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"
Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya);
Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin;
Dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya),
Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba!
(Surah Al-Fajr 89:15-20)
Allah SWT tidak memberi semua kebaikan kepada orang Islam kerana Allah SWT tahu, bukan semua muslimin akan gunakan kebaikan tersebut untuk kebaikan orang lain.
Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya (serta mengalahkannya) maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya. Setelah selesai pertempuran itu maka (terserahlah kepada kamu) sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang-orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusnya) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya. (Bertindaklah demikian terhadap golongan kafir yang menceroboh) sehinggalah berakhir peperangan jihad itu (dan lenyaplah sebab-sebab yang memimbulkannya). Demikianlah (diperintahkan kamu melakukannya). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Ia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi Ia (perintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu). Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan agamanya), maka Allah tidak sekali kali akan mensia-siakan amal-amal mereka.
(Surah Muhammad 47:4)
Allah SWT tidak menjadikan Islam menang selama-lamanya kerana Allah SWT hendak menguji hamba-hambaNya. Mudah untuk Allah SWT menghukum orang-orang kafir seperti kaum Nabi Nuh, tetapi sengaja Allah SWT biarkan selama 950 tahun kepada mereka sebelum ditimpa banjir yang besar di muka bumi ini.
Allah SWT menguji Nabi Ibrahim selama berpuluh-puluh tahun ketika berdakwah kepada Raja Namrud, sehingga Baginda dihalau keluar dan ke Palestine. Akhirnya Raja Namrud mati kerana nyamuk sahaja kerana engkar dengan suruhan Allah SWT.
Patutkah orang-orang (munafik) yang ada penyakit (syak, ragu-ragu) dalam hatinya: menyangka bahawa Allah tidak sekali-kali akan mendedahkan perasaan dendam dan hasad dengki mereka (terhadap Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya)?
Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad), lalu engkau tetap mengenalinya dengan tanda-tanda (yang menjadi sifat) mereka; dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya. Dan (ingatlah kamu masing-masing), Allah mengetahui segala yang kamu lakukan.
(Surah Muhammad 47:29-30)
Orang-orang munafik telah menipu Rasulullah SAW, para sahabat dan perjuangan Islam. Mereka mendekatkan diri kepada Islam apabila menang dan menjauhi apbila kalah. Boleh sahaja Allah SWT mendedahkan siapa orang-orang munafik tetapi Allah SWT tidak dedahkan. Hanya Rasulullah SAW dan mereka terpilih seperti Huzaifah Al-Yamani sahaja yang tahu.
Saidina Umar apabila tahu Huzaifah Al-Yamani tahu nama-nama orang munafik daripada Rasulullah SAW, beliau segera berjumpa dengan Huzaifah. Beliau bertanya adakah namanya ada dalam senarai tersebut. Beliau tidak bertanyakan nama-nama lain. Inilah antara tanda perbeza ketaqwaan para sahabat dengan kita.
Orang Arab semakin meninggalkan Islam menyebabkan Allah SWT telah menukar kaum lain untuk perjuangkan Islam. Antaranya Imam Bukhari dan Imam Muslim (Utara Iran) berasal dari Asia Tengah, Al-qurtubi berasal dari Sepanyol, Imam Ghazali dari Iran. Salahuddin Al-Ayyubi yang membuka kembali kota Palestine dari orang Kristian ialah orang kurdish. Kesannya orang Kurdish didendam sehingga hari ini dan mereka tidak ada negara.
Orang Arab juga telah mengecewakan rakyat Palestine. Negara mereka yang kaya-raya tetapi tidak mahu membantu negara jiran mereka. Walau bagaimanapun, orang-orang Palestine tidak kecewa dengan mereka sehingga Allah SWT datangkan pertolongan (sumber hadith).
Inlah antara kesan apabila umat Islam meninggalkan jihad dan ilmunya. Di kala ini orang Islam terus bergaduh sesama sendiri, manakala musuh terus membina kekuatan.
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
(Al-Baqarah 2:155-157)
Allah SWT sentiasa akan menguji hambaNya dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, jiwa (nyawa), dan buah-buahan. Berita gembira bagi orang-orang yang bersabar, iaitu mereka yang akan menyebut innalillah wa inna ilaihi rajiun apabila datang kesusahan kepada mereka. Mereka akan peroleh pahala, rahmat, keberkatan dan mendapat petunjuk daripada ujian-ujian yang mereka hadapi.
Twitter: Farhan_Yusri
No comments:
Post a Comment