Thursday, October 5, 2023

17. Tawakal (bahagian 1)


Bab 3: Ulasan Tentang Maqam-Maqam atau Tingkatan Jalan Pendakian Para Salik/ 17.Tawakal - Siri 1 (m/s 225)
Kitab: Risalah Sufi Al-Qusyairi
(Abd Karim Ibn Hawazin Al-Qusyairi)

Intisari
Kuliah subuh Ustaz Mat Esa Deraman
5 Oktober 2023 | 19 Rabiulawal 1444

TAWAKAL: REDHA DENGAN KETENTUAN, BERUSAHA DALAM LINGKUNGAN SYARIAT

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ

“Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”

(Surah At-Talaq, 3)

Ini tajuk ke-17 dalam jalan-jalan pendakian menuju Allah SWT, jalan-jalan para Salikin. 

Sebelum ini kita tau tentang urutan jalan-jalannya bermula dengan,

1. Bertaubat kepada Allah
2. Mujahadah 
3. Uzlah / khalwat
4. Takwa 
5. Warak
6. Zuhud
7. Mendiam diri daripada perkara batil
8. Takut
9. Harap
10. Sedih
11. Berlapar
12. Khusyuk
13. Tawaduk
14. Hawa Nafsu
15. Menentang Sifat Hasad
16. Qanaah (Berasa Cukup)
17. Tawakal

‘Tawakal’, satu kalimah kita faham secara makna umum, iaitu serah kepada Allah dengan menafikan kekuatan kita, campur-tangan kita atau mana-mana makhluk lain. Menunggu dengan sabar dan redha apa pun keputusan Allah.

Maka tawakal kepada Allah, merupakan salah-satu daripada sifat dan juga akhlak serta perkara yang bersifat pegangan orang-orang yang beriman dalam hati mereka.

Ini dinamakan ‘amalan hati’.

Ia tidak kelihatan pada zahir, dengan jelas walau ada tanda. Ia adalah satu sifat hati.

Pernah satu ketika,
Ada seorang lelaki masuk Masjid Nabi SAW, dan dia lihat seorang budak yang tekun ibadat. Tekun ibadat, lalu ditanyakan selepas budak itu selesai solat,

“Kamu anak siapa?”

Kagum budak ini, masih budak tapi kuat ibadat.

Maka kata budak ini, “Saya ialah anak yatim, dua-dua Mak Ayah, mati.”

Lalu kata lelak ini, “Mahukah kamu aku jadi bapa (angkat)mu?”

Budak ini kata, “Pakcik, apakah pakcik akan berikan saya makan, bila saya lapar..?”

Adakah saya lapar, pakcik beri makan?

“Iya. Saya beri makan.”

“Kalau saya takda baju, pakcik boleh beri baju?”

Maka jawab lelaki ini, “Boleh, saya beri baju.”

Lalu kata budak ini, “Kalau saya sakit, pakcik boleh sembuhkan saya sakit?”

Lalu kata lelaki ini, “Itu tak boleh.”

“Kalau saya mati, pakcik boleh hidupkan saya balik?”

Lalu kata pakcik ini, “Tak boleh.”

Lalu kata budak itu, “Kalau begitu, biarkan saya dengan Tuhan saya.”

Allah berfirman, 

ٱلَّذِى خَلَقَنِى فَهُوَ يَهْدِينِ وَٱلَّذِى هُوَ يُطْعِمُنِى وَيَسْقِينِ وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ وَٱلَّذِى يُمِيتُنِى ثُمَّ يُحْيِينِ

“Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum, Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku; Dan (Dia lah) yang mematikan daku, kemudian Ia menghidupkan daku.”

(Surah Asy-Syu’araa, 78 – 81)

Dia membacakan Surah Asy-Syu’araa, 
‘Tuhan yang menjadikan aku yang menguruskan aku.’

Dia memberi makan padaku dan memberi minumku,
Bila aku sakit Dia menyembuhkan aku.

“Maka biarkan aku dengan Tuhanku.”

Ertinya, budak ini walau dia kecil, dia tunjuk makna tawakal. Tidak bergantung kepada orang. 

Jadi ini kita katakan, ‘intro’ kepada makna tawakal.

Al-Imam Ibnu Jauzi membawakan satu kisah, 
Supaya kita faham makna tawakal secara umum.

Bila beberapa pelayar Islam, kapalnya terkandas di sebuah pulau lalu mereka pun berhenti di situ sambil membaiki kapal mereka. Lalu mereka lihat seorang duduk di pulau tersebut menyembah berhala sekian lama.

Lalu berlakulah dialog di antara para pelayar Islam dan penyembah berhala itu sehinggalah dia masuk Islam. 

Dia masuk Islam, dan dia mula belajar tentang Islam. Lalu bila kapal siapa dibaiki dan mereka nak tinggalkan pulau itu dan memikirkan keperluan lelaki yang baru memeluk Islam itu, lalu dikumpulkan duit yang mereka ada lalu diberikan kepada lelaki itu.

Lalu lelaki ini berkata,
“Kenapa beri duit kepada saya?”

“Supaya awak boleh gunakan untuk kehidupan awak.”

Dia kata, “Aku semasa kafir, aku masih sembah berhala dahulu aku tak fikir tentang rezeki. Dalam keadaan aku kafir. Bagaimana sesudah aku Islam dan aku kenal Tuhan aku yang sebenar, kalau Tuhanku tak membiarkan aku, rezekiku ketikamana aku sesat (masih kafir), masakan Tuhanku membiarkan aku ketika aku dalam petunjuk (sesudah beriman)?”

Lihat bagaimana tawakal dia.

Oleh kerana itulah bila kita sebut makna tawakal, penyerahan dan keyakinan kepada Allah ketikamana orang-orang ragu-ragu tentang kita maka kita tunjukkan keyakinan.

Bila orang-orang kafir makin ramai dalam Perang Ahzab, ditambah pula dengan spekulasi bertiup kencang bahawa mereka mengumpulkan seluruh dunia sokong nak hancurkan Islam.

Maka Allah turunkan ayat, tentang sifat orang beriman,

ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدْ جَمَعُوا۟ لَكُمْ فَٱخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَـٰنًۭا وَقَالُوا۟ حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ فَٱنقَلَبُوا۟ بِنِعْمَةٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَضْلٍۢ لَّمْ يَمْسَسْهُمْ سُوٓءٌۭ وَٱتَّبَعُوا۟ رِضْوَٰنَ ٱللَّهِ ۗ

“Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami). Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah.”

(Surah Ali-Imran, 73 – 74)

Ketikamana orang Islam dikepung dalam Perang Ahzab, takda satu kabilah pun nak tolong. Semua kabilah takut, semua kabilah bergabung dengan Musyrik Mekah pada waktu Madinah bersendirian dan berseorangan.

Pada waktu umat Islam merasakan mereka berada dalam keadaan yang kritikal.
Bahkan seperti ‘telur di hujung tanduk’, seperti ‘embun di hujung daun’.

Dalam al-Quran disebut, seperti nyawa berada di halkum.

Hati macam nak terkeluar, dek keadaan yang begitu genting. Kepungan. Datang pula seorang pakar provokasi, Nuaim bin Mas’ud yang ketika itu masih kafir sebelum memeluk Islam.

Dia pakar.
Kalau hari ini dia mungkin ‘media Tiktok’, Facebook.
Dia diupah untuk provokasi dan ditakut-takutkan orang Islam.

“Habislah kamu.. habis..”

Lalu Allah menzahirkan bagaimana sifat tawakal orang beriman, Allah kata,

ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ
Orang yang bawak provokasi berkata kepada para sahabat -

 إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدْ جَمَعُوا۟ لَكُمْ
Semua manusia berkumpul untuk lawan kamu

 فَٱخْشَوْهُمْ
Hendaklah kamu berasa gerun, takut!

 فَزَادَهُمْ إِيمَـٰنًۭا
Tapi mereka tak takut. Iman mereka, makin bertambah.

Iman bertambah lalu mereka kata apa..?
 وَقَالُوا۟ حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ
Kami ada Allah.

Kamu ramai macam mana pun, kami ada Allah. Sebaik-baik Pembantu dan Penolong. Sebaik-baik tempat kami menyerahkan diri.

 فَٱنقَلَبُوا۟ بِنِعْمَةٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ
Lalu dek tawakal, benar mereka kepada Allah, Allah berikan mereka. Allah ubah mereka daripada ketakutan kepada nikmat.

 وَفَضْلٍۢ لَّمْ يَمْسَسْهُمْ سُوٓءٌۭ
Sedikit pun kejahatan, mudarat tak menyentuh mereka.

Cerita macam-macam (provokasi) namun sedikit pun tak kena pada mereka. 
 وَٱتَّبَعُوا۟ رِضْوَٰنَ ٱللَّهِ ۗ
Dan mereka mendapat redha Allah.

Bagaimana Ulama bila membicarakan tentang tawakul, ‘Intro’, permulaan, mukaddimah – kita baca kisah Nabi Allah Ibrahim a.s. waktu sepakat penduduk Iraq untuk sama-sama menghukum Nabi Allah Ibrahim a.s

Kerana Nabi Allah Ibrahim a.s mengajak mereka beriman. 
Dan mereka semua sepakat kecil, besar, tua muda, sihat sakit sama-sama mengumpulkan kayu api, untuk bina atau buat satu unggun api terbesar dalam sejarah dunia dan manusia.

Api paling besar di dunia, yang pernah dihidupkan oleh orang dibuat ialah api yang dibina untuk membakar Nabi Allah Ibrahim a.s

Kerana seluruh penduduk dunia, belum cerita lagi arahan negara. 

“Cari kayu-kayu api!”

Sehingga yang sakit bernazar kalau sihat nak cari kayu untuk membakar Ibrahim.
Yang tua juga datang.
Sepakat kaum Babylon memusuhi Ibrahim a.s

Kita tak pernah jumpa orang yang satu negara, sepakat memusuhi satu orang melainkan akan ada penyokong. Ayah Pin, pun ada penyokong, 7,000 penyokong.
Peguam,
Artis,
Korporat pun ada.

Ramai 7,000.

Nabi Ibrahim a.s, seorang diri. Melainkan ibunya.
Semua pakat nak bakar Nabi Allah Ibrahim a.s, cari kayu api.
Melainkan pengecualian pada tiga orang, 

- Lut a.s
- Sarah
- Ibu Nabi Ibrahim a.s

Selainnya semua.

Dah buat api besar, nak masukkan Nabi Ibrahim a.s macam mana?

Akhir ada seorang yang mencadangkan dibuat manjanik (alat membaling), dan ia manjanik yang pertama dalam sejarah manusia. Ia bak meriam hari ini. 
Bak sudu besar, ditarik dan campak.

Kalau takda api pun dicampak manusia, mati. Inikan pula ada api?

Ketika Nabi Ibrahim a.s nak dicampak, datang Jibril a.s dan berkata,
“Wahai Ibrahim.. apakah kamu punya hajat..?”

Dalam keadaan begitu genting, datang Malaikat. 

Malaikat ni, jika ia kipas sekali je.. habis api itu akan terpadam. Selamat Nabi Allah Ibrahim a.s. tapi Nabi Ibrahim a.s ketika itu berkata,

“Saya tidak berhajat kepada kamu, saya hanya berhajat kepada Allah.”

Ini tawakal. 

Seolah-olah kita di hidup ini, ada dua (ii) tawaran kita,

i. Jaminan makhluk; atau
ii. Jaminan Allah.

Lalu kita memilih JAMINAN ALLAH.

Memilih jaminan Allah untuk menjadikan keajaiban dalam hidup, keindahan, kebahagiaan, keseronokan.

Tuan-tuan kita sentiasa berada di hadapan kita dua jaminan:
- Jaminan makhluk
- Jaminan Allah.

Maka jaminan mana yang kita tenang?

Kalau jaminan Allah menjadikan kita tenang maka ia tawakal yang sebenar.

Kata Nabi Allah Ibrahim a.s kepada Jibril a.s,
“Adapun dengan kamu Ya Jibril.. aku tak berhajat. Adapun dengan Allah, iya.”

Maka ketika itu, kalau Nabi Allah Ibrahim a.s meminta bantuan Jibril a.s, yang diperoleh cuma api padam. Ia proses biasa, api padam dan orang tak berbakar. Dan Namruz dan juga para pendokongnya pasti akan hidupkan api lagi.

Tapi apa berlaku, sebaliknya.

Api tak membakar Ibrahim a.s, lalu Namruz mati akal.
Nak guna apa lagi?

Api berubah jadi sejuk.

قُلْنَا يَـٰنَارُ كُونِى بَرْدًۭا وَسَلَـٰمًا عَلَىٰٓ إِبْرَٰهِيمَ

“Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".

(Surah Al-Anbiya, 69)

- Kami berfirman kepada api, jadilah kamu sejuk sejahtera kepada hamba Kami, Ibrahim.

Bayangkan, api tak berfungsi. Api itu bernyala macam biasa, mengeluarkan bahang panas macam biasa di luar tapi Ibrahim a.s tak kena apa-apa di dalam. 
Duduk tenang.

Sehingga Nabi Ibrahim a.s ditanyakan, 
“Tempat mana paling seronok kamu duduk dalam dunia ini?”

Dijawab Baginda a.s,
“Waktu aku berada dalam api paling seronok. Paling seronok paling indah paling tenang.”

Seorang bila berada dalam tawakal kepada Allah, Allah jadikan kehidupan dia seronok.

Kalau kita tawakal kepada makhluk, serba-salah kita.

Maka ini mukaddimah kepada tawakal.
Serah kepada Allah SWT, dan ini adalah perintah Allah kepada seluruh hambaNya, supaya kita tau .. kita ada Tuhan, yang mengatasi segala-galanya.

KITA ADA ALLAH.

Di antara nama Nabi SAW, Baginda SAW ada banyak nama –
Antara nama Rasulullah SAW selain nama Muhammad, Ahmad, Thaha, Rasulullah SAW dinamakan sebagai ‘Mahmud’, Abul Qasim.

Antara nama Rasulullah SAW adalah ‘Al-Mutawakkil’ (Yang Bertawakal).

Kenapa Rasulullah SAW digelar, antara nama Rasulullah SAW sebagai Al-Mutawakkil..?
Kerana Rasulullah SAW apa pun dialami.
Dan redha dengan sedikit, dan mengetahui bahawa yang mendatangkan manfaat dan mudarat ialah Allah.

Semuanya datang daripada Allah.

Tuan-tuan, apakah bila kita sebut ‘tawakal’, lalu kita tak berusaha? 
Tuan-tuan memang kita tak ambil sebab dan tak berusaha ia menyalahi syarak. Tapi kalau kita tak tawakal, ia menyalahi akidah.

- Seorang itu berusaha tapi tak tawakal, akidahnya rosak
- Seorang itu bertawakal (tak mahu usaha) maka ini menyalahi syarak.

Jadi kita, di mana?
Kita antara perintah syarak, melaksanakan segala sebab dan penyerahan kepada Allah.

Sebagaimana kata Ulama,
“Kamu bekerja di bawah, hatimu di atas.”

Maksud: Kerja di bumi, hatimu di langit.

Itu ibarat.

Kita kerjalah di bumi ni, apa pun kerja, usaha. Tapi hati di langit. Hati kita dengan Allah, berjaya atau tak berjaya urusan Allah.

“Saya usaha semua ni, saya pergi bekerja, berniaga.
Untung atau tak untung ini urusan Allah.
Saya serah kepada Allah.

Kalau Allah nak jadikan ini sebab kepada kekayaan saya, Allah akan mudahkannya. Kalau Allah tak bagi, maka itulah takdirNya, saya terima.
Kalau ia berlaku tak macam saya nak, saya tau ini takdirNya.
Kalau ia berlaku macam saya nak, saya tau ini daripada takdir Allah.”

Kata Ulama,
Kalau benda itu berlaku kita tak suka, ia berlaku. Itulah takdir Allah, kita terima.
Dan kalau ia berlaku macam kita nak – kita bisnes, jadi macam kita rancang. 
Itu kerana Allah mudahkannya.

Sebab itu Allah sebut,

إِنَّا مَكَّنَّا لَهُۥ فِى ٱلْأَرْضِ وَءَاتَيْنَـٰهُ مِن كُلِّ شَىْءٍۢ سَبَبًۭا فَأَتْبَعَ سَبَبًا

“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).”

(Surah Al-Kahfi, 84 – 85)

‘Lalu Kami mudahkan sebabnya lalu Kami datangkan kemudahan kepada sebabnya.’

Waktu Allah cerita tentang Dzulkarnain, 
Dzulkarnain a.s, seorang daripada hamba Allah yang soleh sebagai contoh Raja paling berkuasa lagi soleh.

Kuasanya tak mengubah kesolehannya, ini Dzulkarnain. 
Dalam al-Quran sebut ‘Dzulkarnain’. 

Sebahagian menyebutkan, mendoakan keselamatan buatnya. 

Dzulkarnain kita bacakan kisahnya dalam Surah Al-Kahfi, hanya namanya disebut dalam Surah Al-Kahfi. 

Allah cerita macam mana dia jadi kuat, gagah sangat dalam tempoh sekejap dia boleh menguasai banyak tempat, bahkan dia boleh menyekat Yakjuj Makjuj.

Ini tentera paling kuat di dunia, Yakjuj Makjuj. Takda yang boleh kalahkan.
Takda. Jangan ingat tentera yang ada hari ni, kuat.
Tentera hari ini belum bertemu ruas – buku dan ruasnya.

Kita kadang-kadang dengar orang bertanding dan menang peringkat antarabangsa, dan sebagainya. Bukan makna dia paling kuat, tapi ada orang yang tak masuk bertanding. 

Ada orang tak masuk bertanding, kalau dia yang tak masuk bertanding kalau masuk mungkin dikalahkan juara dunia tadi.

Kita kan seolah-olah menyangka yang menang peringkat dunia itu terhebat?
Ada yang lain yang low-profile.
Dia mungkin tak timbul, taknak masuk macam tu.

Tengok orang mengaji al-Quran ni, juara dunia mengaji. Johan Tilawah – apakah dia paling sedap..?
Ramai lagi yang sedap, yang ini taknak masuk (bertanding).

Bila seorang Qari Mesir terkenal, Abdul Basit bin Abdul Somad mengaji sedap, tapi dia beri syarat pada anak murid dia, siapa belajar mengaji dengan dia, seorang pun tak boleh masuk pertandingan.

Syarat dia.
Boleh belajar mengaji berlagu, dia tak bagi anak murid dia masuk pertandingan mengaji. Dan dia pun tak masuk.

Ini Qari Dunia.

Orang dah level dunia takkan masuk bertanding. Orang yang bertanding ini yang baru nak cari kedudukan. Yang betul-betul bagus takkan masuk, ibaratnya.

Maka Yakjuj Makjuj, apa yang menahannya?
Dzulkarnain. 

Allah sebut,

إِنَّا مَكَّنَّا لَهُۥ فِى ٱلْأَرْضِ وَءَاتَيْنَـٰهُ مِن كُلِّ شَىْءٍۢ سَبَبًۭا فَأَتْبَعَ سَبَبًا

“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).”

(Surah Al-Kahfi, 84 – 85)

- Allah mudahkan seluruh urusan dengan takdir dan kemudahan Allah beri

Allah jadikan Dzulkarnain ditakuti, digeruni. Dan tenteranya taat, patuh, tak lawan. Seorang pun tak pernah lambat.

Bila Allah nak jadikan kita berjaya, kita dapati urusan depan tu, semua mudah. 
Mudah, mudah, mudah. Nak berjaya.

Sebab itu kita sebut kita dapat sesuatu, kerana kemudahan Allah bagi. 

Kalau benda tu tak macam kita nak, itulah takdir Allah.

Kembali kepada TAWAKAL, atau dalam Bahasa Arab disebut ‘tawakkul’ – serah, wakil.

Saya taknak ke pasar, saya pun wakil seorang ke pasar, beli ikan, sayur.
Beri duit, saya serah bulat-bulat pada dia beli.
Dia dah beli, dah.

Saya nak makan nasi lemak, saya serah kepada tukang masak.
Saya tak fikir dah cara mana nasi beras campur apa, saya fikir nasi lemak je.

Ini dalam proses tawakal.

Saya sakit, masuk hospital dan minta seorang doktor rawat.
Sakit sakit ini, ini pakarnya dan bayar.
Tapi bab menyembuhkan, itu tak pernah saya fikir cara mana dibuat.

Masuk bilik bedah ke, bagi makan ubat.
Yang saya tau akhir saya sembuh, proses tu saya tak tau, dan tak campur.
Kalaupun saya tau, saya tak campur.

Tapi saya tak boleh pilih gelang sekian warna, putih maka putih. Biru maka biru.

Dimasukkan ke wad,
Diberitahu sejam sekali check darah.
Saya tak boleh bantah, sehingga saya sembuh.

Tuan-tuan, itu proses tawakal.

Seumpama seorang budak dimandikan Mak Ayah dia, Mak kita tau kalau mandi sendiri tak cuci betul. Proses Mak mandikan anak, siram air. Sabun.
Kita duduk sampai siap.

Proses itu, serah ke Mak kita. 
Tawakal.

Tuan-tuan masa kita kecik, kita pernah fikir duit?
Berapa puluh, ratus?
Tak pernah.

Ayah kita kerja cari duit, tau-tau, makan.
Masa tuan-tuan kecik, fikir ke rumah kereta? Masa kecik?
Ini analogi tawakal.

Kita dulu masa kecik kita tau duduk rumah. Kita tak tau pun Ayah kita beli rumah ke sewa, kita tak ambil tau.
Ayah kita bayar sewa ke tak bulan ni, kita tak tau.
Tau-tau rumah dah jadi rumah pusaka.
Duduk rumah tu.

Ayah kita siapkan rumah, baju, siap. 

Itu proses tawakal kita. Itu waktu kita kecik.
Itu dipanggil satu tawakal bersifat dinamakan proses kehidupan.

Tapi ini tawakal bersifat agama. Kita dalam agama ada dua (2):
- Istianah (minta tolong)
- Inabah (kembali)

Dalam al-Quran kita baca, 

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

(Surah Al-Fatihah, 5)

- Hanya kepadaMu Ya Allah, bukan yang lain

Dimulakan dengan إِيَّاكَ hanya padaMu - hanya padaMu kami minta tolong

Juga disebutkan Ulama, 
Istianah dan ibadah.
- Mintak tolong dan ibadat.

Ibadat kita dalam semua bentuk dan jenis hanya untuk Allah, tidak yang lain.
Baik kita puasa, zakat, Haji, zikir, sembahyang, sedekah .. hanya pada Allah.

Ini makam ibadat. Tak boleh buat kerana orang lain.

Dan mintak tolong,
Minta tolong beri makan, minum, pakai, selamat tubuh badan, sihat kita, dilindungi, bahkan hanya kepada Allah kita mintak perlindungan.

Cuma Allah yang suruh kita mintak tolong dengan Dia, kalau sakit kita minta Allah sembuhkan dan Allah SWT yang memerintahkan kita melakukan sebab-sebab.

Dalam hadis, Nabi SAW kata,
“Allah yang turunkan penyakit dan setiap kali Allah turunkan penyakit bersamanya ubat. Maka cari ubat itu.”

Usaha.

Antara usaha dan tawakal, maka bagaimana kita nak jadikan ia tepat, tidak keluar daripada makna tawakal?

Selagi usaha tadi tak bercanggah dengan syarak maka ia di dalam kerangka, makna tawakal. Tapi bila usaha mula menyalahi syarak itulah perkara yang merosakkan tawakal.

Contoh: Kita takda duit, kena cari duit.
Tapi kita mencuri? Menyalahi syarak. Kita makna kita tak serah pada Allah.

Allah dah sebut jalan dia, kalau kamu takda duit ini jalan dia, 
Kerja, usaha, begini dan begini.
Lalu kita keluar daripada perkara itu, akhirnya kita keluar daripada makna tawakal.

Allah suruh kita cari jodoh, kahwin. 
Maka selagimana kita mengikut syariat, kawin kita tadi maka itu namanya dalam makna tawakal.

Tapi kalau tak ikut syariat, cara kawin kita salah misalnya. 
Tanpa Wali, tanpa saksi.
Kawin sesama macam tu je? Maka kita keluar daripada makna tawakal.

Kita nak ubah orang jadi baik, Allah dah ajar kita nak ubah orang jadi baik maka nasihat. Beritahu dia. Ingatkan dia. Doakan dia.

Ini semua yang disarankan, diperintahkan.
Selagimana kita melakukannya, kita masih dalam makna tawakal.
Tapi kalau kita keluar daripadanya,

“Jahat sangat ni, tembak matilah.”

- Kita dah keluar daripada makna tawakal. 
Kita tak serah kepada Allah.

Nabi SAW, pada peringkat awal dakwah Rasulullah SAW di Mekah, di kalangan yang masuk Islam ini ada yang gagah, kuat, Nabi SAW tak benarkan orang Islam membalas kejahatan orang kafir.

Kalau orang kafir maki, jangan jawab. Diam.
Kalau pukul, jangan balas balik.

Abdullah bin Mas’ud kena belasah depan Kaabah, 
Ini Abu Dzar al-Ghifari kena belasah depan Kaabah.

Ini sahabat ditambat, diikat, Bilal bin Rabah, Amir bin Fihr, Sumayyah binti Khayyad, Ammar bin Yasir, dan Yasir (diseksa), tapi Rasulullah SAW tak suruh sahabat pakat dengan sahabat (lain) untuk bebaskan mereka, 

Fasa ini Allah suruh orang beriman sabar, jangan lawan. 

Datang Umar masuk Islam, datang Hamzah masuk Islam.
Tak boleh lawan. Sampai ke Madinah barulah turun syariat perang pada tahun ke-2 Hijrah, 

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَـٰتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا۟ ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).”

(Surah Al-Hajj, 39)

- Dibenarkan umat Islam berperang dek dahulu mereka dizalimi dan diazab. Dan Allah akan berikan pertolongan dan Allah amat berkuasa.

Turun ayat ini, umat Islam diizinkan perang. Namun keizinan perang itu juga bersyarat. Pada permulaan Islam, keizinan perang itu tahan diri.

‘tahan diri’ (defense), kalau diserang.
Difa’.

Sesudah itu barulah diperintahkan serang orang, dinamakan jihad 

Pembahagian perang ada dua (2):

1. Difa’, self-defense (pertahan diri)
2. Thala’, (serang).

Agak-agak tengok sombong, serang. Tapi proses itu pada permulaan Islam, dalam perang-perang:

- Badar
- Khandak
- Uhud

Semua perang ini bersifat Difa’. Pertahan diri.

Tapi seterusnya mula syariat perang cari musuh,

- Pembukaan Kota Mekah
- Perang Buraisik
- Perang Bani Mustalik
- Perang Tabuk

Orang Islam pergi cari Rom. Tak tunggu orang Rom datang Madinah, tapi orang Islam pergi sergah Rom yang menjadikan Rom takut. Belum pernah orang nak serang Rom, selain Parsi.

Ini kuasa hebat.

Kucing, kalau dia tiba-tiba serang maka ke belakang juga kita, walau asal kucing ni jinak. Tiba-tiba bertindak menyerang, lari tak?
Kita terkejut sebab tak sangka kucing dia boleh serang.

Atau ayam, tiba-tiba serang kita.
Biasa makan ayam, tiba-tiba ayam tu nak patuk kita?

Rom terkejut kerana tindakan Nabi SAW, kumpul tentera dan serang.
Rom punya takut lari ke belakang. Sehingga orang Islam dapat kemenangan secara kerohanian / psikologi. Menang sebab mereka lari.

Maka ini makna tawakal. Tawakal bererti kita melakukan sesuatu, mengambil segala usaha berdasarkan apa yang Allah perintahkan, tetapi ada satu lagi tambahan:

- Seorang bilamana buat segala yang Allah suruh, takda duit maka kerja. Sakit, cari ubat, jumpa doktor.

Satu lagi tambahan,
- Hati kita melihat Allah-lah yang menentukannya.

Saya sakit cari ubat, jumpa doktor. Tapi saya tak kata doktor sembuhkan, tapi Allah.

Memanglah fulan bin fulan tolong saya, saya ada masalah maka saya mintak tolong fulan bin fulan tapi hati saya dengan Allah.
Andaikata dia taknak tolong saya, ia tak jadikan saya putus asa. Saya yakin saya ada Allah.

Sebab itu kita lihat dalam peristiwa Hijrah, Nabi SAW bersembunyi di sana di sini, Nabi SAW keluar rumah pun pakai topeng, tutup wajah.

Itu tawakal. 

Nabi SAW takda bukak, 
Nabi SAW berhijrah malam hari, bukan siang-siang hari.
Orang dah sibuk tidur, rehat. Nabi SAW keluar. Berjalan kaki, menghala jalan lain, bersembunyi di Gua Thur. Upah orang untuk tunjuk jalan, Abdullah bin Uraiqiq, lalu jalan yang orang tak lalu.

Inilah semuanya ini ikhtiar yang Allah perintahkan. Tetapi hati Rasulullah SAW dengan Allah.

Sebab itu bila Rasulullah SAW tegur Saidina Abu Bakar, ketikamana berada di Gua Thur tiba-tiba Musyrik Mekah datang, berdiri depan Gua Thur lalu kata Saidina Abu Bakar,

“Ya Rasulullah.. kalau mereka pandang ke bwah mereka nampak kita.”

Lalu Rasulullah SAW pun tersenyum dan berkata kepada Saidina Abu Bakar,
“Ya Abu Bakar, kamu jangan ingat kita berdua saja.. Allah ada..
Jangan bersedih.”

Rasulullah SAW tunjuk makam tawakal sebenar.

Dah kita buat segala-galanya, tuan-tuan.. serah kepada Allah.

Saya sakit, ubat segala cara tapi saya serah kepada Allah. 
Sembuh atau tidak, itu urusan Allah. 
Bukan urusan fulan bin fulan tapi ALLAH.

Saya usaha dapat anak dan zuriat, usaha yang biasa kita buat yang disyariatkan.
Moden, tradisional tak kira asal tak bertentangan syariat,
Habis duit ke,
Habis masa ke,
Jauh jarak ke, takda masalah.

Itu ikhtiar yang Allah izinkan. Tapi hati saya tetap dengan Allah.
Saya tak kata orang ini yang sebabkan saya dapat anak, kalau tak semua orang takda anak jumpa dia belaka.

Tak.
Ini yang perlu kita jelaskan, tawakal ialah satu amalan hati, sebagaimana qanaah juga amalan hati. Kita serah kepada Allah.

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ

“Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”

(Surah At-Talaq, 3)

- Siapa yang bertawakal kepada Allah, cukup

‘Siapa yang serah diri kepada Allah, Allah cukupkan dia’

Apa ‘cukupkan dia’?
Tuan-tuan, cukuplah Allah uruskan dia apa dia inginkan, apa dikehendaki.

Kita tuan-tuan lihat di dunia ini, anak-anak yatim. Takda Mak, takda ayah.
Atau bahasa tepat, takda ayah.

Lalu kita lihat aspek apa dia takda?
Pendidikan, kasih-sayang, keselamatan, masalah kewangan.

Aspek ini.

Tuan-tuan tengok anak yatim, tuan-tuan bayangkan anak-anak kita jadi anak yatim bila kita takda nanti. Tuan-tuan bimbang apa untuk anak-anak?

Bila tuan-tuan mati, fikir anak-anak kecil siapa jaga dia?
Siapa lindungi dia kalau dia kena buli?
Siapa nak beri duit dia, baju dia.

Selama ni kita beli dia baju, 10 helai. Sayang kita kat dia. Andai kita mati, anak-anak kecil ini – kita lihat anak kita.
Siapa yang akan bermanja dengan dia,
Siapa akan jadi dia tertawa, tenang, gembira?
Tidur lena? 

Siapa akan jadikan dia makan kenyang, bersuap. Seronok?
Ketawa?

Kita fikir benda tu kita mungkin akan menangis.

Tuan-tuan akan menangis fikir, 
“Kalau aku mati Ya Allah.. anak aku..”

Kita jumpa ada sahabat kita sakit, dia menangis. Dia fikir anak-anak dia. 
“Anak-anak saya.. kecik lagi. Macam mana. Siapa nak hantar sekolah? Siapa nak tenangkan dia nak lap air mata kalau dia menangis.
Nak pujuk kalau dia merajuk..”

Bayangkan dalam hidup manusia ini ada anak yatim.
Apakah tuan-tuan rasa anak-anak yatim itu takda makan minum? Takda kasih-sayang?

Kadang-kala anak-anak yatim itu lebih dapat kasih-sayang daripada anak-anak yang ada Mak Ayah. Lebih terjaga makan minum, berbanding anak yang ada Mak Ayah, lebih bijak dan cerdik berbanding yang ada Mak Ayah. Lebih terpelihara fizikalnya daripada yang ada Mak Ayah. 

Ini ada Mak Ayah pun kena dera.

Allah tunjuk bahawa yang uruskan ini, ALLAH.

Memanglah kita sedih.

Sebab itu orang beriman bila dia dekat nak mati, apa yang Allah cerita pada orang beriman bila dekat nak mati?

تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَبْشِرُوا۟ بِٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ

“Akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”

(Surah Fussilat, 30)

- Turun Malaikat, lalu Malaikat ini berkata kepada orang beriman: Jangan kamu takut, jangan kamu sedih. Jangan kamu takut dengan apa akan kamu lalai kerana yang akan kamu lalui ialah kebahagiaan. Dan jangan kamu sedih, dengan anak-anak isteri yang kamu tinggalkan, Allah pelihara mereka. 

Sebab itu orang-orang beriman bila dekat nak mati, benda tu dah takda. 

Kalau tuan-tuan belum nak mati, tapi dekat nak mati – belum nak mati lagi, masa tu masih ingat anak. Tapi bila benar-benar dekat nak mati, ketika itu Allah sudah hilangkan kebimbangan itu.

Allah dah hilangkan ketakutan itu. 

Ini disebut dalam hadis,
“Siapa yang cinta bertemu dengan Allah, maka Allah cinta bertemu dengannya.”

Makna,
Orang ini akan dimasukkan rasa gembira bertemu dengan Allah.

Lupa anak, lupa isteri kerana Allah dah ambil urusannya. Allah jaga.

Ini cerita TAWAKAL.

Oleh sebab itu tuan-tuan, bila Allah perintahkan kita supaya tawakal sebagai satu rahmat. Kita ni, kalau tak tawakal.. kita putus asa. 
Kita ni tak tawakal kita lemah,
Kita ni tak tawakal, kita sombong.

Jadi ahli Neraka!

Kita ni kalau tak tawakal, kita kalah,
Kita kalau tak tawakal, kita tak jumpa jalan keluar.
Kita kalau tak tawakal kita tak pernah rasa cukup dalam hidup. 

Tawakal datang dengan perintah Allah bagi membentuk suatu kemuliaan kita.
Sebab itu Allah kata,

“Hanya kepada Allah orang beriman kena letakkan pergantungan, harapannya kepada Allah SWT.”

No comments: