(109:1) Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!
(109:2) "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
(109:3) "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
(109:4) "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
(109:5) "Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
(109:6) "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".
Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/
Surah Al-Kafirun ialah surah makkiyah yang disebut dengan surah yang menegakkan tauhid, mengesakan Allah SWT dan menolak syirik kesesatan dalam segala bentuk. Surah ini membezakan ahlul iman dan ahlul syirik.
Diturunkan surah ini apabila pemimpin Mekah bertemu dengan Baginda dan berunding untuk tolak ansur dalam menyembah Allah dan berhala; tahun ini sembah Allah, tahun depan sembah berhala. Disebabkan ini Allah menurunkan surah ini dalam menolak sepenuhnya syirik tidak kira ketika walau apa jua keadaan.
Surah ini bukan hanya kepada penyembah berhala, hatta kepada agama yang menyembah Allah seperti Yahudi tetapi mengikut ajaran paderi-paderi mereka yang menyimpang daripada ajaran sebenar yang diturunkan Allah SWT.
Kita tidak sembah apa yang mereka sembah, tidak puja apa yang mereka puja, tidak buat apa yang mereka buat. Mereka juga tidak sembah apa yang kita sembah meskipun mereka menyatakan patung-patung tersebut sebagai perantaraan antara kita dengan Allah. Kita tidak sembah Ka’abah. Meskipun Ka’abah dimusnahkan, kita tetap menghadap ke arah asal Ka’abah dibina oleh Nabi Ibrahim AS.
Ulama menafsirkan bahawa ayat “kami tidak sembah apa yang kamu sembah” yang kedua sama dengan ayat yang pertama untuk menguatkan ayat yang pertama. Ada ulama menafsirkan ayat pertama untuk yang telah lalu dan kedua untuk masa yang akan datang.
Ayat yang terakhir menyatakan bahawa kufur itu adalah satu dalam menentang Islam. Kita perlu bersatu dalam menentang mereka. Nabi SAW membaca surah ini ketika diturunkan di Mekah. Dalam perjanjian-perjanjian nabi tegas dengan perkara akidah, termasuk dalam piagam Madinah.
Rub’i bin Amir RA telah dihantar oleh Saad bin Abi Waqas RA menemui panglima Parsi iaitu Rustam untuk berunding sebelum berlaku peperangan. Rustam memberi pelbagai tawaran untuk tidak mahu berperang dan tanda memerli umat Islam tetapi ditolak oleh Rub’i yang menyatakan kedatangan umat Islam kerana Allah SWT. Akhirnya berlaku peperangan yang akhirnya membawa kemenangan kepada tentera Islam.
No comments:
Post a Comment