(111:2) Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya.
(111:3) Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.
(111:4) Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api.
(111:5) Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.
Terjemahan diambil daripada http://www.surah.my/
Surah Al-Masad adalah surah Makkiyah yang dikenali sebagai surah Al-Lahab, atau Tabbat. Surah ini menceritakan cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah SAW ketika di Mekah. Baginda SAW ditentang oleh bapa saudaranya sendiri iaitu Abu Lahab atau nama sebenarnya Abdul Uzza bin Abdul Mutalib. Abu Lahab adalah gelaran yang bermaksud bapa api neraka. Surah ini menceritakan juga bahawa ahli keluarga terdekat tidak dapat membantu sekiranya tidak beriman.
Sirah menceritakan bahawa Abu Lahab adalah orang yang begitu gembira apabila kelahiran Nabi SAW sehingga menghadiahkan seorang hamba bagi menyusu Nabi SAW. Walau bagaimanapun dia tidak mengikut ajaran Nabi SAW. Ini memberi maksud yang sama bagi mereka yang meraikan maulud Nabi tetapi melawan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.
Sebab turun surah ini diriwayatkan oleh para ulama tafsir, menurut riwayat Ibnu Abbas surah ini turun selepas Allah SWT menyuruh nabi berdakwah secara terbuka, pertama sekali kepada keluarga terdekat dahulu. Nabi memanggil keluarga Baginda di atas bukit untuk menyatakan kenabian Baginda SAW. Abu Lahab adalah orang pertama yang mencela Nabi SAW ketika itu dan selepas itu surah ini diturunkan.
Mengikut riwayat Tariq Al-Muhallibi, bukan seorang penduduk Mekah menceritakan sedang mereka berada di pasar, dia terlihat seorang pemuda (Nabi Muhammad SAW) menyeru kepada Allah SWT. Tiba-tiba ada seorang di belakang pemuda tersebut baling batu kepada pemuda tersebut sambil menyatakan bahawa pemuda ini adalah pembohong. Tariq Al-Muhallibi bertanya siapa pemuda itu, orang Mekah menyatakan pemuda itu adalah Nabi Muhammad SAW dan dibelakang Baginda adalah bapa saudara Baginda, Abu Lahab.
Tabbat bermaksud binasa, celaka. Ulama’ tafsir menafsirkan tabbat dalam ayat pertama adalah doa dan ayat kedua mengkhabarkan memang Abu Lahab dibinasakan oleh Allah SWT. Tangan adalah anggota yang terpenting bagi Abu Lahab. Segala harta, usaha dan amal kebajikannya sia-sia kerana melawan Nabi SAW. Allah SWT menyediakan baginya api neraka yang dasyat yang bakal membinasakannya.
Isterinya ialah seorang pembawa kayu berduri. Dia tahu di mana jalan Nabi. Dia meletakkan kayu tersebut di mana Nabi SAW jalan. Dia mengikat kayu-kayu berduri yang dibawanya untuk menyekat usaha Nabi di mana sahaja. Dia juga dibinasakan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.
Ulama’ meriwayatkan Abu Lahab ada 3 orang anak. 2 orang memeluk Islam apabila pembukaan kota Mekah manakala seorang lagi tidak memeluk Islam. Ummu Kalsum dan Ruqayyah (kedua-dua anak Nabi) berkahwin dengan anak-anak Abu Lahab iaitu Utaibah dan Utbah. Selepas kenabian Rasulullah SAW, Abu Lahab meminta kedua-dua anaknya menceraikan anak-anak Nabi SAW.
Seorang lagi anak Abu Lahab yang bukan menantu Baginda adalah seorang yang suka menemani bapanya. Setelah diceraikan anak Abu Lahab dengan anak Baginda Nabi SAW dia menyanyi lagu yang mencela Nabi SAW. Nabi berdoa agar dia dibinasakan oleh anjing-anjing Allah SWT. Ketika dia mengikut bapanya ke Syam, dia diserang dan mati oleh anjing-anjing di sana.
Abu Lahab ketika perang Badar menghidap penyakit yang luar biasa. Penyakit yang berbau sangat busuk. Sehingga akhirnya dia mati, mayatnya dibiar selama 3 hari. Mayatnya diseret, ditanam dan dikambus dengan batu dengan baling dari jauh. Dia dilaknat sehingga ke akhirat.
Isteri Abu Lahab, Ummu Jamil apabila mengetahui turun ayat yang mencelanya, dia hendak mencederakan Nabi SAW. Dia membawa batu bersamanya. Ketika itu Baginda SAW duduk bersama sahabat. Isteri Abu Lahab mendekati Saidina Abu Bakar RA yang ada bersama ketika itu dan bertanya adakah mereka nampak nabi. Saidina Abu Bakar RA hanya berdiam diri lalu isteri abu Lahab beredar. Rasulullah SAW berkata Allah SWT telah menutup pandangannya daripada nampak Baginda SAW. Isteri Abu Lahab juga dilaknat di dunia sehingga akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment