Wednesday, May 17, 2023

Kategori Makhluk bahagian 5


Majlis 62 Perihal Liku-Liku Tauhid
"Kategori Makhluk" bahagian 5 (M.S 657)

Intisari
Kuliah subuh Ustaz Mat Esa Deraman
17 Mei 2023 | 26 Syawal 1444H


YANG PALING CERDIK ITU INGATANNYA KEMATIAN

Ada dua (2) perkara disebutkan Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dalam pembacaan kita pada hari ini iaitu:

1. Dialog Kematian (mengingati mati)
2. Makrifat (sifat dan bagaimana makrifat itu datang kepada hamba-hambaNya

Di antara perkara yang seringkali ditekankan oleh Baginda Nabi SAW, supaya kita memperbanyak ingat mati, sama ada dengan cara:

i) Menziarahi kubur
ii) Terlibat secara langsung menguruskan jenazah (memandi, kafan, solat, kebumikan).

Sebagaimana Nabi SAW menganjurkan kita mengingati kematian dengan,

iii) mengingati hari di mana datangnya Malakul Maut pada kita – memikirkannya

Dan Rasulullah SAW juga mengajarkan kita dalam mengingati kematian dengan 

iv) melihat kesakitan kematian, sakarat (kemabukan), kedahsyatannya

sebagaimana Nabi SAW mengajarkan kita mengingati kematian dengan

v) melihat orang-orang dahulu daripada kita yang telah mati, telah meninggalkan kita.

Sebagaimana Rasulullah SAW juga mengajarkan kepada kita, dalam mengingati kematian dengan 

vi) banyak berbicara tentang kematian.

Bahkan kata Ulama,
“Siapa yang kamu dapati dia benci berbicara tentang kematian, ketahuilah hatinya telah diselaputi dengan syahwat dunia. Dan ketahuilah dia sudahpun tenggelam dengan kecintaannya kepada dunia, panjang cita-cita dan angan-angannya.”

Dan seorang yang mengingati kematian,

vii) bila dibicarakan tentang kematian, ia akan menarik perhatiannya untuk berfikir dengan lebih dalam.

Ertinya, kalau tanda seseorang itu ingati kematian bila kita bercakap kematian,dia boleh ingati lebih dalam daripada apa disebut sehingga melahirkan keinsafan dan ketaatannya kepada Allah.

Bahkan dengan mengingati kematian membezakan di antara:
- ahli Akhirat; dengan
- ahli dunia.

Nabi SAW di antara yang dilakukan setiap hari ialah menziarahi kubur, sama ada 
- perkuburan Baqi
- perkuburan Uhud

ataupun Nabi SAW, menjadikan perjalanan Rasulullah SAW itu adalah melalui kawasan perkuburan.

Umpama kita ada dua laluan, 
- laluan takda kubur
- laluan ada kubur – maka lalu ikut kubur, ia lebih baik.

Kita nak ke satu tempat, satu destinasi maka kalau ada laluan ikut kubur, maka lalu ikut kubur. Kerana ia bukan sekadar ingatkan kematian tetapi merupakan asbab kita mendoakan orang-orang yang sudah mati.

Bahkan kata Ulama, ad-Daqad (setengah menisbahkan kata-kata ini kepada Yahya bin Muaz R.A) bahawa:

Sesiapa mengingati mati maka Allah muliakan kepadanya tiga (3) perkara:

1. Bersegera bertaubat kepada Allah
2. Hati merasa qanaah, rasa cukup apa pun nikmat dunia diperolehi
3. Semakin cergas beribadah kepada Allah.

Sesiapan yang melupai kematian dia akan dihukum dengan tiga (3) hukuman:

1. Menangguhkan taubat
2. Tak pernah cukup dengan dunia
3. Bermalasan dalam melakukan ibadat.

Sehingga kata para Ulama,
Kalau nak tengok orang ingat mati – banyak amalan Akhiratnya.
Kalau nak tengok orang lalai daripada kematian, banyak amalan maksiatnya.

Kita nak tengok baik diri kita, orang lain sebagai satu peringatan,
Kalau dalam kehidupannya banyak buat baik, itu tanda dia ingat mati.
- Bukan ingat mati dengan duduk di tangga, termenung tak buat apa
Bukan itu cara dianjurkan ingat kematian.

Cara ingat mati dalam Islam bukanlah berputus-asa dengan hidup umpama orang kata,

“Baik mati daripada hidup!”

Ini kata-kata orang berputus asa.

Maksudnya melihat betapa sekejap dunia ini, fanak, binasa – nampak dunia ini cuma tempat tanam tanaman, mencari bekalan, menempuh ujian, membuktikan ketaatan dan melihat Akhirat tempat balasan dan tempat pertemuan dengan Tuhan sehingga kita bersungguh-sungguh pergi ke sana.

Sebab itu kata seorang Ulama kepada Muridnya,
“Apakah kamu suka kepada Syurga? Dan nikmatnya?”

“Ya aku suka.”

“Kalau begitu kamu kena suka mati. Kamu tak boleh masuk Syurga melainkan mati.”

- Kamu kena suka mati

Ingat mati, suka mati memberi maksud yang sama.
Ia mendorong kita buat sesuatu yang menyampaikan kita ke arah itu.

Kita kalau suka sesuatu, kita akan buat sesuatu yang menyampaikan kepadanya.
Saya suka sebuah rumah, maka saya akan buat apa saja kerja bagi menyampaikan saya memiliki rumah tadi, 

Kumpul duit modal, untuk bayar muka.
Bekerja keras untuk bayar bulanannya.

Saya suka kereta maka saya bergerak ke arahnya untuk memiliki kereta.

Saya suka seorang perempuan untuk dijadikan isteri saya, 
Maka saya buat segala-gala menjadikan saya berakhir di situ.

Saya suka kematian dengan melihat apa yang Allah Taala sediakan, maka saya bersungguh-sungguh ke arah jalan kematian.

Ini yang disebut dalam hadis Nabi SAW bila Rasulullah SAW menyatakan hakikat mengingati kematian,

“Perbanyak mengingati kematian yang menghilangkan kelazatan dunia. Kerana takda seorang ingat kematian ketika dia kesempitan hidup melainkan Allah melapangkannya dan tidak seorang lalai melainkan Allah menyempitkannya.”

Kita bila lalai dengan nikmat dunia, bila ingat mati maka kita lihat nikmat itu makin sempit. Takda apa.
Kita tau bila berlaku kematian takda bernilai pun depan kita.

Rumah besar, kereta mewah, kawan-kawan, harta benda banyak dilihat takda apa bak debu berterbangan. 

Maka apa bernilai>
Yang menjadikan Allah redha dengan kita.

Kata Ulama,
Suatu yang kamu suka berlaku ketika kamu mati maka perbanyakkan dan suatu kamu tak suka maka tinggalkan.

- Suka mati tengah solat, maka banyakkan solat
- Suka mati ketika puasa, baca al-Quran, bersedekah, qiyam lalu kita mati?
Maka banyakkan.

Kita santuni orang dan ketika itu kita mati, suka?
Maka perbanyakkan.

Sebut semua amalan kita tak suka mati dalam keadaan itu maka tinggalkan, ia sempadan kita memperbanyak sesuatu, atau meninggalkan.

“Saya tak suka mati ketika main bola.”
- Maka jangan main

Ketika main badminton.

Kata Ibnu Rajab ketika membicarakan tentang hadis Nabi SAW,
Seorang mendatangi tempat tidurnya hendaklah dia ambil wuduk dulu supaya bilamana datang kematian dia dalam suci.

- Lazimi wuduk agar mati dalam wuduk

Setiap kali itu kita ingat mati.

Kerana itu disebutkan dalam hadis Nabi SAW,
“Perbanyakkan ingat mati. Tidak ada seorang hamba ingat mati melainkan Allah akan hidupkan hatinya dengan keazaman buat kebaikan dan khusyuk buat ketaatan dan hatinya berfikir lebih jauh daripada dia fikir sekarang.”

- Sekang fikir anak besar kerja apa
- Pencen duduk mati

Ini sempit.

Ingat mati, dia fikir jauh
- Macam mana dalam kubur
- Bagaimana dibangkitkan
- Bagaimana bila nanti datang sakarat
- Buku catatanku kanan atau kiri
- Melintasi titian
- Bagaimana aku dalam Syurga, indah dan nikmatnya

Ini disebutkan Rasulullah SAW, dihidupkan hati.

Dan dijadikan mudah (kematiannya)
Ada mati susah, menakutkan. 
Ada dimudahkan.

Antara cara nak mudahkan kematian, selalu ingat kematian.

Bak seorang pelajar ingat selalu periksa, dia bersedia.
Berbanding tak bersedia, soalan tak susah. Isunya bukan soalan itu tapi bagaimana kita menghadapinya.

Mati ini bila seorang ingat kematian, menjadikan kematian dia senang, mudah
Dan bersedia dengan kematian.

Dalam hadis, Nabi SAW menyatakan,
“Orang paling cerdik orang yang memperbanyak ingat mati dan memperelok persiapan kematian.”

Kata Hasan al-Basri,
Orang beriman bila dengar khabar kematian saudaranya, dia kata: Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Dia berkata:
“Dah hampir giliran aku..”
Lalu dia bersungguh-sungguh dalam ibadat.

Dia dengar lagi saudara/ kawan dia mati. Dia kata lagi ‘Innalillah..’
Dia kata lagi: “Dah hampir kematianku..”

Kita ingat, ada adik-beradik 7 orang dan seorang demi seorang mati.

Tanya kawan-kawan kita,
Adik-beradik 7, seorang demi seorang mati.
Tinggal hanya dia dan adiknya.

Bukankah giliran kita akan sampai?

Allah sebut, 
Surah Az-Zumar, ayat 30:

اِنَّكَ مَيِّتٌ وَّاِنَّهُمْ مَّيِّتُوْنَ

“Sesungguhnya engkau (Muhammad) akan mati dan mereka akan mati (pula).”

- Engkau pasti akan mati, dan mereka semua akan mati.

Itu cerita akhir kita.
Kata Allah,
Engkau akan mati – semua akan mati.

Kerana itu kita lihat bagaimana Umar bin Abdul Aziz R.A setiap malam himpun para Ulama, bicara tentang kematian dan menangis bak jenazah ada depan mereka.

Setiap malam bicara kematian.

Alangkah indah, bagus kita sebelum tidur 5 – 10 minit, ingat mati. 

Ingat mati maka tak jadilah kita nak berbalah dengan suami, isteri atau.
Tak jadilah kita nak panjangkan perbalahan dengan sesiapa.

Kata Abu Darda R.A,
“Siapa ingat mati maka,
- Gembiranya jadi kurang. Tak dia seronok tak tentu hala.

- Hasadnya pun hilang.
Hasad dia sikit. Marah pun hilang.

Kadang kita sebut,
“Macam mana nak hilangkan marah..”

Ingat mati! 
Hati keras?
Ingat mati!

Ada seorang wanita datang jumpa Aisyah R.A, katanya:
“Wahai Ummul Mukminin.. hati ini keras sangat.. tiap-tiap hari lalu hidup dalam keadaan hati keras.”

‘hati keras’ – tak berfungsi, sembahyang tak rasa apa. Mengaji tak rasa apa.
- Semua ibadat dibuat tak menyentuh hati
- Tak datang rasa manis, khusyuk

Lalu kata Aisyah R.A
“Ingat mati. Nescaya hatimu akan lembut.”

Lalu wanita ini pun pulang, apa dibuat..?
Dia ingat mati.

Sehingga beberapa hari lepas tu dia datang jumpa Aisyah R.A, dia kata:

“Wahai Ummul Mukminin.. saya dah lembut hati saya sekarang.
Saya ingat mati.”

Kita kalau ingat mati dalam keadaan hati ingat dunia?
Tak mungkin berkesan.
Hati ini mesti kosong daripada dunia.

Dok ingat dunia?
Tak berkesan..

Bahkan patut kita lakukan dalam ingat mati ini dengan kita melihat keadaan orang mati itu sendiri.

Kalau kita tengok ada orang mati,
“Ya Allah, tak bernyawa dah dia.
Dia ni dulu gagah ni, dia dulu kuat ni.
Dia dulu jawatan besar..”

Tengok dia (si mati) maka ingat mati.

Dan tengok keadaan mayat lepas itu mula satu-persatu, tanggal, berulat.
Ingat mati.

Dan fikirkan keadaan waktu dia diletakkan di tanah dan ditimbus.

“Ya Allah.. macam tu lah aku nanti.”

Dengan cara tu kita ingat mati.
Bukan ingat mati dengan cara (menyebut),

“Ingat mati.”

“Ingat mati.”

Lihatlah orang yang mati, dan membayangkan keadaan kita bila mati maka ia mendatangkan ingatan kematian.

Sebab itu Abu Darda, kalau ada satu jenazah lalu orang tanya,

“Siapa mati tu?”

Kata Abu Darda,
“Engkau lah tu.”

Bukan orang lain, kita.
Kita tengok jenazah kan cenderung tanya, “Siapa.”

Bukan siapa tu penting, bukan siapa tu penting tapi itulah kita.
- Kita akan lalui macam dia lalu

Ayah kita mati,
Mak kita mati,
Atuk, Nenek kita mati.

Ini orang-orang yang pernah peluk, cium, sayang kita.
Yang pernah bersama kita, pimpin tangan. 
Yang pernah duduk dengan kita, makan minum sembang.

Yang pernah kita ketawa, dan dia pun ketawa.
Yang pernah kita bicara panjang dengan dia.
Hari ni dia dah takda.
Takda dia bukan mengundang sedih kerana kita tak jumpa dengan dia, tapi takda dia memberi maksud:

‘Kita juga takda, macam dia.’

Sebab itu mereka para sahabat seperti Abu Hurairah R.A, sebagai contoh – 
Lihat jenazah berada pada usungan dan berada di hadapannya, dia akan berkata:

“Pergilah dulu.. kami akan ikut.. pergi..”

Seolah-olah kita kata pada Ayah, Mak kita,
“Pergi dulu Mak.. kita akan ikut..”

Bukan kita melihat Mak dah mati dan saya takda orang. Tak.
Awak akan pergi, tempat di mana dia pergi.

Ertinya bila kita lihat orang-orang tersayang yang mati, kita kata,
“Pergilah dulu, saya juga akan pergi.”

Seolah-olah kita berziarah orang sakit yang akan membawa kematian, kita kata,

“Jangan sedih.. pergilah dulu.
Saya juga akan ikut awak.”

Kita akan bersama-sama.
Cuma giliran siapa dulu.
Ia berkait giliran.

Sebab itu mati ini disebut sebagai AJAL.

Apa maksud ajal?
Giliran.

فَاِذَا جَاۤءَ اَجَلُهُمْ

‘Apabila ajalnya tiba.’

(Surah Al-A’raf, 34)

Ajal – Mati, ada perbezaan.
- Mati (mati)
- Ajal (waktu)

Kita akan mati, tapi kita takkan mati tanpa waktunya.
Bila memang waktunya kita akan mati.

Hari ini kita sihat sebab belum waktu, kelak akan sampai waktunya.
Maka ketika itu tidak ada manfaat ubat-ubatan yang kita makan.
Tiada yang mampu membantu, segala doktor pakar yang kita kenal.

Tidak boleh meringan, menolong kita segala harta-benda yang kita himpunkan.

Tidak ada yang boleh membantu segala kawan, sahabat yang kita kenal.
Yang dia kenal kita,

Sebab apa..?
Waktu kita dah sampai.

Sekarang kita rasa macam kawan boleh tolong.
Sekarang kita nampak, 

“Batuk, makan ubat. Baik.”

“Saya admit hospital, keluar. 
mashaAllah segar. Rasa dah muda balik.”

Kerana waktu kamu, belum sampai.
Bila waktu kamu belum sampai maka semua ini seperti kamu nampak manfaat.

- Untung saya ada medical card, masuk hospital cepat baik
- Untung saya kenal doktor ini, dia cepatkan saya punya queue
- Untung rumah saya dekat dengan hospital. Apa-apa pergi hospital cepat baik
- Untung saya sempat jumpa doktor, lambat sikit saya ..? mati

Itu waktumana ajal belum sampai, lalu kita cakap segala keberuntungan, segala manfaat. Segala pertolongan, asbab. 
Hakikatnya?
Waktu kamu belum sampai.

Tapi bila sampai waktu kamu, segala kepakaran manusia tak beri manfaat.
Segala harta-benda kamu tak boleh membantu.
Segala apa yang kamu tahu tentang ilmu-ilmu memanjangkan umur, semuanya habis.

Amal ayat ini panjang umur, 
Amal doa ini
Dah takda. Doalah, tak panjang umur.
Kerana apa..?
Waktu dah sampai.

Maka kita sedang menunggu waktu.

Daripada kita menunggu kosong macam tu, baik kita tunggu dengan mengingati waktu ini. Apa yang kita akan buat?
Apa kita akan lakukan?

Dalam hadis Nabi SAW katakan,
“Perbanyak mengingati mati kerana ia menghapuskan dosa.”

(Hadis riwayat Imam Bazar)

Maksud menghapuskan dosa:
- Auto dihapuskan dosa; atau
- Kita tak cenderung lagi melakukan dosa

Asal nak buat dosa, tapi ingat mati – tak jadi.
Maka penghapus pada sebab kepada dosa.

Dan kata Baginda SAW lagi,
“Sehingga ia menjadikan kamu zuhud kepada dunia.”

Maksud ‘Zuhud di dunia.’,
Kamu tahu dunia ini sementara.

Jadi kita muamalah dengan dunia, dengan sifatnya sementara. Bukan sifatnya kekal.

Tuan-tuan kita tau kita kerja tempat ni, sementara
Ada orang kata,
“Saya nak ambil awak kerja, kontrak setahun.”

Tuan-tuan tahu tuan-tuan kerja sementara apa tuan-tuan buat?
Bila kita tau sementara, maka kita tau takdalah kita nak bersungguh sangat.
Sementara.

Kalaupun kita bersungguh supaya kita dapat direkemen tempat yang lain.

Kata Baginda SAW,
“Kalau kamu sebut kematian ketika kamu kaya, maka kamu takkan nampak nilai kaya untuk kamu bangga.”

Waktu kaya, ingat mati maka kita tak bangga sikit pun yang kita ada.
Bahkan kita nampak kekayaan itu cara kita cari bekalan.

“Dan ketikamana kamu ingat mati ketika kamu susah, maka kamu akan redha dengan kehidupanmu.”

- Takpalah kita susah dekat dunia je. Akhirat cerita lain.. 
Akhirat yang jadi kayu ukurnya ialah amal soleh kita.

Sebab itu bila kita ke kubur – 
Kata Syeikh Abdul Qadir,

“Kalau boleh ke kubur seorang je. 
Jangan bawa anak isteri. Pergi sorang-sorang.”

Kenapa?

Kalau kita pergi kubur seorang, nilai muhasabahnya tinggi.
Pergi kubur bawak anak-anak kecik, bukan tak boleh bawak tapi ada waktu tuan-tuan kena pergi sorang.

“Saya nak bawa anak saya kenal kubur atuk dia..
Nak ajar dia apa patut dibuat bilamana saya mati.”

Itu bagus. Kita tak kata tak bagus.

“Saya nak bawak isteri saya. Agar dia pun tahu apa patut dibuat bila saya mati.”

Bagus.
Nak bawak siapa pun ziarah kubur, ok.. 
Terutama niat kita nak ajar dia cara-cara ziarah kubur betul.

Atau tujuan kita untuk dia kenal kubur ini agar jadi kesinambungan dia berziarah dan mendoakan. Tetapi dalam waktu-waktu lain, cuba pergi kubur sorang je.
Pergi sorang, dan pergi pada waktu hati kita kosong, takda kesibukan.

Jangan ada appointment pukul 3.00, tapi pergi kubur 2.50?
Tak boleh muhasabah.

Pergi kubur dalam keadaan telefon tertutup.
Jangan berbalas mesej di kubur.
Berbalas mesej pulak dengan awek?
Jem.

Balas mesej dengan bini? Sembang bab dunia?

Pergi kubur dalam keadaan kita kosong. Duduk dekat kubur, tengok.
Bukan tengok kubur tu Mak, Ayah atau Abang kita.
Tapi melihat kubur itu hakikat kita. Hakikat perjalanan kita.

Lupakan siapa di dalamnya daripada sudut hubungan dengan kita, kalau tidak kita akan ingat benda lain.
- Tengok kubur Mak, teringat lemang
- Ingat benda lain
- Bukan pada benda sepatutnya kita ingat

Tapi dia ingat pada benda yang cinta dunia juga!

Ingat Ayah, 
“Dulu Ayah ada, senang.
Motor, kereta dia beli.”

“Dulu ada Ayah senang, apa pun mesyuarat dengan Ayah.”

Ingat itu hanya menambahkan kesedihan atas harga dan nilai orang tinggalkan kita.
Kita bukan nak itu.
Bukan tak boleh fikir itu tapi kita nak ketepikan itu.

“Saya ke kubur dengan melihat ia destinasi saya.”

“Saya pergi ke kubur dengan melihat ini hakikat saya.”

“Saya pergi ke kubur dengan melihat inilah perjuangan saya.”

Perjuangan sebelum masuk kubur,
“Kalau saya tanam kebaikan maka saya menuai dengan perkara menyukakan saya.
Kalau saya di dunia tanam kejahatan maka saya akan tuai dengan penyesalan.”

Tengok kubur sebagai hakikat tempat kita, kita tanyakan orang yang mati ini. Kita pun sama, dengan berkata:

“Apa yang kamu dapat dalam kubur?”

“Apa yang kamu lalui, tolong beritahu kami.
Apa kamu lalui?
Bagaimana keadaan kamu?
Bagaimana keluarga kamu? Apakah dia menziarahi, mendatangi kamu?
Apakah manfaat segala keluarga kamu?

Mana anak-anak kamu?
Apakah anak-anak kamu mengingati kamu?

Mana harta-harta kamu himpun dulu?
Rumah kamu,
Kereta kamu, 
Kilang kamu.
Segala perniagaan kamu? Mana?

Mana mudamu?
Mana kekuatan mu?
Mana orang yang kamu sayang?
Mana syahwatmu?”

Seolah-olah kita akan dengar jawapan macam ni. Seolah-olah, 
Jawapan ialah –

‘Kami menyesal atas kejahatan dulu kami buat di dunia.
Dan kami rasa seronok dengan kebaikan yang dulu kami buat di dunia.”

Itu pointnya.

Kita bila ziarah kubur, kita jumpa point tu –

- Kalau kita buat kejahatan dengan segala kita miliki: anak, keluarga tapi kita lorongkan semuanya buat tak elok?

Di sinilah tempat penyesalan yang kita tak boleh kembali lagi.

Tapi kalau kita selama hidup guna kenderaan kita, kawan kita, isteri, keluarga, orang kita sayang untuk buat kebaikan dan bantu mereka buat baik. Memudahkan kita buat baik, kita akan rasa beruntungnya kita.

Beruntung kita ada isteri,
Ada pasangan yang menyebabkan kita bertambah kebaikan.

“Kalau takda pasangan saya Ustaz.. payah kuliah ni..”

Ada pasangan.
Bila kita mati kita berasa beruntungnya kita, punya pasangan, yang membantu Akhirat kita.

Untung kita ada anak-anak yang tak pernah melalaikan kita daripada ingat Allah. 
Bahkan kadang-kala dia ingat kita,

“Ayah.. masjid.. surau..”

Untung kita.
Mudah-mudahan Allah membalas pahala yang besar pada anak-anak kita.
Kita akan kata begitu nanti.

Untung kita dulu di dunia ada kawan-kawan baik sungguh.
Kita buat maksiat, dia tegur.
Kita buat salah, diperbetulkan.

Dia mendorong kita buat baik, dia tambah amal kebaikan.

“Untung saya ada kawan-kawan Akhirat ni.
Kalau tak kerana kawan-kawan ini nescaya saya tak bahagia di kubur ni.”

Orang ni, kita dalam muhasabah ke kubur kita mula melihat,
Kalau kita punyai segala di dunia yang menjadikan kita ingat Allah, beruntung kita.

- Ada anak
- Ada isteri, suami
- Ada harta
- Kawan-kawan
- Persekitaran 

Semua bantu kita ingat Allah. Hari ini kita rasa kebahagiaan dalam kubur.
Kita sayangi mereka semua penyebab kebaikan.

Dan bilamana kita mati, mereka datang mendoakan kita dengan kesungguhan, keikhlasan untungnya kita ada kawan-kawan macam ni..

Dek kita fikir macam tu, maka kita perbanyakkan orang-orang macam ni.
Dek kerana itu kita benar-benar menjadikan isteri, pasangan kita, anak-anak kita, harta-benda kita membantu kita dalam ingat Allah.

Ini hakikat yang kita capai dalam mengingati kematian.
Kalau sekiranya demikian kita rasa maka bernilailah ziarah kubur kita.

Kalau tidak, takkan ada nilainya.
Kita akan terus berangan, bercita-cita kosong.
Walau dah tua tapi cita-citanya masih belum habis.

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan:
“Kita ni makin tua..dan badan kita makin lemah. Makin berlalu tahun ke depan, kita makin tua.”

Dia punya pesan tu,
Kita makin lemah.

Dulu memandu 4 jam, straight.
Hari ni memandu sejam, berhenti-henti.

Dulu tuan-tuan boleh makan serba-serbi, hari ni ini tak boleh, itu tak boleh.
Kita makin lemah tubuh.

Dulu boleh duduk lama, sekarang tak boleh duduk lama.
Baring lama tak boleh.
Semua tak boleh.

“Duduk lama?”

“Tak boleh.”

“Berdiri lama?”

“Tak boleh.”

“Maknanya awak dah tak duduk lama dekat dunia ni. Semua tak boleh lama?”

Memang patut tak lama.

“Ustaz saya duduk lama tak boleh,
Berdiri lama tak boleh.
Baring lama pun tak boleh.
Naik kereta lama pun tak boleh.”

Makna, kita dah tak lama dekat dunia.

Sebab semua benda tu kita tak boleh lama.

Kata Nabi SAW,
Kita makin tua, jasad makin melemah tapi hati tetap muda.

- Kata Rasulullah SAW, penyakit hati dia rasa muda

Rasa tak hati tua?
Rasa?
Tak.
Kita tak pernah rasa.

Dan kata Rasulullah SAW,
“Hati ini tak tua pada dua (2) benda, bahkan ia kekal mencintai dua benda ini:

1. Panjang umur

Dia tetap berharap umur dia panjang
Umur 70, nak mati?
Taknak.
Kalau boleh nak (panjang umur) setahun lagi.

Tahun depan umur 71, tanya –
Kata nak mati tahun ni?

“Kalau boleh biar panjang sikit..”

Takda manusia melainkan orang tertentu yang kalau kita cadangkan umur dia mati, dia akan kata, 
“Kalau boleh biar panjang sikit lagi..”

Dia pun kata,
“Ustaz kawan kita umur 90 tak mati lagi..
Mudah-mudahan kita umur 90 lah..”

Dia tengok kawan dia baru mati. Dia tak tengok kawan dia dah berlambak mati tu.
Dalam group tu ada seorang panjang umur, dia bercita-cita panjang umur macam tu.

Kalau tuan-tuan ada 10 orang sahabat – yang ini mati, 
40 tahun,
50 tahun
60 tahun
Ada seorang sahabat kita umur 90, tak mati lagi – pasti kita bercita-cita umur sahabat tu.

“Saya pun Ustaz fikir nak umur 90, saya baru belajar cara nak makan macam mana.
Rupanya kena kurangkan makan. 
Makan angin je.
Jalan-jalan. Gembira.
Makan ni jangan.”

Kita pasti akan ikut petua orang panjang umur.
Walhal dalam panjang umur takda petua.

Kalau orang kata panjang umur ni ada petua?
Takda petua. Ia berkait tak ajal dia lagi.

Tuan-tuan kalau mati ni ada petua panjang umur? Nescaya orang gunakan segala petua, tak mati. Tapi mati jugak dia.
Pagi jogging, 
Makan sihat
Tapi mati jugak dia, tercekik dodol.
Mati berlari, naik basikal.
Mati ditembak orang.

Mati kena tembak. Ingat panjang umur akhir orang tembak dia.

Agar kita tau takda petua panjang umur secara hakikat.

Ini secara ‘menyedapkan’ hati.
“Petua panjang umur..”

Itu nak menyedapkan hati kita.

“Ustaz baca ayat ni panjang umur.”

Ada seorang hamba Allah kata, 
“Ustaz tau tak kenapa saya panjang umur?”

“Tak tau.”

“Saya ada amal ayat itu saya payah mati.”

“Ayat apa benda.”

Kita layan je lah orang tua kata dia tak mati sebab ayat, biar je lah.
Tapi kita tau kerana belum sampai masa (dia). Kita faham.

Bila kita faham segala dalil kita faham, mati ni bukan ada satu petua melambatkan kematian. Melainkan belum sampai masa.
Kalau tidak orang cara hidup sihat takkan mati.

Kita dengar kan ramai orang cara hidup sihat, senaman, makanan, diet, tubuh dia paling kurang lemak dalam dunia, 
0.00001% lemak dia.
Daging dia takda lemak.
Konon tahap paling sihat, tiba-tiba mati.

Ini supaya kita tak tertipu petua panjang umur.

“Boleh tak amal petua panjang umur?”

“Boleh..tapi ia secara penyedap rasa saja.”

Kalau hari ini, 
“Saya hari ni gula tak ambil apa tak ambil. Rasa macam sedap (badan). Rasa panjang umur.”

Sedapkan hati je.

Macam ikhtiar, 
Ikhtiar ni nak sedapkan hati kita sebab hati kita sentiasa resah.
Cara nak tenangkan, kita ikhtiar.

Kita Mak, anak taknak kerja. Kita marah, susah hati.
Bila anak pergi interview, Mak tenang.
Walau dah 40 kali interview, 40 kali tak dapat.
Tapi tenang sebab anak pergi interview.
Takda lah dia duduk tak buat apa.

Hari ini dia keluar, 
“Engkau dah 5 tahun keluar interview, tak dapat-dapat kerja!”

Supaya Mak dia tenang.
Ini interview baru pulak.

Dia mintak mak dia RM10, setiap hari pergi interview.
Ertinya, kita sebut tentang ikhtiar, petua bagi menyedapkan hati kita.

Sifat hati manusia ni sentiasa lara, gundah.
Ada benda perlu tenangkan. Realitinya bila ia berlaku, ia berlaku.

“Hari ni saya susah hati, macam mana nak tenangkan..”

Kereta rosak, kita baiki baru tenang..
Atap bocor, baiki kita pun tenang.

Ia isu hati kita ni tak pernah bertenang melainkan setelah kita buat sesuatu.
Bila buat kita tenang, walhal ia tak mengubah hakikat.
Cuma hatinya tenang
Tenang sementara.

Jadi bila kita menyebut petua kematian, ia tiada istilah petua kematian sebenar.

Kata Nabi SAW, 
Hati ini sentiasa muda pada dua (2) perkara:

1. Panjang umur
2. Harta

Tua macam mana? Itu kita payah derma – makin tua, makin kedekut.

“Saya panjang umur harta takda, macam mana?”

Itu dah pencen jadi kedekut sebab kita rasa rezeki terhad.
Dulu ada kerja luar, ini dah pencen RM2,000 sebulan.
Itu payah sikit nak derma tu.

Kita cinta pada harta dengan menyangka bahawa takda harta kita tak boleh hidup.
Walhal kita tengok dengan umur kita macam ni, tak banyak dah kita guna harta.. tak banyak.
- Makan tak banyak
- Rumah dah tak bayar 
- Kereta dah tak bayar

Tapi kita tetap rasa kita macam perlu duit banyak.
Kita tetap rasa macam tu.

Akhirnya kita berfikir pada orang kita tak patut fikir:
- Anak-anak?
Dah patut kerja, kita dah beri ilmu banyak
Dia boleh cari duit dia sendiri

Kita patut ada bahagian kita.

Sebab itu ada hamba Allah, dia dah besarkan anak dia dan anak pun belajar tinggi. Dia kata pada anak dia,
“Dengar sini.
Sebelum ini Ayah kerja untuk tanggung kamu semua belajar.
Dan sekarang kamu semua dah belajar, dah ada sijil
Dan boleh kerja.

Duit pencen ayah, kamu jangan kacau lagi.
Ayah nak gunakan untuk bekalan Akhirat.
Jangan dok mintak Ayah lagi, cari sendiri.
Jangan dok berhutang dengan Ayah pulak.

Inilah peluang Ayah nak buat baik.”

Maka dia gunakan duit pencen dia untuk buat baik, sampailah dia mati.

Dia warning ke anak-anak dulu.
Anak-anak tengok Ayah macam bank terbuka, akhir dia tutup ayah dia buat baik.
Ketaatan.

Padahal anak boleh je carik sendiri.
Saja (menyusahkan Ayah).

Ertinya Ayah nak buat baik dengan duit pencen dia. Dulu tak sempat, hantar anak-anak sekolah, universiti –
Sekarang ini peluang.
Ada sikit pencen RM1,000 – RM2,000

Kita tau amalan pertama Allah angkat, sedekah.
Dan kita tau antara penyesalan orang mati, kerana tak sedekah!

Dan kita tau orang ini kalau Allah beri dia peluang hidup kembali, yang pertama dia buat: SEDEKAH.
Yang pertama dia buat.

Kalau seorang tu nak mati dah, kalau Allah beri dia peluang hidup seketika, yang pertama dia nak buat – SEDEKAH.

Sebab itu tentang pahala sedekah, supaya kita melihat kita dengan pahala sedekah ini bak kita bernafas.

Kalau kita tahan nafas kita, 1 minit, 2 minit
Rasa sesak nafas?
Cuba tuan-tuan tahan nafas sekejap?

Bila kita tahan nafas, 3 – 4 minit,
Rasa nak roboh paru-paru kita.

Demikian kita kalau tahan sedekah kita, seperti kita menahan kebahagiaan kita Akhirat kelak.

Kalau tuan-tuan tahan nafas dah rasa huru-hara dunia,
Walau duduk rumah banglo,
Duit banyak
Tapi bernafas tak dibenarkan?

Nak ke?
Sedangkan kemampuan kita tahan nafas ni boleh 1 minit,
Atau 30 saat dalam air.

Cuba tahan nafas sekejap? Tukar dengan segala kekayaan?
Nescaya kita taknak.

Orang yang kata,
“Saya nak beri awak duit RM1 juta tapi syarat awak tak boleh bernafas.”

Tuan-tuan nak duit tu?
Syarat tak boleh bernafas, macam mana?
Sebab nilai hidup ini -bernafas.

Kita pernah sebut, hadis Nabi Allah Daud a.s,
Waktu Nabi Daud a.s kata,

“Ya Allah tunjukkan aku nikmat paling tersembunyi.”

Manusia tak perasan.

Kata Allah,
“Wahai Daud, bernafas itulah nikmat Aku yang orang tak pernah fikir nak bersyukur sebab masih bernafas.”

Tuan-tuan dari pagi tadi, dah bernafas berapa ribu kali?
Sedar tak itu nikmat?
Sedar nikmat tu nasi goreng ayam goreng, kambing bakar.

Ini nafas, daripada kita bangun tidur hingga kuliah Subuh, kalau kira nafas tu berapa ribu dah kita bernafas yang merupakan nikmat?

Orang offer kita duit berjuta tapi syarat tak bernafas?
Takda nilai.

Nafas ni, kalau tuan-tuan tau nilai – itulah nilai derma dalam kehidupan supaya kita ni jangan makin tua makin kedekut, tapi makin pemurah.

Makin kita nampak banyak ruang untuk kita derma.
Derma ini menguntungkan kita.
Kalau tuan-tuan fikir derma ini menguntungkan orang lain, maka tuan-tuan masih lagi berada dalam kejahilan dalam bab derma.

Derma ni untung kita.
Dan bilamana Allah Taala tunjukkan kita tempat yang baik untuk derma, bererti Allah nak terima amalan kita.

Derma ni kalau kita kena tipu pun dianggap pahala, apatah lagi tempat beri manfaat.
Maka ini asasnya, tentang manusia cinta harta.

Takda yang menghalang cinta harta melainkan dengan bersedekah.

Bila kita bersedekah harta kita tak cinta – kita nak, 
Tapi tak cinta.
Ia tak menghalang kita.

Dah tua-tua dok bekerja tak habis lagi.
Amalan Akhirat dia masih bersaing dengan dunia, 
Walhal awak ni umur Rasulullah SAW wafat, 63 tahun.

Kata Ulama,
Kalau kamu sudah mencapai usia Rasulullah SAW, maka persiap kafan untuk kehidupan kamu.

Kamu ni masuk umur 63, bawak kain kafan.
Jangan pernah tinggal.
Bawak.

Setiap hari dunia berkata,
Wahai anak-anak berusia 60 tahun bersedialah untuk kematian.

“Hey orang umur 60, bersedia mati.”

Ini umur 60 dok meliar sana sini,
Hey kamu dekat nak mati!

Bahkan dikatakan,
“Hey orang umur 63, bawak kain kafan!
Mana kain kafan?!”

Kita dalam hidup ni ada benda kita bawak dan takkan tinggal. Ia penting.
Tertinggal telefon? Patah balik?
Patah balik.
Resah. Macam tunggu Malakul Maut.

Kita nak ubah, umur kita berapa?
60, 70?
Biar kita resah tak tengok kain kafan kita,
Biar resah tak tengok kubur kita.

Seorang Ulama, bila dekat nak mati dia sentiasa pergi ke kubur, duduk di kubur.
Dia sedang mencari tapak kuburnya.
Isteri dia melihat rasa pelik suaminya, dia Ulama terkenal di Malaysia.

Lalu isterinya suruh anak murid kanan,

“Tengok suami aku, dia pelik.
Setiap hari ke kubur.”

Ia beberapa bulan sebelum dia mati.
Lalu anak muridnya bertanya,

“Tuan Guru kenapa pergi kubur tiap hari?”

Dia kata,
“Aku sedang mencari tempat di mana aku akan dikebumikan.”

Lihat macam mana dia bersedia,

“Aku sedang cari tempat.”

“Nanti aku mati, kamu nampak tempat tu? 
Kamu tanam aku di situ.”

Dia cari tempat yang baik, untuk dijadikan tempat kediaman.

Macam kita cari tapak rumah.

Maka orang-orang soleh juga melihat kuburnya di mana, dia wasiatkan.
Seperti wasiat Umar al-Khattab agar ditanam di sebelah Nabi SAW, kalau diizinkan.
Kalau tak, hantar ke kubur awam.

Ini cara kita ingati kematian.
Akan sampai waktunya, kita nak atau taknak, maka kematian ini sebagaimana kata Nabi SAW –

Rasulullah SAW buat garisan,
Dan dibuat garisan demi garisan
Dan dikatakan –

“Garisan panjang ini – amal.
Yang merentangi ini – ajalnya.
Ketikamana dia terus berangan maka datang garisan paling dekat dengannya:
KEMATIAN.”

Rasulullah SAW buat garisan panjang – dan garisan merentang,
Angan-angan kita tak habis.

Angan-angan mana berhenti?
Berangan lagi.

Berangan.
Tengah kuliah pun berangan.
Maka dalam angan-angan kita ada garisan merentang – itulah garisan kematian.
Kita lepas garisan ni, garisan depan tunggu.
Lepas yang ni,

Accident, 
Jatuh tangga,
Covid,
Lemas semua tak mati.
Runtuh rumah, tak mati?

Kena bom pun tak mati?
Terlepas dia, terlepas, terlepas, terlepas.

Sehinggalah datang garis terdekat, maka dia mati.

Kita dok lihat dalam diri kita,
Banyak kali terselamat daripada kematian.

“Saya nyaris nak mati aritu, accident.
Masuk ICU. Doktor kata takda harapan.. hidup balik..”

Kerana kita belum kena garisan yang betul.

“Saya Ustaz hari tu lemas. 
Kawan saya mati, saya selamat.”

Dia nampak macam hero lah tu.
Tak, kita belum sampai ke garisan kita.

Sampai je garisan kita, kita akan mati walau pada sebab yang tak masuk akal.
Kadang-kadang sebab mati tu, logik.

- Sebab tua dah. Patut mati awal lagi

Kadang datang satu tak masuk akal, dia tidur. Mati!

Dia sihat, segar -bugar tiba-tiba mati.
Kita macam tak percaya.

Ada seorang hamba Allah, sahabat saya -dia ada seorang saja anak.
Anak dia lelaki.
Anak dia tidur dekat asrama, umur 20.
Esok budak-budak bangun, dia mati.

Dia tak boleh terima. Dia tak boleh terima sebab anak dia tak sakit apa,
Anak dia ceria.

Sedih dia. Kita datang pujuk dia, pujuk.
“Sampai masa..”

Agak payah terima.
Anak tak sakit apa,
Umur baru 20.
Dia tidur, esok orang bangun – dia tak bangun!

Pergi hantar hospital, buat autopsi.
Takda kecederaan takda apa melainkan statement: ‘Kematian mengejut’

Doktor sebut kematian mengejut. Disebut ‘heart attack’
Tapi umur 20.
Tapi ini budak, belum ada apa-apa komitmen, tiba-tiba cerita heart attack.
Tapi sebab tu kena letak, 

Tak boleh, sebab apa mati. Saja-saja?
Tak boleh.
Maka doktor ni akan cari sebab, mati.
Sebab ni bahaya –

Kita dok tengok sebab sedang kita lupa mati itu hakikat.
Kenapa dia mati?
Sampai ajal dia.. sepatut tulis macam tu.
Tapi tak, dicari penyakit.
Ok, sakit ni tulis juga – asal ada satu sebab.

Kerana itu manusia akan lalai melihat sebab.

“Oh dia sakit ibu jari kaki. Kita jaga kaki.”

“Oh dia sakit kencing manis, tak mati.”
Kita fikir.

“Oh dia ni sebab main badminton malam – “
Ok kita jangan main malam, kita main pagi.

Manusia bila tengok sebab kematian orang, dia mula fikir nak lepaskan diri daripada sebab itu. Walhal takda yang boleh lepas daripada sebab itu.

“Sebab apa dia mati?”

“Dia makan ubat overdose.”

“Maka jangan makan ubat overdose.”

Kita cuba berhati-hati benda tu, kita tak berhati-hati daripada sudut persediaan amal dan hakikat kematian. Sebab itu sebab kematian melalaikan ramai orang.

Akhir ramai orang berkata,
“Sebab dia mati tu sebab dia mati sebab bawak motor, kereta laju sangat..
Sebab tu mati.
Jadi kita bawak slow.”

Dia bawak slow?
Mati jugak.

Dia nak kata sebab bawak slow?
Maka bawak laju?

Sebab ini menjadikan orang-orang yang bodoh akan kematian cuba lari daripada sebab.

Sebab itu Allah sebut dalam al-Quran,
Katakanlah mati yang kamu cuba lari daripadanya, ia akan mendatangi kamu.

‘mati kamu lari’ – orang yang guna otak – tak guna syariat, setiap kematian dia tengok sebab dan cuba atasi sebab tu.

Tapi kata Allah,
Mati kamu cuba lari itu akan jumpa kamu.
- Akhirnya mati jumpa kita tanpa sebab.

Kita kan mudah tertipu dengan sebab.
Akhir kita mainkan sentimen sebab – sebab ini dan ini
Kita dah beritahu dah jangan buat, mati.
Kita pun ingat kita hidup panjang sebab kita tak buat tu, akhir mati jugak.

Sebab itu ramai orang lalai mati, mereka terlalu memikirkan sebab lagi mereka mengatasi sebab tanpa memperbanyak tujuan kehidupan, kebaikan dia.

Mati sebab apa, biarlah. Tapi kita sibuk beramal. Mati sebab apa pun kita ok, sebab kita dah bersiap-siaga dengan ketaatan kepada Allah SWT.

Ini nilai muhasabah kematian.

Kata Syeikh Abdul Qadir,
“Ingatlah dan fikirlah bahawa kamu sekalian akan mati sedikit masa lagi.”

Masa mati tu selangkah ke depan. Hanya selangkah ke depan.
Maka kita akan dapati yang paling hampir dengan kita ialah kematian. Dan kita akan dapati kejutan terbesar dalam hidup kita, bukan hari jadi, bukan grand prize - menang cabutan bertuah – kejutan terbesar yang manusia lalui ialah kematian.

Bila datang kematian, semua terkejut.

Sebab itu kata Syeikh Abdul Qadir,
Tengah bercakap itu datang jenazah untuk disembahyangkan –

Lalu kata Syeikh Abdul Qadir,
“Tengok tak mayat ni? Mayat ni yang paling mengejutkan dia waktu dia melihat Malakul Maut.”

Supaya tuan-tuan tau, dan saya pun tau, hari paling mengejutkan kita, waktu kita memandang Malakul Maut.

Tuan-tuan ter-tengok hantu dah terkejut.
Tengok orang tu dah terkejut.
Tengok orang beri hutang ke kita, terkejut jugak.

Lebih terkejut lihat Malakul Maut. Tidak pernah terkejut seumpama itu, bayangkan bagaimana dahsyat? Tak pernah terkejut macamtu.

Cuba ceritakan waktu kita paling terkejut? Inikan pula waktu melihat Malakul Maut, setiap orang tengok sekali. Di dunia.

Dia tengok sekali, done! Habis.
Tak kiralah kamu siapa pun,
Bagaimana hebat,
Kuat, gagah.
Tengok ni mesti terkejut, pasti akan terkejut.

Kata Syeikh Abdul Qadir,
Gambaran terkejut kematian yang Allah boleh hadirkan kepada sesiapa, demikian bab makrifat (makrifatullah). Bila Allah nak suruh seorang itu benar-benar kenal Allah, Allah juga akan datangkannya secara mengejut, dia dapat.

Kerana ini ialah kurniaan Allah yang diberikan kepada siapa yang dikehendaki.

Namun ‘intro’ Syeikh Abdul Qadir dalam bab makrifat ialah – ingat mati.

Siapa ingat mati akan datang makrifat dia kepada Allah. Selagimana kita tak ingat mati, kita akan cinta dunia sampai bila-bila. Tapi bila ingat mati datang sifat ingin mengenali Allah.

Tuhan yang Pemurah,
Tuhan yang Penyayang,
Tuhan yang menyediakan segala kesenangan dan nikmat kepada kita.



No comments: