Majlis 62 Perihal Liku-Liku Tauhid
"Kategori Makhluk" bahagian 4 (M.S 656)
Intisari
Kuliah subuh Ustaz Mat Esa Deraman
16 Mei 2023 | 25 Syawal 1444
PERSEKITARAN YANG BAIK MOTIVASI UNTUK BELAJAR DAN BERGURU
Kata Syeikh Abdul Qadir al-Jailani,
‘Kenallah ahli-ahli Allah (keluarga Allah), tokoh-tokoh yang berada pada jalan Allah.’
‘tokoh-tokoh di jalan Allah (Ahlullah) ialah orang yang mengetahui bahayanya dunia, dan orang yang mampu mendatangkan rawatan (Ilaj) bagaimana mengatasi penyakit dunia,
- Gila dunia
- Diracun dunia
- Disengat dunia
- Dipatuk dunia
Keadaan manusia ini berbeza-beza kesannya disebabkan dunia yang bersamanya.
Ada seperti dibelit dunia, bak ular sawa.
Ada seperti dipatuk bak tedung mematuk mangsanya.
Ada seperti terkapar kelemasan, ada tenggelam.
Senyap, tak bernafas lagi.
Ada yang tercedera, dilukakan.
Ada yang didemamkan disebabkan dunia.
Ada yang digilakan kerana dunia.
Maka dunia kesannya kepada manusia berbeza-beza. Dan orang ini kenal,
Orang ini tau,
“Awak ni dengan dunia, awak demam.”
Maksudnya, dunia menyebabkan awak demam maka kami beri awak ubat demam.
Dan ini,
“Awak, dunia menjadikan awak gila.
Kami bagi awak ubat gila.”
“Awak pula dunia menyebabkan awak cedera.
Kami beri awak ubat yang menyembuhkan luka dan cedera awak.”
“Awak pula, dunia menyebabkan awak sesak nafas.
Awak dibelit dunia, saya beri ubat sesak nafas dengan dunia.”
“Awak pulak dengan sebab dunia, awak bermusuhan.
Maka kami berikan ubat menghilangkan hasad, dengki dan permusuhan.”
“Awak pula dengan sebab dunia menjadikan lalai daripada ingat Allah, maka kami akan bagi ubat yang boleh menjadikan awak ingat Allah.’
Orang ini dia kenal manusia dan kesan-kesan dunia yang ada padanya.
Dia dapat kenal.
“Cari orang ni,” kata Syeikh Abdul Qadir.
Umpama Tuan-tuan sakit, sakit apa?
Sakit kulit.
Maka cari pakar kulit.
Sakit mata? Cari pakar mata.
Atau pergi satu tempat je,
Specialist.
Pergi ke kaunter dan kata, sakit perut.
Maka dicadangkan,
“Saya cadangkan awak ini, doktor ni pakar perut.”
Dia diagnosis, lihat. Kalau pergi masuk wad, masuk wad.
Pergi diberi ubat, maka beri ubat.
Perlu dinasihat, nasihat.
Maka begitu keadaan kita dengan penyakit dunia, kita tak sama.
Setiap orang dengan kesan dunia berbeza-beza.
Kenali orang yang tau penyakit dunia. Bukan jenis bagi ubat sama belaka.
Mereka yang disebut ‘Tokoh-tokoh ahli Allah.’
Kata Syeikh, mereka ini boleh selamatkan orang yang tenggelam.
Dia mampu selamatkan.
Dan orang ini ialah orang yang sifatnya bila mereka orang yang berada dalam azab Allah, maka mereka ini akan merahmatinya.
- Macam mana pun cuba biar orang ini terkeluar dari azab Allah
Doa, dakwah, nasihat.
Kemudian kata Syeikh Abdul Qadir,
“Kalau kenal orang ni, duduk. Tapi kalau tak kenal, menangislah.”
Menangislah tentang apa yang Allah Taala takdirkan pada kamu.
Kenapa Syeikh Abdul Qadir kata kalau kita kenal orang-orang yang mampu rawat kita cari. Duduk dengan dia. Dengar bicara, nasihat dia.
Tapi kalau tak kenal?
Ada orang bila dia sakit, dia tak tau ke mana –
Hospital mana,
Dia tak tau.
Doktor mana, dia pun tak tau.
Apa patut dia buat?
Duduk, berdiam dan berdoa kepada Allah.
Sehingga Allah Taala yang akan menunjukkan jalannya.
Kalau kita tak jumpa dan tak kenal –
Isu nya, ialah bilamana kita tak kenal, kita takkan jumpa.
Kenapa kita tak kenal orang baik?
Dek hijab yang banyak.
Sehingga kita tak nampak.
Kita nampak semua orang serupa macam kita.
Yang ini yang menafikan dengan kata,
“Sekarang dah takda Wali lah.”
“Sekarang dah takda Ulama.”
Ada.
Wali, Ulama, orang soleh sentiasa ada.
Yang takda cuma Nabi dan Rasul.
Lain daripada Nabi dan Rasul,
Para Siddikin,
Para Syuhada,
Para Solihin,
Para Ulama,
Para Auliya semua ada.
Cuma yang kata takda, sebab apa?
Terhijab.
Sebab dosa kita banyak, kita tak kenal orang ini. Kita tak nampak.
Kadang-kadang orang ni depan mata kita, pun kita tak nampak.
Kita tak perasan (hijab).
Kata Syeikh Abdul Qadir, “Ketikamana kamu terhijab mengenali orang ini, tak tahu orang ini..”
Kadang-kadang kita tanya, secara street walk:
“Awak kenal Ulama?”
Dia tak tau pun Ulama tu apa.
Tanya penyanyi – dia kenal
Tanya pelakon – dia kenal
Bila tanya Ulama,
“Boleh tak awak bagi definisi Ulama,
Wali?”
Mereka tak kenal.
Apakah tak kenal mereka bererti takda Ulama tu?
Ada.
Mereka tak kenal sebab mereka berada pada dunia yang hanyut.
Lalu kalau ada keinsafan pada orang ni, tapi nak cari tak jumpa sebab kesan daripada hijab.
Jadi apa patut dia buat?
Menangis.
Menangis, berdoa pada Allah dan redha apa pun berlaku.
Kelak Allah akan pimpin dia.
Allah akan lorongkan dia.
Allah akan tunjukkan dia kepada jalan Allah.
Dan mendekatkan dia dengan taufiq, inayahNya sehingga mereka pasti menjadi golongan yang disebut ‘Hisbullah’ (parti Allah).
Apa maksud ‘parti Allah’?
Mereka menjadi salah seorang daripada orang yang menguatkan agama Allah.
Cuma mereka tak jumpa orang yang akan pimpin mereka.
Maka ini taufiq.
Sebab itu tuan-tuan kalau kita tengok dalam perjalanan hidup manusia,
Ada orang dia tak jumpa Ulama,
Dia tak jumpa orang soleh.
Tapi dia nak jadi baik.
Dan dia berdoa nak jadi baik.
Sebagaimana kita membaca kisah seorang yang membunuh 99 orang – dia nak jadi baik. Tapi dia tak kenal nak jumpa, nak damping siapa. Akhir dia bertemu seorang ahli ibadat dan dia bertanya,
“Apakah dia masih boleh taubat, dah membunuh 99 orang.”
Dia silap jumpa dan dia tak kenal orang ini. Dan orang ini kata,
“Mana ada taubat, dah bunuh banyak orang!
Neraka!”
Maka dia bunuh ahli ibadat ini, lengkap jadi 100 orang dibunuhnya.
Tapi dia masih ingin jadi baik walau dah bunuh 100 orang.
Salah-seorang dibunuh yang ditanyakan soalan dan jawab yang dia tak puas hati.
Supaya kita hati-hati, kalau kita jawab soalan dan tak kena caranya, boleh mati jugak!
Maka jumpa dan kali ini, kerana benarnya taubat, benarnya dia nak jadi baik maka Allah lorongkan dia pada seseorang yang alim. Tapi orang ni tak suruh belajar dengan dia.
Dia tak kata duduk belajar dengan dia. Tak.
Dia takda kecenderungan itu lagi.
Apa kata Ulama ni waktu dia jumpa?
“Boleh tak saya bertaubat, saya dah bunuh 100 orang.”
Maka kata Ulama ini,
“Siapa yang menghalangmu taubat?
Apa yang menghalangmu taubat?
Takda.
Boleh taubat.
TAPI syarat, kamu mesti keluar dari negeri tak baik ini, menuju ke negeri orang yang baik.”
Tapi aneh kenapa Ulama ni tak kata,
“Awak duduk belajar dengan saya.”
Kerana Ulama ini tahu penyelesaian dia bukan di situ, walau dia boleh mengajar.
Kita tengok lafaz hadis, Ulama ni kata,
“Awak nak taubat? Boleh taubat.
Awak datang belajar dengan saya dua tahun, in shaa Allah.”
- Boleh dia Ulama itu bercakap demikian, tapi dia tak.
Dia tahu orang ini cenderung jadi baik maka dia lebih perlukan persekitaran terlebih dahulu sebelum dia jumpa Tok Guru. Kerana orang kalau jahat, dia jumpa Tok Guru dalam keadaan persekitaran dia masih jahat, dia tak mampu berubah dengan mudah.
Dia tak mampu berubah.
Maka apa caranya?
Kata Ulama ini,
Kamu pergi ke negeri ramai orang baik, dan tinggalkan negeri yang ramai orang jahat ni.
Maka orang itu pun perg. Waktu dia pergi, dia mati tengah jalan.
Maka turun Malaikat azab dan Malaikat rahmat.
Kedua-dua Malaikat ini berkata,
Malaikat azab berkata,
“Dia tak pernah buat baik, aku nak bawak dia ke Neraka.”
Malaikat rahmat kata,
“Dia bertaubat. Aku perlu bawa dia ke Syurga.”
Maka Allah Taala turunkan satu lagi Malaikat yang menjadi hakim antara keduanya , diukur jarak. Mana jarak lebih dekat, maka dihukum seumpama itu.
Dilihat jaraknya dengan tempat baik hanya sejengkal.
Dan sejengkal cukup bermakna.
Seorang bila ada niat nak baik, cukup bermakna walau dia belum ubah apa pun perangai dia. Masih minum arak, masih berjudi, masih itu tapi dia ada niat nak baik maka itu sejengkal yang memisahkan dia dengan kejahatan.
Kalau dia mati,
Mudah-mudahan dengan niat yang dia nak baik Alalh rahmati dia.
Sejengkal tadi.
Tapi yang perlu kita faham kenapa orang ini tanya Ulama,
Dan Ulama itu tak berkata,
‘Duduk dengan saya.
Belajar dengan saya.’
Para Ulama ni tau, orang-orang awam macam kita tak mampu baik kerana ada seorang Guru, tapi orang awam macam kita akan baik bila persekitaran baik.
Sebab itu mewujudkan persekitaran yang baik itu bagus.
Kadang-kadang kita belajar dengan Ustaz kita, tapi dalam keluarga kita itu masih tak elok. Suami masih tak sembahyang, isteri masih tak sembahyang – contoh.
Anak-anak pun payah.
Kita ni seorang nak jadi baik sebagai Pemimpin keluarga, contoh
Atau sebagai seorang isteri, dok mengaji, kuliah
Balik rumah tengok suami, tengok pasangan – anak-anak teruk, maka dia mula melemah.
Dia lemah. Dia takkan kuat.
Sebab itu kita ajar, kita kalau nak insaf ajak satu keluarga kerana ia membantu kita.
Kalau tuan-tuan seorang, tuan-tuan takkan kuat.
Akan sampai masanya kita lebih cenderung ikut dia, berbanding dia ikut kita.
Kerana ikut dia lebih mudah.
Ikut kita ni macam susah nampak.
Sebab itu kita lihat kegagalan kita untuk kekal baik kerana gagal mewujudkan persekitaran yang baik. Sebab itu Ulama selalu sebut,
- Kita nak jadi baik, buang sahabat tak baik
Kita nak wuudkan persekitaran baik.
Tuan-tuan nak jadi baik tapi kawan-kawan masih jahat?
Tuan-tuan takkan jadi baik.
Tuan-tuan akan tangguh kebaikan tadi.
Kita tak boleh buang keluarga kita tapi kita boleh buang kawan kita.
Untuk kita kawan yang lain.
Adapun keluarga kita, kata Allah SWT,
‘Sabar’,
Sabar sebab kita tak boleh buang.
‘Saya dah insaf dan (pasangan) tak insaf? Cerai talak 3!’
Tak boleh macacm tu.
Saya dah insaf dan abang tak insaf, nanti saya failkan cerai!
- Bukan begitu
Keluarga tak semudah itu kita buang, supaya tak jadi fitnah agama.
Kita kalau tinggal kawan sebab jadi baik, takpa.
Takda fitnah pada kita sebab kawan ni ramai,
Datang dan pergi.
Dan kawan ni bila kita jadi baik, dia sendiri lari daripada kita.
Dia lihat kita letak je kupiah, terus lari!
Pakai kupiah.
Dulu dia pakai subang, anting-anting.
Sekarang kupiah?
Daripada jauh kawan tu dah pecut (lari), dikatakan itu Malaikat.
Tak susah kita nak berpisah daripada kawan-kawan.
Bila kita tunjuk minat lain,
Pergi ke kawan-kawan, yang dok minat main daun terup. Tapi kita datang bawa tasbih,
Meloncat kawan lari!
Maka buang kawan, tak susah. Tapi buang keluarga tak mungkin semudah itu, bahkan jadi fitnah.
Takkan seorang itu jadi baik, insaf.
Balik rumah ceraikan isteri, anak-anak?
Ini satu fitnah pada agama kerana agama jadikan kamu lebih baik.
Kerana itu kita perlu wujudkan keluarga yang baik ini,
Mesti usaha,
Mesti bersabar
Sehingga Allah keluarkan mereka semua ke jalan kebaikan.
Ini asas kalau kita tak jumpa.
Kadang-kadang kita kenal Ulama, orang soleh yang boleh rawat kita.
Senang kita jumpa, tanya dia.
Duduk dengan dia.
Kadang-kadang tak kenal.
Maka niat yang baik, Allah pasti pindahkan kita ke tempat yang baik sehingga kita jumpa Ulama.
Ertinya bila kita baca hadis, 99 orang dibunuh tadi dan genap 100 orang dibunuh, maka Ulama ini ajarkan dia pergi ke tempat baik.
Kenapa?
Dia ada motivasi buat baik, maka ketika itu baru dia boleh belajar.
Semangat agamanya takda pada dirinya tapi pada persekitarannya.
Kita kalau duduk tempat yang rajin solat berjemaah, dengan kita ter- pergi.
Bukan nak pergi.
Tengok tempat banyak kuliah, dengan kita terdengar sebab surrounding kita (Bi’ah).
Akhirnya kita mula menyintai kebaikan. Menyayangi kebaikan.
Ketika itu barulah seorang itu berguru,
Dan dia tau nilai Gurunya.
Kalau tidak dia takkan tahu.
Kemudian kata Syeikh Abdul Qadir,
“Manusia itu gila.”
- apa ni? Gila?
Apa nak dikatakan ‘gila’ oleh Syeikh Abdul Qadir?
Kenapa suka bantah takdir Allah?
Dah memang takdir Allah macam tu maka terima.
Orang yang tidak menerima takdir Allah ini gila!
Soalannya, dia nak ubah macam mana (takdir Allah) tu?
Contoh: Dia lahirkan anak lelaki, tapi dia nak anak perempuan?
Nak ubah macam mana?
Nak ubah? Ini gila!
Maka REDHA.
Kita taknak sesuatu dalam hidup kita tapi ia berlaku, maka inilah qada dan qadar Allah maka terima.
Kalau tak terima (qada qadar Allah),
1. Ia takkan berubah macam kita nak
2. Hati kita makin lemah
3. Kita akan jauh daripada belas-simpati Allah.
Contoh:
Seorang Ayah penyayang, dia beri kita sebuku roti.
Barangkali ayah ini mungkin bukan hanya nak beri sebuku roti bahkan dia pun nak beri nasi, ikan. Lauk-pauk, air.
Tapi bila diberi sebuku roti anak ni dah melenting,
“Apa ni sebuku roti?!
Makan tak kenyang..”
Dia mula mengomel.
Maka apakah Ayah dia akan beri dia?
Barangkali roti dah diberi tu pun diambil balik!
Biar dia kebulur.
Kita, akan hilang kesian pada orang yang suka merungut.
Tuan-tuan akan kesian pada orang redha.
“Saya, Allah uji saya dengan sakit, saya redha.”
Tuan-tuan akan kesian ke dia.
“Saya diuji Allah dengan miskin, saya redha.”
Tuan-tuan akan kesian ke dia.
Tapi bila kita mula dengar orang merungut, kita mula benci pada dia.
Makin kuat merungut dia, makin kita tak suka.
Tuan-tuan suka orang merungut?
Kita ajak anak-anak makan, kita tak beri dia order, kita order.
Order semua mee goreng.
Anak-anak mula merungut,
“Apalah mee goreng. Kembung, sakit perut.
Bla, bla, bla.”
Sama ada mee goreng tu akan jadi tudung kepala (ditelangkup atas kepala dia), atau dia tak makan terus. Dibiarkan kebulur!
Atau dihukum dia sebagaimana dia memberontak dengan apa Ayah itu putuskan.
Kita Ayah, kita putuskan sesuatu dan anak tak ikut dan kita marah?
Bagaimana Allah?
Takdir itu keputusan Allah – Allah dah takdirkan begini.
Kita pada umur sekian kita sakit dan kita marah pada sakit?
“Aku penat kerja, apalah datang sakit waktu ni?!”
Marah. Bagaimana murka Allah pada orang ni?
Sebab itu Syeikh Abdul Qadir kata,
“Gila kamu ni. Dah Allah takdir macam tu – terima!
Setuju.”
Selesai masalah dengan apa berlaku, setuju.
Kita tadi jatuh, akhir aktiviti tak boleh buat hari ni.
“Kenapalah jatuh.. Kalau aku tak pergi, tak jatuh.”
Kenapa cakap macam tu?
Redha. Itu yang Allah tentukan. Maka ia juga sebagai ilmu –
Lain kali, jalan hati-hati.
Bukan jangan berlaku lagi macam tu. Berlaku tetap berlaku tapi untuk akan datang, ia satu pelajaran. Maka kita terima.
Kita tiba-tiba barang hilang, kita nak buat apa?
Jerit? Bukan barang tu datang balik. Maka terima.
Tapi ia peringatan, lain kali jangan letak merata.. kita dah dapat satu ilmu. Walaupun ilmu ini agak keras.
Tapi kita diajar doalah lepas tu.
Agar redha.
Atau kalau nak jumpa balik barang, doalah biar mudah-mudahan Allah jumpakan barang tu.
Tapi kita redha.
“Dah bukan rezeki saya.”
Tapi kalau jumpa, Alhamdulillah.
Ini cara kita melihat takdir Allah.
Kata Syeikh,
“Jangan jadi orang gila.”
Dah takdir macam tu, terima.
Dan kita tengok siapa pun tak terima takdir Allah, badan dia lemah.
Jiwanya akan putus asa, dan orang ini takkan ada idea, bangkrap idea.
Dan orang ini kita akan lihat bagaimana langkahnya takkan bermaya sebab dia tak belajar apa pun daripada ilmu Allah tadi.
Tapi orang yang terima takdir Allah, langkahnya kuat. Langkahnya nampak lebih bersemangat. Dia lebih kuat dan ideanya banyak sebab dia terima.
Yang dah lepas, lepas. Lihat yang baru.
Maka dia semangat dia yakin ada ketentuan yang lebih baik.
Orang ini Allah akan takdirkan yang baik.
Sebab itu, kalau kita baca Rukun Iman – yang terakhir sekali,
‘Beriman kepada qada dan qadar.’
Kenapa berada pada tempat akhir?
- Beriman kepada Hari Kiamat, kita boleh terima.
Tapi dalam bab qada dan qadar, ramai tergelincir walau dia ada iman. Jangan kata takda iman. Kita dah ada iman ni,
- Solat rajin
- Kuliah bagus
- Bab lain bagus
- Sedekah banyak
- Zakat tak cuai
Tapi datang satu takdir bak ombak mengganas pada hidup kita, kita macam ‘lost’, hilang. Lalu kita mula marah-marah.
Sebab itu ramai yang kufur pada takdir Allah walaupun kata Ulama,
Bukanlah kufur hingga keluar dari akidah tapi kufur nikmat yang Allah beri pada mereka.
Kita nak tengok seorang itu berpewatakan Wali atau tidak, lihat ketikamana dia menghadapi takdir Allah – kita tau ini, bagaimana Wali.
Itu beza.
Tuan-tuan nak tengok,
Orang yang kuat sembahyang, sekian.
Bila takdir Allah datang, lingkup dia.
Kita tu dia bukan Wali Allah.
Nak kenal Wali Allah, lihat dirinya ketika menerima takdir –
- Kuat
- Gagah
- Berprasangka baik
- Melihat ke depan dengan lebih jauh!
Orang ini dia ada ciri-ciri Wali Allah.
Kita taklah berani kata dia 100% Wali Allah, tapi ciri-cirinya dia ada.
Tapi orang yang kita kata, Tahajud sampai berlipat kaki, lebam dahi .. sikit takdir, rebah! Terus macam tak boleh terima.
“Kenapalah anak saya mati muda..patut saya mati dulu.”
Dia tak boleh terima.
“Kenapalah tengah macam ni susah?
Patut senang.”
“Kenapalah anak saya, patut berjaya. Tapi tak berjaya.”
Dia menyesali dengan apa pun yang berlaku, kita tau dia ada ‘masalah’ dalam wasangka baik dia dengan Allah.
Kita selalu sebut, baik tak baik suatu benda depan kita, kita tak tau.
Walaupun kita doa, kita rasa benda tu baik. Kita tak tau.
Seorang doa,
“Ya Allah, aku nak jadi Cikgu.”
Doa, nak jadi Cikgu. Seronok. Sejak kecil, tadika nak jadi Cikgu.
Tengok seronok jadi Cikgu,
Cakap banyak
Boleh itu ini.
Sampai sekolah rendah cita-cita nak jadi Cikgu tak pudar.
Sampai sekolah menengah, makin berkobar-kobar.
Seronok nak jadi Cikgu.
Doa.
Pergi Mekah, doa.
Akhir dapat jadi Cikgu, pada sangkaan dia baik. Lalu dia melalui apa yang dia tak sangka, tak pernah fikir ada.
Akhir dia letak jawatan Cikgu, dia jadi lain pulak.
Jual insuran.
Yang ini dia doa depan Kaabah!
Supaya kita faham, apa yang kita nampak baik kita lihat dalam doa kita, ia tak seperti kita sangkakan ia begitu sebaiknya. Mutlak.
Sebab itu bila kita minta sesuatu, mohonlah keberkatan padanya.
Keberkatan itu yang menjadikan sesuatu itu terselamat daripada fitnahnya.
Tuan-tuan saya selalu sebut, kalau kita mintak naik jawatan,
Gaji besar.
Kita dok fikir,
“Ustaz gaji RM2,000 tak cukup.. itu saya mintak gaji RM20,000.”
Tuan-tuan ingat RM20,000 cukup?
Sama jugak tak cukup.
Bahkan kadang-kadang gaji RM20,000 lagi tak cukup berbanding gaji RM2,000 sebab lifestyle kita lagi teruk!
Masa gaji RM2,000 dia makan dekat Talaqqi, tak makan luar.
Jimat banyak.
Dia pun kenduri kendara bawak keluarga. Dah gaji RM20,000.. dia pergi makan semua mahal-mahal. Akhir tak cukup!
Dia nak pergi makan level bawah, malu dah.
Lifestyle dia berubah akhir bangkrap terus!
Waktu dia gaji RM2,000, dia tak pernah diisytihar bangkrap.
Masa gaji RM20,000, dia diisytihar bangkrap!
Kad kredit 10 hutang.
Loan tak bayar.
Akhir dia tengok gaji RM20,000 itu teruk. Bukan elok.
Sebab itu jangan tengok dunia dengan mata kepala kita kerana dunia di belakangnya fitnah yang tak mampu kita baca.
Gerakan fitnah di belakang dunia itu begitu menakutkan!
Kita nampak depan, jawatan – cantik
Kita nampak depan, harta – cantik
Kita nampak depan isteri / suami – cantik
Semua bagus.
Dibelakangnya bergerak fitnah yang macam-macam.
Sebab itu kita berkata,
“Ya Allah kurniakan aku isteri yang solehah dan berkati aku padanya.”
“Kurniakan aku suami yang soleh dan berkati aku padanya.”
“Kurniakan aku harta dan berkati aku padanya.”
Waktu Rasulullah SAW berdoa kepada Anas bin Malik,
“Ya Allah.. Engkau perbanyakkan harta Anas bin Malik, bahkan Engkau perbanyakkan anak-anaknya dan Engkau berkatilah apa yang Engkau beri kepadanya.”
Sebab itu kita nak mintak berkat benda tu.
Saya memang nak naik pangkat, tapi saya nak mintak berkat.
Dulu saya Cikgu biasa, rajin kuliah.
Dah jadi Pengetua, kuliah pun takda.
- Ini tak baik.
Agama jadi ‘downgrade’.
Saya dulu Cikgu biasa saya kuliah, dah jadi Pengetua saya buat pulak kuliah sekolah saya.
Bagus.
Upgrade.
Bila kita mintak sesuatu hal dunia, jangan pernah tengok kebaikan mutlak padanya, ada fitnah.
Tapi kalau tuan-tuan mintak Akhirat, iya.
Kebaikan mutlak.
“Ya Allah aku mohon Syurga.”
Mutlak.
“Ya Allah aku mohon pendampingan dengan Nabi-Mu SAW.”
Ia bagus.
Sebab itu Rasulullah SAW banyak ajarkan kita doa Akhirat sebab itu takda fitnah banyak. Waktu mintak dunia, seolah mintak fitnah hidup.
Sebab itu dunia ini kita redha dengan apa Allah takdirkan pada kita.
- Waktu kita mohon.. hati-hati. Mohon keberkatan daripadanya.
Ramai mana orang mohon dunia akhir apa dia mohon itu mengecewakan dia,
Menghilangkan bahagia dia.
No comments:
Post a Comment