Monday, October 30, 2023

17. Tawakal (Bahagian 14)

Bab 3: Ulasan Tentang Maqam-Maqam atau Tingkatan Jalan Pendakian Para Salik/ 17.Tawakal - Siri 14 (m/s 236)
Kitab: Risalah Sufi Al-Qusyairi
(Abd Karim Ibn Hawazin Al-Qusyairi)

Intisari
Kuliah subuh Ustaz Mat Esa Deraman
30 Oktober 2023 | 15 Rabiulakhir 1445

TAWAKAL: BERGANTUNG KEPADA ALLAH, BERCAHAYA DUNIA KITA

Masih perbicaraan tentang tawakal dan kisah-kisah yang dibawa oleh Imam Abul Qasim al-Qusyairi untuk memberikan kepada kita gambaran tawakal.

Kita tahu bahawa bila kita menyebut tawakal – kepercayaan kita kepada Allah SWT secara tulen, dan melihat sebab musabab itu perkara pinggiran, bukanlah perkara asas.

Perkara yang dilakukan dengan ikhtiar sebagai seorang hamba yang diperintahkan oleh Allah, namun keyakinan kita pada natijah yang Allah tentukan. 
Umpama kita berusaha untuk mendapatkan sesuatu, namun keyakinan kita bukan pada usaha kita ketentuan Allah Taala.

Umpama, kita mengambil ubat, cari rawatan.
Namun keyakinan kita yang menyembuhkan itu, ALLAH.

Maka ini dipanggil ‘al-Sikkah Billah’.

Sehingga perasaan ini kata Imam Ibn Hambal, ‘menimbulkan rasa putus asa kepada makhluk’.

Ertinya, tak berharap pada makhluk.

Manusia, hamba Allah bila Allah Taala nak mencapaikan dia ke tahap tawakal maka Allah putuskannya kepada segala sebab, makhluk-makhlukNya sehingga dia tidak nampak melainkan Allah. Maka benarlah doa, benarlah pergantungan dan pengharapan.

Kata Ulama, bahawa tawakal itu separuh agama, separuh iman.
“Agama ini terbina pada dua (2):

1. Al-Istianah (meminta pertolongan)
2. Al-Inabah (beribadat / bertaubat kepada Allah)

Dalam Surah Al-Fatihah kita baca setiap hari,

إِيَّاكَ نَعْبُدُ 

(Surah Al-Fatihah, 5)

- Hanya kepadaMu kami menyembah

Ini dinamakan inabah (menyembah).

Dalam segala ibadat yang kami cari pahala, cari redha, yang kami tunjukkan perhambaan hanya kepada Allah dan tiada selain Allah.

وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

(Surah Al-Fatihah, 5)

- Dan hanya kepadaMu kami minta tolong (bertawakal)

‘minta tolong’, maksudnya bertawakal. 
Ertinya kalaupun kita mintak tolong pada fulan bin fulan, mintak tolong pada ubat, mintak tolong pada usaha dan ikhtiar namun tawakal kita pada Allah (kepercayaan kepada Allah).

Percaya Allah pada,
- Ilmu
- Hukum
- Janji

Maka tawakal ini ada tiga (3):
i) Tawakal
ii) Taslim
iii) Tafwidh

Makna ketiga-tiga ini sama, iaitu tawakal kepada Allah.
Tapi bila diperhalusi:

- Tawakal: Percaya pada janji Allah
- Taslim: meletakkan ilmu Allah, bahawa ‘Allah tahu’
- Tafwidh: redha dengan hukum Allah

Kita nak tahu benar tak kita tawakal, kalau seorang itu dah buat kerja, usaha dan kita tanya dia, “Macam mana?”

“Saya dah kerja, dah usaha.”

Tiba-tiba dia tak dapat macam dia nak, apakah dia redha ketika itu?
Kalau redha maka benarlah perkataan pertama dia, 
“Saya redha.”

Kalau dia tak redha, dia kata, 
“Ish! Patut saya dapat!”

Bererti ‘cacat’ tawakalnya.

Tawakal menjadikan kita setuju dengan natijah, setuju apa pun natijah Allah pada kita, redha dengan hukum Allah.

Kita nak bawak beberapa kisah tawakal, dengan gambaran tentang makna tawakal sebenar. Dulu kita dah bawak kisah beberapa orang Ulama bagaimana tawakal mereka kepada Allah.

Al-Imam Abul Qasim bawakan kisah / kata-kata daripada Mimsyad ad-Dainuri (wafat 299H), suatu hari dia bicara tentang hutangnya, dia kata,

“Aku bila bicara tentang hutang aku tak boleh tidur, aku sentiasa berfikir bagaimana cara membayar hutang sehinggalah satu malam aku bermimpikan seorang berkata kepadaku,

‘Wahai orang yang kedekut! Kamu ambil daripada fulan bin fulan sedangkan kami yang memberinya.’

Bila berhutang, kita ambil hak orang.
Ingat kita kena pulangkan. Itu hak orang bukan hak kita.

Manakala waktu kita berhutang, Allah-lah yang memberikan rezeki kepada kita untuk bayar balik.

Di sini dalam maksud, makna kisah ini,
Seorang bertawakal kepada Allah itu dia yakin Allah akan bayar hutang dia, namun dia sentiasa berfikir tentang hutang tersebut sebagai satu tanggungjawab.

Sebagaimana kita dah ceritakan seorang ini bilamana seorang itu benar-benar bertawakal bab hutang, ceritanya, kalau dia ada RM1 juta, tapi dia ada hutang RM10, dia ingat hutang RM10.

Dia tak pernah lupa hutang dia, ini orang jiwa tawakal.
Jiwa tawakal takkan merosakkan hak orang lain.

Itu makna tawakal, jangan sampai rosakkan hak orang lain.
Kena fikir hak orang lain.

Dan sekiranya dia ada hutang RM1 juta –

- Tadi dia ada duit RM1 juta, hutang RM10. Maka anytime boleh bayar

TAPI biasanya, orang-orang duit banyak .. hutang orang dia lupa.
Dia rasa duit banyak, maka dia rasa anytime dia boleh bayar itulah dia cuai bayar pada waktunya.

Dia cuai.

Contoh: Kita suami, berhutang dengan isteri, setiap bulan kita bagi duit isteri kita RM1,000 – RM2,000.

Kita pun berhutang (dengan isteri), “Pinjam duit awak RM10.”
Bayar balik.
Isteri kita bagi.

Walaupun kita tiap-tiap bulan beri dia (isteri) duit nafkah, kita tetap kena pandang RM10 yang kita pinjam daripada dia, kerana itu pinjam. Ia takkan jadi duit kita.
Kita beri anak kita duit tiap hari, anak kita nak beli apa kita beri.

Ada waktu kita cakap pada anak kita, “Beri pinjam Abah RM1, RM10, RM15.”

Kita lupa nak bayar sebab setiap hari kita beri duit ke anak kita.
Jawapan itu salah.

Jiwa tawakal bukan begitu.
- Jiwa tawakal dia ingat hak orang lain walaupun orang lain itu isteri, anak dia. Sementelah orang lain?

Contoh, ada RM1 juta.
Dia hutang orang RM10, dia ingat. Dia mesti bayar.

Kebanyakan manusia lalai bab itu.

Dan kalau dia ada hutang orang RM1 juta, tapi dalam bank dia hanya ada RM10.
Hutang RM1 juta, DIA YAKIN ALLAH AKAN BAYAR.
Maksudnya dia takkan putus asa dengan keluasan rezeki Allah.

Jadi dia tidak pernah melepaskan tanggungjawab dia pada hak orang lain.
Dia tak pernah putus asa, dengan limpah-kurnia Allah Taala pada dia. 

Maka inilah tawakal.

Kerana itu Mimsyad ad-Dainuri dia kata,
“Aku bila berhutang, aku tak boleh duduk diam. Aku sentiasa ingat hutang aku.”

Maka ini orang tawakal.
Ertinya, ada setengah orang dia berhutang dan dia tenang,

“In shaa Allah ada rezeki saya bayar.”

Seolah macam tawakal, ini BUKAN jiwa tawakal.
Ini jiwa orang yang sia-siakan hak orang lain.

Sebab itu di sana ada istilah disebut oleh Ulama,
- Tadyiq’, mensia-siakan

Bilamana kita dalam hak orang lain ke atas kita, kita kata,

“Takpa.. relax.. “

Gambaran macam tawakal tapi itu sebenarnya mensia-siakan hak orang.

Kita Ayah, 
Ayah wajib beri nafkah pada anak isteri, berupa pakaian, makan minum.
Kalau hari ini kita tak jumpa makan minum anak-anak kita susah hati kerana ia tanggungjawab. Ia tanggungjawab, kita bimbang Allah tanya kita.

Kita kalau tak makan minum, kita tak kisah. 
Sebab itu hak kita.
Hak orang kita akan ambil berat.

Orang bertawakal sentiasa ambil berat hak orang lain.

Diriwayatkan Nabi SAW suatu hari pergi Haji. Rasulullah SAW pergi Haji dan bawa sahabat 100,000 orang dalam peristiwa Hajjatul Wada’, bawak.

Lalu Rasulullah SAW berhenti di beberapa tempat dalam perjalanan Haji, bermula di Zulhulaifah (dikenali juga sebagai Bir Ali), di situ Jibril a.s memberitahu kepada Rasulullah SAW,

“Inilah miqat bagi setiap ahli Madinah.”

Kita tahu miqat (tempat niat), Allah yang tentukan.
Allah yang beritahu Nabi SAW bahawa ini tempat miqat.

Bukan tempat itu Kerajaan Arab Saudi reka, bukan. Ini diperintahkan. 

Maka Rasulullah SAW pun bersembahyang dalam ihram di miqat tersebut (Zulhulaifah / Bir Ali).

Hari ini kita pergi naik bas, keretapi.
Kemudian Rasulullah SAW akan pergi ke beberapa kawasan, 
Berhenti di Juhfah, 
Berhenti di Asfan.

Maka bila Rasulullah SAW berhenti, maka Saidina Abu Bakar as-Siddiq siapkan bekalan Haji Rasulullah SAW. 

Saidina Abu Bakar as-Siddiq bawa unta khas dipanggil ‘Zamilah’, unta khas untuk bawa bekal.
Kalau hari ini kargo khas.

Di sini ada semua untuk makanan Nabi SAW, ada gandum, syair, ada semua yang Saidina Abu Bakar tahu, yang Nabi SAW suka makan. Bawak satu bekal dalam satu unta, penuh. 
Bak hari ini lori ‘pikap’, penuh.

Unta ini Saidina Abu Bakar suruh salah seorang khadamnya bawa, dan khadam ini tertidur.

Bila bangun tidur, unta itu hilang!

Saidina Abu Bakar amanahkan dia, dalam jemaah 100,000 orang, 
Bergerak, jumpa Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW menyatakan, dan sahabat semua nak ikut.
Sampai rehat, Rasulullah SAW suruh buat khemah, 
Makan-makan.

Maka Saidina Abu Bakar kata, “Ya Rasulullah, aku dah siapkan bekalan.”

Tunggu dan tunggu tak datang. Sehingga datanglah khadam kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq,
“Tuan minta maaf, saya tertidur.
Bangun, unta hilang!”

Saidina Abu Bakar amat marah, lalu Nabi SAW tenangkan Saidina Abu Bakar,
“Tak payah marah-marahlah, dah hilang.
Bukan rezeki..”

Saidina Abu Bakar berkata,
“Ya Rasulullah.. isunya ialah kerana aku tak kisah bekalan aku hilang. Tapi ini untukmu Ya Rasulullah.”

Lihat, bila fikir hak orang lain.
Apatah lagi hak Rasulullah SAW?
Dia mengambil berat. Maka itu jiwa tawakal.

Bukan kata, “Bukan rezeki..

JANGAN cakap macam tu, ini hak orang. Kita perlu tunjuk rasa tanggungjawab.
Orang amanahkan kita jaga barang, tiba-tiba hilang!
Kawan tanya, 

“Mana barang?”

“Hilang, nak buat macam mana takdir Allah..
Tawakal ajelah, Allah ganti lebih baik.”

Itu kalau hak awak, okay.
Ini hak orang. Awak kena rasa bersalah dan kena bertanggungjawab.
Itu maksud tawakal.

Bukan tawakal itu buat tak tau je. Buat macam tu jika hak kita (okay), tapi bukan hak orang lain.

Macam cerita bab hutang, 
Kalau orang hutang kita, kita buat tak tau okay.

“Takpalah.. dia ingat, nanti dia bayar. Tak ingat, itu rezeki dialah tu..”

Itu tawakal.

Tapi kalau kita yang hutang orang, jangan buat tak ingat.
Itu MUSIBAH.

“Takpalah Ustaz, ada rezeki bayar.
Takda rezeki, sudah.”

Tak boleh cakap macam tu.
Cakap macam tu daripada sudut lafaz, tak betul daripada sudut kesungguhan.
Kesungguhan.

Sebab itu Saidina Abu Bakar as-Siddiq bila hilang unta yang bawa bekalan (makanan Nabi SAW) beliau marah kerana ia bukan haknya.

Katanya, “Ya Rasulullah.. unta ini kalau hak aku, aku makan .. aku tak kisah ia hilang. Biarlah ia hilang. Tapi ini untukmu Ya Rasulullah..”

Maka datang sahabat lain, Saad bin Ubadah. Dia pun sama dah sediakan makanan untuk Rasulullah SAW. Para sahabat sentiasa fikir nak berkhidmat kepada Nabi SAW, kerana tidak akan kemuliaan selain berkhidmat kepada Nabi SAW.

Tuan-tuan kalau kita khidmat kepada orang-orang biasa pun kita dapat pahala banyak, jangan kata khidmat kepada Nabi SAW, kepada orang-orang yang Allah berikan kelebihan.

Kata Mimsyad Ad-Dainuri dia menyebut,
Adab seorang murid pada empat (4) perkara:

[Murid, orang yang nak berjalan kepada Allah]

Ada empat (4) adab yang perlu dijaga:

1. Menjaga kemuliaan Gurunya
2. Berkhidmat pada kawannya

Orang yang dia nak jadi baik, dia suka khidmat ke orang lain.

3. Dia keluar daripada pergantungan sebab
4. Menjaga hak syarak ke atas dirinya (hukum-hakam)

Kita lihat kisah Saidina Abu Bakar as-Siddiq, bila hilang bekalan makanan Nabi SAW dia marah  kerana ia hak Nabi SAW. 

Dan kata sahabat yang lain, Saad bin Ubadah RA dia berikan bekalan makanan yang juga sudah disediakan khas buat Nabi SAW. Datang sahabat yang lain juga mengatakan perkara yang sama, telah membawakan unta khas membawa bekalan buat Nabi SAW.

Lalu Rasulullah SAW suruh masak dan suruh semua makan, semua makan.
Ramai-ramai jamuan makan, dalam perjalanan Rasulullah SAW menunaikan ibadat Haji. 

Ini cerita tentang sekelumit makna tawakal, yang kita katakan,
Beza hak kita dan hak orang lain. Tawakal menjadikan kita pandang tinggi hak orang lain, dan pasrah pada hak kita.

Hak kita,  kalau orang tak ingat hutang kita,
Orang tak ingat nak puji kita,
Orang tak ingat nak berterima kasih pada kita?
Kita takpa.

Kita dah tolong dia, “Eh tak ucap terima kasih?”
Takpa. Kita okay. Itu hak kita.

TAPI kita pulak pada  hak orang lain, kalau orang tolong dan kita tak ucap terima kasih, kita rasa bersalah. Kita cari dia nak ucap terima kasih sebab kita rasa bersalah.

Kita pulak kalau hutang orang, kita dok fikir setiap hari,
“Ada duit ni nak bayar duit dia dulu.”

- Hak orang

Jadi orang-orang yang bertawakal, dia tak mengambil mudah hak orang lain. 

Ini kisah Mimsyad ad-Dainuri / ad-Dainuwari.
Caranya, hak orang lain ambil berat. Jangan atas nama tawakal, hak orang lain kita ambil mudah. 
 

Dan kisah ke-2, Imam Bunan Al-Hammal, Ulama (wafat 310 Hijriyah), dikenali sebagai Syaikul Islam (orang yang dianggap contoh dalam ibadat). Dia ahli ibadat yang hebat.

Kata Imam Zahaby, “Ini Syaikhul Islam.”

Bila kita sebut ‘Syaikhul Islam’, istilah / gelaran yang bukan milik seorang individu. 

Syaikhul Islam ini ramai Ulama-ulama yang dapat gelaran ini, bila dia menjadi identiti Islam itu sendiri. 
- Ilmu
- Ibadat
- Takwa
- Kesolehannya

Maka disebut dia ‘Syaikhul Islam’,

Contoh: 
Syaikhul Islam Zakariya al-Ansori – daripada sudut ilmunya.

Syaikhul Islam Abdullah bin Mubarak – daripada sudut takwanya

Syaikhul Islam Bunan Al-Hammal – daripada sudut ibadatnya

Kita selalu dengar istilah ‘Syaikhul Islam’ (Syaikh Islam).
Makna dalam Islam dia jadi contoh, ikon.

‘Syaikh’ – Ketua / Tok Guru dalam Islam
Orang ‘pandang’ dia, jadi ‘kiblat’ dalam amal-amal kebaikan.

Diceritakan tentang Bunan Al-Hammal dia kata,
Suatu hari saya dalam perjalanan ke Mekah, dari Mesir.
Saya pun bawak bekal.

Gelaran ‘Hammal’, kerana kerjanya pikul barang. 
Dia pikul barang dan dapat upah.

Sebagaimana kerja-kerja di pasar, kerja bawak barang orang dan dapat upah. 
Diberi RM2, hantar barang ke sini dan sini.

Maka gelaran Bunan al-Hammal (Bunan Pembawa Barang).

Dia bawa barang yang banyak, tiba-tiba seorang perempuan datang kepadanya dan berkata,
“Apakah kamu tak percaya Tuhan yang memberikan rezeki kepadamu? Yang kamu terpaksa bawak bekal macam ni?”

Dia pun semacam ditegur oleh wanita tadi, maka dia pun berikan bekal dia pada orang lain. Dia tak makan selama tiga hari, redha. Cukup dengan minum, tak makan.

Tiba-tiba dia jumpa gelang kaki, dan dia berkata,
“Saya akan pegang gelang kaki ini sehingga empunyanya datang, saya akan pulangkan nanti dia mungkin berikan saya sesuatu.”

Tiba-tiba dia terjumpa lagi perempuan yang dia terserempak kali pertama. Perempuan ini berkata,
“Kamu rupanya pedagang. Cari untung daripada barang dijumpa.
Patut kamu jangan  jadi pedagang.”

Jangan jumpa barang orang lalu nak pulangkan supaya orang tu beri upah. Jangan begitu. itu semacam peniaga.

- Kita bila jumpa barang orang, jangan pernah mengharap dia beri sesuatu pada kita, sebab kita bukan meniaga. Itu barang dia, kita nak berikan (pulangkan) pada dia saja.

Kalau kita jumpa barang orang, kita pun beri.
Orang nak bagi duit (saguhati) kita kata, 

“Tak saya bukan meniaga. Barang awak hilang, saya jumpa dan awak ambil (semula). Jangan bercita-cita dalam hati begitu (nak diberi upah).

Lalu perempuan ini pun berikan dia beberapa dirham,
‘Ambillah duit ni buat belanja, tak payah mengharap yang itu (berharap diberi saguhati atas menjumpa barang hilang tadi).

Lalu Bunan pun mengambilnya.
Dan memberikan sedekah kepada orang-orang terdekat di kota Mekah, kaum kerabatnya. Dimanfaatkan buat diri dan diberikan kepada kaum kerabatnya.

Apa falsafah di sebalik cerita Bunan al-Hammal?

Kita kalau berjalan bawak bekal kan bagus?
Iya bagus.

Kita ada peringkat bagaimana melatih diri bertawakal. Saya pernah cerita bila komando buat latihan tak boleh bawak bekal. Askar biasa boleh bawak bekal.
Askar berat beg 40 kilo, makanan ada belaka.

Bila berada di satu tahap yang baru, komando tak bawak beg dah.
Bawak pisau satu, pakaian pun mungkin tak pakai.
Dah diajar skil survival, bawa pisau sahaja. Dengannya boleh hidup, kekuatannya kuat.

Ini tentang latihan tawakal.

Pertama, kita dah kata: Tidak ada masalah mengambil sebab.
Cuma kadang-kala kalau kebergantungan itu pada sebab, kita mesti putuskan. Takut akidah rosak.
Sebab itu Ulama pernah disebut, “Kita kalau selalu melihat sebab dan bergantung, akan  memutuskan hubungan kita dengan Allah yang menciptakan sebab.”

Kita ni, tuan-tuan kalau sentiasa tengok sebab – dok tengok, fokus sebab, ia akan menghilangkan pergantungan kita pada Allah yang menciptakan sebab. 

Kita dah biasa sakit kepala, Panadol.
Sakit kepala, Panadol.

“Saya Ustaz, ubat ni bagus betul ni. Bila pening kepala fikir Panadol.. Panadol.”

Ni contoh.
Contoh ubat. 

Makan ubat ni, ok.
Bukankah itu boleh merosakkan akidah kita?
Cuba kita pening kepala jangan makan Panadol? Bukan tak tau.
Tukar, makan budu.
Maka tempoyak.
Makan durian.

Tujuannya, supaya tak bergantung pada sebab. Contoh, orang yang biasa ke laut, dia bergantung pada laut. Dia ni kalau jadi petani, tak jadi.
Sebab itu bila laut bergelora, dia pun menganggur dekat rumah.

Orang tanya, “Tak pergi kerja?”

Dia kata, “Nak kerja apa, laut bergelora. Ombak kuat.”

Duduk rumah. 
2 minggu laut bergelora, 2 minggu duduk rumah.

“Orang rumah nak makan?”

“Nak buat macam mana, takda kerja Ustaz.”

Ini orang bergantung, sehingga bila berlaku sesuatu pada benda tu dia tak reti nak beralih ke lain. 

Itu yang bila kita berhenti kerja dan kena berhenti kerja.. gelap dunia!
Sebab apa?
Sebab kita bergantung pada satu sebab. Kalau kita sentiasa bergantung pada Allah, sentiasa bercahaya dunia kita.
Tak boleh ke sini, ke sini.

Laut bergelora, darat tak bergelora.
Darat pulak kita cari rezeki.
Darat ada masalah, sini pulak. Sini pulak.

Ini orang yang tak bergantung pada sebab.

Sebab itu kata Ulama, 

1. “Sentiasa melihat sebab secara berterusan, akan memutuskan daripada kita melihat Tuhan penyebab.”

Anak kita yang selalu beri duit ke kita, sebulan RM300, tiba-tiba lupa bulan tu.
Kita kata apa, kita yang bergantung pada duit anak-anak beri.
RM300 sebulan buat beli ikan, beras. Bayar elektrik, air.
Tiba-tiba anak kita terlupa atau taknak beri –

Tuan-tuan, kalau kita tak bergantung pada sebab, kita tak perlu marahkan dia. Sementelah kita pun tau, dia tak cukup duit. Contoh.
Takpa, bukan rezeki.

Allah nak ajar saya satu ilmu tak bergantung pada anak. Adalah cara lain, Allah akan datangkan rezeki. Rezeki tetap datang.

Tuan-tuan kita kena tau rezeki Allah tentukan, bukan sebab tentukan.
Kerana itu kita melihat dalam perjalanan hidup kita bila kita sudah lemah melakukan sebab, tetap datang benda yang  Allah takdirkan pada kita. Kita dah lemah nak melakukan sebab-sebab itu, tetap Allah datangkan apa yang menjadi bahagian kita.

Kata para Ulama,
2. “Tapi kalau kita langsung taknak pegang sebab, menyebabkan akan membuat perkara batil.”

Orang yang taknak berusaha maka dia berbuat batil – 
Meminta dengan orang, 
Menipu orang, 
Batil.
Dia buat benda Allah tak suruh, batil.

Jadi orang beriman dia berada di pertengahan, mengambil sebab tapi tak bergantung pada sebab. Namun dia sentiasa mendidik diri untuk bebas daripada sebab. 

Rata-rata manusia bila dia mula pegang satu sebab, dia mula bergantung. Seperti bergantung seorang anak pada susu ibunya.

Rata-rata kita.
Kita kerja jual insuran, kalau insuran takda agak-agak macam mana?

“Tak tau Ustaz nak buat macam mana..”

Lihat?

Katakan kerja kita sebagai peniaga, buka kedai makan.
Katakan takda kedai makan.
Apa kita nampak?

Gelap? Kubur?

Bererti pergantungan itu dah merosakkan kita.

Katakan kita Cikgu dan dah takda sekolah nak mengajar,
“Macam mana awak rasa?”

“Kalau dah takda murid nak dengar awak kuliah, apa awak rasa?”

Ini yang kita nak buang, pergantungan. 
Buang pergantungan supaya tulen akidah kita, bersih. Tinggalkan.

Ini yang ditarbiyah Bunan Al-Hammal bila dia suatu hari nak ke Mekah dan bawa bekal. Seorang perempuan tegur dia,
“Apakah engkau tak percaya Allah akan beri rezeki sepanjang perjalanan?”

Dia pun fikir, dia buang bekalan beri ke orang.
Tiba-tiba dah lama berapa hari tak makan, terjumpa gelang kaki.

Dia fikir kalau pulangkan gelang kaki akan diberi upah. 

Kenapa fikir upah?
Fikir untuk pulangkan…

Ertinya wanita ini Allah datangkan sebagai teguran padanya.

Dalam hidup ini, Maha Suci Allah, Maha Kasih Allah semua benda sekeliling kita sedang menegur kita tanpa kita sedar. Orang-orang yang berfikir dia akan mendapati puluhan sumber menegurnya dalam dia membina hubungan dengan Allah.

Sedang kita berjalan tengok orang cacat,
“Ya Allah ada rezeki dia..”

Sedang kita berjalan, tengok orang tua, “Macam mana dia gagah boleh buat itu ini?”

Ertinya, adanya kurnia Allah Taala pada dia.

Tuan-tuan dalam perjalanan hidup kita, kita ada ratusan ‘penegur-penegur’ tanpa kita sedar. Ketikamana kita berputus asa dengan limpah kurnia Allah, Allah tunjuk –
Fulan bin fulan, lihat.
Bagaimana Allah susun rezeki Dia.

Kita dah pecah kepala tak cukup belanja bulan ni.
Kita pun tengok orang ini itu, teguran Allah pada kita.

Yang ini anak 10, gaji RM500 – RM600, cukup.
Kita anak dua orang je, yang pening sangat tu kenapa?

Ini teguran kita.

Orang lain rumah pun takda boleh bergembira.
Kita rumah 3- 4 bijik, masih lagi sedih? Susah hati?

Orang lain naik kenderaan pun takda.
Kita? Kereta pun banyak, tapi susah hati banyak.

Lalu kita tengok sekeliling ia sedang memberi teguran kita tanpa kita sedar.
Sebab itu kita diajar lihat sekeliling, dan belajar untuk putuskan sebab. Sebab bila kita melihat sekeliling, tahulah kita sebab takda. Yang ada cuma Allah.

Contoh, mengail:
Kita mengail ikan, 5 – 6 orang. 
Yang ini expert mengail pengalaman 20 tahun.
Yang ini Johan 5 tahun berturut-turut.
Dan sekian-sekian. 

Dan yang budak kecik, dia pinjam joran orang. Akhir yang dapat ikan budak kecik ni dapat. Pinjam joran orang, ikan mata kail pun tak pandai, umpan orang pasangkan tapi ikan pergi dekat dia.

Ikan tak pergi pada orang yang juara 5 kali,
Tak pergi pada orang yang pengalaman 20 tahun.

Di situ kita belajar, mashaAllah di situ Allah putuskan sebab.

Kita guna ilmu marketing berniaga, yang kawan kita ni nak suruh marketing pun tak pandai, nak sebut marketing pun tak pandai tapi Allah lapangkan rezeki dia.
Kita belajar sesuatu, sebab takda apa-apa.
Bukan bererti kita tak mengambil sebab, tapi sebab takda apa-apa.

Kita dah beritahu daripada awal perbincangan tentang tawakal bahawa SEBAB itu:
- Hanya untuk tenangkan hati kita
- Mengikut syariat

Secara hakikat, sebab bukan pemutus / penentu keputusan.
Kita sebut Malaysia Boleh! – inilah yang menjadikan kita tak boleh.
Sebutlah Malaysia Boleh, tak boleh sampai ke sudah.

Supaya kita tau bahawa sebab bukan pemberi natijah, sebab hanya untuk tenangkan hati kita yang susah hati, ataupun orang sekeliling kita susah hati tengok kita tak kerja.

Kita duduk dekat jamuan, orang beri makan. Kawan kita tunduk, kita kata dia mintaklah (makanan), kita susah hati bagi pihak dia.
Dia tenang, taknak mintak.

Kita pulak susah hati, kita bangun dah bagi ke dia.
Tanpa kita sedar, lihat bagaimana Allah atur untuk dia.

Ada orang bila pergi jamuan, dia perhatikan hak dia. Giliran dia.
Dan ada orang dia jenis tak peduli, ada maka ada. Takda, sudah.
Orang sekeliling dia yang susah hati.

Di situ sebenarnya teguran kepada sebab-musabab.

Ada orang kita tengok dia kerja bersungguh, 
Ada orang dia kerja biasa-biasa je.
Di situ kita belajar sebab-musabab bukan penentu tanpa kita menolak sebab-musabab. Dan tanpa kita menolak perintah Allah supaya kita berusaha bersungguh-sungguh.

Kita tak tolak, itu perintah Allah.

“Ustaz kalau ada orang tu berusaha tak bersungguh-sungguh?”

Boleh. Dia kena redha dengan natijah dia.
Redha.

Redha, kalau dia berjaya dengan tak berusaha bersungguh-sungguh, dia jangan sombong.

Kalau dia tak berjaya, dia kena redha.
Itu bahagian dia.

Kalau begitu takda masalah, untuk diri dia.

Di sini kita memahami tentang bagaimana tawakal terbentuk, dengan terputusnya melihat sebab sebab asas / penentu. Maka Bunan al-Hammal belajar daripada perempuan ini, bagaimana membina tawakal sebenar.

Kisah ke-2, berkenaan Bunan al-Hammal yang dia nak seorang perempuan (jariyah) untuk bantu dia. Ini zaman hamba dijual-beli. Ia tak tercela kerana itu zaman dijual-beli hamba.

Kita tak boleh mencela sesuatu yang diterima suatu zaman, setiap benda bersifat adat akan berbeza-beza ikut zaman.
Dulu orang jual hamba lelaki, perempuan.

Bunan nak seorang hamba, disuruh budak perempuan menguruskan.
Dan keluarganya cari perempuan yang baik, bagus. Lalu pedagang hamba bawa perempuan yang banyak lalu mereka tengok seorang hamba perempuan yang sesuai.

Bila tengok mereka nak beli, lalu kata penjual hamba ini bukan untuk dijual.
Mereka paksa, nak beli untuk Bunan al-Hammal untuk khidmat, dan bersungguh mereka mendapatkannya untuk Bunan, orang soleh.

Akhirnya kata penjual, 
“Minta maaf, perempuan ini ada seorang dah beli dia. Seorang wanita dari Samarkhand (Russia hari ini), dia beli dan dah titipkan pesanan supaya saya memberikan kepada seorang bernama Bunan Al-Hammal.”

Keluarga Bunan nak beli perempuan hamba itu tanpa memberitahu nama Bunan, nak beri Bunan. 

Ditolak permintaan oleh si penjual dengan mengatakan hamba itu telah dibeli seorang perempuan dari Samarkhand, untuk dihadiahkan kepada Bunan al-Hammal.

Lihat bagaimana rezeki itu datang?

Dalam kehidupan harian kita, kita rasa nak makan durian. Pergi beli durian, takda durian kita nak. Kita takda duit, atau durian takda, atau orang yang jual durian tu takda. 

Bila balik rumah, dah ada durian dekat rumah.
Kita berusaha ke arah tu, tiba-tiba natijahnya Allah dah hadirkan dekat rumah.

Kita rasa nak makan baryani, terasa nak makan dan cari tempat sedap. Tiba-tiba ada kawan kita hantar dekat rumah, dia kawan kita kata dia teringat ke kita.

Allah jadikan dia ingat kita.
Lihat bagaimana perjalanan rezeki?

Sebab itu kita sebut tawakal sebagai contoh yang hidup, bahawa kalau ia rezeki kita ia akan datang. Sebab itu penting kita menyerahkan urusan kita kepada Allah, bukan kepada asbab yang telah kita lakukan yang kita ikhtiarkan.

Walau kita kata asbab ini bagus tapi ia bukan suatu yang menjadi pergantungan.

Ada satu cerita, satu rombongan Haji nak mendampingi Bisyr al-Hafiy.

Menjadi suatu kebiasaan orang, kadang-kadang nak tumpang glamour Ulama, orang-orang soleh. Tapi Ulama ini, yang mendampinginya dia sudah pilih. Maka bila orang tu mula masuk dia akan uji.

Ada satu ketika seorang datang pada Abu Yazid al-Bistomi, dia terkenal. Orang ini kata, 
“Syeikh, saya nak mendampingi Syeikh.”

Abu Yazid berkata, “Boleh. Syaratnya ialah kamu mesti makan makanan dalam tong sampah baru boleh dampingi aku.”

Tuan-tuan ini bukan kata-kata dia nak suruh makan makanan dalam tong sampah, bukan. Sebab Abu Yazid tahu orang ni nak tumpang glamour dia, maka syaratnya nak tumpang glamour, hinakan diri dulu.
Jangan nak tumpang mulia je, hina taknak.

Ada setengah orang, bila orang tu mulia dia nak tumpang.
Bila orang tu kena hina, dia lari cepat-cepat!
Dia hanya tumpang glamour.

Orang tu kaya, dia tumpang.
Orang tu miskin, dia lari cepat-cepat!

Abu Yazid tahu orang ini, maka dia kata,
“Boleh, boleh tumpang saya jadi anak murid saya, bila awak mula berani makan makanan dalam tong sampah. Cari tong sampah, dan makan. Kalau dah boleh makan maka datang kepada saya.”

Perkataan ini ada orang tak faham, kenapa suruh makan dalam tong sampah?

Kita bila nak uji sesuatu, kita cakap apa?

Bila tuan-tuan nak uji sesuatu, nak tau nilai kejujuran seseorang tuan-tuan akan beri satu ujian nak tengok sama ada dia boleh, atau tak boleh.

Sebagaimana Allah uji Nabi Ibrahim a.s supaya sembelih anak, menguji makna kasih. Tinggalkan Ismail dan Hajar di padang pasir. 
Maka Nabi Ibrahim a.s buat.

Cuma kita bila uji orang, kita tak bolehlah kata, dengan kata nak sekian? Boleh. Tapi kena bunuh orang. TU TAK BOELH kerana ia bertentangan syarak, haram.

Tapi cari makanan dalam tong sampah itu kita tak boleh katakan haram lagi. 
Yang elok boleh ambil dan makan.

Nak berkawan dengan saya? Boleh.
Meja makan yang orang tak habis makan, awak ambil dan makan.
Tak membazir, makan.

Itu kalau nak damping, seumpama itu. Ini contoh.

Bisyr bila didampingi anak muridnya Hasan al-Qhayyam, rombongan yang datang.
“Syeikh kami datang dari sekian, kami nak buat ibadat Haji.
Kami nak Syeikh bersama kami.”

Bisyr kata, “Boleh, dengan tiga (3) syarat:

1. Tak boleh bawa apa-apa
Nak pergi, boleh. Tak boleh bawak apa-apa

2. Tak boleh mintak dengan orang

3. Kalau orang bagi, jangan ambil.

Berat, susah.

Di situ dia dah tak yakin dengan Tok Guru dia (poin #1), macam mana dia nak yakin dengan hal-hal lain?

Tok Guru dia yakin tak?

Kita tengok bila cerita bab latihan, askar buat latihan.
Buat itu ini, berenang berapa kilometer, 
Bila disuruh dia cakna. Berlaku apa-apa, jangan bimbang.

Kita Ayah suruh anak bawa barang berat-berat, kita pun tau berat. 
Tapi kita nak tengok dia bersungguh tak bawak?
Kalau dia bersungguh kita tolong dia. Kalau tak bersungguh, kita marah dia.

Kita nak tengok kesungguhan.

Contoh: Kita suruh anak kita basuh kereta, kita tau anak kita cuci (bersih lagi car wash yang cuci) tapi kita nak uji kerajinan dia.
Dia pun cuci bersungguh, air sekian. Cuci.
Kita takkan marah dia sebab kesungguhan dia, dia mungkin buat silap.
Tapi dia bersungguh.

Berbanding anak kita suruh malas, dia tidur. Memang kita marah.

Yang kita suruh ni walau dia buat silap kita tegur, kita ajar akhir Ayah dia juga yang basuh. Anak dia tengok. Tapi Ayah dia tau, anak dia dah teruji, 
Rajin, nak basuh kereta.

Demikian bahasa ujian.
Bila seorang cuba nak mengambil kesempatan kemuliaan yang Allah beri pada kita, kita akan uji dia. Kalau dia boleh teruskan, sila. Tak boleh, maka setakat ini. Sebab selepas itu akan ada lagi teruk ujian yang mungkin dia kena lalui.

Sebab itu Bisyr kata, boleh.
Nak pergi Haji dengan beliau, jangan bawa bekal. Percaya pada dia saja.
Tak boleh meminta, dan kalau orang bagi jangan ambil.

Akhir orang kata,
“Syeikh payah macam tu. Tak jadi pergi dengan Syeih.”

Pergi dengan syarikat lain pun takpa.
Seolah-olah ini gambaran, tawakal. Sejauh mana kita yakin pada Allah Taala yang  memberi rezeki, dan jaminan Allah Taala.

Ada seorang lelaki bilamana dia nak membina tawakal yang kuat dia kata,
“Saya takkan makan sehingga ada orang suap ke mulut saya.”

Maka dia taknak makan. Dia nak latih dirinya bahawa rezeki tetap ada.
Dia tak makan sampailah orang tengok dia tak makan.
Orang suruh dia makan, barangkali pengsan sebab lapar?

Orang pun pegang mulut dia, sumbat makanan!
Akhir dia ketawa kuat!

Yang suap makan rasa pelik. Tadi macam pengsan, lepas suap makanan ketawa pulak? Gila ke apa.

Kata lelaki itu, “Bukan, sebenarnya aku didik diri aku: Demi  Allah hari ini aku tak makan sehingga satu orang suap makanan pada aku.”

Akhir datang orang suap.
Itu gambaran bagaimana rezeki Allah itu datang.

Kalau kita pergi tempat jamuan, jangan mintak.
 Tunggu tuan rumah sendiri hantar, duduk. Akhir tuan rumah hantar makanan.

Lihat bilamana rezeki kita.
Begitu kita melatih diri kita supaya tawakal kita pada Allah itu benar.

Agama ini bukan sekadar apa kita buat, malah apa yang kita uji diri kita sendiri. Kita kena uji diri kita. Bagaimana kekuatan agama.

- Ini juga disebut jenis mujahadah

Saya nak tengok kalau tak makan, lapar tak?
Kita dapat tak makan, tak lapar rupanya.
Boleh.

Saya nak tengok kalau tak makan ubat sembuh tak? Sebab kita melatih diri kita.
Okay, takda masalah.

Di situ kita lihat, ini disebut ‘riadah’ dalam agama.
Kalau tuan-tuan percaya bersenam setiap pagi sihat tubuh-badan, berlari setiap hari jogging, pergi gym seminggu tiga kali, jaga pemakanan.
Yakin itu boleh sihatkan tubuh badan.

Dan tinggalkan benda yang biasa selera kita makan, bagaimana kita kita tak yakin pada latihan agama yang boleh bawa kebaikan pada agama?
Kita pun kena berlatih dalam agama untuk  dapat kekuatan agama.

Latih fizikal untuk dapat kekuatan fizikal.
Latih diet untuk kesihatan tubuh badan.
Latih juga dalam hal-hal agama untuk dapat kekuatan agama, antaranya ialah  melatih tawakal kita kepada Allah.

Benar tawakal kita kepada Allah SWT. 

Siapa bertawakal kepada Allah, sebagaimana Allah sebut, 
“Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah cukupkan dengan jalan yang tak terfikir oleh dia.”

TOKKU PASIR GUDANG 

Bab 3: Ulasan Tentang Maqam-Maqam atau Tingkatan Jalan Pendakian Para Salik/ 17.Tawakal- Siri 14 (m/s 236)
Kitab: Risalah Qusyairiyah 
(Abd Karim Ibn Hawazin Al-Qusyairi)
Terbitan: Pustaka Amani Jakarta
30 Oktober 2023 | 15 Rabiulakhir 1445H

Pertubuhan Pengajian Ilmu Islam dan Kebajikan Pasir Gudang 

#jomsebarluaskankebaikan

No comments: