Tuesday, October 31, 2023

17. Tawakal (Bahagian 15)


Bab 3: Ulasan Tentang Maqam-Maqam atau Tingkatan Jalan Pendakian Para Salik/ 17.Tawakal - Siri 15 (m/s 236)
Kitab: Risalah Sufi Al-Qusyairi
(Abd Karim Ibn Hawazin Al-Qusyairi)

Intisari
Kuliah subuh Ustaz Mat Esa Deraman
31 Oktober 2023 | 16 Rabiulakhir 1445

TAWAKAL: APA PUN KEADAANNYA SEMUA KEBAIKAN

Masih kisah-kisah tawakal kepada Allah. ‘Tawakal’, membuang pergantungan kepada makhluk lalu meletakkan pergantungan kepada Allah SWT.

Membuang pergantungan kepada fikiran sendiri, dan solusi penyelesaian yang dikehendaki hawa nafsu kepada penyelesaian yang diinginkan oleh Allah, ditakdirkan oleh Allah SWT.

Ia untuk menambahkan lagi keyakinan, kita setiap kali menghadapi masalah lalu kita memikirkan solusi sendiri maka ia akan menjadikan kita jauh daripada Allah, kerana kita mula melihat kita cerdik. Bijak.

Setiap kali ada masalah, kita akan berfikir macam mana nak selesaikan masalah cara kita sehingga lupa pergantungan kepada Allah. Maka bila terbiasa macam tu ia menjadikan bongkak, sombong dan dengan mudah berkata,

“Semua masalah saya boleh selesaikan.”

Walhal penyelesaian sebenar, hanya Allah SWT.

Kita lihat di sebalik cerdik, pandai manusia seantero dunia lalu mereka menemui kegagalan. Baca sejarah manusia dikatakan paling berjaya dalam 
- Ekonomi
- Politik 
- Peperangan
- Psikologi

Kita dapati bila manusia melihat solusi pada dirinya akhir mereka hancur. Mereka mengarang ribuan buku pendidikan dan mendidik anak-anak, akhir mereka gagal.

Di Eropah, di Barat pendidikan mereka gagal melahirkan seorang manusia. Mereka mungkin nampak berjaya sebagai manusia berkerjaya, tapi bukan manusia yang mempunyai sifat 
- Kemanusiaan
- Kekeluargaan
- Fitrah manusia murni

Akhir mereka menemui kegagalan.

Muhammad Iqbal, seorang penyair Islam terkenal. Ketikamana dia pergi ke Eropah dia melihat kedai buku banyak, dia kata, 

“Ini bangsa yang akan berjaya.”

- Bangsa membaca bangsa berjaya.
Ini secara umum. 

Dia pergi lagi dia kata, 

“Ini bangsa yang akan binasa.” 

Kerana tiada ruh (tiada hubungan dengan Tuhan).

Sehingga salah-seorang pengkaji ilmu psikologi terkenal melihat Eropah (ia maju dahulu daripada Amerika), melihat Eropah ditimpa penyakit ‘barah’. Luaran nampak okay tapi dalamannya barah. Sistem pendidikan dan kehidupan mereka.

Bak orang hidap kanser, luaran dia okay. Tangan kaki sama tapi dalaman dia. Ada kanser merebak. Begitu kehidupan orang yang tak bergantung pada Allah. Kerana itu Nabi-nabi a.s Allah utus mereka ke bandar-bandar besar.

Kita baca sejarah para Nabi a.s mereka tak diutuskan ke kampung-kampung, ke hulu. Tidak. Tapi bandar besar.

Nabi Allah Musa a.s ke bandar Firaun dan berdialog dengan Firaun.
Bahkan Nabi Musa a.s dibesarkan di dalam istana Firaun, untuk memperlihatkan apa yang manusia nak atas dunia ini –
Kuasa besar, harta banyak?
Itu bukan hakikat.

Nabi Nuh a.s, bertemu golongan yang kaya.
Nabi Allah Lut a.s juga begitu.

Nabi kita Muhammad SAW diutuskan kepada pedagang-pedagang jutawan Quraisy, ketikamana rata-rata penduduk negara Arab itu Badwi. Dan yang paling maju, ialah Quraisy yang mendiami kota Mekah yang penuh berkat.

Berbanding kaum Arab lain berpindah-randah (Badwi).

Mereka mengecapi keamanan, kekayaan hampir 80 peratus penduduk Mekah adalah ahli perniagaan, mereka peniaga termasuk para wanita. Keluar figura seperti Saidatina Khadijah bintu Khuwailid Rha berniaga. 

Dan Saidatina Khadijah bukan hanya beliau seorang berniaga, ramai perempuan yang lain (turut berniaga). Beliau yang paling berjaya, disegani jutawan-jutawan lelaki di negeri yang maju, aman dan menikmati segala nilai dikehendaki manusia, dan datang Rasul untuk memberitahu mereka, 
- Apa kita kehendaki, bukan ini

Tapi tak menafikan perkara itu perlu. Tapi itu bukan perjuangan kita.

Banyak negara memperjuangkan keamanan zahir, diisytihar negara aman dunia:
Sweden, Norway. Negara kaya, aman dunia.
Tapi dalaman kosong.

Ada negara takda tentera, dia rasa dia aman seperti negara Monaco, beberapa negara. Mereka rasa aman dan diraikan hari tanpa tentera. Hari tanpa tentera, tak belanja satu sen untuk tentera. 

Ada beberapa negara takda tentera,
Tak dikeluarkan duit bagi ketenteraan kerana mereka rasa aman.

Bak rumah tak dibuat pagar. Atau ada pagar, tak ditutup.
Ini dicari ramai manusia.

Mereka lupa bila Allah hantar para Nabi dan Rasul bahawa aman itu daripada dalaman. Dan aman itu bila kita bina hubungan dengan Tuhan.
Mungkin dunia kita aman tapi dalaman huru-hara.

Aman dekat dunia, kaya. Mati pun kaya. Tapi dalam kubur, bagaimana?
Pada hari pertemuan dengan Tuhan bagaimana?
Waktu dihisab oleh Allah, bagaimana?

Maka para Nabi a.s menekankan hal itu, kerana yang menciptakan manusia ini Allah. Dan Allah nak manusia beribadat kepadaNya. 
Tunduk patuh kepadaNya.
Allah letakkan peraturan.

Kerana siapa pun tak mentaati Allah dia akan putus asa dan binasa.

Dan siapapun mengingati Allah akan kuat, terpelihara, terjaga.
Akan selamat dunia dan Akhirat dan bagi mereka 
- Redha Allah
- ampunanNya
- Syurga.

Maka ini yang bila kita bicara tentang tawakal, kita membuang solusi hawa nafsu kita kepada pergantungan Allah sehingga berlaku satu penyelesaian kita nampak Allah – bukan kita.

Maka di situ kita jumpa jalan sebenar.

Selagimana manusia nampak diri, maka mereka menuju kehancuran.

Ini tentera yang kuat, mereka nampak mereka – menang? Akhir kalah.
Peniaga yang berjaya melihat tangan dia menjadikan semua perniagaan berhasil, berjaya? Akhir dia jatuh.
Pemimpin yang rasa kerana strategi dia melahirkan rakyat yang hebat, akhir dia binasa dan jatuh. 

Maka kita nak pergi pada realiti yang Allah kehendaki, pergantungan kepada Allah. Tawakal kepada Allah.

Tawakal itu melihat solusi itu datang daripada Allah. Bukan daripada diri kita.

KISAH-KISAH TAWAKAL (. Sambungan)

Syeikh Abul Qasim bawa cerita-cerita tentang bagaimana sebahagian Ulama tunjuk tentang setiap benda mesti ada solusi, walau tanpa keinginan kita. Ataupun bukan cara yang kita inginkan, Allah datangkan suatu yang ajaib.

1. Hubaib al-Ajami

Hubaib al-Ajami, Ulama yang mempunyai karomah yang banyak yang merupakan anak murid kepada Hasan al-Basri.

‘Hubaib’, beliau terkenal dengan kepasrahan yang tinggi kepada Allah bahkan beliau dikatakan sebagaimana disebutkan Imam Ibnu Asakir, antara karomah Hubaib beliau dijumpa di Padang Arafah sedang menuangkan air kepada jemaah Haji.

Dan selepas itu orang jumpai beliau di Kota Basrah.

Sedangkan jarak antara Arafah ke Basrah itu jauh, dalam tempoh singkat.
Mereka tau ini orang yang Allah berikan keistimewaan.
Karomah.

Sepakat Ulama tentang kemuliaan Hubaib al-Ajami, orang tanya dia:
“Kenapa awak tinggalkan perniagaan?”

“Kerana aku jumpa satu jaminan yang sebelum ini aku tak jumpa (Allah).”

- Cukup Allah sebagai jaminan.

Ini bukan maksud tak kerja, goyang kaki.

Bezakan antara: Tawakal dengan Tawakul

- Tawakul: Tak buat apa-apa dan mengharapkan Allah melakukan sesuatu
- Tawakal: Melakukan apa yang Allah perintahkan, dan menggantungkan hubungan hati dengan Allah.

Bagaimana Hubaib al-Ajami ini, apakah masuk dalam tawakal atau tawakul?

Kerana sifat tawakul (sifat penyerahan yang salah) ini akan menyusahkan orang lain. 

“Saya taknak kerja, saya serah kepada Allah.”

Tapi lepas tu dia mintak kanan, mintak kiri.
Susahkan orang itu ini maka ini TAWAKUL.
Ini bukan tawakal (tapi) menyusahkan orang.

Bila Rasulullah SAW pergi Haji, Rasulullah SAW melihat satu kelompok kabilah Yaman, mereka datang Haji tanpa bekalan. Kita dah ceritakan semalam Rasulullah SAW pergi Haji dengan membawa 100,000 orang sahabat.

Mereka datang daripada segenap penjuru dan bergabung dengan Nabi SAW.

Lalu dalam perjalanan yang begitu jauh dari Madinah ke Mekah, dan Rasulullah SAW berhenti di 10 tempat yang utama, atau lebih. Sebahagian Nabi SAW tidur, makan minum, berehat seketika.

Perjalanan dahulu, route dahulu takda jalan khas.
Ia jalan berbatu-batu, jalan yang kita sebut satu tempat bernama Bath’ha, satu tempat di mana ia bukan padang pasir tapi batu yang hancur lalu membentuk satu tempat, bukan pasir.

Tempat ini dipanggil ‘Al-Bath ha’.

Rasulullah SAW jumpa sekumpulan kabilah Yaman, yang tak bawak bekal apa. Bawak kain ihram saja. Lalu kata Nabi SAW,

“Mana bekalan?”

Mereka kata, “Kami kaum yang bertawakal!”

Tapi bila sampai waktu makan, mereka mula meminta:
“Nak makan sikit..
Nak makan sikit..”

Maka Rasulullah SAW pun menegur mereka. Orang yang tawakal sebenar, asas ketikamana mereka taknak buat yang orang lain buat (bawa bekal), (syarat), mereka takkan menyusahkan orang.

Macam contoh:
Kalau kita sakit, apakah baik kita usaha dan tawakal pada Allah?
Atau ambil sikap serah?

“Macam mana baik ke tak, serah..”

Kita dah sebut dia punya garis panduan:
Sakit, taknak berubat. Berdosa atau tidak?

- Kalau tak menyusahkan orang, okay. Dan tak abaikan tanggungjawab.

Saya suami kalaupun saya sakit tetap boleh cari nafkah buat anak isteri.
Saya tak beri alasan, “Saya sakit tak boleh kerja.”

Kalau macam tu, kena makan ubat biar sembuh. 
Boleh kerja.

Tapi kalau sakit dan masih boleh kerja (taknak berubat) maka takda isu.
Tapi kalau taknak pergi hospital, tak abaikan apa pun tanggungjawab,
Sembahyang,
Kuliah,
Semua tak diabaikan. Dalam keadaan taknak berubat maka ini tak tercela. Ini orang yang tawakal.

Tapi kalau keadaan dia sakit dan kata,
“Saya nak tawakal, serah pada Allah (taknak berubat)..”

Tapi menyusahkan orang itu ini, dia tak menjalankan tanggungjawab. 
Masjid, surau tak pergi, kuliah tak datang.
Nafkah tak cari.
Anak isteri tak dijaga dengan baik.
Dia sakit dan taknak berubat maka ini salah. Dan berdosa.

Sama jugak cerita tentang kerja, dia kata, 
“Saya taknak kerja! Bertawakal pada Allah rezeki saya.”

Boleh. Dengan dua (2) syarat:
- Tak mintak dengan orang; dan
- Takda tanggungjawab lain.

Ini berlaku pada Hubaib /Habib al-Ajami, dia kata, 
“Saya serahkan urusan saya kepada Allah.”

- Kerja paling mulia atas dunia, mendekatkan diri pada Allah. Dengan itu kita diciptakan.

Kesibukan lain tak menjadi kesibukan, bila berada di hadapan beribadat kepada Allah. Sebab itu tak masuk akal orang yang tinggalkan sembahyang sebab sibuk kerja.

“Saya tak sempat sembahyang sebab kerja.”

Tujuan utama kita datang sini (dunia) ialah ibadat kepada Allah, BUKAN kerja.
Sebab itu kerja tak boleh bawa ke kubur.
Yang kita bawa, amal soleh kita.

Satu kebodohan, bila seorang tinggalkan segala perintah Allah hanya kerana kejar dunia sehingga dia lupa mana satu yang usul dan mana satu cabang.

Usul: Beribadat kepada Allah

Rasulullah SAW, para Nabi a.s dibawakan yang pertama dibawakan usul beribadat kepada Allah dalam pemerintahan, politik. 
Ibadat kepada Allah. Bukan untuk dapat kuasa dan secara keinginan diri sendiri, tidak.

Tegakkan agama Allah, sebar agama Allah.
Semua Nabi a.s faham.

Waktu memimpin umat, mereka kembangkan agama Allah. Sebarkan.
Sehingga hari ini pemimpin kita lupa tanggungjawab itu.

Bila pegang kepimpinan lupa sebarkan agama Allah, pertahan agama Allah. Lupa.

Lalu mereka perjuangkan, ekonomi! 
Akhir tak selesai.
Janji mereka pada rakyat, ekonomi. Apa kita nampak, tak selesai. 
Barang naik, itu naik tak turun-turun.

Benda yang sama akan berlaku. Bila Pemimpin datang lalu kata,
“Kami akan selesaikan ekonomi.”

Benda yang sama.
Sama, (barang naik) jugak.

Kerana mereka tak pergi pada penyelesaian sebenar, agama Allah.

Kalau kamu jadi Pemimpin, 
1. Tegakkan agama Allah.

Ekonomi, rezeki daripada Allah.
Allah sebut dalam al-Quran, “Kalau penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, Kami turunkan keberkatan dari langit dan dari bumi.”

Pemimpin mesti fikir macam mana nak sebarkan agama Allah.
Majoriti Muslim negara ini 65 peratus.
Berapa tak Muslim, 35 peratus. Maka sasarkan ini jadi 25 peratus.
Dan sehingga jadi 5 peratus sahaja bukan Islam.

Ini baru Pemimpin.

Tapi mereka tak. Semua Pemimpin datang silih-berganti, janjikan harga (barang) murah. Janjikan pinjaman dilupuskan, akhir yang naik – benda sama.
Kita katakan, kalau Pemimpin janjikan akhir dia naik, benda sama.

Kalau semua Pemimpin janji, mereka takkan mengubah. Dibuat benda sama.

Di negara-negara maju, silih berganti Pemimpin, cerita benda yang sama.
Gelandangan, 
Kemiskinan, 
Jenayah. 

Sama.

Kerana mereka tak janjikan apa yang Allah suruh mereka janjikan sebagai Khalifah atas muka bumi.

Para Nabi a.s bila naik mereka janjikan itu, mereka bukan janjikan ekonomi.
Mereka janji,
“Kamu semua akan dapat redha Allah.”

Akhir mereka naik, Islam tersebar.
Madinah daripada negara kafir sembahan berhala, kepada menyembah Allah yang Esa.
Mekah, kepada negeri tauhid.
Yaman, 
Semenanjung Tanah Arab.

Bahkan semua sehingga ke Tanah Melayu, daripada sembah berhala kepada sembah Allah yang Esa.

Itulah Pemimpin.

Pemimpin ini Allah datangkan rezeki yang banyak.

Sultan Melaka bila memeluk Islam, ada dua riwayat,
Bila Parameswara memeluk Islam, tukar nama sebagai Sultan Iskandar Syah. 

Dan ada riwayat mengatakan Parameswara tak memeluk Islam tapi Sultan selepas itu, Iskandar Syah Islam.

Apa berlaku pada Melaka?
Jadi negara dengan ekonomi terulung. Semua orang Islam sokong.
Bila Melaka jatuh, maka pelabuhan Melaka jatuh. Takda lagi rezeki kepada pelabuhan dan berpindah ke pelabuhan Pasai. 
Keberkatan Islam.

Ini tentang manusia kena tahu, kerja utama kita ibadat.

Setiap orang dia sampai perjalanan usianya, dia kena fikir macam mana masanya lebih banyak dengan Tuhan. Kalau semakin perjalanan usia menuju ke kubur dan masanya semakin sikit dengan Tuhan, dia akan binasa.

Kita perhatikan hidup kita, Allah jadikan hidup kita berakhir dengan kita semakin lapang waktu supaya gunakan waktu beribadat kepada Allah. Itulah tujuan kita dicipta.

Kita pencen.
Nak kerja lagi orang tak bagi.
Dah pencen nak kerja dengan orang, orang tak bagi.
Nak kerja sendiri dan semput.

Kita dah umur tua, cap jari pun dah takda.
Jari haus.
Pergi Imigresen tak boleh baca (biometik), makna kamu dah boleh masuk kubur. Takda urusan dunia lagi untuk kamu. Seolah-olah begitu.

Apabila kita dah tua, cap jari kita dah haus. Bila (scan) tak boleh dibaca.
Kadang belum tua dah tak boleh baca. 
Allah bagi isyarat pada kita.
Kesibukan kita untuk dunia dah habis.

Kita dah pencen, tak boleh kerja. Kalaupun kerja, semput.
Itu dan ini.
Tapi Allah beri ruang ibadat sebagai sifat rahmat Allah.

Untunglah orang yang nampak daripada awal, orang ini kerana rahmat Allah dia nampak. Untung orang yang dia nampak, hidup untuk beribadat kepada Allah.
Yang nama-nama kerja dunia ini hanya untuk menyempurnakan ibadat kepada Allah. Bukan untuk mengurangkan ibadat.

Tuan-tuan kesibukan dunia bukan untuk mengurangkan ibadat.
Kesibukan dunia bagi menyempurnakan ibadat kita, akhirnya kerja kita jadi ibadat.
Akhirnya kita buat apa-apa jadi ibadat, menyempurnakan.
Berkeluarga, jadi ibadat.

Bukan dengan buat urusan dunia ia mengurangkan nilai ibadat, ia menyempurnakan.

Kita berkahwin, ibadat makin sempurna.
Jangan lepas kawin, asalnya bujang pergi masjid. Dah kawin tak pergi masjid?
Itu menghancurkan.

Para sahabat a.s setiap kali mereka mendapat urusan dunia, Akhirat mereka makin sempurna. Sebab mereka menjadikan urusan dunia untuk Akhirat.
Mereka tak jadikan dunia untuk dunia.
Apatah lagi menjadikan dunia untuk halang Akhirat. Lagi mereka tak buat.

Kita tuan-tuan, kita telah jadikan:

1. Dunia itu dunia, berkait Akhirat
2. Dunia penghalang Akhirat
3. Dunia musuh Akhirat

Musuh terus, bila orang nak cerita Akhirat kita marah dia.
Saya sebut tentang pemerintahan, kalau tuan-tuan impikan pemerintah yang turunkan harga dan stabilkan ekonomi, tuan-tuan takkan jumpa orang yang bercakap tentang mencari redha Allah.

Kita takkan jumpa.

Sebab yang beri rezeki, Allah.
Sama Jepun, Amerika yang bertukar Presiden, Perdana Menteri.
Cerita sama.
Manusia tak mampu merawat masalah ekonomi dia. Masih tak mampu merawat masalah sosial, hubungan buruk kejiranan dan sebagainya.
Masih belum merawat.

Malah dunia menjangkakan ekonomi jatuh. Pada kebimbangan yang sebenarnya berlaku kerana kurangnya pergantungan pada Allah.

Kita kata, rezeki daripada Allah. Kita tau.
Bila Allah lapangkan rezeki, tengah ekonomi jatuh – kita naik.

Banyak mana dalam sejarah hidup manusia, tengah ekonomi merudum ada orang naik dan kaya. Kerana rezeki milik Allah.

Ada orang takda sijil, dia lebih berjaya daripada orang ada sijil.
Rezeki daripada Allah.

Ada orang persembahan marketing lemah tapi Allah jadikan dia berjaya daripada orang yang marketing kuat.

Ini cerita percaturan Allah tentang rezeki supaya kita faham.

Kita lihat, dengar dan pandang supaya kita tau ini maksud tawakal.

Bilamana kita nak buat perintah Allah dan ketaatan, datang dunia cuba mengganggu maka di situ kita tawakal. 

“Ini masa Maghrib lah orang datang ke kedai.
Kalau pergi solat, hilang (customer). Tak solat untung banyak.”

Ini otak kita, di situ datang tawakal.
“Kalau rezeki saya, rezeki saya.”

Tutup dulu, solat.
“Nak tunggu, tunggu.
Taknak tunggu, bukan rezeki saya.”

Akhir dia pun solat dulu, tengok customer tunggu dan tak marah.

Cerita di Amerika, dia tak dibenarkan berhijab naik kapal terbang. Sampailah dia bukak hijab. Dan dia taknak bukak.

Soal-siasat berjam-jam, sampai kapal terbang berlepas.
Dan dia tak dibenarkan naik kapal terbang.
Ditakdirkan oleh Allah, kapal terbang itu terhempas dan mati semua, melainkan dia yang konon dihalang daripada naik kapal terbang.

Bila dia letakkan ketaatan kepada Allah, Allah selamatkan.

Ini cerita benar.

Ia menyelamatkan nyawa dia.

Kita bila bertembung dunia dan Akhirat kita tawakal sebab tetap keutamaan kita buat benda Akhirat.

Kita orang tawarkan kerja, syarat buka aurat,
Tak boleh solat Jumaat (bagi lelaki). Syarat dia. Sebab Jumaat tetap running bisnes.
Maka saya taknak (kerja itu) walau saya perlu duit. Saya ada keluarga.
Saya tolak. Maka inilah orang tawakal kerana dia lebih menjaga agamanya.

Akhir Allah beri dia pekerjaa lebih baik daripada yang dia lihat secara hawa nafsu. Ini kalau kerja syarikat ini tak solat Jumaat dapat RM6,000 sebulan. Dia tinggalkan. Apa nilainya (gaji itu) berbanding solat Jumaat?

Akhir Allah ilhamkan dia bekerja sendiri, dia dapat RM8,000 – RM10,000 sebulan dalam agama dia tak terjejas. Dia dapat rezeki lebih banyak lebih mulia.
Ini tawakal.

Tawakal ini penting khusus bila datang depan kita dunia yang melanggar Akhirat kita. Amat penting.

Contoh: Kita nak anak, kita berubat isteri kita. Tiba-tiba yang tawarkan perubatan cara khurafat. 

Nak anak, itu bukan matlamat tinggi berbanding agama.
Saya jaga agama. 
Tinggalkan khurafat walau orang kata dia berjaya buat ramai orang hamil, misalnya.

Takkan ambil, pasrah pada Allah.
Kalau dah tak jumpa jalan-jalan halal bagi usaha maka saya tawakal pada Allah.

Akhirnya dapat anak juga.
Lihat macam mana tawakal dalam diri.

Jangan putus asa dalam solusi. Solusi itu bukan apa yang kita bayangkan.
Bila kita bertawakal dengan sebenar, datang solusi yang kita tak dapat bayangkan.
Bahkan menjadi cerita dan keajaiban.

Ini dibawakan oleh Syeikh Abul Qasim.
Katanya,
Ada seorang lelaki yang dia jalan dan bawa roti dan dia kata, 
‘Saya taknak bergantung pada roti. Kalau saya merasakan nyawa saya bergantung pada roti, kalau tak saya mati! Bukan hidup.’

Kita dalam hidup dok fikir ini penyebab kepada sekian.
Akhir akidah boleh rosak.

Lelaki ini tak mahu akidahnya rosak. Maka dia kata,
‘kalau saya makan roti ini saya mati!’

Akhir dia tak makan. Dia serah kepada Allah.
Lalu Allah wahyukan kepada Malaikat,
Sekiranya dia makan, jadikan umur dia panjang. Kalau dia taknak makan, memilih tawakal padaKu maka jangan bagi dia rezeki yang lain.

Akhir lelaki ini mati.

Kisah ini banyak sinonim dengan kisah-kisah disebutkan Ulama, bila mereka tak mahu melihat sesuatu itu menyebabkan mereka hidup atau mati. Diceritakan, ada seorang miskin yang amat lapar. Bila dia lapar dia cari makanan. Selama berapa hari dia cari makanan tak mati.

Dia cari makanan, jumpa dalam tong sampah. Orang miskin ni pun makan dengan lahapnya akhir tercekik dan mati!
Masa lapar dia tak mati,
Masa makan dia mati.

Allah ada qanun (peraturan). Bila kita tahu tentang peraturan Allah, maka jelas dalam matlamat kehidupan kita, kita dok fikir yang akan tolong kita sedara kita, adik-beradik.

Tapi Allah menghendaki lain, supaya kita tau pertolongan itu boleh datang even daripada musuh.

Kita baca berita terkini, Hamas antara tawanan ditawan, 8 warga Rusia. Yahudi warganegara Rusia.

Pemimpin Rusia nak jumpa Pemimpin Hamas, dan jumpa.
Israel kelam-kabut.

Israel juga pendokong Rusia, dan tak kecam serangan Ukraine.
Mereka dapat berita, Hamas bersetuju bebaskan 8 warga Rusia dengan syarat dibekalkan senjata anti-kapal terbang. Dan Rusia setuju nak bagi.

Lalu diminta hubungi Rusia tak layan.
Rusia, bukan negara diharap tolong negara Islam.
Sebab track record mereka buruk, jajah Afghanistan. Teruk.

Tapi tengok bila Allah nak berikan pertolongan, Allah jadikan di kalangan musuh jadi sebab kepada pertolongan, di sini tawakal sebenar. 

Dok ingat yang akan tolong Mesir, Saudi? Bukan.
Tapi negara kafir nak tolong. Demikian kita faham makna tawakal.

Kita ni kalau susah dok harap adik-beradik, abang kakak kaya.
Ini pengharapan yang membahayakan kita. 

Bergantung pada Allah. Siapa pun Allah nak datangkan pertolongan ia akan datang. Kadang datang pertolongan daripada musuh kita.
Yang kita tak berapa baik itu pertolongan melalui dia untuk beritahu, 
- Allah yang mengatur segala-galanya.

Di sini akan membetulkan nilai tawakal.

Kita dok bayang, orang ini dia tolong saya, saya boleh hidup. Kalau tak mati keras.
Ini salah.

Allah yang menolong, bantu kita. Ini cerita-cerita dibawakan Syeikh Abul Qasim tentang orang yang berada pada marhalah tertentu.

Dalam agama, dalam bab tawakal,
- Ada orang biasa
- Ada orang pada level dia tersendiri dalam bab tawakal

Sebagaimana kita nak urusan dunia kita meningkat naik, takda orang nak dah tua dia miskin. Dia nak tua senang hidup.

Dalam bab agama juga sama, kita taknak dalam bab agama kita dekat nak jumpa Allah, agama kita masih begitu. Masih lagi agama bak tentera prebet. Kita nak tentera berpangkat, Jeneral. 
Dah lain level dia.

Dalam agama kita nak macam tu, kebergantungan kita pada Allah, keikhlasan, kesungguhan, mujahadah kita semua nampak kualitinya, tak nampak memburuk tapi makin membaik. Ini orang yang menjaga agamanya.

Dan kisah lain,
Syeikh Abul Qasim membuat satu permasalahan antara makna tafwidh dan tadhyi’.

- Tafwidh
Menyerahkan urusannya kepada Allah. Tanpa putus asa.

Nak faham, tentera Islam dikepung dalam perang Ahzab, sehingga kepada catuan makanan. Orang beriman tetap confident datang pertolongan Allah, sabar tanpa putus asa. Tunggu dan tunggu sehingga datang puting peliung.

Allah beri kemenangan.

“Dan Dia yang mengalahkan tentera bersekutu dengan keesaanNya.”

Ini jiwa orang beriman walau dikepung musuh, tetap tawakal.

- Tadhyi’
Serah diri kepada Allah dalam keadaan membinasakan diri
- Serah diri dalam keadaan dia binasa. Dia putus asa, taknak buat apa-apa.

Ada beza, orang putus asa dia taknak buat kerja. Mati pun matilah. Ini tadhyi’, dalam dirinya takda Allah.

Dan tafwidh, ada Allah, dia melihat ada benda baik Allah nak beri pada dia.

Dan tadhyi’, dia tak nampak Allah buat apa.
Orang kafir, pasrah mereka membinasakan, akhir mereka hancur.

Orang beriman dalam sejarah, seteruk mana kejahatan, kekuatan musuh tak pernah melemahkan pergantungan mereka pada Allah, bahkan mereka kata:

 حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

Dan Nabi Ibrahim a.s dicampakkan dalam api, maka ‘Cukuplah bagiku Allah, sebaik-baik pembantu.’

Dalam hidup kita hadapi masalah tak boleh selesai, apakah kita 
- Tafwidh?
- Tadhyi’?

Tapi orang yang tafwidh, bila berlaku kesempitan hidupnya dia tetap yakin ada yang baik Allah nak beri pada dia. Dia hanya dihalang daripada sudut pengetahuan.
Dia cuma tak tau.

Tak tau itu menyakitkan, tapi Allah sembunyikan.
Tak tau apakah dengan musibah ini kita,
- Berjaya; atau
- Mati.

Namun tetap melihat apa pun berlaku dalam dua keadaan ini, baik.

Imam Shafie bila dia lari dari Kota Baghdad, sebab masalah politik yang kuat. Difitnah sehingga nak membawa kepada pembunuhannya, ditinggalkan situasi politik, hasad dengki sesama Ulama.

Dia pun berhijrah ke Mesir, disebutkan dalam satu syair, katanya:

“Demi Allah aku tak tau, aku serah pada Allah apakah ke Mesir ini untuk Allah berikan aku kejayaan, kekayaan atau tempat kematian. Aku serah pada Allah, aku terima.”

Kita bila berhijrah, ada dua keadaan waima:
- Berjaya; atau
- Ia jadi kubur kita.

Di sini kita tafwidh.

Bila Allah menghendaki seorang mati di luar kawasan, dia dijadikan berhajat keluar (daripada tempatnya), waima, ia tanda:
- Tempat mati; atau
- Tempat berjaya. Kekayaan

Kalau kita baca sejarah imigran, negara mana pun, waima tempat itu:
- Tempat mati
- Tempat berjaya

Ini tafwidh, apa pun dia sangka ada penyelesaian terbaik sebagai satu wasangka baik dia pada Allah SWT.

TAWAKUL: PENYERAHAN YANG SALAH, AKHIR MENYUSAHKAN ORANG

Bezakan antara: Tawakal dengan Tawakul

- Tawakul: Tak buat apa-apa dan mengharapkan Allah melakukan sesuatu
- Tawakal: Melakukan apa yang Allah perintahkan, dan menggantungkan hubungan hati dengan Allah.

Kerana sifat tawakul (sifat penyerahan yang salah) ini akan menyusahkan orang lain. 

“Saya taknak kerja, saya serah kepada Allah.”

Tapi lepas tu dia mintak kanan, mintak kiri.
Susahkan orang itu ini maka ini TAWAKUL.
Ini bukan tawakal (tapi) menyusahkan orang.

TOKKU PASIR GUDANG

Bab 3: Ulasan Tentang Maqam-Maqam atau Tingkatan Jalan Pendakian Para Salik/ 17.Tawakal- Siri 15 (m/s 238)
Kitab: Risalah Qusyairiyah 
(Abd Karim Ibn Hawazin Al-Qusyairi)
Terbitan: Pustaka Amani Jakarta
31 Oktober 2023 | 16 Rabiulakhir 1445H

#jomsebarluaskankebaikan

No comments: