Friday, December 9, 2016

Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama

Saidina Abu Bakar

Meskipun pengurusan jenazah Rasulullah SAW masih belum selesai, telah berlaku pertengkaran di antara golongan mujahidin dan ansar dalam melantik pengganti kepada Baginda SAW sebagai seorang ketua di kalangan umat Islam. Perkara ini berlaku di Thaqifah Bani Saidah.

Golongan Ansar mendakwa mereka lebih layak menjadi ketua memandangkan banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadith memuji mereka. Mereka juga berjihad dengan Rasulullah SAW sehingga Baginda wafat. Mereka telah mencadangkan Saad bin Ubadah sebagai calon ketua.

Golongan Mujahidin juga mendakwa mereka lebih layak memegang jawatan tersebut. Merekalah golongan yang pertama memeluk Islam, berdakwah di Mekah serta bersama-sama Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Penglibatan jihad mereka juga sangat tinggi. Terdapat ayat-ayat Al-Quran dan hadith yang menyanjung mereka.

Ketika Rasulullah SAW sakit, pernah bapa saudara Nabi, saidina Abbas yang mewakili Ahlul Bait berbisik kepada Saidina Ali supaya Baginda SAW mewasiatkan pengganti Baginda di kalangan ahli keluarga atau orang lain untuk memimpin umat Islam. 

Namun cadangan ini ditolak oleh Saidina Ali yang menyatakan beliau tak akan bangkitkan isu ini sekiranya tidak disebut oleh Rasulullah SAW. Beliau juga takut apabila tidak dinamakan di kalangan ahli keluarga maka selama-lamanya ahli keluarga Baginda tidak boleh menjadi khalifah.

Suasana di Thaqifah Bani Saidah semakin tidak terkawal. Perangai arab jahiliyyah kembali ditonjolkan kembali. Kaedah syura yang diajar dalam Islam telah dikesampingkan. Ketua puak ansar dan muhajirin terpaksa memanggil Saidina Abu Bakar untuk membantu merelaikan persengketaan.

Saidina Abu Bakar tampil di hadapan kedua-dua puak. Beliau berkhutbah kepada mereka. Gaya beliau menunjukkan ketokohan beliau sebagai seorang pemimpin. 

Dalam khutbah beliau, selepas memuji Allah SWT, Saidina Abu Bakar memuji kaum muhajirin sebagai golongan awal yang memeluk Islam, golongan yang bersama-sama berhijrah ke Madinah dan berjihad bersama Baginda sehingga Baginda wafat. Saidina Abu Bakar mencadangkan kaum muhajirin paling layak untuk mengganti Rasulullah SAW sebagai ketua.

Selepas itu Saidina Abu Bakar menyambung lagi khutbah beliau dengan memuji golongan Ansar yang turut bersama-sama berjihad dengan Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar mencadangkan kaum Ansar adalah golongan yang layak untuk memegang jawatan menteri-menteri dalam membantu ketua yang dilantik. Beliau kemudian mencadangkan Saidina Umar dan Abu Ubaidah sebagai ketua mengganti Rasulullah SAW.

Saidina Umar dan Abu Ubaidah menyambut cadangan tersebut dengan kedua-dua mereka mencadangkan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah yang pertama. Cadangan mereka ini disambut baik oleh semua yang hadir di situ. Maka dengan itu Saidina Abu Bakar R.A telah secara rasmi dilantik sebgai khalifah pertama dalam sejarah umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Meskipun perlantikan ini sudah rasmi, masih ada golongan Ansar yang masih tidak bersetuju dengan perlantikan tersebut. Begitu juga dengan Ahlul Bait dimana mereka mengambil masa yang agak lama untuk berbaiah kepada Saidina Abu Bakar. Ada sebahagian kecil sahabat daripada golongan muhajirin juga tidak bersetuju seperti Zubair dan Talhah.

Walau bagaimananpun, meskipun ada yang tidak bersetuju dengan Saidina Abu Bakar, beliau tetap meneruskan tugas beliau sebagai seorang khalifah. Perlantikan beliau di Thaqifah Bani Saidah merupakan satu perlantikan majoriti pada ketika itu, dalam kata lain sistem demokrasi dalam pemilihan pemimpin telah bermula pada zaman sahabat lagi.

Bermulalah era khulafa' Ar-Rasyidin...

No comments: