Monday, May 15, 2023

Kategori Makhluk bahagian 3


Majlis 62 Perihal Liku-Liku Tauhid
"Kategori Makhluk" bahagian 3 (M.S 656)

Intisari
Kuliah subuh Ustaz Mat Esa Deraman
15 Mei 2023 | 24 Syawal 1444

MAKHLUK ITU ALAT, KEBAIKAN ITU MATLAMAT

Satu dialog, yang disebut oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jailani yang menyebut:

“Hai anakku.”

Dialog ini antara dunia dengan manusia.
Perumpamaan dunia itu seolah Ibu, yang kita duduk di sini.

Maka kita tau sifat Ibu, dia akan mendesak kepada anaknya supaya makan. 
Perkara yang akan ditanya Ibu-ibu kepada anaknya, 

“Dah makan ke belum?”

Itu soalan popular.

“Kalau belum makan, makan.”

Kalau sebut taknak makan, Ibu suruh makan.
Dimarahnya.
Didesak.

“Makan. Nanti lapar.”

“Makan, nanti sakit perut, gastrik.
Makan.”

Si Anak kata,
“Kejap lagi saya makan.”

Mak kata,
“Tak boleh, sekarang makan.
Nak kemas pinggan mangkuk ni. 
Makan.”

Maka itu perumpamaan.

Bila Syeikh Abdul Qadir sebut,
“Dunia mendesak kita makan – “

Sebagaimana Sang Ibu mendesak anaknya makan.
Maka dunia ini seolah-olah berkata,

“Wahai anakku, ambil makanan.
Ambil minuman.”

Bila kita mengetahui bahawa dunia ini perlu kita muamalah dengannya dengan peraturan. Mana-mana tempat kita masuk, ada peraturan – kita tau, atau tak tau.
Ada peraturan.

Sama ada peraturan tertulis (tersurat), atau tersirat. 

Kalau dunia ini seorang ambil dengan tadbirnya sendiri, dia akan binasa. Sebab itu kata Ulama,

“Kalau sesuatu urusan Allah serahkan kepada seseorang, itu tanda Allah nak masukkan dia ke dalam Neraka Jahannam.”

Maksud: kalau orang tu buat itu suka dia buat, tadbir dia, urusan dia tanpa dia melihat kepada hukum Allah, perintah, laranganNya maka itu tanda dia ahli Neraka Jahannam.

Tapi tanda ahli Syurga, dia buat sesuatu ada peraturan, dia tau.
Dia tak ambil sesuatu melainkan dia tau
- Apa perintah Allah
- Apa perintah Rasul SAW
- Apa perintah agama di situ

Maka ini orang yang selamat.
Kerana itu Allah memuji para Ulama kerana asal muamalah para Ulama dengan sesuatu adalah dengan
- Dalil
- Ilmu

Hatta dalam setiap perkataan mereka utarakan / bicarakan berdasarkan ilmu.

Kita lihat seorang / para Ulama sebenar, percakapannya setiap percakapannya mempunyai dalilnya. Begitu mereka diajar. 

Maka bila seorang mengambil urusan dunia mengikut suka, kehendak dia dan desakan berada di sekeliling dia dan dia melihat dunia itu perlu diambil dengan desakan pada perkara yang paling hampir dan dekat dengannya (keperluannya) maka itu tanda dia binasa.

Sebab itu bila dunia menyuruh kita – sifat dunia mendesak kita:

“Ambil!
Ambil!”

Kita seperti kalau tak dapat, kita macam takut akan hilang selama-lamanya.
Kerana itu kita sanggup beratur untuk dunia, takut terlepas.
Kerana itu sanggup bersengkang mata untuk dunia, takut terlepas.

Walhal dunia takkan terlepas, kalau ia memang hak kita ia takkan terlepas.

Kerana itu Allah Taala tak pernah suruh kita berlumba cari dunia tapi Allah Taala suruh kita berlumba cari Akhirat kerana Akhirat akan terlepas. Akhirat sifatnya lain daripada dunia.

Sebab itu kata Ulama,
Orang yang benar-benar selamat, benar-benar berjaya bila dia melihat dalam usianya itu cuma tiga (3) hari:

1. Hari semalam yang dia menyesal kerana kebaikan yang telah luput, taubat tak dilakukan, maksiat yang dia terlibat padanya. Maka setiap kali dia memandang hari semalam, dia memandang dengan penyesalan.

“Semalam kenapa saya tak taubat..”

“Semalam kenapa saya tak Dhuha.”

“Semalam kenapalah saya tak baca al-Quran, tak qiyam.”

Maka setiap kali dia bicara tentang hari semalam, dia bicara tentang segala peluang-peluang mendekatkan diri dia kepada Allah, terlepas.
Maka ini ORANG BAHAGIA.

Dia meletakkan hari dia tiga

Hari semalam untuk disesali, untuk Akhirat yang hilang.
Kenapa Dhuha dua, bukan empat
Kenapa baca al-Quran sejuzuk, bukan dua?
Kenapa semalam saya cuma kuliah Subuh, tak Maghrib?

Dia melihat apa-apa terlepas daripada hal Akhirat untuk dia menyesal.

2. Dia melihat hari ini dengan penuh peluang

Ambil peluang hari ini, saya hidup hari ini dan nak ambil peluang hari ini.
Saya nak zikir banyak.
Saya nak buat baik pada orang.
Saya taknak bergaduh dengan sesiapa.

Melihat hari ini ialah hari peluang buat pahala.
Lihat hari ini dengan peluang kita kerana Allah masih beri kita nyawa.

Kalau kita ada dosa maka kita taubat hari ini.
Kalau kita ada permusuhan, maka cuba selesaikan hari ini.
Ada persengketaan, perselisihan, ada benda tak puas hati?
Selesaikan hari ini.
Jangan cerita esok tapi cerita hari ini.

Kerana orang beriman melihat hari ini, 
Peluang mencari keuntungan.

Kalau bagi orang yang suka membeli-belah, dia cari hari ‘sale’, harga runtuh sehingga 90%. Maka akan ambil hari ini, ia peluang.

Jadi setiap orang berjaya melihat setiap hari dia ada sebagai peluang.
Lihatlah peluang kita hari ini baca al-Quran, maka baca.

Hari ini untuk belajar, maka belajar.

“Alhamdulillah saya masih hidup, ini peluang saya kuliah Subuh, kuliah Maghrib.
Ini peluang saya kuliah Dhuha.”

Peluang.

“Hari ini saya nak buat baik pada isteri saya /suami saya.”

“Ini peluang saya berbakti kepada anak-anak saya.”

“Ini peluang saya gembirakan kawan-kawan saya.”

“Ini peluang saya hubungkan silaturrahim.”

“Ini peluang untuk saya ziarah silaturrahim.”

Setiap hari yang kita berada, lihatlah peluang. Kalau nak berjaya.

3. Hari esok, hari penuh ketakutan

Dia sentiasa lihat esok hari ketakutan. Bukan hari penangguhan, perbuatan hari ini nak buat esok, takut esok hidup lagi ke kita ni.

Tuan-tuan,
Esok-esok sihat ke tak sihat kita esok..

Esok, apakah masih ada Guru kita atau dah takda.
Barangkali esok mati dah Guru kita, terlepas nak belajar.

Esok ada tak lagi kawan-kawan kita yang kita boleh buat baik pada dia.
Takut mati esok.

Esok ada tak lagi saudara-mara kita untuk silaturrahim.
Takut dah mati esok, tak boleh pergi.

Kita sentiasa lihat esok ketakutan. Takut apa?
Takut peluang – kebaikan, yang kalau tak buat hari ini ia mungkin terlepas.
Sentiasa lihat esok..

Esok macam mana mati kita..
Taat atau sebaliknya..?

Esok bagaimanakah keadaan iman kita,
Kuat?
Tenat?
Semangat ibadat, semangat atau tidak?

Melihat esok penuh kebimbangan maka dia berdoa kepada Tuhan,
“Ya Allah.. jadikan esok hari yang baik untukku.
Ya Allah jangan jadikan esok terpadam semua kebaikanku..”

Ramai orang, bila berlaku hari esok terpadam banyak kebaikan dia. Terlepas kebaikan.

Ada orang baru terfikir nak berbakti kepada Mak Ayah dia esok, mati Mak Ayah dia esok.
Menyesal ke tak menyesal?

Ada orang baru planning nak ziarah kawan baik dia esok, mati kawan dia.

Tuan-tuan rasa ralat, rasa bersalah atau tidak?

Sesuatu yang selalu kita tangguh esok, patut kita rasa bimbang dan takut.

“Saya esok nak tolong dia, takut mati dia esok.”

Lalu kita kata,
“Ya Allah patutnya saya tolong dia hari ni.. kenapalah saya tangguh esok?”

Maka orang beriman sentiasa melihat esok dengan penuh ketakutan.
Dia melihat semalam penuh penyesalan,
Dia melihat sekarang penuh peluang,
Dia melihat eosk penuh ketakutan.

Maka ini orang beriman dalam melihat dunianya.
 
Kembali apa disebutkan Syeikh Abdul Qadir,
Bila orang beriman didesak dunia untuk ‘makan’.

Tuan-tuan, perkara yang manusia suka dunia ini – makan.

Kata Ulama, ada tiga (3) benda orang suka sangat. Memang manusia suka sangat yang disebut ‘syahwah’.

Kata Hatim al-Assam, 
“Syahwat (keinginan) manusia itu ada tiga (3) jenis:

1. Keinginan makan

Ini benda yang paling manusia suka. Kita ni kalau sehari takda makan rasa tak complete.
Berapa kali kita kena makan?
Tidak tiga atau lima kali, selagi perut dan mulut kita nak, kita makan.

Sebab itu kita ada beberapa jenis makanan yang kita namakan makanan, 
- Sarapan
- Jajan

Mulut kita mengunyah je. Kunyah dan kunyah.

Syahwat makana ialah syahwat utama manusia. Apa-apa kita cerita makan. Lagi orang tu banyak harta, lagi ditunjuk banyak makanan.

2. Suka kita bercakap

Sebab itu kita boleh bersembang jam-jam. 4 – 5 jam.
Bila kita jumpa ‘regu’ kita, siap.
Kalau bercakap tak tengok bulan, matahari. Tak tengok jam.
Bercakap.

Manusia ini ada keinginan bercakap luar biasa.
Cakap.

Hatta tidur pun bercakap lagi. Mengigau.
Tidur pun bercakap.
Cakap ni bila kita berhenti je, ada sesuatu berlaku pada kita.

Maksudnya, bila kita berhenti bercakap automatik itu tanda kita nak jadi baik. 

Kalau orang tu mula tak berapa gemar bercakap, itu tanda dia mula nak jadi baik.

Bila Ulama sebut, kita takkan sampai kepada Allah melainkan dengan taubat. Tapi taubat takkan berlaku melainkan kita suka dua (2) benda:

i. Taknak bercakap, diam. Bisu. 
ii. Khalwat (taknak jumpa orang).

Tanda orang tu bertaubat, cakapnya kurang. Dan dia mula taknak jumpa orang.

Tapi dua-dua benda ni takkan boleh buat tanpa dia jaga makan.

Dan jaga makan ni tak boleh buat, tanpa dia laksana perintah Allah.

Dan laksana perintah Allah dia tak boleh buat juga melainkan dia menjaga seluruh anggota badannya.

Dalam menjaganya daripada melanggar perintah Allah.

Tapi semua ini dia tak boleh buat melainkan dia minta tolong Allah, dengan semua perkara ini. 

Ini kronologinya. 

Dia takkan baik melainkan dengan 
- Taubat
Dan taubat takkan berlaku melainkan kita diam dan suka khalwat (bersendirian). Itu akan berlaku taubat.

Tapi diam dan suka khalwat takkan berlaku melainkan kita cari makanan halal.
Dan makanan halal tak mungkin tuan-tuan makan melainkan tuan-tuan jenis taat kepada Allah.

Dan taat kepada Allah takkan berlaku melainkan kita menjaga tubuh badan daripada melakukan yang haram.

Dan ini semua tak boleh berlaku melainkan kita sentiasa minta tolong kepada Allah dan berdoa,
“Ya Allah mudahkan aku buat semua benda ni..”

- Mudahkan taubat
- Mudahkan berdiam
- Mudahkan cari makanan halal
- Mudahkan taat
- Mudahkan jaga fizikal daripada yang haram.

Kembali kepada perihal ‘syahwat’ yang disebutkan Hatim al-Assam –

Semua manusia suka bercakap, bercakap.

3. Syahwat melihat

Yang kita suka melancong, sebab kita nak melihat
- Lihat negara orang
- Lihat laut
- Lihat tasik
- Lihat salji
- Lihat canggih negara orang

Itu dipanggil syahwat mata.

Orang buta, dia suka melancong?
Tanya dia,

“Encik suka melancong?”

Dia kata, “Melancong apa, aku buta!
Rumah pun tak habis jalan lagi.”

Dek kita ada mata, maka saya katakan ada tiga (3) syahwat manusia:
- Mulut (makan)
- Lidah (cakap)
- Mata (suka tengok).

Yang suka pergi pasar, window shopping. Tengok je.
Tak beli pun, tengok.
Dah pergi pasar empat jam, tak beli apa. Beli biskut kering, tiga jam pergi pasar.
Sebab apa..?

Syahwat mata.

Kita boleh pergi satu tempat tanpa beli apa-apa, cukup mata kita menikmatinya.
Yang saya sebut, kenapa manusia suka melancong..?
Kerana syahwat mata.

“Saya nak tengok juga macam mana negara ini dan ini.”

Kita round.
Kalau dikatakan boleh melancong tapi tutup mata –
Tuan-tuan nak pergi?
Boleh pergi melancong semua percuma, tapi tutup mata.
Cuma diberitahu sekian tempat –

Tutup mata dan balik baru buka mata.
Takkan orang ni akan rasa macam tak betul.

Mata yang kita suka tengok TikTok. Syahwat mata.
Itu tengok TikTok tak bergerak.
Syahwat mata.

Manusia ada tiga syahwat utama dan syahwat ini tak reti berhenti. Syahwat lain pun ada tapi ada berhenti –
Tidur, tapi reti berhenti.
Syahwat tidur tak kuat. Kita tau tidur banyak, pening kepala.

Tapi ada tiga benda ni kita macam tak boleh berhenti
- Syahwat makan, boleh berhenti?
Tadi dah nasi lemak, boleh lagi makan nasi dagang, jajan.
Makan. Sentiasa boleh makan.

Sambil kuliah boleh makan kuih raya lagi, tak berhenti sarapan.
Misalnya.
Itu kita. Syahwat makan kita tak boleh berhenti.

Tengok orang makan, seronok kita. Kerana itu syahwat kita.
Dan syahwat bercakap, suka bercakap.
Dalam TikTok orang bercakap saja, suka dengar orang cakap.
Syahwat bercakap.

Bila kita sebut manusia ada syahwat makan, kerana itu bila dunia mendesak kita, 
“Ambil makanan!”, kita tau benda-benda syahwat ada peraturan ketat.

Allah Taala berfirman,
“Adapun orang-orang yang takut Tuhannya dan menahan diri daripada kehendaknya.”

Kerana kehendak kita takkan berlaku melainkan dengan kehendak Tuhan.
- Kita ikut peraturan

Sekiranya kita, 
- Asal nak makan, sumbat
- Asal nak minum, teguk
- Asal lapar, berhenti kedai makan mana

Takda belek,
Takda dicium,
Takda periksa,
Takda tanya –
Asal sumbat?

Ini orang takda agama.

Kata Ulama, “Kalau kamu nak tengok orang takda agama, tengok orang yang tak pernah peduli makan minumnya (halal, haram).”

Ini orang takda agama.

Tuan-tuan tahu kesan makanan halal ini?

Kata Imam At-Tustari,
“Siapa yang makan makanan haram, maka seluruh anggota badannya akan buat maksiat. Dia nak atau taknak.”

Setiap kali kita makan benda haram, automatik dia macam gerakkan seluruh anggota badan kita buat maksiat, setiap kali makan benda haram.
Waima makanan yang jelas haram
- Babi
- Arak
Jelas haramnya.

Atau tak jelas haramnya, syubhah.

Yahya bin Muaz sedang makan anggur, sedap. Manis.
Lalu dipelawa anak muridnya, 

“Jom makan.”

Anak muridnya bernama Abdul Hamid al-Laffaf.
Ditanyakan kepada Gurunya,

“Ini Syeikh makan anggur dari mana..?”

“Kebun kita belaka..”

“Tapi Syeikh, kebun ini disiram air wakaf.”

- Umpama kita sebut diambil air dari surau, disiram.

Memang anggur tu kita, tapi air disiram tu, dengan air wakaf.
Macam orang bawak kereta ke masjid kemudian dia basuh kereta?
Dia buat benda-benda syubhah belaka lah tu.

Kita tau air di masjid kegunaannya maklum, sama ada 
- Berwuduk
- Mandi
- Buang air

Itu air di masjid dan kegunaannya mengikut uruf.

Tiba-tiba kita bawak kereta basuh di surau?
Bawak pakaian dan basuh?
Ini syubhah.
Dan ini kita katakan menyalah-gunakan harta wakaf (harta umum).
Syubhah besar.

Sembahyang tu sah tapi ada nilai-nilai syubhah dengan pakaian dibasuh dan air diambil dengan sebenar.

Bila Yahya bin Muaz dengar kebun anggur itu disiram dengan air wakaf, terus dibuang. Sampai dia mati, dia tak sentuh anggur tu.

Ini menyebabkan Imam Nawawi Rahimahullah, dia duduk di Syam dan tak pernah beli buah, tak pernah makan buah. 

Kerana buah-buah dijual ambil daripada kebun-kebun wakaf orang.
Diambil dan dijual di pasar.

Umpama kita tau orang yang jenis dia curi buah mempelam dan jual sebagai jeruk mempelam. Tengok dia curi pakai lori!
Dia petik semua di rumah orang dan dia buat.

Kita tau maka kita taknak makan.
Dijual, di tempat kitalah sebab kita tau keadaan.
Makan seumpama ini menyebabkan badan kita tak kuat buat ketaatan bahkan cenderung melakukan maksiat.

Para Ulama mereka bukan cari makanan yang halal semata-mata tapi mereka mencari ‘Halalu Sofi’ atau disebut‘Halalan Toyyiba’.

Halalu Sofi ini kata Ulama, 
Bilamana kita makan je, kita tak lupa ingat Allah.
Bukan sekadar kita buat taat tapi sentiasa ingat Allah.

Sebab itu kata mereka,
‘Makanan halal yang sebenar (Halal Sofi), ialah bilamana kamu mengambilnya, kamu tak pernah lupa akan Allah.”

- Kita bila makan jadi ingat ke Tuhan banyak

Perhatikan makanan apa yang menjadikan bila kita makan, maka kita akan rasa ketaatan bertambah. Perhatikan.

Kita kan perhati bila makan sesuatu penyebab kita sakit?
Kalau tuan-tuan tiba-tiba sakit perut, mesti check tadi makan apa?
Semalam makan apa yang cirit-birit pagi ni?

Semalam makan apa?
Oh makan tomyam lebih sangat..

Maka tuan-tuan ambil langkah berjaga-jaga.

Pagi ni pening kepala, kenapa..?
Oh minum kopi.. 
Saya tak boleh minum kopi rupanya. 
Maka kita berhati-hati dengan minuman ini.

Setiap kali kita sakit, kita akan check makanan kita.
Doktor pun bila dibuat autopsi antara diperiksa adalah apa makanan terakhir si mati, kerana ia mungkin sebab kematian dia.

Dan tuan-tuan tahu bila dekat nak mati, takda makanan boleh masuk. Yang kekal adalah makanan terakhir dimakan.

Dan tuan-tuan tahu bila kita mandikan jenazah, proses ‘menguam’, di mana ditekan jenazah di perut supaya keluar makanan terakhirnya. Tekan perut dia, bangunkan sikit mayat dan tekan. 
Tengok keluar apa.

Kita memang akan fikir, dan saya akan fikir,
Kalau saya tiba-tiba perut berangin, tadi makan apa?

Isteri mungkin masak ayam halia lebih.
Halia banyak daripada ayam, kita makan berangin perut.
Kita check kita makan apa semalam. Itu punca kita sakit.

Begitu kita check, makanan apa menjadikan kita taat kepada Allah.

“Kenapa saya macam semangat solat Dhuha?”

“Oh rupanya makan nasi goreng isteri buat..”

Lepas ni suruh isteri masak nasi goreng tu je. Sebab boleh buat Dhuha 6 rakaat.
Makan roti canai?
Dhuha hilang!

Kita check isteri masak apa, dan kawan ajak makan dekat mana.

“Awak ajak makan dekat sekian terus saya ada kekuatan solat Zuhur berjemaah!”

Kena makan lagi. 
Rupanya sebab kawan belanja itulah kekuatannya. Bukan sebab makanan tu tapi sebab dibelanja.

Kita akan tengok makanan apa yang akan menjadikan kita lebih taat kepada Allah SWT, atau kita makin lari daripada ketaatan?
Bila kita sebut makan, maka perhatikan – letaklah pergantungan pada Allah.

Allah takkan syariatkan makan minum melainkan yang baik untuk kita.

Barangkali makanan sekian beracun. Bukan beracun maksud kita makan mati tapi ia ‘beracun’ pada agama kita, menjadikan kita hilang sensitiviti agama kita. Hilang ‘rikkah’ (kekhusyukan) dalam hati kita.

Hilang benda-benda yang menaikkan iman kita, ini dimaksudkan racun.
Bukan makan lepas tu mati. Itu .. semua orang taknak makan!

Para Ulama, orang soleh melihat ‘racun’ pada makanan itu adalah soal ketaatan.
Bukan racun maksud makan, mati, keracunan, lalu masuk tandas?

Racun yang paling para Ulama, orang soleh takut ialah racun yang meracun agama mereka. Racun fizikal takpa, mati – selesai.

Kita bimbang makanan yang ‘meracun’ agama kita, sehingga agama kita mula hilang sensitivit. Jenis yang pakat makan dekat mana-mana, ini orang yang dah takda agama.

Dengan banyaknya rancangan orang buat review makanan.
Kita pun macam teruja, kedai mana.

Kita dah tulis dalam Waze, setiap kali orang review kedai-kedai makan kita dah tulis dalam Waze, adalah dalam 400 kedai.
Dekat Ayer Keroh ada kedai,
Dekat Seremban ada,
Dekat Selangor ada,
Dekat Perak ada.
Senarai – negeri, tempat.

Tuan-tuan jangan terlalu cenderung melihat makanan dan tempat yang sedap, dan makanan berbagai. Bervariasi. 
Makanan yang nampak happening yang viral.

Jangan melihat itu sebelum kita melihat yang lebih utama, bagi orang beragama
- Halal
- Bersih, siapa yang sedia

Ada yang beratur kedai kafir, beratur.
Dia kata,
‘Bukan ada babi pun?’

Mudahnya halal haram dia, takda babi je?
Hilang warak dia,
Hilang zuhud dia,
Hilang takwa!

Sedangkan Nabi SAW kata,
“Takkan sampai tahap takwa sehingga dia tinggalkan benda yang harus, takut tak harus.”

Tuan-tuan, orang kafir even dia jual benda halal – ia harus.
Tapi oleh kerana kita tak pasti macam mana dia jaga agama dia maka kita tinggalkan, sebab kita orang bertakwa.

Orang kafir jual nasi ayam, dia tulis ‘Halal’.
Katakan. 

Benda tu secara hukum, halal. Ia harus.
Tapi kita orang bertakwa kita tinggalkan benda yang harus bimbang jadi haram. Kerana apa? 

“Saya takkan percaya bagaimana cara orang kafir menjaga nilai Halal.
Saya takkan percaya, saya takkan letak kepercayaan 100 peratus.”

Walaupun orang kafir ni keluarkan produk halal, 
Keluarkan nasi ayam, keluarkan sekian.

Secara hukum saya tahu tapi secara takwa, saya takkan redha.

Check nasi ayam ni, kafir punya.
Saya akan hati-hati.
Kalau tak darurat tak kesempitan, tak semudah itu kita makan. Cari kedai yang orang Melayu orang Islam lagi bagus. Walau tak nampak happening.

Walau mangkuk dia tak lama, tak se-eksklusif kedai-kedai ini tapi saya ambil kira benda ni.

Kita tak sebut yang harus itu haram, tapi kita membaca hadis:
“Seorang tak sampai darjat takwa, sehingga dia meninggalkan apa tak salah. Bimbang salah.”

Saya tak percaya, bagaimana kesungguhan orang kafir menjaga nilai halal.
Apa asas, kekuatan dia dalam menjaga halal?
Hanya semata-mata bisnes?
Sampai peringkat dia terdesak, tak mustahil dia mengambil sumber ayam bukan daripada yang halal. 

Tak mustahil, dia takut apa?
Orang Islam takut dosa,
Takut Malaikat pencatat yang menulis.

Ini bagaimana kita melihat makanan walaupun kaedahnya bila kita ada makanan depan, segerakan. Jangan tangguh.

1. Makanan bila dah ada depan, makan terus
2. Tetamu bila dia datang, layan terus
3. Mayat bila sudahpun confirm mati
4. Anak kita perempuan bila dah sampai umur dan berkehendak kawin, kawinkan
5. Bayar hutang bila dah sampai masa dia. Dah sampai masa, cepat.

Ini segerakan.

Kata Ulama ada 6 sebenarnya, 

6. Taubat

Dalam kaedah makan bila dah ada depan, makan. Tapi ini kata jangan makan dulu?

Hatta kita baca hadis-hadis Nabi SAW, bila masuk waktu solat dan makan, maka makan dulu. Namun asas kepada segera makan bila sudah terbukti ia daripada halal, barulah kita segera makan. 
Kita tak tangguh.

Kita baca sirah, Nabi SAW bila berdakwah, Nabi SAW suruh Saidina Ali bawa makanan.

Nabi SAW tak ceramah dulu, tapi disuruh makan dulu baru ceramah.
Itu kaedah Nabi SAW.
Kerana makan ni tak boleh tangguh.
Ceramah ni boleh tangguh.

Kan kita kalau tengok makanan sambil ceramah, mata tengok makanan.
Hidung cium makanan?
Tak mungkin.

Orang ceramah tu syok sendiri je, yang dengar dah ke lain – perut dah menyanyi. Maka tak berapa elok bila seorang berceramah, depan dia ada makanan.
Better makanan tu jauh sikit, takpa.

Bila dah ada depan, makanan tu kita makan.

Ini bagaimana Islam mengajarkan kita kaedah makan.

Sebab itu bila Syeikh Abdul Qadir kata, bila dunia berkata:
‘Wahai anakku, ambillah makanan, ambillah minuman.’

Sang anak akan kata,
‘Aku takkan makan, sehingga aku melihat hukumnya di pintu Akhirat.
Aku akan melihat apa yang menjadi hukum terhadap sesuatu ini. Bila jelas hukumnya, aku akan ambil.’

Maka kita akan ambil dalam keadaan macam mana..?

- Kalau ia halal, diambil dengan keghairahan kita. Seronok. Ia halal.
- Dan ambil dengan tasbih, memuji Allah
- Ambil dengan kemuliaan.

Manusia ini antara kemuliaan diri, bila kita makan yang halal.
Kalau kita berkahwin, kemuliaan diri – bila isteri kita halal.

Berbanding orang yang cari perempuan tak halal, dia tak boleh bangga.
Itu bukan isteri dia.

Tapi bila isteri tadi, isteri kita kita akan bangga.
Ia halal.

Sama juga makanan, kalau makanan halal kita berbangga.
Ia makanan halal.

Tapi kalau orang berbangga tapi itu makanan haram, terus down.
Kalau dia ada agamalah.
Takda kemuliaannya makan makanan haram tu walau sedap. Walau mahal.

“Haram awak makan tu!”

Hilang kemuliaan makanan.

Orang beriman makan dia ada kemegahan. 
‘Ini makanan halal.’

Bila sebut ‘makanan Halal’, bilion nilai dia.

Kedai, letak je ‘Halal’, nampak izzah dia. Kerana orang beriman jadi mulia dengan makanan halal. 

Sebab itu di antara jihad kita hari ini, saya selalu sebut – kerana kecenderungan hari ini makan dekat luar, kecenderungan hari ini makan di kedai. Maka menjadi jihad orang yang ada kesedaran agama buka kedai makan, khusus tempat-tempat di mana:
- Airport

Orang Islam ada crowd di sana tapi kurang (kedai makanan). Maka jihad.

Sebab itu kita seronok ada orang Islam bukan restoran halal di Vietnam,
Ramai orang Islam melancong ke Vietnam dan dia buka di Bangkok.
Dibuka di tempat-tempat umumnya makanan haram, tapi dia berjihad.
Ini orang yang diberkati.

Kerana jihad ini orang lihat daripada sudut, ruang sempit sedangkan jihad ini luas.
- Apa sahaja yang menaikkan Islam, itu jihad hatta dalam bab makanan.

Sehingga hari ini buka kedai makan itu jihad, khusus di tempat di mana restoran kafir mendominasi. Orang Islam kena masuk.

Berapa pun harga dia kena bayar, dia kena masuk. Sebagai satu jihad.
Kita yakin orang yang berfikiran demikian, dia takkan rugi.

Saya sebut dekat airport, orang Islam ramai tapi kedai Islam terhad.
Takda izzah.

Orang Islam yang duit banyak daripada simpan, 
Tak bergerak. Cuba buat satu jihad, buka satu kedai makan supaya orang Islam ini –

Tapi ini balik Umrah, balik Haji terpaksa makan kedai bukan Islam juga?
Terdekat kita.

Ini jihad perlu dilakukan.

Kemudian kata Syeikh Abdul Qadir,
‘Seorang bilamana dia ini sudahpun melihat dalam bab makan dan minum pada pintu yang halal (pintu Akhirat) – bukan pintu dunia dan syahwat – melihat makan dan minum pada pintu Akhirat (pada hukum-hakam) makan ketika itu datang kesan makan minumlah ialah ‘bertenang dia dengan Allah Taala.’

Tenang dia dengan Allah – 
Seolah-olah hari ini jiwa kita serabut, tak mampu bertenang dengan Allah?
Check makanan kita.

Kalau kita makan yang baik, hati tenang.

Sebagaimana tuan-tuan tau, makan baik maka badan sihat.

“Saya segar Ustaz sebab saya amal pemakanan ini, ini.”

Segar badan.

Tuan-tuan yang kita nak lebih daripada itu, segar agama kita.
Bagaimana segar agama?
Makin jinak kita dengar Tuhan.

Ini liar dengan Tuhan, Allah yang ciptakan kita, beri kita rezeki tapi liar –
Bila bab perintah Allah SWT, liar dia lain macam.

Beralasan,
Tak sempat,
Macam takda masa.

- Awak ni liar.

Bab dunia, jinak.
Macamlah dunia beri makan ke kita.

Yang beri makan itu ALLAH.

Bila kita makan makanan halal dan setiap kali kita lihat peraturannya, maka ketika itu kita akan bertenang dengan Allah.

Kita akan gembira dengan Allah SWT, lalu kita dapat melihat makhluk itu makhluk dan dapat membezakan, perkara yang mendekatkan kita dengan Allah atau tidak.

Maka ketika itu,
- Datang redha Allah
- Datang pakaian dari Allah (Agama kita)
- Bermesra dengan Allah (boleh seronok dalam ibadat)
- Beri makan ubat (rasa kesembuhan agama)

Ramai orang sedar badan tenat, penyakit banyak.
Mereka lupa ketenatan pada agama.
Agama tenat.

Nak bangun Subuh pun payah, tenat betul.
Ini kalau penyakit ni, jenis penyakit kanser!
Dah tua payah bangun Subuh?
Ini tahap 6 punya kanser!

Tapi ‘kanser’ pada agama, dah tua-tua payah ke masjid, surau berjemaah?
Ini kanser punya penyakit.

Yang muda-muda, tahulah ada kerja. 
Ini dah tua, dah dua kali pencen.
Sambung pulak contract tapi masih belum mampu ke masjid ke surau, solat Subuh?

Ini betul-betul berpenyakit agama, tahap kanser.
Dan tau pun masih belum dapat belajar? Ini penyakit.

Kita kalau dengar penyakit dunia, takut. Gerun!
Kalau cerita ke orang,

“Saya ni kanser..”

Semua orang simpati kat kita.

Maksud kanser?
- Makan dah kurang
- Tak boleh bebas macam orang lain

Kita tak pernah bicara tentang ‘kanser’ dalam agama,
Agama awak dah mengidap penyakit kanser –

- Solat payah
- Berjemaah payah
- Menuntut ilmu paya

Ini penyakit tenat.
Ini semua gara-gara daripada muda tak jaga makan minum.

Yang saya kata kita daripada muda pengaruh makan sedap, makan viral.
Jangan.

Saya tak kata itu bukan indikator tapi itu sebahagian.
Ikutkan memang nak makan sedap,
Bukan taknak makan sedap. 

TETAPI biar ada satu priority lebih tinggi daripada itu.

- Kedai orang Islam? Ok
- Dengar pulak orang Islam yang bagus, jaga halal haram. Lagi suka.

Berbaloi kalau nak pergi berpuluh kilometer pun nak makan makanan dia.
Saya kenal owner dia.

Owner dia Alhamdulillah dapat untung dia buat tahfiz.
Tolong orang susah.

Owner minat mengaji, belajar. Lagi saya suka.
Kita yakin agamanya.

Sebab itu kita makan, kita nampak bagaimana agama kita terpelihara.

Kemudian kata Syeikh Abdul Qadir,
“Membentengimu dengan taufiq, dan warak serta memeliharamu. Lalu engkau pergi ke dunia dengan penemannya. Dibinakan bagimu temapt duduk tinggi untuk engkau berbicara kepada ahli dunia dan Akhirat.”

Bila Syeikh Abdul Qadir kata,
Jaga-jaga makanan halal, ia menjadikan kita dekat dengan Allah. 
Bahkan ia sebab kepada taufiq.

Yang jadi ilham kita buat baik juga berkait makanan halal.

“Ustaz kenapa saya tak dapat banyak ilham baik?
Orang lain dapat banyak ilham baik?”

Ini berkait makanan kamu.

Bahkan para Ulama Tasawuf menyatakan,
Kita dalam prinsip Tasawuf ini pegang tiga (3) prinsip utama.
Siapa pun bicara Tasawuf tapi tak pegang tiga prinsip ini, tak betul.

1. Ikut Rasulullah SAW pada perkataan, perbuatan, akhlak
Kita tak mungkin bertasawuf, terpinggir daripada cara Rasulullah SAW.
Orang paling bertasawuf, paling tinggi nilai kemuliaan dan paling dekat dengan Allah ialah Nabi SAW.

Takda pun orang Islam membantah, ini sepakat.
Nak bertasawuf, caranya ikut Rasulullah SAW.
Tak mungkin nak bertasawuf dengan menyalahi Rasulullah SAW.
Lalu mendakwa ‘sampai’?

Kata Ulama,
Hijab terbesar antara manusia dengan Allah ialah dakwa.

- Dia dakwa ini cara, walhal salah

Dakwa dia Wali, dakwa jalan dia betul.
Ini hijab terbesar.

Usul Tasawuf sebenar ada tiga:

- Pada perkataan: zikir yang Rasulullah SAW ajar
- Perbuatan yang Rasulullah SAW tunjuk
- Akhlak ialah akhlak Rasulullah SAW

2. Makanan halal

Mesti makanan halal. Jangan cerita Tasawuf kalau makanan masih kelam-kabut,halal haram.

Jangan kata Tasawuf kalau kita masih gemar semua makanan, tanpa melihat nilai-nilai agama dalam makanan.

Kita dah sebut, orang jenis tak peduli makan minum ni daripada sudut ambil – makan minum, ni orang tak peduli agama dia. Kita pun taknak berkawan dengan dia.

Kita berkawan dengan dia, dia ajak ke tempat-tempat ni.
Tak semena-mena kita makan jugak!

Kalau kita kawan orang baik, dia tau nak bawa kita makan mana.
“Ustaz, sini bagus.”

Kita pun terjaga agama.

3. Ikhlas pada semua perkara

Maka ini Tasawuf.

Ikhlas sebahagian perkara penting dalam Tasawuf, 
Kita buat ni bukan nak tunjuk ke orang, 
Bukan nak tunjuk pandai,
Bukan nak memandai-mandai
Tapi kerana Allah.

Saya ajak orang, nasihat orang bukan kerana orang tapi ALLAH.

Setiap hari kita bicara ikhlas.

“Ya Allah aku beri makan ni ikhlas..”

“Ya Allah aku tolong orang ni biar ikhlas..”

Kita bicara ikhlas.
Sebab itu orang balas tak macam kita harap, kita tak kisah sebab kita ikhlas.
Ini yang Allah ajar sifat orang ikhlas:

“Kejahatan yang kita perolehi, jangan tolak dengan kejahatan. Tapi tolak dengan kebaikan. Tak boleh buat benda ini melainkan orang-orang yang memang ahli sabar. Dan orang ini jenis melihat Akhirat.”

Kita bila buat baik, jangan pernah lihat dia balas kita.
- Kalau dia nak balas dia pun makhluk macam kita, banyak mana dia nak balas

Perhatikan Allah membalas kita.
Sebab itu kita tak pernah kecewa buat baik pada fulan bin fulan walau kita tak dapat kebaikan daripadanya, sebab kita ikhlas.

Kita nak daripada Allah.

Kalau saya beri dia kuih sepinggan, dengan bekas kuih dia tak hantar dah dua tahun! Saya okay. Saya takda masalah dengan dia.
Sebab saya waktu beri tu, saya ikhlas pada Allah.

Ketika saya tolong dia sehingga dia keluar daripada krisis kesusahan dia,
Tiba-tiba saya susah.
Saya tak nampak batang hidung dia, tak nampak dia tanya khabar ke saya. Tapi saya ikhlas, saya tak kisah.

Dulu dia susah, saya tolong.
Sekarang saya susah, saya tak harap dia tolong.
Saya mengharapkan Allah. 

Ini orang ikhlas.
Orang ikhlas tak berdendam dengan orang dibuat baik. Bila dia tak dapat benda dia lakukan.

Jangan berdendam dengan orang yang pernah kita buat baik lalu dia tak bagi sesuatu yang kita harapkan, tak payah dendam.
Kita letak nilai paling tinggi dalam buat baik, ikhlas kepada Allah.

“Saya dengan adik saya Ustaz, selalu tolong.
Bila saya susah dia tak tolong..”

“Takpa. Saya buat tu ikhlas.
Adalah sikit perasaan kecewa..
Perasaan nak marah.
Itu normal.

Tapi kita tak tunjuk.”

Sebab itu kata Ulama, bila kita ni, tuan-tuan ada benda kita jangan tunjuk. Ini dipanggil ‘Izzatun Nafs’.

‘Izzatun Nafs’ (kemuliaan diri). 

Kata Ulama, 
Kemuliaan diri itu ada pada lima (5) perkara.

Kalau kita nak Izzah diri kita.

1. Bila kita susah, jangan tunjuk susah.
Kalau tunjuk susah, habislah.

2. Kalau kita lapar, jangan tunjuk lapar.
Tunjuk kenyang. 

Orang tengok kalau kita cerita lapar, orang suka?
Orang tak suka istilah orang sebut lapar.
Kita memang lapar, tapi tunjuk kenyang.
Dia tak tunjuk dia lapar, dengan perkataan dia. Ini orang yang ada Izzatun Nafs.

3. Bila sedih, tak tunjuk sedih

“Tadi Ustaz, hilang selipar.
Lepas tu motor orang curi.”

Tapi dia relax, datang kuliah macam biasa.
Nampak happy dan tidur sekejap.

Dia tak tunjuk sedih walau masalah dia banyak kita dengar
Masalah isteri,
Masalah anak-anak.

Dia ada masalah tapi dia tak tunjuk.

Orang takda Izzatun Nafs, dia beritahu semua hatta kaki sakit.
Hatta sedih dia isteri tak masak makanan kegemaran.

Dia takda apa yang kita namakan maruah diri.

4. Dia bermusuh dengan orang tapi dia tak tunjuk permusuhan.
Dia tak puas hati, dia tak tunjuk.

Contoh tadi, kita tolong dia, adik kita, kawan kita.
Waktu kita susah, dia tak tolong!

Nak marah tapi tak tunjuk, relax.
Dia datang, senyum macam biasa.
Dia tak hulur bantuan macam kita hulur,
Lebih teruk dia burukkan kita pulak!

‘Aku dulu susah siapa tolong? Dia tak tolong!’

Walhal kita tolong banyak. Mas kawin dia pun kita bayar.
Mas kawin, pelamin semua.
Tapi bila dia senang dia tak kata pun orang tolong dia.

‘Saya buat ikhlas..’

Walau dia tunjuk bermusuh,

“Saya takkan tunjuk bermusuh dengan dia.”

Orang yang berjaya menyembunyikan permusuhan dan kemarahannya, ini dipanggil Izzatun Nafs, orang yang memang kuat.

5. Orang yang siang berpuasa dan malamnya qiyam, tapi tak tunjuk penat.

“Kenapa lembik..?”

“Puasa ni..”

Dia tunjuk. Baru pukul 8.00 pagi.
Tunjuk macam puasa 8 hari dah.

Ada orang dia ibadat, tunjuk penat.

“Kenapa nampak mengantuk je kuliah?”

“Semalam tak tidur (qiyam).”

Janganlah tunjuk lemah sangat tu.

Kita kalau qiyam malam hari, kita kalau puasa siang hari –
Kalau kita nak jiwa mulia, jangan tunjuk lemah sebab kita puasa.

Jangan tunjuk lemah, buat.
Tapi ini mentang-mentang puasa, semua tak boleh buat.
Sebab puasa.

Suami kata,
“Awak hari ni masak..”

Dia isteri kata,
“Tak boleh Bang, saya puasa..”

Suami kata,
“Baik awak jangan puasa macam ni.”

Tuan-tuan kita bila buat agama jangan jadi fitnah!

Kita isteri, sebagai contoh – hari ni puasa.
Tapi hari ni suami nak jamu kawan-kawan dia, 

Isteri kata,
“Saya puasa..”
Buat lembik.

Kita suami pun nak save bajet, kalau beli luar mahal pulak.
Kawan-kawan hari ni nak datang.

Tetamu kalau nak datang jangan tolak.
Kita terima.
Tapi isteri puasa pulak dan beri alasan tak larat.

Kita kata,
“Awak ni kalau puasa wajib, takpa.
Tapi puasa sunat, batalkan je lah.”

Puasa sunat nak pahala?
Ini besar lagi pahala (sedia makan buat tetamu).

Sebab itu dalam Islam, puasa sunat tak boleh lawan khidmat pada suami.
Khidmat suami pahalanya lebih besar daripada puasa sunat.

Kalau suami minta khidmat, apatah lagi perkara berkait peribadi dia, untuk dilayan dia, kita biimbang lemah kita maka kita buka puasa.

Nak memasak, kena rasa.
Rasa pun tak sedap, tak rasa lagi tak sedap!

Suami pulak berpenyakit, maka masak kena pandai.
Kena rasa.

Khidmat dia pada suami lebih besar daripada puasa sunat dia.
Yang perlu diteruskan cuma puasa wajib. Puasa qada. Itu tak boleh batal.
Kita sebut puasa sunat.

Orang yang siang puasa dan malam qiyam, jangan tunjuk lemah.
Tunjuk biasa.
Walau semalam kita qiyam bangun 2.00 - 3.00 pagi, tak mengantuk.
Tenang.
Nampak bagus.

Orang ajak ke sana, ok.

Walau puasa. Dia ok.
Ini orang yang ada Izzatun Nafs.

Sebab itu lima (5) perkara tadi, kita sebut tentang ikhlas.
Bila dia bantu orang, dia tak tunjuk macam tu – tak kira orang dekat.

Tuan-tuan jenis buat baik pada isteri tapi isteri tak tunjuk respon baik.
Takda masalah, kita ikhlas.

Dan kita isteri buat baik pada suami, tapi suami tak tunjuk respon baik –
Kita takda masalah.
Kita ikhlas.

Suami cuma ‘alat’ kita,
Isteri cuma alat.
KEBAIKAN ITU MATLAMAT.

Kalau hari ni saya buat baik pada suami / isteri dan dia dapat yang sebaiknya maka jangan jadikan isu, masalah. 

“Awak ni saya saja buat baik pada awak.
Awak tak pun buat baik.”

Jangan. Kita buat baik kerana Allah.

Ini yang kadang-kadang kita terlepas pandang.

Saya buat baik pada isteri kerana Allah, kalau isteri tak pulangkan balik macam saya buat, walau bagaimanapun saya boleh terima.
Saya ok.
Saya bersyukur kepada Allah kerana ilham saya buat baik.

Ini kesan makan halal, Allah ilhamkan buat baik walau pun di hadapan orang taknak buat baik.

“Saya ok. Boleh buat baik.”

Saya berhadapan orang yang tak pernah kebaikannya sampai pada saya. Tapi saya takkan hentikan kebaikan kepada dia kerana ia taufiq daripada Allah.

Dan itu kesan daripada makanan-makanan halal.
Sebab itu kita kata kesan makanan halal ini besar.

Kalau kita lihat taufiq daripada Allah banyak, boleh buat baik itu dan ini maka itu kesan makanan halal. Maka lazimi makanan tersebut. Nescaya Allah akan beri banyak lagi kebaikan-kebaikan yang lain, yang tidak terkira banyaknya.

Dan kita akan dapat langsung daripada Allah:

- kurniaanNya
- segala keberkatan dan rahmatNya pada kita

Allah akan pimpin kita dalam semua perkara, sehingga kita bukan sekadar diberi taufiq, bahkan kita ada satu ‘magnet’ menarik orang-orang baik bersama kita.

Sebab itu antara sebab kenapa orang-orang tertentu dia boleh cepat baik dengan orang baik-baik, sebab dia makan makanan halal.
Dia punya magnet melekat betul.

Kalau dia sebaliknya dia tak boleh baik dengan orang baik-baik, melainkan dia bertaubat.

Kita macam boleh mesra dengan orang baik-baik kerana makanan kita.
Betul makanan kita, maka sama.
Cenderung sama.

Maka perhatikan pada makan minum kita, 
Ingat, pada hukum-hakamnya dan ingat pada peraturannya.

No comments: