Wednesday, November 1, 2023

17. Tawakal (Bahagian 16)

Bab 3: Ulasan Tentang Maqam-Maqam atau Tingkatan Jalan Pendakian Para Salik/ 17.Tawakal - Siri 16 (m/s 240)
Kitab: Risalah Sufi Al-Qusyairi
(Abd Karim Ibn Hawazin Al-Qusyairi)

Intisari
Kuliah subuh Ustaz Mat Esa Deraman
1 November 2023 | 17 Rabiulakhir 1445

TAWAKAL: YANG MENADAH TAKKAN KECEWA

Masih lagi bicara kita tentang keajaiban tawakal kepada Allah, bila hati ini bulat menyerah kepada Allah (tafwidh), maka datang pertolongan yang penuh keajaiban.

Tujuan penyerahan ini ialah untuk membersihkan akidah.

Kita telah sebutkan, manusia sentiasa ingin maju dalam kehidupan dunia. 
Kita daripada gaji kecik nak gaji banyak.
Daripada pangkat kecil, nak pangkat tinggi.

Itu lumrah.
Dan manusia sanggup bersaing untuk mendapatkan yang terbaik dalam urusan dunia. Walhal kesudahan urusan dunia ini ditinggalkan. Hanya segelintir manusia bersaing untuk dapat Akhirat.

Yang bersaing untuk dapat Akhirat ini, maka dia akan melihat semua perintah-perintah Allah Taala untuk disempurnakan. Bukan sekadar melaksanakan tapi nak sempurna.

Bila Allah sebut dalam al-Quran, 
“Sempurnakanlah Haji dan Umrah kerana Allah.”

Sempurnakan.

Sepakat para Ulama,
Ibadat dan ketaatan bukan sekadar dilakukan tapi disempurnakan sama ada dengan:
- Kesungguhan menuntut ilmu, sebab nak sempurna dalam ibadat
- Mujahadah (lawan hawa nafsu) dalam buat ibadat
- Berdoa kepada Allah

Sebagaimana orang beriman berdoa,

رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Wahai Tuhan kami, sempurnakan bagi kami cahaya kami.”

Yang sempurna itu Allah, Allah yang boleh menyempurnakannya.

Bila kita sampai pada umur-umur akhir hidup, dalam bertemu dengan Allah Taala maka apa patut kita fikirkan?
Bagaimana nak ‘sempurnakan’ semua bekalan.
Nak sempurnakan akidah kita.

Bila Baginda Nabi SAW menyebut,
“Sentiasa perbaharui iman kamu.”

Sebagaimana Baginda SAW menyuruh kita sentiasa menyegarkan diri dalam nilai ibadat, sehingga tidak ada yang kita suka daripada hidup ini melainkan ibadat kepada Allah.

Sebagaimana sabda Nabi SAW,

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ، أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا،
 وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

“Tiga hal, yg barangsiapa memilikinya ia akan menemukan manisnya Iman, ia menjadikan Allah dan Rasul Nya lebih ia cintai dari selain keduanya, dan ia tiada mencintai seseorang kecuali karena cintanya pada Allah, dan ia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana ia tidak ingin dilemparkan pada api Neraka.” 

(Shahih Bukhari)

Tanda kemanisan iman bagi orang yang memperolehinya, (antaranya), dia menjadikan Allah dan Rasul keutamaannya dalam semua perkara

Untuk kita faham keajaiban tawakal, kita dah bawa beberapa cerita bagaimana para Ulama mendidik diri mereka agar tidak bergantung kepada:

- Manusia; atau
- Sebab.

Biar datang pertolongan daripada Allah, sebagaimana kisah Nabi Ibrahim a.s. 
Dan kita diminta mencontohi para Nabi a.s

Kita baca kisah para Nabi a.s dalam tawakal mereka –

Contoh Nabi SAW, perang yang berlaku setelah Perang Uhud,
Bila Rasulullah SAW berada dalam kesedihan dengan keputusan peperangan, 
70 orang sahabat syahid dalam Perang Uhud.

Rasulullah SAW berasa sedih dengan kematian orang-orang yang dekat dengan Baginda SAW, seperti Saidina Hamzah, bapa saudara Baginda SAW dalam keadaan yang tragis yang dipotong hidung, dipotong telinga.

Dilakukan penganiayaan pada mayat syuhada, maka Rasulullah SAW sedih.

Maka Musyrik Mekah di bawah pimpinan Abu Sufyan, mengambil kesempatan ini untuk melakukan pukulan maut, lalu mereka mengupah Nuaim bin Abi Mas’ud, yang ketika itu masih kafir, belum masuk Islam. 

Dibawa provokasi, spekulasi dan membawa suatu ketakutan kepada orang beriman.

Dia berjumpa beberapa orang sahabat Rasulullah SAW dan berkata,
“Sesungguhnya seluruh kabilah Arab dah bersatu nak menentang kamu. Habislah kami kali ini!”

Orang-orang beriman dengar, dan menyampaikan kepada Nabi SAW.

Maka Rasulullah SAW menyuruh para sahabat keluar berperang, jangan takut!
Ini Perang Hamra’ul Asad. Yang cedera diarahkan diusung, yang bertongkat berjalan.

Semua yang terlibat dalam Perang Uhud semua keluar, bagi menyahut spekulasi tersebut, mereka berkata, Allah rakamkan kata-kata mereka,

ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدْ جَمَعُوا۟ لَكُمْ فَٱخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَـٰنًۭا وَقَالُوا۟ حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ

“Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)".

(Surah Ali-Imran, 173)

- Orang-orang yang cuba menimbulkan ketakutan dengan berkata: Sungguh manusia berkumpul untuk mengalahkan kamu! Maka ugutan itu hanya menambahkan keimanan mereka kepada Allah, dan mereka berkata, ‘Cukuplah bagi kami Allah, Dia-lah sebaik-baik yang membantu dan menolong.’

Maka Rasulullah SAW keluar, dek kuat tawakal Rasulullah SAW dan para sahabat menjadikan Musyrikin Mekah jadi gerun dan gentar, lalu tak jadi keluar. Tak berani keluar.

Akhir menjadikan orang Islam kembali menang moral dalam tempoh singkat.
Itu tawakal yang tinggi.

Kerana itu bila seorang benar-benar menyerahkan urusannya kepada Allah, keajaiban – dan kita dalam hidup, perlu membina tawakal ini. Mendaki nilai tawakal sehingga sampai puncak.

Dalam Perang Yarmouk, antara orang Islam dengan Byzantine (Kristian). Umar al-Khattab membentuk pakatan tentera berjumlah 20,000 orang waktu itu sebagai Khalifah.

Tentera musuh seramai 120,000 orang.
Dan tentera Islam dipimpin Abu Ubaidah al-Jarrah, selain Khalid al-Walid.

Kata Umar al-Khattab, kalau berlaku apa-apa perselisihan maka ketua umum ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.

Lalu tentera Islam bila mendapat tahu jumlah tentera Rom 120,000 orang, ramai. Datang sedikit rasa kebimbangan. Lalu mereka hantarkan surat kepada Umar al-Khattab minta ditambah tentera. Umar tidak tambah tapi berkata,

“Kamu sepatutnya lebih mengingati Allah dan bertawakal kepadaNya. Dan kamu kena ingat, Rasulullah SAW pernah membawa tentera yang lebih sedikit daripada musuh dan Baginda SAW menang (Perang Badar).”

Umar membetulkan para sahabat, supaya banyakkan ingat Allah.

Bila kita mula melihat sebab, maka ini permulaan kekalahan.
Bila kita melihat Allah, ia adalah kejayaan bahkan permulaan kejayaan, kebahagiaan.

Dalam hidup, jangan melihat sebab. Siapa melihat sebab, sebab yang sama menjatuhkan dia. Tapi bila melihat Allah, apa pun berlaku Allah akan sabarkan dia, Allah akan tenangkan, bahagiakan dia.

Tapi ingat satu ayat,
“Allah tak pernah lupa.”

Allah tak pernah lupa menjaga orang beriman. Sebab itu bila kita faham nilai iman yang ada pada kita ini TINGGI, bukan rendah. Melayakkan kita mendapat pandangan, kasih-sayang Allah.

Orang yang ada kufur, murka Allah itu tinggi.
Jangan cerita dia ada harta, segala benda kerana dia dalam pandangan murka Allah.

Anytime boleh hancur dia.

TAPI orang yang ada iman dan dia tau bagaimana berurusan dengan iman dia dengan bergantung kepada Allah, mengetahui Allah takkan sia-siakan dia, takkan biarkan dia. Orang beriman Allah tak biarkan, Allah jaga.

Allah sebut dalam banyak ayat, tentang penjagaan Allah Taala kepada orang-orang beriman,

“Allah menjaga orang-orang soleh.”

“Allah-lah yang melindungi orang-orang beriman.”

Sebab itu bila kita ada nilai iman, apa benda pun kita buat, kita dalam perlindungan Allah. Cuma kita kena perbetulkan tawakal dengan bersungguh-sungguh. Perbetulkan tawakal.

Bila orang Islam perbetulkan tawakal, kerana itu mereka dapat menjelajah seluruh dunia. 

Nak belayar tengah laut, dengan ombak, gelombang dan badai yang tak dapat dijangka, tak mungkin dapat dilakukan melainkan orang yang bertawakal kepada Allah.

Orang Islam yang menyebarkan Islam, perang dengan pelbagai bentuk, tamadun, kekuasaan tak mungkin mereka menang melainkan benar tawakal mereka kepada Allah. Mereka mengalahkan kuasa-kuasa besar, Parsi, Rom dan lain-lain kerana mereka membenarkan sifat tawakal kepada Allah.

Ini bagaimana nak memperkasakan tawakal.

Maka Syeikh Abul Qasim membawakan kisah Ulama, yang mendidik diri mereka meletakkan pergantungan kepada Allah SWT. Hatta berlaku kesusahan mereka malu nak mintak tolong kepada orang melainkan dengan Allah.

Tak mintak dengan orang, tapi Allah.
Bagaimana Allah datangkan pertolongan, itu urusan Allah.

Bila kita membayangkan pertolongan datang dengan cara itu dan ini, bila tak datang maka kita putus asa. Tetapi biarkan bagaimana Allah uruskan bentuk pertolongan even dalam perang, pertolongan Allah dalam perang dalam banyak cara. Bukan sekadar dengan maksud menang dan membunuh musuh yang banyak tapi termasuk musuh yang berundur, termasuk menyebabkan musuh dipandang buruk oleh orang ramai, ini semua pertolongan Allah.

Termasuklah menjadikan ramai orang beriman yang mati syahid, satu pertolongan Allah. Menjadi asbab kemuliaan orang beriman.

Asasnya, bila benar tawakal sebagaimana Umar al-Khattab berkata kepada Abu Ubaidah al-Jarrah, waktu minta pertolongan:
“Kalau kamu benar ingat Allah dan bertawakal, kamu takda masalah bilangan.”

Bilangan kecil, hatta daripada sudut persiapan senjata bila benar tawakal kepada Allah, TAPI dengan syarat: Kita dah buat apa kita boleh buat. Dan selebihnya, secara keseluruhannya, kita menyerahkan kepada Allah Taala.

Dalam al-Quran, Allah ajar –

Apa sebab kita tak tawakal? Sedangkan Allah dah beri satu benda paling agung dalam diri kita, petunjuk. Kenapa kita taknak bertawakal?
Allah dah beri satu benda paling agung, IMAN.

Bila orang tu diberi IMAN dan ISLAM bererti Allah dah pandang dia.
Mukaddimah yang baik.

Sebab itu dalam membincangkan kalam para Nabi a.s,
‘Bagaimana kami tak bertawakal kepada Allah? Sedangkan Allah berikan kami jalannya, mengenaliNya. Dan kami akan bersabar apa pun berlaku kepada kami. Dan bertawakal kepada Allah setiap orang yang bertawakal.’

Waktu Nabi Musa a.s bawa Bani Israil, setengah kata 70,000 orang.
Ada yang kata jumlah lebih besar.
Dibawa, dalam keadaan tak bersenjata. 

Musa a.s dan Harun a.s ada tongkat, di belakang mereka ada satu tentera terkuat dunia (waktu itu), Firaun dengan segala senjata, latihan tentera.

Bersama-sama Nabi Musa a.s, wanita, kanak-kanak, orang tua dan orang yang tak terlatih kekuatan kerana dah trauma dalam tempoh yang Panjang. Sentiasa dibunuh dan disembelih.

Akhir Nabi Musa a.s berada di jalan yang tertutup. Jalan mati.
Depannya laut.
Lalu belakangnya Firaun dan tenteranya yang mengejar. 

Setengah Ulama menyatakan Firaun bawa semua tenteranya berjumlah 1,000,000 orang, اَلْفُ اَلْفِ (sejuta). Dibawa semua. Dan dia sendiri yang memimpin. Firaun.

Akhir depan Nabi Musa a.s laut, takda bot, takda kapal.

Lalu sahabat-sahabat Nabi Musa a.s mendatangi Musa a.s dan berkata,
“Ya Musa, habislah kita. Habislah kita hari ini..”

Lihat Nabi Musa a.s ajarkan Baginda tawakal. Orang tawakal takkan nampak jalan mati, sentiasa ada jalan walau di hadapannya jalan mati, ini orang-orang yang benar-benar tawakal.

Kita kadang-kadang nampak ‘stuck’, macam tertutup. Bilamana tuan-tuan nampak tertutup bererti tuan-tuan tidak mempertingkatkan tawakal. Bagi orang yang bertawakal, tidak ada jalan tertutup. 

Apa kata Nabi Musa a.s?
“Kamu jangan fikir begitu, takkan berlaku. Kerana bersama kita Tuhan yang akan memberikan jalan keluar.”

Akhirnya Allah memerintahkan Nabi Musa a.s pukul tongkat.

Pengikut Nabi Musa a.s rasa apa sangat pukul tongkat, penyelesaiannya? Pukul tongkat ke laut. Itu bukan penyelesaian bagi akal yang melihat secara Zahir. Tapi tidak bagi yang melihat hakikat tawakal.

Maka Nabi Musa a.s memukulnya, lalu laut terbelah.
Mereka terpegun. Dan Firaun juga berhenti, terpegun melihat.
Laut terbelah!

Lalu membentuk terowong / jalan-jalan sebanyak 12 jalan, setiap kabilah Bani Israil melaluinya. Maka mereka lalu laut, dalam keadaan berjalan kaki.

Dalam sejarah, hanya seorang naik kenderaan dan yang lain berjalan kaki.
Yang berkenderaan ini Menteri Kabinet Firaun yang memeluk Islam.

Yang lain jalan kaki, tentera Firaun semunya mereka berjalan.

Mereka berjalan. Firaun tengok dan kata,
“Habis dia, pasti tenggelam.”

Kerana orang kafir, yang takda iman bila lihat satu penyelesaian yang Allah beri kepada orang beriman, dia lihat ini takkan berjaya. Tak yakin dengan kekuasaan Allah. 

Akhir orang beriman melepasi laut dan barulah Firaun yakin.
Mereka lepas, pasti mereka juga lepas!
Dia lupa dia masuk perangkap. Sebaik dia bergerak, bila sampai pada tentera terakhir masuk akhir tenggelam semua dan binasa.

Yang selamat hanya jasad Firaun sebagai pengajaran kepada sekalian manusia.

“Dan hari ini Kami selamatkan jasad kamu wahai Firaun, untuk menjadi pengajaran kepada seluruh alam.”

Manusia semuanya, pengajaran apa?
Antaranya tawakal bagi orang beriman.

Ini cerita pengarang kita, dan cerita-cerita lain untuk kita faham.
Benda agama ini mesti kita perkasakan, tak boleh biar ‘suam-suam kuku’, kena perkasakan. Tawakal betul-betul, bukan di mulut saja.
Tawakal menjadikan kita berani, bukan jadi orang yang pasrah dan penakut!

Berani.

Tawakallah sifat para tentera Allah, mereka ada tawakal yang kuat.

Abu Hamzah bacakan satu syair, cerita dia jatuh dalam perigi.
Nak jerit tapi malu, maka dibiarkan.

Akhir datang seekor binatang hulur kaki lalu mendengus binatang ternyata ia seekor singa. Dia pun naik. Tiba-tiba terdengar suara berkata kepadanya:

“Mana yang baik, pertolongan yang kamu nak? Atau pertolongan yang Kami hantar?”

Kita, kita ada nafsu. Kita sentiasa rasa pilihan kita paling baik.
Kita tanya, “Nak makan apa pagi ni?”

Kita kata, “Saya Ustaz, rasa nak makan nasi lemak.”

Tiba-tiba datang ubi kayu. Contoh.
Itu lebih baik, itu pilihan Allah.

“Saya nak pergi jamuan kawin, dia buat biryani gam.”

Tiba-tiba dijamu nasi minyak! Misal.
Itu baik untuk kita.

Ingat, setiap kali pilihan kita, dengan apa yang Allah tentukan, itulah yang lebih baik. Kita boleh memilih sebagai satu cara menenangkan hati kita tapi ingat, pilihan kita berdasarkan hawa nafsu.

Ramai mana orang nak makan itu ini, akhir makanan itulah punca dia sakit.

Kita nak pilih orang itu dan ini sebagai jodoh, betul. Tapi kita letak pergantungan kita pada Allah. Ramai mana orang dengan pilihannya, akhirnya hancur?
Kita dah tengok banyak.

Kita dalam pilih pekerjaan secara nafsu, akhir ramai mana berhenti tengah jalan?

Sebab itu dalam Islam, biar pilihan itu datang daripada Allah.
Kita istikharah. Jangan pernah rasa pilihan kita paling baik, dan jangan pernah terpesona bila orang puji,

“Awak pilih ni baik lah.”

Jangan terpesona. Kerana setiap pilihan kita ada ujian di sebaliknya.
Hatta kita pilih nama anak sekian-sekian, pun jadi ujian.
Bagi nama pahlawan tapi dia pengecut!
Letak nama Umar al-Khattab, tiba-tiba anak jadi lembut!
Harap nama.

Beri nama sekian orang, tiba-tiba dia tak jadi macam tu.
Dia tak jadi berani, penakut!

Hatta dalam pemilihan nama, sebab itu kita nak pilih nama secara syariat.

Orang beriman bila dia tau sunnatullah, maka dia pilih apa yang Allah pilih. Allah pilih itu lebih baik untuk dia.

Apakah tak boleh pilih langsung? Boleh.
Tapi Allah ajar panduan pilih, ada kriteria, ia hawa nafsu atau syariat.

Contoh: Pilih isteri, lalu syarak datangkan kriteria: Ada agama.

Maka atas kriteria itu saya pilih, maka saya memilih dengan pilihan Allah.
Walau ikut nafsu saya mengikut nasab, bukan pada agama.
Saya telah memilih secara nafsu yang boleh merosakkan.

Setiap benda yang kita pilih dalam kehidupan, “Inilah yang Allah suruh”, maka saya pilih. Walaupun kadang-kala hawa nafsu kita tak selari, selaras.

Syarak suruh kita bangun awal pagi, itu bukan pilihan kita.
Kalau boleh kita nak tidur lagi, tapi kita pilih pilihan syarak, paksa mata Celik. Mandi. Ambil wuduk.
Lihat bagaimana kita telah meletakkan pilihan syarak.

Ikut kita, malas nak belajar ilmu ni. Ikut kita, hawa nafsu.
Tapi syarak suruh kita belajar,
Syarak suruh kita menuntut ilmu macam mana pun keadaan kita.
Maka kita pun menuntut ilmu dengan pilihan Allah, lalu Allah pun beri kebaikan.

Itu dimaksudkan.

Ini nilai tawakal kepada Allah Taala.

Ini syair yang panjang yang memberi maksud, 
- Aku letakkan seluruh pergantunganku kepada Allah dan malu aku bergantung kepada manusia.
- Aku meletakkan segala keinginanku kepada Allah yang akan memudahkan urusanku
- Aku melihat kelembutan Allah yang Maha Lembut ke atas setiap hamba-hambaNya 
- Aku melihat kebahagiaan itu datang daripada perdampinganku dengan Allah SWT
- Aku melihat bila datang rasa takut kepada Allah dengan sebenar, maka Allah akan menggembirakanku

Kita dalam hidup ini, kita nak gembira,
Tapi awas! Bila kita cuba gembira dengan tak takut Allah, kita takkan gembira.

Orang yang cuba gembira dengan tidak takut Allah, menghina agama Allah, mempermainkan dan mempersendakan agama Allah, menari sana, berjoget sini, buka aurat sana sini konon nak gembira?

Dia pun ada followers dok tengok dia menari Live?
Akhirnya kita akan lihat bagaimana dia akan menangis.

Seorang tak mungkin gembira dengan cara tak takut Allah.
Hanyasanya yang berhak dapat kegembiraan, yang takutkan Allah.

Sebab itu kalau kita bina diri kita takut Allah, datang gembira.
Tapi kalau kita bina diri kita tak takut Allah, minum arak, kelab malam, sekian-sekian kita akan tengok bagaimana dia takkan gembira. Tak payah tunggu lama.

Orang yang sama buat Live dengan gelak ketawa, orang yang sama akan keluarkan air mata. Dia akan rasa lemah, tak kuat lagi.
Dia bina di atas istana pasir yang palsu.
Dia cuba berbangga dengan istana pasir.

Datang satu ombak kecil cukup merosakkan, tak perlu ombak besar.
Sebab dibina daripada benda yang palsu.

Sebab itu, kegembiraan itu datang daripada rasa takut kepada Allah. Allah beri kita segala benda yang kita nak dalam hidup sedangkan Allah suka mati kita.

Maksudnya: Kegembiraan sebenar jumpa Allah, kita nak jumpa Allah maka kena mati. Hidup tak boleh. Allah sayangkan hambaNya maka dijadikan mati itu jambatan untuk bertemu hambaNya.

Sebab itu Rasulullah SAW apabila dekat dengan kewafatan Baginda SAW, Allah minta Malaikat tawarkan Baginda SAW dengan pilihan:

- Panjang umur; atau
- Mati.

Apa kata Nabi SAW?
“Bahkan, untuk berada di samping teman tertinggi.”

Rasulullah SAW memilih mati.

Tuan-tuan, Allah sayangkan, Allah suka kita mati. Dengannya kita mendapat Rahmat Allah Taala.

Walau dek Allah suka kita mati, Allah tetap beri kita benda yang bahagia ketika hidup. Tetap beri kepada orang beriman.
Hakikat bahagia sebenar Allah nak beri kepada orang beriman ialah MATI.

Itu sebahagian sahabat-sahabat RA mendoakan agar sahabat-sahabat mati.

Kalau kita?
“Apa Ustaz mati.. mati…?”

Kerana mereka para sahabat melihat kematian itu kemuliaan.
Kita?
Sampai ke tua nak panjang umur lagi. Tak faham.

Ayah dah umur 88 tahun, semoga panjang umur lagi?
Nak panjang mana?

Sampai 180 tahun?
Doakan kematian yang baik? “Semoga dimatikan dengan baik.”
Itu kegembiraan dia. 

Tapi kita tak berani sebut bab-bab mati ni.

Setengah sahabat Nabi SAW mendoakan kematian sahabat mereka, untuk kebahagiaan pertemuan dengan Allah.

Kita dah baca satu hadis, bila Nabi SAW berkata “Mati bermula kegembiraan orang beriman.”

Dan bila mati orang beriman, Rasulullah SAW kata,
‘Mustarih (rehat)..’

Kita tengok Mak Ayah kita meninggal, sedih secara fitrah. Tapi kita gembira mereka dah rehat. Mereka dah penat besarkan kita, jaga kita. Mereka layak rehat.
Mendapat kurniaan, balasan dan kelembutan daripada Allah.

Kalau kita nak suruh mereka hidup lagi di dunia, penat dia.
Dalam keadaan bersendirian di rumah, 
Dalam keadaan kita tak boleh beri komitmen jaga dia.

Maka kita doakan kematian yang baik untuknya.

Tuan-tuan bukan doa mati, tunjuk kebencian. Takda.
Kena beza orang yang doakan kematian sebab benci, dengan orang yang doakan kematian supaya dia dapat kebaikan daripada kematian itu.

Sebagaimana kita berdoa mati yang baik.

Nabi Allah Yusuf a.s, waktu sempurna nikmatnya, 
Ayah, adik-beradiknya datang dan datang semua. Apa Nabi Yusuf a.s doa?
Umur muda, pada kemuncak nikmat.

Ayahnya datang, adik-beradik dah berdamai.

تَوَفَّنِى مُسْلِمًۭا وَأَلْحِقْنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ

“Sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.”

(Surah Yusuf, 101)

- Ya Allah matikan aku dalam Islam, dan himpunkan aku bersama orang yang soleh.

Dan ini juga doa Nabi Sulaiman a.s, di kemuncak kuasa, dia minta mati yang baik.
Dan dihimpunkan bersama orang soleh.

Umar al-Khattab di kemuncak kuasa mengalah Rom, dia berdoa:

allahumma tawaffani fi baladi rosulika

“Ya Allah matikan aku di negeri RasulMu.”

Walhal Umar, di kemuncak Rom dan Parsi jatuh. Di kemuncak, minta mati.
Inikan kita dah tua lanjut?

Kadang-kadang kita tau kesukaran dunia, maka mintaklah mati yang baik. 
Tapi tak, minta panjang umur juga?

Mintalah mati yang. Harus kita mendoakan kematian orang lain untuk tujuan kematian yang baik, bukan kematian yang tak baik. Maka ini bagaimana mereka melihat kematian ialah kecintaan Allah.

Allah bila sayang seorang hamba, maka Allah akan matikan dia untuk jumpa dengannya. Itu tanda sayang Allah Taala kepada hambaNya.

Dan bila Allah biarkan umurnya panjang, bererti dia masih diuji. Dan diuji.
Dan kita dengan umur kita hari ini kita masih diuji, dan kita bimbang tergelincir dalam ujian. Sebab itu kita doa yang baik-baik hidup dan mati kita.

Kisah terakhir, Huzaifah al-Mar’asyi, dengan Gurunya Ibrahim bin Adham.
Suatu hari lapar, takda makanan. 

Ibrahim bin Adham tengok muka anak muridnya,
“Nampak lapar?”

“Betul Tok Guru.”

- Betullah pandangan Tok Guru, dia Guru tahu anak murid mengantuk, boring ke kerana diikat halaqah kerohanian.

Mak Ayah diikat secara fizikal.
Kenal anak secara fizikal.

Tok Guru pula kenal anak murid secara kerohanian.
Yang malas kuliah, paksa diri. Tahu.
Ada signal.
Dah bosan kuliah. Tau.

Itu hubungan halaqah kerohanian.

Ibrahim bin Adham tahu anak muridnya lapar, disuruh ambil kertas dan dakwat, ditulis di cebisan kertas.

Dia pun tulis,

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Ya Allah Engkaulah Dzat yang dituju segala hal, 
Dan Engkaulah Dzat dijadikan petunjuk segala erti.

- Segala benda, Allah

Ya Allah aku akan sentiasa puji, syukur, ingat.

- Ini tiga perkara aku jamin aku akan buat.

Ya Allah, aku lapar, kehilangan, aku telanjang.

- Kita dalam kesusahan kita rasa sorang-sorang. Siapa pun bila ditimpa kesusahan, walau dikelilingi ramai orang dia rasa dia seorang.
Di hospital, dalam ribu pesakit kita tetap rasa kita sorang. Kita ada masalah kita.
Kita seorang.

Lalu kata Ibrahim bin Adham,
Ya Allah, aku orang yang kehilangan, telanjang.
Terhadap enam perkara tadi, separuh saya jamin

- Puij
- Syukur
- Ingat

Dan Engkau menjamin tiga lagi.
Engkau jamin bila aku syukur, puji dan ingat Engkau, Engkau akan
- Mengenyangkan
- Beri pakaian
- Hilangkan rasa keseoranganku.

Tuan-tuan, dalam hidup ini,
Ada hak kita buat kepada Allah dan ada hak Allah buat kepada hambaNya.

Hak Allah buat kepada hambaNya, bilamana kita mengingati Allah.. Allah takkan lupakan kita. 
“Kamu ingat Aku, Aku ingat kamu.”

Sebab itu bila kita meminta kepada Allah, Allah takkan tolak permintaan kita.
“Allah itu Maha Malu, lagi Maha Menutup Aib.”

Allah malu hamba mengangkat tangan (berdoa) dan jatuh tangannya dalam keadaan tak diberi apa-apa. 
Allah malu.

Kalau kita beri perumpamaan, 
Orang miskin jumpa orang kaya, pemurah. Bila dia mintak sesuatu, diberi agak-agak?
Ikut mana pun dia beri, orang ini kaya dan pemurah.

Allah, Maha Kaya. Maha Pemurah. Bila hambaNya mengangkat tangan, Allah malu membiarkan hambaNya menjatuhkan tangan tanpa diberi sesuatu.
Allah akan bagi.

Kata Ibrahim bin Adham,
‘Ya Allah, aku jamin separuh. Engkau menjamin separuh yang lain.’

‘Wahai Dzat Pencipta, memuji kepada selainMu adalah jilatan api Neraka.’

Makna, puji selain Allah bererti Neraka.
Makna, azab.

Kita kalau syukur pada orang lain bererti Neraka. 
Syukur kepada Allah

Tidak menghalang berterima kasih, tapi hakikat syukur.

Dan kata Ibrahim bin Adham lagi (dalam syairnya),
‘Ya Allah selamatkan orang yang selalu menyembahMu daripada masuk Neraka.’

Benda susah, di sebalik susah-susah ini, yang paling susah paling teruk sekali, masuk Neraka. Kita cerita tak boleh makan, tak boleh makan itu ini itu susah. Tapi musibah paling susah masuk Neraka. Takda orang terdaya menahan kepanasan api Neraka.

Orang beriman faham benda itu.

Wanita-wanita solehah berkata kepada suami-suami mereka,
“Wahai suamiku, carilah rezeki yang halal.
Kami boleh bersabar dengan lapar, tapi kami tak mampu sabar dengan bakaran api Neraka. Kalau kamu cari rezeki haram, masuk Neraka kami. Jangan cari rezeki haram.”

Kalau takda rezeki halal, balik tangan kosong pun takpa.
Jangan bawak rezeki haram masuk rumah.
Kami mampu sabar dengan berlapar, kami tak mampu sabar dengan api Neraka.

Allah Taala menempelak orang-orang yang keras sangat,
Lawan Allah, siang malam pagi petang!

“Apakah mereka menyangka mereka kuat menahan Neraka?”

Jangan kata Neraka, tersepit pintu pun menjerit sekampung.
Kalau tersepit pintu, habis suara jerit. Inikan Neraka?

Kita kena sikit je, seterika panas berparut. Kesannya.
Inikan pula Neraka yang dahsyat?

Kata Ibrahim bin Adham,
Kamu berikan surat ini kepada yang pertama kamu jumpa, jumpa siapa pun beri.

Maka Huzaifah, yang pertama dia jumpa, 
Seorang lelaki naik keldai. Dia hulur surat. 
Dan orang ini baca. Dan dia tau ini surat Ibrahim bin Adham, ditanyakan:

“Mana dia?”

“Ada di masjid.”

Lalu orang ini pun menangis, baca surat. Dia pun beri kantung duit yang ada 600 keping duit emas, lelaki ini pun berlalu.

Datang lelaki lain dan bertanya,
“Siapa lelaki tadi?”

Dijawab, “Saya beri surat dan dia beri duit.”

“Oh itu orang Kristian kaya.”

Dia pun balik bertemu Ibrahim bin Adham dan bercerita, 
“Tuan Guru minta beri surat kepada orang pertama dijumpa dan dia Kristian. 
Yang pelik dia kenal Tuan Guru. Dan dia menangis bila baca surat.”

Kata Ibrahim bin Adham,
“Jangan buka lagi duit itu, tunggu.”

Akhir yang Kristian itu datang menangis depan Ibrahim bin Adham, dan memeluk Islam.

Pada kalimah apa?
Rupa-rupanya dalam syair itu ada dakwahnya.

Rezeki ini dalam jaminan Allah. Kalau kamu ingat Allah, kamu puji Allah dan sentiasa bersyukur kepada Allah maka semua dalam jaminan Allah.

Tapi kalau kamu abaikan tiga perkara ini maka bersedialah dengan kepanasan api Neraka. 

Allah tak paksa kita masuk Neraka, tapi kita yang meletakkan diri dalam Neraka.
Allah beri pilihan kepada kita.

“Dan Kami tunjukkan kepada manusia dua jalan.”

Dalam ayat lain,
“Siapa yang memilih iman, silakan.
Siapa memilih kufur, silakan.”

Pilihan itu pada kita, bukan Allah yang paksa kita masuk Neraka. Tapi manusia yang memilih masuk Neraka.

Syair tadi telah menginsafkan seorang Kristian. Barangkali orang Kristian ini selalu ditarbiyah Ibrahim bin Adham. Mungkin belum sampai waktu dia nak masuk Islam sehingga berlaku di hari dia bertemu.

Cerita yang berlaku kepada Syeikh Abdul Qadir, 
Ada anak murid Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, seorang anak murid beliau yang kafir tapi dia suka dengar kuliah. Dia dengar kuliah, dan dia kafir.

Saya baca kisah ini kurang faham sehinggalah alami sendiri.

Bila cerita seorang kafir masuk Islam, dia setiap hari balik kerja, dia parking kereta luar masjid dengar kuliah Ustaz-ustaz. Setiap hari sehingga bertahun lamanya sehingga dia memeluk Islam.

Ada orang kafir dengar kuliah.
Cuma dia takda kekuatan lagi memeluk Islam.

Kita cerita dulu, rupa Allah tunjuk hari ini berlaku. Ada seorang Cina dia memeluk Islam, orang tanya dia macam mana boleh peluk Islam?
Tak nampak pun ada orang approach?

Dia kata, “Setiap kali saya balik kerja, saya singgah dekat masjid parking kereta dekat luar dan dengar kuliah Maghrib. Dan saya balik rumah. Macam tu saya ulang-alik, sehingga saya tahu saya faham.”

Akhir dia memeluk Islam.

Dia boleh mengucap dengan mudah, dengar azan setiap hari.
Ini bila Allah nak beri hidayah, cuma tempoh hidayah itu urusan Allah.

Sebab hidayah dah ada.
Bila seorang itu dengar yang baik-baik, dia dah ada sebab hidayah yang kuat. Cuma tempohnya.

Sebab itu kita ni diajarkan sentiasalah duduk tempat baik walau kita bukan orang baik kerana kita tidak tahu bila hidayah itu datang. Tak tahu.

Misalnya hari ini saya pilih taknak jadi baik lagi. Jadi jahat.
Takpa dah pilih jahat, tapi jangan pernah lepas dengar benda baik.
Duduklah.

Taknak duduk dalam, duduk luar pun takpa.
Kuliah dengar sampai ke luar, dengar. Tak rugi pun dengar kebaikan, tak rugi apa. Bila kita berada dalam kebaikan, kita hanya menunggu waktu mendapat hidayah dan keberkatan.

Kita sendiri, Allah ajar kita jangan memilih kebaikan. Mana-mana benda baik, duduklah. Mudah-mudahan asbab kita tau rahmat Allah turun dalam kebaikan mana pada kita.

Rahmat Allah sentiasa turun, tapi kebaikan mana turun pada kita – akhir kita dapat kebaikan agama di sisi Allah Taala.

TOKKU PASIR GUDANG

No comments: