Friday, November 3, 2023

18. Syukur (Bahagian 2)

Bab 3: Ulasan Tentang Maqam-Maqam atau Tingkatan Jalan Pendakian Para Salik/ 18.Syukur - Siri 2 (m/s 243)
Kitab: Risalah Sufi Al-Qusyairi
(Abd Karim Ibn Hawazin Al-Qusyairi)

Intisari
Kuliah subuh Ustaz Mat Esa Deraman
3 November 2023 | 19 Rabiulakhir 1445

SYUKUR ITU BUKAN PADA PEMBERIAN TETAPI RASA ITU

Ada beberapa orang Tabiin datang bertemu Saidatina Aisyah Rha, lalu berkata:

“Ceritakan kepada kami hal yang paling mengagumkan yang Bonda melihatkan daripada Nabi SAW?”

Lalu kata Saidatina Aisyah,
“Semua perbuatan Rasulullah SAW mengagumkan, semua perbuatan Rasulullah SAW bahkan perkataan Baginda SAW akan mengagumkan, memberi manfaat, memberi faedah kerana perbuatan Rasulullah SAW, perkataannya bukanlah sia-sia.

Dan Baginda SAW tidak pernah melakukan perkara sia-sia dalam hidup Baginda SAW.”

Lalu Saidatina Aisyah menceritakan apa yang dilihat yang lebih ajaib.

“Suatu malam bila tiba giliran aku, maka Rasulullah SAW bersama dengan Saidatina Aisyah Rha, sehingga bertemu kulit Baginda SAW dan kulit Saidatina Aisyah lalu Baginda SAW berkata,

“Wahai Aisyah, aku ingin beribadat kepada Tuhanku.”

Rasulullah SAW memaklumkan kepada Saidatina Aisyah Rha. Dan Saidatina Aisyah berkata, 
“Ya Rasulullah, aku suka apa yang engkau suka.”

- Sebab Rasulullah SAW nak dekat dengan Allah (beribadat) maka Saidatina Aisyah Rha pun suka

Supaya setiap pasangan hendaklah bergembira bila pasangan masing-masing ingin mendekatkan diri kepada Allah dan tak menghalangnya, kerana dia akan dapat pahala yang sama.

Rasulullah SAW pun bangun meninggalkan Saidatina Aisyah Rha di pembaringannya, dan Nabi SAW mengambil bekas wuduk dan Nabi SAW berwuduk. Nabi SAW berdiri solat pada malam itu sehinggalah bengkak kaki Nabi SAW. Dan Nabi SAW menangis.

Saidatina Aisyah Rha bertanyakan,
Kenapa Rasulullah SAW melakukannya sedangkan Nabi SAW mendapat kemuliaan diampunkan dosa yang akan datang dan yang lalu?

Lalu kata Nabi SAW, “Apakah aku tidak boleh menjadi hamba yang bersyukur?”

Lalu datang Bilal Rha mengejut Rasulullah SAW, meminta izin untuk azan. 

Peranan Bilal bin Rabah, dia bila nak azan dan iqamah, diminta izin kepada Nabi SAW. Maka Rasulullah SAW menyuruh Bilal azan, dan Bilal nak iqamah.

Kaedah hukum fekah, Muazzin tak boleh iqamah melainkan dengan izin Imam.
Imam kena bersedia, barulah Muazin iqamah.

Cari Imam dulu, mintak isyarat Imam boleh iqamah atau tidak.
Jika Imam kata “Tak boleh”, maka jangan iqamah.

Ini kesempurnaan solat berjemaah.

Lalu waktu Bilal datang meminta izin untuk iqamah, lalu kata Rasulullah SAW,
“Di malam ini Allah turunkan kepadaku ayat, maka rugi-lah orang-orang yang tidak tadabbur ayat-ayat ini:

إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًۭا وَقُعُودًۭا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَـٰطِلًۭا سُبْحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah Ali-Imran, 190 – 191)

- Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pertukaran malam dan siang menjadi tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang punya hati.

Ertinya, bila seorang hamba yang punya akal (Ulul Albab: Akal di hati, berfikir dengan mendalam), bila dia melihat kejadian langit dan bumi, pertukaran malam dan siang dan segala kenikmatan terbentang menjadikan dia ingin bersyukur kepada Allah.

Ini satu nikmat yang besar, kejadian langit dan bumi yang teratur sistemnya sehingga kita duduk tenang, pertukaran malam dan siang yang menentukan waktu / masa untuk rehat dan bekerja maka ini tanda kebesaran Allah untuk kita bersyukur kepada Allah.

Lalu kata Baginda SAW,
‘Rugilah orang yang membaca ayat ini, dan dia tidak berfikir.’

Maksudnya,
Ayat dibacakan ini bila kita nak menjadi hamba yang bersyukur maka lihatlah segala ayat-ayat Allah (tanda-tanda kebesaran Allah). Semua Allah ciptakan ini percuma untuk manusia, untuk mereka menikmati hidup ini.
Malam, siang.

Melihat segala nikmat pelbagai itu.

Oleh kerana itu Allah SWT yang sifatNya sentiasa bersyukur kepada hambaNya.

Kita nak bezakan antara:

- Allah yang bersyukur
- Manusia yang bersyukur

Allah sebut dalam al-Quran,
“Allah itu Maha SyukurNya lagi Maha Mengetahui.”

‘syukur Allah’ – Allah membalas hambaNya atas kebaikan dibuat lebih banyak
(Allah Maha SyukurNya).

Kita dah sebut semalam di antara nama Allah:
- Syakirun
- Syakur

‘Allah itu Syakir dan Syakur’
(Tuhan Yang Maha Syukur)

- Syukur Allah kepada hamba memberi maksud bila hambaNya melakukan amal soleh, walau sekecil mana melainkan Allah beri pahala yang besar. hambaNya walau buat satu amalan tak sempurna, maka Allah sempurnakan dengan ganjaranNya. Allah walau belum buat hanya dengan niatnya, Allah beri pahala.

Itu Allah Yang Maha Syukur.
Gandaan pahalaNya.

Dan syukur Allah pada hambaNya – Allah tak membalas kejahatan melainkan sepertinya sahaja:

“Kalau seorang manusia buat jahat, maka Allah takkan gandakan.”
- Ini syukur Allah, maksudnya orang itu buat jahat 1 – dosa 1. Tak jadi 2.
- Tapi seorang buat baik 1, Allah balas dia 10 sehingga 700 gandaan pahala atau lebih banyak.

Manusia dalam keadaan buat tak baik, Allah hanya balas berdasarkan kejahatan. Dan manusia bila melakukan perkara yang baik, Allah beri lebih banyak daripada apa dibuat.

Menurut satu pendapat, 
Syukur Allah bererti memberi pahala atas perbuatan pelakunya, dengan banyak. Sebagaimana haiwan disebut:
‘Baha im syakur’

Orang Arab sebut: Binatang yang syakur (gemuk) dek makan banyak. 

‘Syakur’ – banyak / gemuk

Allah Asy-Syakur: Allah memberi pahala yang banyak.
Ini daripada sudut Bahasa Arab.

Bila hamba bersyukur kepada Allah pula memberi maksud hamba memuji Allah Taala, mengingati kebaikan, mentaatiNya, tunduk, akur patuh kepada Allah.

Syukur itu, kata Ulama, ada tiga (3) perkara utama:

1. Ilmu
2. Hal
3. Amal

(Iman Al-Ghazali, Ihya Ulumuddin)

Ilmu: mengetahui nikmat semua datang daripada Allah
Hal: Bergembira dengan nikmat yang datang, dan berasa malu dan tunduk
Amal: Ada refleksi melalui lidah, hati, perbuatan dalam mentaati Allah

Ini peraturan syukur kepada Allah Taala.

Setengah Ulama menyebut, syukur itu ada 5 rukun utama:

1. Tunduk orang bersyukur kepada yang memberi nikmat (Allah)
2. Cinta orang yang bersyukur kepada yang memberi nikmat 
3. Pengakuan nikmat ini datang daripada Allah – setiap kali datang nikmat kita sebut “Ini daripada Allah..” kita mengakui
4. Puji nikmat Allah

“Kalau Allah tak beri mesti saya begini,”
“Kalau Allah tak beri hidayah pasti saya celaka,”
“Kalau Allah tak tolong saya siapa boleh tolong saya?”

– dia sentiasa memuji Allah

5. Gunakan nikmat hanya pada yang Allah suka

Ini rukun syukur kepada Allah.

Keadaan syukur:
- Ilmu 
- Hal
- Amal

Dan rukun syukur kepada Allah SWT.

Kata Ulama,
Syukur terbahagi tiga (3) keadaannya:

i) Lidah: mengaku nikmat yang diberikan Allah dengan sikap merendah diri. Ini penting. 

Kita bila sebut syukur dengan lidah sebagaimana kita selalu baca Surah Ad-Duha, Allah berfirman,
“Nikmat Allah, sebut.”

Fudhail bin Iyadh, suatu hari bertemu dengan Sufyan bin Uyaynah dan mereka duduk bersembang sampai ke Subuh.

Apa disembangkan?
Masing-masing menceritakan nikmat Allah Taala kepada mereka, masing-masing sebut sampailah Subuh.

Kita tau martabat yang paling tinggi adalah hamba yang bersyukur. Ia lebih tinggi daripada hamba yang redha.

Antara tanda syukur, kita kena sentiasa membilang nikmat.
Duduk sorang-sorang cuba bilang nikmat.
Duduk dengan sahabat-sahabat yang baik kita cuba bilang nikmat.

“Alhamdulillah.. Allah beri hidayah hingga terarah ke arah kebaikan.. kalau tidak, sesat kita..”

“Allah beri kita harta, dapat digunakan pada taat. Kalau tak teruk kita ditanyakan kelak.”

“Allah beri kita kesihatan.. kita guna dalam mentaatiNya..”

“Allah beri itu ini, Allah beri anak-anak..”

Sebut nikmat, makin sebut makin bersyukur kita.

DOA UMAR ABDUL AZIZ DALAM MENSYUKURI NIKMAT

Umar Abdul Aziz setiap hari dia check nikmat-nikmat Allah berikan kepadanya.
Setelah check, dia berkata dalam doanya:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُبَدِّلَ نِعَمَكَ كُفْرًا، أَوْ أَكْفُرَهَا بَعْدَ مَعْرِفَتِهَا، أَوْ أَنْسَاهَا فَلَا أُثْنِيَ بِهَا

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon perlindungan kepadaMu agar aku tidak mengubah nikmat-nikmatMu menjadi kekufuran, atau aku mengufurinya setelah mengetahuinya, atau aku melupakannya sehingga aku tidak mampu mensyukurinya.”

Maksud doa Umar Abdul Aziz:

1. Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada menukar nikmat Engkau berikan kepada kekufuran.

Maksudnya, jangan sampai aku tak ingat nikmat sehingga kufur sehingga kata, 

“Kenapa aku tak dapat ni?! Tak dapat ni?!”

Tuan-tuan, bercerita tak dapat ini dan ini, itu mendekati jalan kufur. Tapi bercerita saya dapat itu dan dapat ini, mendekati jalan iman yang sempurna.

Sebab yang kita dapat, lebih banyak daripada yang kita tak dapat. Dan yang kita tak dapat itu belum tentu tak dapat kerana ada masa yang sesuai yang Allah akan berikan kepada kita.

Kata Umar Abdul Aziz,
‘Ya Allah aku berlindung kepadaMu daripada menukar nikmat ini semua kepada kufur (tak berterima kasih).

- Dok fikir benda takda.

Antara punca tak bahagia, kita selalu bercerita benda kita takda.
Lalu berceritalah depan pasangan, kawan, kerabat bercerita apa kita takda.

Sebab itu kita sentiasa bersedih, dalam keadaan kita patut gembira.
Sebagaimana kita selalu mengadu tentang hal pasangan kita yang tak baik, kita tak mengadu hal yang baik. Bahkan mendapat pasangan itu sendiri satu nikmat, kita tak ambil kira. Ramai mana orang yang takda pasangan?

Kita ada pasangan Alhamdulillah ia satu nikmat untuk kita tak kufur.

Maka Umar Abdul Aziz kata,
‘Ya Allah aku berlindung kepadaMu daripada menukar nikmat ini kepada kekufuran.’

Dan doanya lagi,
2. ‘Dan aku pada nikmat selepas aku tau itu nikmat.’

Maksud, memperlekehkan nikmat Allah. 
Kenapa sikit,
Kenapa sekejap?

Kan dah dapat? Jangan memperkecilkan nikmat.

Tadi kita katakan, dok tengok nikmat takda. Nikmat yang ada dia lupa, maka itu kufur nikmat.

Dan doa ke-2, dah tau nikmat tapi memperkecilkan.
Sedap dah makan, 

“.. Tapi kalau dapat makan kepala kambing lagi sedap.”

Ini kita. Padahal dah dapat nikmat, Alhamdulillah.

Isteri dah masak tomyam, kita kata kalau ada kari kepala ikan lagi sedap.
Maksud, yang sedia ada tak tengok malah memperkecilkan. Bukan nak berterima kasih dulu.

suami bawa balik makanan, patut sebut Alhamdulillah dulu, syukur. Tapi dia kata,
“Laa.. ingatkan bawa balik burger.”

“Bawak balik kuih je?”

Dia kata ‘je’, tapi makan licin juga.
Ini dinamakan kufur setelah nikmat. Itu kan nikmat?

Para sahabat mereka kalau diberi kuah saja pun bersyukur. Jangan kata isi.
Kuah.

Bila Rasulullah SAW berkata kepada Abu Dzar,
“Ya Abazar, kalau kamu masak banyakkan kuah. Beri kuah ke jiran.”

Maka Abu Dzar bila masak, kuah banyak.
Kuah tu boleh cicah roti. Boleh hirup. 
Kuah kari boleh cicah roti, lempeng, jemput-jemput.

Maka Abu Dzar dia masak lebihkan kuah, diberi pada sahabat-sahabat dan mereka cukup gembira hanya dengan hadiah kuah.

Nikmat ni ia datang macam mana pun jangan perkecilkan dia.
Orang bagi sikit, 

“Eh sikitnya!”

Memperkecilkan. Padahal kita makan, cukup.
Baca Bismillah, makan. In shaa Allah cukup.
Tapi perangai memperkecil nikmat, menghilangkan keberkatan nikmat. 

Hari ini nikmat apa pun datang kepada kita, hatta RM1 atau RM2 kita meniaga, Alhamdulilah.

Hatta kita meniaga dapat RM1, RM2, Alhamdulillah.
Mengail dapat anak ikan gelama, Alhamdulillah.
Kita tuai petai, dapat tiga tangkai je, Alhamdulillah
Hari ini kita tunggu durian dapat dua biji, Alhamdulillah.
Hari ini kita tuai madu dapat dua botol, Alhamdulillah

- Jangan kufur, kerana ia nikmat walau sekecil mana.

Dalam hadis Nabi SAW sebut apa? 
“Jangan kamu menghina kebaikan, walau ia hanya kaki kambing.”

Benda paling murah dimasak, dulu, kaki kambing. 

Tapi hari ini dah jadi makanan eksklusif. Semangkuk 20 Riyal.

Kita sembelih kambing tak pandang kaki, ada buat rojak kaki.
Kaki ini benda paling rendah bab makan, pun Nabi SAW ajar jangan hina.
Kufur.

Nabi SAW kata, “Jangan seorang wanita memperlekeh pemberian jiran wanitanya.”

Orang perempuan dia suka beri ke jiran dia. Lelaki jarang, 
Perempuan masak diberi jiran sebelah mungkin dia nak jiran dia tau, dia pandai masak. Atau nak jiran komen masakan dia atau pelaburan untuk dapat lebih banyak.
Bergantung pada niat dia.

Jiran ni suka buat baik, diberi kuih dan apa pun makanan. 
Kita jangan perlekeh pemberian, Nabi SAW ingatkan,
“Jangan seorang wanita memperlekeh pemberian jiran wanitanya.”

Orang perempuan suka memberi sesama. Maka jangan perlekehkan.

Kita ada budaya ‘potluck’, kita jenis mewah potluck kita kambing bakar sekian.
Kawan kita ikan bilis, modal dia. Kecik je. Modal dia.

Bila kita bersama maka apa yang dia bawak kita tak perlekeh. 
Barangkali itu habis dulu! Itu sedap.

Makanan mahal mewah tu, tak habis!
Orang tak tau apa nak bawak, dia bawak singgang, laku.
Budu.

Kalau kita tau itu nikmat, sekecil mana pun jangan kufur.

Dan Umar Abdul Aziz berdoa lagi,

3. ‘Atau aku lupa ia nikmat lalu aku lupa memujinya.’

Banyak mana nikmat yang kita lupa ia nikmat?

Kata Imam Ghazali,
Manusia lupa bersyukur kerana dua perangai:

1. Bodoh dia, jahil – dia tak tau ini semua daripada Allah, Allah beri percuma pada dia. Ini orang jahil. Dia hanya lihat nikmat pada makan minum, dia tak nampak nikmat pada batang tubuh

2. Lupa, lalai – kita lalai ia nikmat, bila ia hilang baru kita sedar!

Nikmat pandangan bila pandangan kelabu, baru kita sedar.

Nikmat kaki, hari ni jalan dah ‘slow’ baru sedar kaki ini nikmat.

Ini kerana kita cuai. Maka punca tak bersyukur jahil dan lalai.

Sebab itu Umar Abdul Aziz setiap hari dibelek nikmat, \
‘Hari ini saya dapat nikmat apa?’

Pernah tak kita sebelum tidur, bangun tidur dan sela waktu kita ada, pernah tak fikir nikmat apa kita ada? Sejak mula, kita mula kenal dunia, dilahirkan dalam keluarga jaga agama sehingga Mak kita jaga solat dan kita tak pernah tinggal solat sejak kecil lagi.

Nikmat.

Dan kita hidup dalam keluarga jaga aurat, kita sejak kecil dah pakai seluar panjang, maka kita bersyukur kerana dalam hidup tak pernah pakai seluar pendek. 

Kita bersyukur keluarga kita sejak kecil ke surau.
Kita bersyukur sejak kecil Mak kita dah beritahu apa yang haram untuk dijauhi.
Kita bersyukur sejak kecil kita sudah ada Guru yang cakna membaca al-Quran dan kita boleh baca al-Quran,
Kita bersyukur kita bertemu orang soleh yang sehingga hari ini kita dinasihati bila lalai,
Kita bersyukur kita ada Guru Mursyid yang mendidika dan boleh menjawab persoalan kita.

Allah suruh bilang nikmat itu, walau tak boleh bilang.
Ini bagi mengikis perasaan kufur, buang perasaan tak bahagia dan sebagainya.

Kita dah sebut, bila kita kurang bersyukur maka kita akan kurang bersabar. Bila kurang bersabar maka musibah dalam hidup.

Saudara kita di Gaza, Palestin mereka hamba yang bersyukur kepada Allah, kuat syukur mereka kepada Allah. Ini kelompok ‘Syakur’, walau dalam musibah mereka bersyukur kepada Allah.

Mereka terus istiqamah,
Terus sabar,
Terus mendoakan kejayaan para Mujahidin.
Mereka tak menyalahkan malah mereka ingat inilah kemuliaan umat Islam.

Ketika satu dunia lawan, tak pedulikan, mereka bersabar sebab mereka orang yang kuat bersyukur kepada Allah.

Bertahun-tahun duduk di Gaza dalam keadaan bersyukur, takda mereka nak pindah ke lain. Duduk situ. Ini orang-orang yang Allah berikan kemuliaan dan kesabaran.

Ada satu maklumat daripada Palestin menyebut kesan tekanan kepada Gaza, yang menyebabkan simpati bukan Islam menyebabkan ribuan memeluk Islam di Eropah. 
Kesan.

Mereka kata, orang-orang ini (di Gaza) mempunyai iman yang lebih kental daripada kereta kebal. Tidak tergoyah, kuat kesabaran.
Ini pasti mempunyai akidah yang hebat.

Mereka dimusuhi satu dunia, tapi masih kekal kuat sabarnya syukurnya.

Syukur mereka.
Berlawan, jihad mereka.

Dalam keadaan hari ini masuk hari ke-20 lebih lebih ribuan orang-orang di Eropah masuk Islam kerana melihat isu ini. Ini di sebalik ujian Allah.

Bila hamba itu sabar dalam ujian dan bersyukur kepada Allah.
- Kita akan bincangkan seorang yang bersyukur dalam musibah yang dikenali dengan sifat ‘Syakur’

‘Syakir’ – orang dalam nikmta
‘Syakur’ – dalam musibah dia tetap bersyukur.

DOA BERSYUKUR ATAS SEGALA NIKMAT

رَبِّ ا جْعَلْنِي لَكَ شَكَّارَ
‘Robbij alni laka syakkara’

“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dalam apa pun keadaan bersyukur padaMu.’

- Tuhanku, ikut mana pun keadaan ku walau kena musibah, aku nak bersyukur

Ini Syakar, atau Syakur.
Dia tidak melihat apa yang datang tapi dia melihat bagaimana Allah berikan dia keimanan kuat.

Kata Ulama syukur ada dua:

1. Syukur orang awam, tengok makan minum, sihat tubuh badan
2. Syukur orang khusus, melihat akidah, iman, amal soleh tak tergoyang.
Dia syukur.

Syukur orang awam macam kita, tengok pada makan, sihat.

Tapi syukur orang khusus tengok pada iman dia.
Kalau iman dia tak terjejas dan agamanya tak terjejas itu menjadikan dia bersyukur kepada Allah, yang lain, takpa. Tapi yang ini tiada galang ganti, kehebatan iman kepada Allah SWT.

Dan dalam makna syukur, kita patut duduk setiap hari, dan berfikir nikmat apa kita dapat hari ini, dan semalam. Lupakan menyebut musibah apatah lagi menyebutkan kepada orang lain.

Cuba cerita nikmat dan belajar cerita nikmat, bukan berbangga tapi SYUKUR.
Ini menjadi satu ‘wirid’ kita, Allah suka orang yang bersyukur.

Kata Ulama,
Wirid dalam membilang nikmat sehingga bersyukur lebih baik daripada wirid-wirid kita sebutkan.

Sebut zikir Subhanallah, Alhamdulillah.. itu bagus.
Tapi tuan-tuan ‘wirid’ (sebut-sebut nikmat) sehingga menjadikan tuan-tuan bersyukur, itu lebih baik.
Itu menjadikan kita lebih dekat dengan Allah.

- Ramai orang zikir macam-macam tapi dia tak pernah lagi melalui fasa bersyukur kepada Allah. Ada je tak kena. Ada je dia tak puas hati dengan nikmat Allah bagi. Padahal zikir banyak. Kadang baca al-Quran pun banyak, tapi bila sikit diuji dia seperti takda apa-apa nikmat. Dia lupa nikmat. 

Orang ini musibah besar kepada agamanya.

Bila kita syukur, bukan nikmat tu hebat tapi syukur tu yang hebat.

Dalam hadis Nabi SAW kata,
“Tidak ada satu nikmat yang Allah beri kepada hamba, lalu hamba itu bersyukur kepada Allah melainkan syukur itu lebih baik daripda nikmat itu.”

(HR Tabrani).

Dalam hadis, Nabi SAW kata,
“Orang yang makan lalu bersyukur, pahalanya seperti orang berpuasa lalu bersabar.”

(Imam Ahmad dan Tirmidzi)

- Kita makan lalu sebut Alhamdulillah, syukur maka pahalanya bagai orang puasa di panas terik hari

Kadang-kala kita makan, tapi pahala bak orang puasa dengan sebab syukur tadi.

Syukur ia menjadi hebat berbanding nikmat, 
Nikmat biasa sebagai ujian, syukur itu hasilnya.

Kita tengok pokok, nak tengok hasilnya. 
Nikmat Allah bagi, suami, isteri, anak, rumah – nikmat ini jadi bernilai bila bersyukur. Bukan hanya bila ada nikmat, tapi bila dia syukur, syukur itulah hebat. 
Bukan nikmat itu.

Tuan-tuan, bukan rumah besar tu hebat, 
Bukan duit banyak hebat,
Tapi syukur itu yang hebat.

Sebab it orang kaya yang bersyukur lebih baik daripada orang miskin yang bersabar.

Kerana sabar, akhir sekali akan sabar juga. 
Tapi syukur, takda last sekali syukur. Ia tak semudah itu.
Sehingga dia melihat sifat pemurah Allah padanya dan betapa dia tak layak mendapat nikmat itu, tapi Allah beri padanya maka ini mendatangkan malu dan syukur.

Para Ulama dalam mendefinisikan syukur, mereka mengatakan bahawa yang dimaksudkan mensyukuri nikmat adalah 
- Memperhatikan pemberian
- Menjaga kehormatan

Kata Ulama, Abu Bakar al-Warraq apa itu syukur?
Kita memerhatikan pemberian itu daripada Allah.

Bukan kita melihat benda tu, tapi SIAPA yang bagi.

Contoh mudah,
Sama tak Sultan bagi pemberian, dengan Menteri Besar, DO, Ketua Jabatan, Ketua Kampung?

Mereka berlainan status ini, kalau yang beri itu Sultan, walau hanya gula-gula itu jauh kita bangga daripada yang Ketua Kampung beri tanah 4 ekar.
Yang beri itu, Sultan.

Inikan pula Allah yang beri?

Abu Bakar al-Warak berkata,
Syukur itu memperhatikan siapa yang memberi.

- Bukan cerita apa yang kita dapat

Siapa bagi..?
ALLAH.

Dan kata Abu Bakar Warak,
Dan menjaga kehormatan: Menjaga sempadan syarak.

- Janganlah buat benda haram dengan nikmat.

Bila kita dapat nikmat, nikmat itu jadi bernilai bila kita buat taat. Tapi kalau guna nikmat bermaksiat, kita akan ditanyakan oleh Allah. Dan ia menjadi azab, jadi satu musibah. 

Allah Taala akan berkata Akhirat kelak,
Bukankah Aku telah menjadikan kamu menunggang kenderaan, ada rumah, ada isteri dan aku kahwinkan kamu. Kenapa kamu tak taat padaKu?

Allah kata dalam satu atsar, kepada hamba:
Bukankah Aku berikan kamu kenderaan?
Bukankan Aku kahwinkan kamu?
Bukankah Aku berikan kamu rumah?
Maka di mana taat?

Jadi bila kita nak sebut syukur:
i) Bukan benda diberi tapi SIAPA beri. Allah; dan
ii) Letak nikmat ini pada kehormatannya, kemuliaan dengan mentaati Allah.

Kata Hamdun al-Qashshar, 
Yang dimaksudkan dengan mensyukuri nikmat, iaitu memerhatikan dirinya meskipun tak diundang.

Maksud,
Dia tengok dirinya tak layak pun dapat.

Tuan-tuan, layak ke kita dapat semua nikmat ini?
Atas asas apa kita kata, kita layak? Kerana asas ini juga dilakukan orang lain.

Hari ini kita berjaya, dapat pangkat tinggi.
Maka atas nama syukur sebenar, saya kata saya tak layak. Allah beri kepada saya.

Secara kerja, kawan saya kerja lagi bagus!
Ada sahabat saya dia kerja lagi baik, tapi Allah nak beri rezeki kepada saya..

Kita meniaga, untung. Apakah kita rasa kita layak?
Sedangkan orang lain keluar lagi pagi kerja, buat sekian.
Kita kadang keluar, lewat dah.
Kerja main-main tapi Allah beri untung banyak!

- Maka kita bersyukur kepada Allah dalam keadaan kita tengok kita tak layak, tapi Allah nak bagi.

Atas dunia ni semua nikmat yang Allah bagi, takda seorang pun layak.
Allah beri dengan kurniaanNya. Tuan-tuan layak jadi manusia? Allah boleh tukar jadi katak, buaya. 

Apa asas kita layak jadi manusia?
Takda asas melainkan Allah nak layakkan kita jadi manusia.
Maka ini kurniaan Allah.

Kita layak ke umur panjang sampai sekarang? Tuan-tuan umur dah 70 tahun, layak ke umur 70? Layak? Kenapa layak?
Ada orang lain jaga kesihatan lebih baik, mati awal.
Ada yang sihat, ada yang bagus cara hidup dia makan pantang, mati.

Apa asas kita kata kita layak hidup hingga umur kita sekarang?
Melainkan ia kurniaan Allah.
Kita tengok orang sakit jantung, orang ni gaot, orang ni kena penyakit wabak itu ini – semua ini kita lihat bila Allah kurniakan kita dengan kelebihan-kelebihan, jangan pernah berfikir kita layak. Kita tak layak.

Kalau kita rasa kita layak, kita takkan dapat sebenar-benar bersyukur kepada Allah. Syukur sebenar dapat diberikan oleh orang yang dia rasa: Apa dia dapat, dia tak layak. 

Misal kita kata hari ini kita ada ilmu, apakah kita layak dapat nikmat itu?
Tak layak
Tapi Allah pilih kita. 
Dan Allah boleh beri kepada orang lain. Takda halangan apa.

Hari ini muka kita lawa, apa sebab kita layak muka lawa?
Takda sebab.
Allah boleh tukar menjadi seburuk-buruk muka.

Maka atas itu kita bersyukur, kita tak layak dapat.. tapi Allah bagi.

Kita rasa macam mana?
Tak layak tiba-tiba ada orang menghargai kita, pasti kita akan rasa lebih bersyukur. Begitu waktu kita memandang nikmat Allah.

- Saya tak layak sihat
- Saya tak layak panjang umur sampai sekarang
- Saya tak layak nikmat itu ini

“Melainkan Allah berikan, maka saya bersyukur.”

Ini menjadikan lidah kita sentiasa basah untuk mengucapkan ‘Alhamdulillah’..

Hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah Rha beliau berkata,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

“Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam bila melihat sesuatu yang beliau sukai, beliau mengucapkan: Alhamdulillahilladzi bini’matihi tatimmush shalihat.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

- Segala puji bagi Allah dengan seglaa nikmatNya maka sempurnalah segala kebaikan.

“Allah beri saya umur panjang ni, dapatlah saya didik anak saya.”

“Alhamdulillah Allah beri umur panjang ini dapatlah saya memperbanyak ketaatan saya.”

“Alhamdulillah Allah beri saya umur sepanjang ini dapatlah saya memberi manfaat kepada orang.”

Kalau Allah nak ambil saya sekarang, Allah boleh ambil. 
Dan saya takda perjanjian untuk menjadikan Allah tak mengambil nyawa saya, hatta para Nabi a.s yang mulia.

Allah Taala sebut, “Wahai Muhammad, engkau juga akan mati. Mereka semua akan mati.”

Takda orang ambil satu perjanjian untuk umur sekian-sekian baru dia mati. Takda.
Ajal kita, kita tak tentukan.
Bukan kita yang pilih umur mati, tapi Allah yang pilih.

Saya akan mati umur 60, 70?
Bukan saya yang pilih. 
Saya boleh cakap sembang kosong tapi bila sampai masanya Allah ambil.
Ada orang umur 90, 100 pun Allah tak ambil lagi.
Bukan kerana dia ada kelebihan tapi Allah beri sebagai ujian.

Tanda seorang itu bersyukur dia tak pernah melihat ada nikmat dia layak. 
Maka barulah kita akan bersyukur.

Kata Junaid al-Baghdadi, “Dimaksudkan syukur adalah sebab kerana dia mencari dirinya yang telah memperolehi kelebihan.”

Maksud syukur, 
Kerana dia syukurlah Allah beri dia kelebihan.
Kalau tidak dia tak dapat.

Allah sebut dalam Al-Quran: Kalau kamu bersyukur maka Allah tambah.

Kata Umar Abdul Aziz, “Ikatlah nikmat itu dengan bersyukur kerana ia akan bertambah.”

Kita tengok, kenapa awak dapat nikmat ni?
Sebab saya syukur, saya dapat.

Kalau tak syukur, saya takkan dapat.

Bila kita melihat nikmat-nikmat yang hilang, kenapa ia hilang? Kerana ‘bocor’ pada sifat syukur. Sifat syukur itu tidak ditegakkan dengan sebenarnya. Kerana ‘jaring’ syukur itu tidak utuh lalu ia pun bocor.

Akhirnya kita bersedih atas sekecil-kecil musibah.
Tak besar, kecik. Tapi dengan musibah itu kita bersedih panjang, merajuk panjang, berperangai panjang.

Kita lihat karenah kita bersifat cerewet, semuanya datang daripada lemahnya sifat syukur. Kita nak fikir macam mana nak perkasakan syukur.
Kita dah beri contoh:

1. Doa Umar Abdul Aziz
2. Perbualan Fudhail bin Iyadh dan Suyan bin Uyaynah bersembang nikmat-nikmat Allah beri

Orang-orang macam ni, Allah tambah nikmat.

Kata Abu Utsman, dimaksudkan syukur ialah mengetahui kelemahan syukur itu sendiri.

Allah beri kita nikmat, dan
Allah ilhamkan kita syukur.
Allah yang bantu kita syukur.

Sebab itu kita doa اللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maka kita melihat syukur kita tak sempurna. Kita bila dapat nikmat, kita syukur tapi kita tau syukur ini tak sempurna.

“Saya malu waktu saya kata syukur tapi keadaan syukur tadi tak sempurna.
Tak guna nikmat sebaiknya, tak ucap dengan seikhlasnya.
Saya tau.”

Maka kita melihat kelemahan pada ucapan syukur kita, itu tanda syukur.
Syukur itu bukan melihat kita sempurna, melainkan melihat kelemahan-kelemahan pada diri kita, kerana Allah suka.

Allah suka orang yang berbicara tentang kelemahan dirinya di hadapan Allah.

Tuan-tuan, kita takda apa-apa.
“Ya Allah.. aku datang dengan kosong, dan Engkaulah yang memberikan segala-galanya. Dan kalau Engkau nak mengambilnya Ya Allah, takda halangan Engkau berbuat demikian. Aku memperolehinya dengan kurniaanMu, bukan dengan kelayakanku, bukan perjanjianku. Aku mendapatkan dengan sifat pemurahMu. Ya Allah jika Engkau jadikan aku tanah, pasir, Engkau tak pernah dipersoalkan. Ya Allah kalau Engkau campak aku ke Neraka, Engkau takkan dipersoalkan kerana Engkau berkuasa atas tiap sesuatu.”

Maka kita melihat diri kita, seperti ‘zabalah’, lagi kita lihat diri kita rendah di hadapan Allah.. lagi Allah angkat.

Ini disebutkan dalam hadis, 
“Siapa yang merendah diri kepada Allah, Allah angkat.”

Takda tempat yang layak kita merendah diri, melainkan di hadapan Allah.
Depan Allah, cerita kita takda apa.

Yang hari ini saya ada ilmu, ada kekuatan, ada kecantikan, ada kekayaan?
Semua ni takda apa kalau Allah nak ambil balik.
Allah boleh ambil sekelip mata, bahkan lebih cepat daripada sekelip mata.

Saya dah tengok dalam hidup, sekelip mata Allah ambil kecantikan.
Sekelip mata Allah ambil kekayaan,
Sekelip mata Allah ambil kekuatan,
Sekelip mata Allah ambil kuasa,
Sekelip mata Allah ambil segala-galanya Allah nak ambil.

Dan Allah juga boleh memberi sekelip mata.

Sebab itu saya rasa tak layak, melainkna daripada kurniaan Allah. Kerana itulah datang syukur, datang rasa lemah diri kita.

Dan syukur itu sendiri Allah yang ilhamkan kita syukur.
Kalau Allah tak jadikan kita bersyukur nescaya kita akan lalai.

TOKKU PASIR GUDANG

No comments: