Thursday, November 2, 2023

18. Syukur (Bahagian 1)

Bab 3: Ulasan Tentang Maqam-Maqam atau Tingkatan Jalan Pendakian Para Salik/ 18.Syukur - Siri 1 (m/s 242)
Kitab: Risalah Sufi Al-Qusyairi
(Abd Karim Ibn Hawazin Al-Qusyairi)

Intisari
Kuliah subuh Ustaz Mat Esa Deraman
2 November 2023 | 18 Rabiulakhir 1445

PAHALA SYUKUR LEBIH BESAR DARIPADA SABAR

Setelah membicarakan tentang tawakal, tajuk ke-17 maka selayaknya selepas tawakal itu ialah syukur kepada Allah kerana dalam tawakal kita menyerahkan keputusan kepada Allah.

Kita berusaha mengikut kadar syariat tetapkan,
Lalu kita menerima segala keputusan Allah.

Dalam menerima segala keputusan Allah, bukanlah kita menerimanya secara terpaksa. Atau secara lemah sebagaimana orang kata,

“Ini dah takdir Allah, nak buat macam mana?”

- Menerima secara lemah

Atau seorang yang melihat setiap keputusan Allah sesudah tawakal, seolah-olah dia terpaksa terima.

“Dah macam ni, terpaksalah. Alhamdulillah saya redha.”

Al-Imam Al-Qusyairi nak mengajarkan kepada kita, keputusan daripada tawakal – walau apa pun, biarlah menghasilkan syukur.

Apa maksud syukur?
Bagaimana syukur ini menjadi salah satu daripada sifat mulia?

Di antara nama-nama Allah ialah syukur, ‘Syakir’ dan ‘Syakur’.

‘Syakir’ – yang bersyukur

‘Syakur’ – yang lebih banyak bersyukur

Syukur Allah memberi maksud, Allah memberi pahala yang banyak, penghargaan yang banyak di sebalik perbuatan kita yang kecil. Pahala yang besar di sebalik perbuatan kita yang tak layakpun mendapat pahala sebesar itu.

Maka ini sifat Allah, ‘Syakir’ dan ‘Syakur’.

Di samping sifat ini Allah perintahkan kepada semua NabiNya a.s, sehingga para Nabi a.s diwajibkan bersyukur atas apa pun berlaku. Dan ini sifat-sifat orang beriman.

Allah memuji hamba-hambaNya yang bersyukur dengan firmanNya,

وَقَلِيلٌۭ مِّنْ عِبَادِىَ ٱلشَّكُورُ

“Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.”

(Surah Saba, 13)

- Sedikit sahaja hambaKu yang terpilih yang mereka ini senantiasa bersyukur

Allah menyebut di antara hamba terpilih, hamba yang bersyukur.

Kita dalam hidup, kita nak jadi orang yang terpilih (istimewa). Nak jadi orang istimewa, antaranya Allah Taala sebut kelompok, golongan ini iaitu ‘syakur’, apapun keadaan dia syukur.

Maka ini keajaiban orang beriman, di sebalik ujian, di sebalik musibah.
Di sebalik kenikmatan, dan apa pun yang Allah beri tak melalaikan dia tapi dia bersyukur.

Di sana ada satu kalimah yang sama dengan syukur iaitu ٱلْحَمْدُ dan Asy-Syukur

ٱلْحَمْدُ maknanya ucap Alhamdulillah, memuji Allah.
Syukur, juga maksud puji Allah.

Apa beza? Kata para Ulama,
“ٱلْحَمْدُ lebih umum, syukur lebih khusus.”

- ٱلْحَمْدُ sama ada kita atau orang lain dapat nikmat kita syukur kepada Allah
- Syukur itu bila nikmat itu kita saja dapat maka kita kata syukur

ٱلْحَمْدُ memuji ini kalaupun nikmat itu kita tak dapat, dan orang lain dapat kita puji Allah atas kebaikan, anugerah tersebut.

Kita tengok sahabat kita dapat nikmat kita sebut,
“ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ.. Allah beri dia nikmat.”

Syukur merujuk kepada individu yang dia dapat nikmat. Allah Taala bukan sekadar perintahkan kepada kita bersyukur dengan mulut, bahkan kita ada satu sujud dinamakan Sujud Syukur sebagai terjemahan syukur.

Dalam pembukaan Kota Mekah, Rasulullah SAW bersujud syukur.
Dibuka Kota Mekah pada tahun ke-8 Hijrah. 

Dan umat Islam diperintahkan syukur, atas semua keadaan. 

Sebahagian Ulama menyatakan sujud syukur itu tidak perlu kepada wuduk kerana nikmat itu datang dalam keadaan yang umum. Dalam keadaan yang kita tak tau waktu mana, lalu tak disyaratkan apa yang dalam solat seperti:
- Berwuduk
- Tutup aurat
- Mengadap kiblat

Ia adalah satu sujud syukur.

Ini pendapat sebahagian besar Ulama.

TAPI dalam mazhab kita, sujud syukur termasuk dalam makna solat maka perlu, 
- Berwuduk
- Tutup aurat
- Dalam suci
- Mengadap kiblat
- Dimulakan dengan takbiratul ihram, diikuti takbir tunduk sujud syukur dengan sekali sujud dan membaca doa sujud 

سجد وجهي للذي خلقه وشق سمعه وبصره بحوله وقوته
- Baca doa hingga akhir

Ini dalam mazhab kita Shafie.

Tapi kebanyakan para Ulama menyatakan bahawa sujud syukur tak macam solat. Sebab itu ada sebahagian orang dalam keadaan berpakaian seluar pendek dia bersujud syukur, sebab asasnya pada sujud itu – syukur kepada Allah.

Contoh: Terselamat daripada kemalangan dan sebagainya maka dia sujud syukur.
Dia dapat kembali, macam umat Islam bila dapat tanah air mereka kembali, mereka sujud syukur. Tak sempat nak cari kiblat arah mana.

Ini pandangan Ulama.
- Ada berkata syaratnya seperti solat
- Sebahagian lain kata, tak syarat kerana ia sujud bagi nikmat yang datang secara mendadak yang waktu nikmat tadi kita tak tau keadaan kita wuduk atau tidak dan kiblat arah mana. Spontan.

Bak kita dapat sesuatu dan kita kata, “Alhamdulillah.”
Spontan.

Ini antara amalan yang disyariatkan, sujud syukur.

Pengarang kita memulakan mukaddimah, tajuk ‘Syukur’ dengan firman Allah,

لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu,”

(Surah Ibrahim, 7)

Mukaddimah yang baik. Sifat manusia dia sentiasa nak banyak, dia taknak yang sikit. Kita nak nikmat banyak, anak banyak.

Tapi yang nikmat sikit, dia nak anak sikit.
Nak jawatan banyak, pangkat banyak. Itu perangai manusia yang ia berlawanan perangai binatang, binatang taknak banyak tapi nak cukup.

Singa, dia makan seekor, seminggu tahan.
Kita? Manusia kita makan, dan simpan. Buat stok. 
Itu watak kita manusia.
Kita tak kata ia tercela tapi itu watak kita. Perangai.

Perangai itu menyebabkan kita akan menjadi Khalifah, suka simpan.

Maka Allah tawarkan hamba-hambaNya, kalau kamu nak nikmat-nikmat kamu terjaga, terpelihara bahkan bertambah maka syukur kepada Allah.

Kata Ulama, 
“Ikat segala nikmat supaya tak terlepas dengan syukur.”

Yang paling ditakuti manusia, nikmat yang ada hilang. Bayangkan nikmat kesihatan kita ada, tiba-tiba hilang? Nikmat kekuatan kita ada, tiba-tiba hilang. Nikmat kaya kita ada, tiba-tiba hilang dalam keadaan kita dah selesa.

Selesa dengan sihat,
Selesa dengan kaya,
Selesa dengan pangkat,
Selesa dengan anak-anak.

Tiba-tiba Allah ambil. Itu yang paling menyedihkan manusia, berbanding apa yang dia tak dapat.

Yang tak dapat kita sedih, tapi kita tak pernah ada pengalaman dengan nikmat itu.
Tapi yang kita ada, kita akan lebih sedih bila hilang.

Kita kurang mengucapkan syukur dengan apa yang kita ada, kita lebih mengharapkan syukur dengan apa yang kita belum perolehi. 

“Saya kalau dapat benda ni, Alhamdulillah lah..”

Kita nak syukur.
Tapi yang dah ada kita taknak syukur, akhir benda itu hilang. Bila hilang kita rasa kehilangan sungguh-sungguh, bila kita dapat kita jauh lebih bersyukur daripada benda yang kita belum dapat.

Anak-anak kita yang ada ni, kita tak rasa apa.
Dia tak hilang lagi..
Kita dok tengok yang akan datang. Bila anak hilang barulah kita terasa.
Ia nikmat.

Yang ada pada kita, yang kita lupa mengikat kemas dengan syukur kepada Allah, yang Allah Maha Suci Maha Penyayang, Allah tak ambil sekaligus. 
Allah ambil sikit-sikit untuk memberi peringatan kepada kita,

- Mana syukur pada nikmat yang sedia ada?

Syukur nikmat yang kita ada.
Dulu kita sihat takda penyakit buah pinggang, kencing manis, takda darah tinggi, jantung. Takda semua. Tapi kita lupa syukur waktu itu.

Dan kita kena penyakit buah pinggang, kena darah tinggi.
Barulah kita doa sungguh-sungguh, biar kita diberikan kesembuhan dan nikmat ini kembali.

Walhal waktu kita ada, kita tak pandang dengan syukur sebenar.

Sebab itu kata Ulama, ikut mana pun kita ni akan diuji sakit, demam.
Beza orang bersyukur dengan orang tak bersyukur diuji:

- Orang bersyukur bila diuji dengan nikmat yang dia ada dan hilang, dia tetap redha. Dia okay, dia tenang.

Ada seorang pejuang Palestin dia kena bom dan kaki hilang lalu dia senyum,
“Kakiku telah mendahuluiku ke Syurga. Kerana itu aku gembira. Kenapa aku  nak sedih?”

Dia orang yang sewaktu sihat dia dah bersyukur, dan bila hilang (nikmat itu) tak berkurang syukurnya. Itu beza.

Dan,

- Orang tak bersyukur bila dia hilang nikmat dia, maka dia akan rasa bebanan yang begitu kuat menerimanya sampai tak boleh terima. Itu tanda waktu dia ada nikmat itu dia tak bersyukur. Itu tanda.

Kita bila ada nikmat, dan Allah akan uji dengan nikmat, kadang-kadang Allah ambil nikmat itu sekejap dan Allah pulangkan balik. Kadang-kadang Allah ambil terus.
Tak pulangkan,
Tapi Allah kekalkan apa yang lebih baik.
- Sabar
- Syukur

Allah akan ganti yang lebih baik.

Kadang-kadang kita hilang pandangan tak boleh tengok, tapi Allah gantikan dengan ingatan yang lebih kuat.

Ada seorang budak, dia buta. Tapi Allah jadikan dia boleh celik Al-Quran, boleh hafal 30 juzuk. Lalu seorang Syeikh tanya dia setelah tasmik, ditanyakan:

“Mahukah kamu diberikan doa yang mustajab, supaya Allah Taala kembalikan ingatan?”

Dia taknak, katanya,
“Dengan cara ini saya dapat dekat dengan Allah.
Saya bimbang jika Allah buka mata saya, saya mungkin buat maksiat.”

Ini orang bersyukur.
Dia sentiasa positif dengan ujian.

Dalam hadis, Nabi SAW kata, 

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka ia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka ia bersabar. Itu pun baik baginya.” 

(HR. Muslim, no. 2999)

- Menakjubkan amalan orang beriman, ia tidak berlaku melainkan orang beriman. Bila dia dapat nikmat, dia syukur. Maka baik baginya. Kalau dia diuji, dia boleh sabar maka baik baginya.

Sabar terhasil kerana syukur sebelum itu. Allah berfirman, “Sabar itu datang daripada Allah.”

Sabar, kita tengok beza orang yang sabar.
Ada sabar dia kuat,
Ada orang sabar dia macam dia ada had (limit) sehingga dia kata,

“Saya macam nak habis sabar saya ni.”

Sabar ini berkait syukur sebelum itu. Siapa yang syukurnya banyak, syukurnya kuat maka sabarnya kuat. Siapa yang bermasalah dalam bab syukur, dia takkan punyai kekuatan dalam sabar.

Kalau orang ini jarang bersyukur, payah bersyukur.. maka orang yang sama juga dia akan payah sabar. Tapi orang yang kuat syukur, orang yang sama akan kuat sabar.

Ini yang saya sebut perbezaan macam mana kita nak tau seorang diberikan nikmat, dia pernah bersyukur iaitu bilamana dia kena musibah, dia kuat sabar.

Dan macam mana kita nak tau seorang yang sebelum / waktu mendapat nikmat dia tak syukur? Lihat waktu dia kena musibah, dia tak mampu sabar.
Dia tak mampu sabar.

Syukur dan sabar ada kaitan.

Syukur ini manifestasi menyuburkan sabar. Sabar ini menghasilkan syukur.
Ertinya, seorang itu bila syukur dan syukur dia sedang membajai sabarnya kalau dia menghadapi ujian. Akhir waktu kena ujian, maka ‘pohon’ sabar itu sudahpun subur. Sudah menjadi tempat teduhan sehingga Allah berkata padanya:

فَٱصْبِرْ صَبْرًۭا جَمِيلًا

“Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya.”

(Surah Al-Maarij, 5)

- Maka sabarlah dengan sabar yang indah.

Bagaimana sabar yang indah?
Dengan melihat pahala, darjat, hikmah, kebaikan yang akan gantikan apa yang kita hilang lalu kita dapat sabar yang baik.

Tuan-tuan, kalau kita beratur dan orang bagi nasi lauk ayam. Beratur.
Sampai giliran kita habis, nasi percuma pulak tu. 
Kita lapar.

Lalu tuan rumah kata,
“Sabar sekejap, kita akan bawa nasi lebih special. Nasi dan ayam kambing sekali.”

Mampu tak dia sabar? Dia mampu. Sebab dijanjikan dengan lebih baik.
Takpa, walau lewat dapat special.

Itu dimaksudkan صَبْرًۭا جَمِيلًا

Kita bila hilang nikmat, kita nampak nikmat lebih baik yang akan datang. Pahala, sekian-sekian. Tapi sabar tak mungkin datang tanpa syukur sebelum itu. 

Pengarang mulakan dengan mukaddimah: 

لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu,”

(Surah Ibrahim, 7)

- Kalau kamu bersyukur, Allah akan tambah nikmat.

Perkataan لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ (tambah). 
Ada makna bersifat umum, maknanya kalau kita syukur asalnya satu, jadi dua, tiga, empat dan seterusnya (bertambah).

Tapi maksud di ayat ini, لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ(sekiranya kamu bersyukur kepada Allah, maka akan Aku nampakkan kepada kamu nikmat yang satu itu dengan pelbagai nikmat yang lain).

Kita secara umum kita melihat nikmat secara kuantiti (banyak).
Kita sebut anak, berapa nak?
20, 30? Itu kuantiti.

Tapi bila Allah kata, لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ (Aku akan jadikan pada satu nikmat itu, nikmat-nikmat yang lain).

- Mungkin satu orang anak, tapi anak itu berfungsi macam 20 anak.
Dia berbakti, dia taat pada Allah, dia suka tolong orang.
Atas dia seorang saja, 20 keberkatan.

Apatah lagi Allah berikan kepada hamba Allah ini kuantiti dan kualiti?

Ertinya Allah beri kuantiti dan kualiti. 
Contoh: Allah beri dia 10 anak, dan kesemua 10 berkualiti.

Sebagaimana kisah Abu Talhah Al-Ansori, 
Anak dia meninggal dunia,
Ummu Sulaim tak beritahu, dia balik daripada musafir, dan Ummu Sulaim melayani dia macam biasa seolah takda apa berlaku. Sehinggalah mereka selesai bersama malam itu barulah Ummu Sulaim beritahu,

“Wahai suamiku, apa pandanganmu seorang yang meminjam satu barangan dan diminta dipulangkan?”

Maka Abu Talhah kata,
“Kena pulangkanlah.”

Maka kata Ummu Sulaim,
“Maka anakmu telah meninggal dunia.”

Abu Talhah sedikit marah kerana dia tak diberitahu. Bayangkan anak meninggal dan tak diberitahu? Ini perkara besar.
Dan isteri pula tak beritahu.

Tapi Ummu Sulaim mengajarkan sabar, atas ujian Allah. 
Maka Abu Talhah datang berjumpa Rasulullah SAW dan berkata,
“Ya Rasulullah, saya ni anak meninggal. Dan isteri saya tak beritahu. Dia mencukupkan keperluan saya malam itu, makan dulu, tidur. Baru diberitahu.”

Lalu Rasulullah SAW tak besarkan isu tak beritahu anak meninggal itu, ia tak besar sangat. Dan dilihat pada isu lebih penting. Bagi orang kita isu tak beritahu ini penting.

Dan Rasulullah SAW beritahu dia, 
“Apakah kamu semalam bersama?”

Lalu kata Abu Talhah, “Iya.”

Lalu kata Nabi SAW, “Semoga Allah berkati malam kamu.”

Akhirnya Abu Talhah dia sabar dan syukur, Allah gantikan kepadanya lebih ramai anak yang kesemuanya Hafiz Al-Quran kesemuanya. 

Dalam maksud ‘nikmat yang Allah tambah’, mungkin secara,
- Kuantiti
- Kuantiti dan ada kualiti

Walaupun para Ulama sebut, istilah tambah nikmat bukan melihat pada zahir bilangan tapi pada benda yang satu kita akan nampak banyak nikmat. Benda satu. 

Contoh: Anak seorang, dan berfungsi banyak.
Kita ada seorang kawan dan dia fungsi banyak.

Ini لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ – ditambah nikmat pada satu nikmat.
Apatah lagi Allah nak beri banyak dan ditambah nikmat.

Kalau kita perhatikan dalam gugusan ayat-ayat Al-Quran bercakap tentang makna syukur secara umum, kita akan dapati kelompok orang-orang bersyukur:

1. Dijanjikan pahala yang besar

“Allah akan memberi pahala yang besar di atas ketaatan seorang hamba yang bersyukur kepadaNya dan Allah Maha Mengetahui.”

Sepakat Ulama, pahala orang bersyukur lebih tinggi daripada pahala orang bersabar.

Manusia ikut mana pun sampai masa dia kena sabar. Tapi manusia boleh lupa bersyukur. Sebab itu kita boleh ingat doa makan tapi lupa doa lepas makan. 

Syukur lepas tu.
Kita barangkali ingat doa masuk tandas tapi lupa doa keluar tandas (memberi makna syukur). 

Allah Taala sebut orang sabar, ramai.
Orang syukur, tak ramai.
Manusia kalau tengok syukur dia takda masa mengeluh, tapi bila jarang melihat syukur maka dia banyak mengeluh.

Tuan-tuan kita lihat dalam batang tubuh kita, ada seorang hamba Allah mengadu: Syeikh saya takda duit, saya miskin. Sekian-sekian.

Lalu kata orang ini, 
“Mahukah kamu dapat duit 20,000 tapi kamu kehilangan mata sebelah?”

Dia taknak.

Dapat 20,000, hilang kaki?
Taknak.

Dapat 20,000 dan hilang dan hilang ini?
Taknak.

“Maka kalau begitu kamu dah kaya. Pada batang tubuh kamu ini kamu dah jutawan.”

Kita nak ke duit banyak tapi buah pinggang rosak?
Nak tau nilai dia, tanya orang sakit buah pinggang.

Atau duit banyak tapi jantung bermasalah?
Nak tau tanya orang sakit jantung.

Nak duit banyak lalu kena kencing manis?

Di situ kita lihat kalau kita fokus kepada syukur, kita takda masa mengeluh. Lalu kita mampu bersabar dengan semua ujian, hatta dalam rumahtangga. Rumahtangga banyak berlaku perceraian kerana gagal melihat nikmat untuk disyukuri. Mereka lebih melihat musibah untuk disesali dan cerita ke orang musibah.

Tak banyak orang cerita nikmat rumahtangga.
Yang banyak orang cerita musibah rumahtangga.

Agak-agak suami, isteri dia tak elok.. siap. Dia buat ‘Live’ (medsos). Cerita.
Lalu dia taknak menyebut kebaikan pasangan dia.

Dalam Al-Quran Allah sebut,

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.”

(Surah Ad-Dhuha, 11)

- Adapun nikmat Allah, kamu kena sebut.

Maksud, musibah jangan sebut. Nikmat, sebut supaya orang tau kita dapat nikmat. Musibah, jangan orang tau kita dapat musibah.

Nikmat, biar orang tau. Allah kata, nikmat – cerita.

Tapi kita gagal, kalau tuan-tuan lihat rumahtangga, kenapa hari ini kesabaran dalam rumahtangga macam takda? Akhirnya kita dengar remaja, orang muda kawin setahun dua dan nak cerai? 

Angka cerai itu begitu tinggi.
Tengok statistik cerai, menakutkan!

Dan secara umur perceraian juga menakutkan, rata-rata umur 25 – 30.
Setiap negeri. Angka / jumlah janda dan duda mendadak.
Kita lihat solusi kepada hal ini, rumahtangga.

Kita akan lalui pengalaman, anak-anak.

Kita tak membesarkan nikmat, kita membesarkan musibah.
Suami ada satu perangai, itulah yang disebut-sebut sehingga mengundang perceraian. Ini kalau isteri ada satu fail, perangai itulah kita sebut sampai mengundang perceraian.

Tapi taknak sebut kebaikan-kebaikan?
Cukuplah perkahwinan itu satu kebaikan.

Seorang yang setuju jadi suami / isteri kita, itu kebaikan.
Dan cukuplah satu kebaikan kita lihat mereka ini orang-orang yang melaksanakan tanggungjawab mereka.

Kita tak nafikan bercerai kerana suami / isteri tak bertanggungjawab. Faktor itu kita tak nafi memang ada. Tapi kita menyebut faktor bersifat picisan, bila tengok faktor picisan (remeh-temeh) bukan faktor besar yang menjadikan mula datang rasa benci, marah, bergaduh berbalah. Hilang tolak-ansur, hilang kebaikan yang selama ini dilihat pada pasangan masing-masing.

Ini semua kerana hilangnya syukur. 

Kita nak kembali suburkan syukur, kerana bila kita tak bersyukur kita akan bermasalah dengan semua orang. Baik dengan isteri, anak-anak, semua orang kita akan ada masalah besar.

Dalam Al-Quran Allah menjanjikan kalau seorang itu bersyukur, Allah takkan azab mereka.
“Allah takkan turunkan azab bilamana kamu bersyukur kepada Allah.”

- Allah tak turunkan musibah
- Kita amalkan syukur kita terselamat daripada musibah

Ia benteng.

Sebab itu kata Ulama,
“Syukur benteng segala musibah.”

Banyak amalan yang menjadi benteng kepada musibah:

1. Sedekah 
2. Taat kepada Mak Ayah, 
Allah pelihara bila seorang itu patuh, taat pada Mak Ayah dia maka banyak musibah dia terselamat
3. Syukur kepada Allah
Tengok orang-orang bersyukur kepada Allah, Allah selamatkan dia. Dia bersyukur
4. Doa kepada Allah
5. Bersama dengan orang soleh
Duduk dengan orang soleh maka ia jadi benteng musibah, lagi banyak kawan soleh kita lagi kuat benteng musibah. Kita ada apa-apa masalah, ini orang-orang soleh ramai. Dia akan menjadi benteng kita dalam nasihat, pertolongan, doa. Dia dengar kita susah dia dah doa dah. Dia dengar kita susah dia yang pertama datang, dia orang soleh. Benteng musibah
6. Menolong orang-orang yang dizalimi
Tolong orang kena zalim, jadilah benteng.
Berdasarkan hadis Nabi SAW, “Allah bersama dengan hamba yang bersama dengan kesusahan hambaNya.”

Kita tolong orang dizalimi maka jadi benteng untuk kita, Allah pelihara kita.
Tolong orang kena zalim.

7. Anak-anak yatim
Anak yatim benteng kita daripada musibah, dan anak yatim juga boleh jadi musibah kita kalau kita abaikan. Jaga anak yatim, beri perhatian khusus kepada anak yatim ia benteng daripada musibah. Banyak musibah terselamat sebab pelihara anak yatim.

Ada satu kisah dia paling jahat di kampung, akhir dia mati dan orang pun tak peduli. Sehingga turun seorang hamba Allah, dia terpanggil untuk solat jenazah orang ini. 

Anak-anak murid bila dia tau Tok Guru dia turun, maka penuh orang.
Kadang-kadang kita solat jenazah sebab ikut Tok Guru, bukan sebab orang itu.

Jenazahnya disolatkan oleh sejumlah ramai yang tak pernah disaksikan di kampung itu. Padahal dia jahat. 
Kenapa dia pulak ramai solat jenazah dia, kita pun tak pernah peduli?
Datang Tok Guru besar, orang baik orang soleh solatkan jenazah dia.

Akhir orang alim ini terfikir, apa menyebabkan dia terpanggil nak solatkan jenazah dia ini? Lalu ditanyakan kepada isteri si mati, apa amalan suaminya.

Dijawab, 
Suami saya bukanlah orang baik melainkan dia menjaga anak yatim. Dia ada anak yatim 2 orang dia jaga, sungguh dia sayang macam anak dia. Itulah kebaikan yang dia ada.

Maka itu keberkatan. 
Itu benteng.

8. Segala amal soleh
Ada amal soleh khusus kita sebut tadi, sedekah yang Nabi SAW sebutkan secara khusus bahawa: “Bala tak dapat melangkah pagar sedekah.”

 Kalau selepas dah sedekah pun kena bala lagi, maka sedekah lagi.
Macam kita ada pagar dan kena ceroboh, bererti baiki pagar lagi. Bukan roboh.
Dah buat pagar dan tembus binatang lagi, maka baiki pagar.
Tengok orang boleh lompat lagi? Tinggikan lagi pagar.

Dah sedekah pun kena musibah lagi?
Tambah sedekah lagi.
Musibah ini tinggi. 

Sama kita sebut tentang doa, 
Doa benteng musibah.

Disebutkan dalam hadis, turun takdir Allah pada seorang hamba, lalu hamba ini berdoa kepada Allah dan doa naik dan takdir turun dari atas dan mereka bergelut di tengah. Maka kekuatan doa menolak takdir.

Ini disebut dalam hadis bila Rasulullah SAW menyatakan,
“Tidak diubah qada melainkan doa.”

Takdir Allah dah ditentukan,
Fulan bin fulan terhantuk tiang.
Hari ini terseliuh kaki, hilang duit, sekian.
Kita pun doa, selamatkan hari ini.. sekian.

Doa naik dan takdir turun, maka bergelut keduanya bila kuat doa maka akan mengalahkan takdirNya.

Dalam perbahasan takdir, takdir ada dua (2):
1. Qada muallaq
2. Qada mubram

Takdir tak boleh ubah, doa panjang umur mana pun tetap mati. Tak boleh ubah.
Sebab itu jangan doa yang mustahil, ia tetap berlaku.
Ini dipanggil qada mubram.

Dan qada muallaq, tergantung dengan beberapa perkara antaranya doa.
Bila doa, takdir turun maka bergelut.

Hari ini kita sebelum musafir, mungkin takdir accident terbabas. Tapi kita dah doa, baca doa dan ketika hampir terbabas tapi tak, sebab doa.
Hampir nak accident tapi tak.

Ada tak dalam pengalaman hidup, hampir terjadi tapi tak jadi. 
Bila hampir-hampir tapi tak jadi, 

“Saya hampir nak kena..”

Bermakna ada suatu menyebabkan kita selamat.
“Oh sebelum keluar saya solat sunat Dhuha..”

“Tadi saya sebelum keluar ada orang mintak sedekah dan saya bagi.”

“Tadi sebelum keluar saya jumpa orang soleh dan dia doakan semoga selamat perjalanan.”

Maka doa dia, barangkali.
Jadi kita bila ada suatu yang terselamat, cuba ‘flashback’ ke belakang, apa amalan?
Kita akan iltizam dengan amalan itu.

Kadang-kadang kita musafir, ada je orang datang mintak sedekah. Ia kadang sebagai ujian Allah pada kita, kita musafir bawak duit pun tak banyak sangat.. ciput. Kita dah target berapa habis, dan datang peminta sedekah. 
Mungkin asbab kita bagi, doa dia (pada kita), lalu kita terselamat banyak ujian di depan kita.

Kita dah sebut, di antara doa dan takdir akan bergelut dan lihat kekuatan.
Kadang doa ini orang yang tak terhijab doanya.

Disebutkan dalam hadis,
“Ada orang yang tidak elok penampilannya, dihalau kalau berada di pintu manusia, tapi kalau dia berdoa di hadapan Allah maka dibuka pintu langit.”

- Supaya kita tak kecilkan sesiapa pun. Kita tak letakkan diri kita pada tempat yang tinggi kerana kita melihat orang lain mungkin mendahului kita dalam semua aspek kehidupan

Itu benteng-benteng kita.

Syukur salah-satu benteng kita terselamat daripada ujian, musibah dan lain-lain.

Kita lihat dalam al-Quran, syukur ini Allah sifatkan kepada semua para Nabi a.s, bila Allah sebut memuji Nabi-nabiNya, 

“Mereka orang yang bersyukur.”

- Semua para Nabi a.s, watak mereka sama. Syukur.

Nabi SAW bila dalam keadaan baik dan tidak baik, disebut:
Alhamdulillah..
Alhamdulillah ala kulli haal.

Itu syukur. Kerana para Nabi a.s tak pernah mengeluh di jalan Allah, dihadapan manusia. Tak pernah berkeluh. Dia mungkin mengeluh di hadapan Allah. 
Tuan-tuan mengeluh di hadapan Allah tak menafikan makna syukur.

“Ya Allah sedikit rezekiku..”
Kita tak dipanggil kufur tapi dipanggil munajat.

Yang kita cerita ke orang ni masalah, yang mungkin membawa maksud kufur. Seolah-olah, Allah Yang Maha Baik, kita mengadu perbuatan Allah kepada kita, kepada orang lain. Seolah-olah kita tohmah Allah Taala.

Allah Maha Baik, beri nikmat macam-macam.
Lalu kita ‘umpat’ Allah pada orang,

“Allah tak beri saya nikmat ini..
Allah tak beri saya nikmat ini..”

Padahal Allah dah beri banyak. Yang sepatutnya kita tak bukak mulut kita bercakap musibah kita depan manusia. Kerana ini menandakan kita tohmah Allah yang tak beri kita nikmat?

Walhal dalam ujian dan musibah itu sendiri nikmat.
Tuan-tuan kadang-kadang Allah tak beri kita benda kita nak, itu satu nikmat.

Kata Ulama,
“Tak diberi apa dihajati itulah pemberian.”

Kita kalau boleh nak jadi ketua, ia anugerah Allah. Tapi kalau jadi, lebih teruk kita.
Baik kita jadi orang biasa-biasa. Ia sifat anugerah.

Syukur perlu jadi zikir setiap hamba Allah, setiap hamba Allah perlu melihat setiap hari apa nikmat Allah berikan kepada dia. Kalau mereka melihat nikmat setiap hari nescaya mereka tak berani angkat muka memohon apa lagi tambahan kerana apa yang dia dah ada ternyata jauh lebih banyak.

Kalaupun kita menadah tangan untuk kata,
“Ya Allah segala puji kepadaMu yang telah memberikan segala nikmat kepadaKu.”

Kalau kita dok hitung nikmat sehingga kita malu meminta yang baru dek banyak, yang keluar daripada mulut kita syukur. Itu sebabkan Allah tambah.

Ada orang bodoh menyangka dia tak meminta, Allah tak beri.

Tuan-tuan, Allah beri dengan beberapa peraturan. Peraturan yang menjadikan orang itu dapat lebih banyak, BILA DIA BERSYUKUR.

“Ustaz kalau saya tak mintak, saya bersyukur je. Dapat ke yang saya nak tu?”

Allah dah sebut, 
Allah akan tambah.

Orang yang menadah tangan dan memuji Allah, maka orang ini akan dapat lebih banyak daripada orang yang meminta. 

- Datang, angkat tangan untuk puji Allah atas apa Allah beri.

Kita selalu angkat tangan (doa) meminta atas apa kita takda.
“Ya Allah nak ini..”

Pernah tak kita angkat tangan bersyukur dengan apa kita dah ada selama ini?
Setengah jam angkat tangan,

“Ya Allah bersyukur padaMu yang telah memberikan aku zuriat, pasangan, yang telah memberikan aku kehidupan, kesihatan, yang Allah syukur padaMu yang telah memberikan aku nikmat hidup di dunia dan tempoh yang panjang.”

Satu jam munajat untuk mengucapkan syukur, lalu kita membilang-bilang nikmat yang Allah dah beri pada kita.

Daripada mula kita kenal dunia, sehingga kita umur macam ni.
Kalau kita buat macam tu, nescaya kita melihat lambakan nikmat yang datang tanpa kita mohon.

Tapi tak ramai, orang yang angkat tangan untuk bersyukur.
Yang ramai angkat tangan meminta suatu yang dia belum ada, dengan merasakan itulah yang menjadikan dia tak bersyukur. Nak jugak.

Ini antara kekurangan dan kurang faham kita tentang urusan syukur kepada Allah.

TOKKU PASIR GUDANG

No comments: