Wednesday, October 11, 2023

17. Tawakal (Bahagian 6)

Bab 3: Ulasan Tentang Maqam-Maqam atau Tingkatan Jalan Pendakian Para Salik/ 17.Tawakal - Siri 6 (m/s 230)
Kitab: Risalah Sufi Al-Qusyairi
(Abd Karim Ibn Hawazin Al-Qusyairi)

Intisari
Kuliah subuh Ustaz Mat Esa Deraman
11 Oktober 2023 | 25 Rabiulawal 1444

TAWAKAL SAUDARA KITA DI PALESTIN SEHINGGA DATANG PERTOLONGAN ALLAH

Masih lagi bicara kita tentang makna hakikat dan penterjemahan tawakal dalam kehidupan. Kita mengetahui bahawa tawakal – 

- Kita melihat kelemahan diri kita
- Melihat keberkuasaan Allah dalam semua tempat dan keadaan
- Kita mesti menerima setiap yang Allah Taala tentukan
- Kita meyakini setiap apa yang Allah tentukan itu baik, bagus untuk kita.

Ini jiwa tawakal.

Jiwa tawakal tidak melihat pada dirinya ada kemampuan apa-apa, umpamanya, orang yang berada di tengah lautan. Lemas di lautan.
Takda apa-apa melainkan mengharapkan pertolongan Allah.

Orang yang bertawakal merasakan bahawa dia tak layak apa-apa, melainkan apa yang Allah nak berikan kepada dia. Umpama, dia tetamu yang tidak dijemput tetapi diberikan makanan.

Kita pergi kenduri orang tak jemput namun diberikan makanan. 

Kita tau, kita tak berhak dapat, tapi diberikan juga. Itu memberi maksud bahawa, bila seorang itu bertawakal bahawa dia tak layak itu dan ini dengan pilihannya, walau dia boleh berikhtiar dengan kehendak dia berdasarkan apa yang Allah izinkan.

Tetapi Allah-lah yang menentukan apa yang layak dia dapat.

Kita manusia, Allah perintahkan kita ikhtiar apa yang kita nak. 
Kita nak kaya, maka kita kerja.
Kita nak bahagia kita pun cari segala alat-alat yang membahagiakan kita.
Kita nak kuat, kita buat benda-benda yang akan kuatkan kita.

Itu ikhtiar-ikhtiar yang Allah izinkan, tapi keputusannya kita redha apa pun yang Allah bagi. Umpama kita pergi mengail, kita redha berapa pun Allah beri.
Kita berniaga, kita redha berapa pun yang Allah beri.
Tapi kita ikhtiar dengan apa yang Allah suruh, maka ini jiwa tawakal.

MAKNA TAWAKAL MENURUT ULAMA

Kata Hamdun Al-Qashar (nama sebenar Hamadun bin Ahmad), seorang Ulama Tabi’ Tabiin yang terkenal yang meninggal dunia pada tahun 271 Hijriyah berpegang pada mazhab Sufyan Ats-Tsauri.

Kita cuma kenal empat mazhab, 
Shafie, 
Maliki, 
Hanafi, 
Hambali.

Sebelum itu ada mazhab bernama Mazhab Ats-Tsauri (Sufyan Ats-Tsauri) yang bertahan 200 tahun dalam dunia Islam. Antara penyebar mazhab ini ialah Hamadun bin Ahmad al-Qashar, beliau menyatakan, bila ditanyakan,

“Apa itu tawakal?”

Katanya, “Awak ada 10,000 dirham. Dalam masa sama awak ada 1 danik (1 dirham) = RM1 (Lalu kita berfikir untuk bayar). 

Dan kamu ada pulak hutang 10,000 dengan takda apa-apa, kamu yakin Allah akan bayarkan.”

Ini sempadan tawakal, 
Antara ikhtiar dengan tidak putus asa kita.

Tawakal bukan bererti meninggalkan ikhtiar.

Kata Hamadun, 
Kita ada duit 10,000 dirham tapi kita ada hutang orang 1 dirham. Maka kalau kita orang beriman ikut mana pun kita akan bayar. Sebab kita ada duit 10,000.

Dan katanya pula,
Dalam keadaan lain pula kita ada hutang 10,000 dan takda satu sen pun. Kita yakin Allah akan bayar.

Tawakal itu tidak meninggalkan ikhtiar, dan tak menjadikan kita putus asa.

Umpama kita berperang dengan musuh, tau tanggungjawab kita menentang musuh sebagaimana Allah Taala perintahkan. Tapi ketikamana kita dapati musuh menguasai kita, kita tau Allah takkan membiarkan kita.

Sebagaimana tuan-tuan tengok apa yang berlaku di Palestin, pada hari ke-4 hari ini dikenali sebagai Taufan Aqsa, bila Menteri Pertahanan Israel dan sekutunya bertindak menyekat makanan, minuman, elektrik, ubatan. Semua.

Dan semua hospital dibom.
Hospital Indonesia, hospital Khan Yaunis, semua hospital dibom.
Memang dengan kata lain ini dipanggil siasah ibadah (nak dihancuskan semua) tanpa pengecualian. Dan dibom sempadan Rafah, sempadan Mesir – Gazah. Dibom pintu masuk.

Dan lori-lori dari Mesir diperintahkan berpatah balik.
Takda bantuan.
Satu dunia tak dibenarkan beri bantuan. 

Ketika Israel dapat semua bantuan, Amerika, Jerman.
Sekian negara Eropah hantar bantuan. 

Manakala orang Islam dinafikan bantuan. Semua ‘berhak’ mati.
Di sinilah umat Islam faham makna tawakal. Faham makna tawakal ketika manusia memutuskan segala bantuan.

Mereka lupa, pemilik semua bantuan itu ALLAH.
Mereka lupa yang memberi makan dan minum itu, ALLAH.
Mereka Yahudi lupa sejarah mereka, sewaktu Firaun melaparkan mereka menindas mereka di bumi Mesir. Sejarah itu dekat dengan mereka, Allah tetap memelihara mereka dek mereka dizalimi.

Firaun yang zalim akhirnya hancur dengan segala kekuatan yang dia ada.

Benda yang sama Allah tunjuk balik, kerana umat Islam ini umat yang jauh lebih terpilih daripada Bani Israil. Ketikamana Israel mengamalkan politik Firaun, lebih teruk daripada Firaun, kerana Firaun masih memberikan sedikit makanan kepada Bani Israil. 

Ini taknak beri terus, takda makanan, takda elektrik, takda air, takda kesihatan ubat-ubatan. Semua takda. Mereka akan terus bom dan dijangkan berlanjutan sehingga tempoh 10 hari. Dalam jangkaan beberapa pemerhati politik antarabangsa.

Di sini tawakal itu subur, tawakal amat subur.

Dan saudara kita di Palestin jauh lebih memahami makna tawakal ketika ini. 

Kita membacanya secara teori, walau sebahagian kita melaluinya dalam kehidupan. Namun tak setinggi saudara kita di Palestin, nilai tawakal mereka ketika berperang dengan satu kuasa besar yang didokong semua kuasa besar. Ketikamana ia kuasa yang terlalu kecil yang dipisahkan atau ditakuti oleh semua orang Islam untuk tolong dia.

Takda negara Islam nak tolong, semua diam.

Semua paling garang pun sebut, menyatakan, konflik ini biar berakhir dengan aman. Ketika ayat-ayat orang kafir, 

“Kami akan serang.
Kami akan bantu.”

Bila pihak berkuasa mengarahkan BBC supaya bila menyebut dalam pembacaan berita mereka, sebut tentang Hamas, supaya terus disebut pengganas. Jangan sebut pejuang, sebut pengganas terus. Guna perkataan ‘terrorist’, di berita-berita di Eropah.

Ini bila umat Islam Allah ajarkan makna tawakal supaya mereka keluar sebagai umat paling kuat dan paling berani. 

Apa tidaknya, seorang diri berlawan semua kuasa besar. Ini ketidak-seimbangan perlawanan tapi demikian Allah tunjukkan kemenangan moral, kemenangan spiritual, kemenangan kekuatan sebenar.

Kalau seorang itu diberikan sedikit akal, walau tak banyak, sikit mereka akan dapati bagaimana Islam ini kuat. Semua kuasa besar bergabung untuk lawan satu namanya kelompok nak jaga tanah air mereka, dan ingin menjaga Baitul Maqdis.

Satu kelompok yang cukup kecil.

Penduduk Gaza sekitar 2 juta orang, dan ini satu dunia datang, bantai untuk hancurkan. Tidak mahu beri makan walau sesuap, taknak beri minum walau seteguk, taknak beri elektrik.
Taknak bagi ubat, walau apa pun.

Namun Allah Taala tunjuk yang mungkin kita tak tau dan tak lihat sebagaimana saudara-saudara kita lihat tentang nilai tawakal yang sebenar.

Dalam kaedah Fekah disebut,
Bila sempit itu datang begitu teruk, maka datang keluasan agama.

Dalam kaedah Sufi menyebut, 
Bila manusia berada dalam keadaan kesempitan yang takda hubungan dengan makhluk, maka ketika itu datang keajaiban pertolongan Allah.

Bani Israil mungkin lupa waktu mereka tersesat di Padang Teh selama 40 tahun, tanpa air. Tanpa makanan bahkan tanpa teduhan rumah pun takda. Maka Allah teduhkan mereka dengan awan-awan yang tebal. Allah turunkan hidangan dari langit, dan manisan yang berada di hujung-hujung rumput (Manna dan Salwa).

Manisan dan burung yang turun dari langit, yang menjadi hidangan mereka.

Apa yang berlaku pada zaman dahulu, akan dikumpulkan oleh Allah untuk berlaku pada umat ini kerana umat ini menjadi saksi kepada apa yang berlaku dahulu. Dan Allah pasti akan memberikan apa yang berlaku dahulu kepada mereka.

Kita orang Islam, kita baca al-Quran kita baca mukjizat-mukjizat yang berlaku kepada Nabi Nuh a.s, Nabi Ibrahim a.s dan kesemua para Nabi a.s

Dan kita dengar bagaimana mukjizat-mukjizat ini datang, kepada orang-orang beriman di kalangan para Nabi dan Rasul. Kita baca al-Quran itu. Allah nak apa yang kita baca itu, hari ini kita akan lihat. Hari ini kita akan lihat bagaimana pertolongan Allah itu datang.

Kerana bila umat Islam ia akan menguasai dunia semua dengan Imam Mahdi dan turunnya Nabi Isa a.s. ia takkan berlaku sehingga umat ini bersedia untuk melihat semua ini berlaku kerana Allah. Bukan kerana kekuatan mereka. Selagi umat Islam lihat kuat mereka maka takkan keluar lagi Imam Mahdi. Takkan keluar.

Sehingga kita nampak semua ini daripada Allah, dan yang pertama melihatnya ialah sahabat-sahabat kita di Palestin. Mereka akan melihat semua daripada Allah, bukan manusia.

Hatta kawan-karib, orang-orang Islam juga takkan tolong mereka.
Tak boleh tolong. Dan mereka akan lihat direct pertolongan Allah.

Ini jiwa tawakal. 

Ini kita katakan bila disebutkan Hamadun Al-Qashar tentang tak pernah putus asa. Kalau ada hutang 10,000 takkan putus asa. Allah akan bayar.

Sebagaimana dikiaskan zaman sekarang walau disekat makan, minum dan semua? Ada Allah yang akan membantu.

Allah Pemilik segala-galanya.
Ada orang dia nak laparkan orang, tapi dia yang mati kelaparan.

Yang ini dia mungkin lapar kerana takda makanan, 
Tapi ini dilaparkan kerana tak selera makan.
Apakah tuan-tuan tengok perbezaan,
- Dia tak mampu makan

Ini berlaku waktu Firaun menzalimi Bani Israil dengan tak mahu memberi minum, taknak beri minum.

“Sungai Nil aku punya!”

Jadi apa jadi? Waktu mereka nak minum air Sungai Nil berubah jadi merah darah. Dan mereka tak boleh minum. Mereka terpaksa beri air itu ke tangan Bani Israil, bila sampai di tangan Bani Israil air itu kembali warna air.

Mereka tak boleh minum melainkan di sebelahnya mesti ada Bani Israil. Kalau tidak air jadi darah, ketika mereka miliki semua air Sungai Nil seperti dakwaan mereka.

Saya katakan, apa yang kita dengar dulu, apa yang Allah wahyukan cerita dalam al-Quran tentang kesudahan orang zalim dan kemenangan orang yang dizalimi, maka kita akan tengok contoh orang paling dekat. Pasti yang dizalimi itu akan menang. Yang menzalimi tidak akan menang.

Sejarah peradaban manusia, yang zalim takkan menang.
Kalau mereka menang untuk timbul seketika, kemudian tenggelam selamanya.

Sifat batu dicampak dalam air tenggelam.
Kalau ia timbul kerana ia batu palsu, kelak ia tenggelam kerana ia batu. 

Sifat sabut walau ia sabut ia ditenggelamkan?
Ia sabut ia akan timbul. Sebab ia jenis timbul.

Kebenaran walau ditenggelamkan, sifat kebenaran itu ia timbul juga.
Kebatilan walau cuba ditimbulkan ia tetap tenggelam kerana sifat batil itu tenggelam.

Ini bila kita nak faham sunnatullah dalam kehidupan. Ini tentang makna tawakal sebenar.

TOKKU PASIR GUDANG

No comments: