Wahai hamba-hamba Allah, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertakwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertakwa kepada Allah.
Sidang Jumaat yang dirahmati,
Marilah kita mendengar pengampunan daripada Allah SWT yang disebut di dalam wahyu al-Quran Karim.
(Maksudnya): Dan tiadalah kami utuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
Menjadi kelaziman kepada umat Islam diseluruh pelusuk dunia pada bulan Rabi’ul Awal, mereka memperingati peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, walaupun ia tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan generasi salaf (awal) umat Islam. Memperingati peristiwa ini dilakukan oleh generasi yang kemudian.
Tidaklah menjadi salah menyebutnya, kerana Rasulullah SAW melihat orang-orang Yahudi memperingati peristiwa kemenangan kepada Bani Israil bersama Nabi Musa AS iaitu peristiwa Allah SWT menenggelamkan Firaun dan bala tenteranya. Peristiwa ini disambut oleh orang-orang Yahudi. Apabila Rasulullah SAW melihat apa yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi di Madinah, baginda bersabda:
(Yang bermaksud): Sesungguhnya kita umat akhir zaman lebih utama memperingati kemenangan Nabi Musa AS.
Mafhum daripada hadis ini, menunjukkan bahawa menjadi hak bagi umat Islam memperingati peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Kedatangan yang dinyatakan oleh Allah sebagai rahmat kepada seluruh alam. Kedatangan ketika dunia berada di akhir zaman, wujud suasana yang sangat memerlukan seorang Rasul membawa petunjuk kepada seluruh pelusuk dunia, bukan sahaja dengan perkembangan alat-alat perhubungan dan alat mendapat maklumat di zaman sekarang. Dunia yang luas menjadi sempit, boleh pergi ke mana-mana dalam masa yang cepat keseluruh pelusuk dunia. Berita dan maklumat dapat disebarkan ke seluruh pelusuk dunia. Maka di zaman yang seperti ini cukup dengan seorang Rasul sahaja. Maka Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW, Rasul akhir zaman, penutup kerasulan dan kenabian.
Suasana masyarakat manusia sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW dalam keadaan yang sangat memerlukan petunjuk daripada Allah SWT walaupun disana ada agama-agama samada agama Samawi (Yahudi dan Kristian) yang mempunyai kitab yang dibawa oleh Rasul masing-masing, apalagi agama yang diselewengkan oleh manusia dengan lebih dahsyat yang tidak menjadi Samawi lagi seperti agama Hindu, Budha, Majusi dan lain-lain.
Semuanya dalam keadaan sesat dan menyesatkan. Paderi-paderi dan sami-sami menyalahgunakan kedudukan. Mereka dianggap sebagai pemimpin-pemimpin agama. Mereka menyalahgunakan agama termasuk agama Allah SWT yang dipinda dan diselewengkan, kitab-kitab Allah Taurat dan Injil diubah mengikut kemahuan pemerintah dan pemimpin-pemimpin negara. Kemahuan paderi-paderi dan pendeta-pendeta membezakan hukum Allah SWT, yang halal diharamkan, yang haram dihalalkan, sehingga agama Yahudi dan Kristian menjadi agama yang sesat. Apalagi agama yang bukan Samawi seperti Hindu, Budha dan lain-lain lebih sesat lagi.
Ahli-ahli agama menganggap mereka suci dan bersih, boleh melakukan maksiat atas nama agama, menghina hamba-hamba Allah di atas muka bumi atas nama agama. Manusia dalam keadaan yang sangat bercelaru.
Adapun negara termasuk negara-negara besar yang dianggap bertamadun kebendaan seperti Rom, Parsi, Mesir, India, Yaman, China dan lain-lain yang membina istana dan kota serta mendirikan bangunan-bangunan yang hebat dengan membunuh dan memperhambakan rakyat serta merampas harta rakyat. Dalam agama yang bercelaru, pemerintah negara yang zalim dan sesat, maka peraturan binatang yang tidak berakal diamalkan dalam kehidupan manusia. Orang yang jahat dan gagah dimuliakan dianggap pemimpin-pemimpin yang besar dan hebat. Yang lemah menjadi makanan, di keras tenaga mereka dan diperhambakan dengan sehina-hinanya. Tidak ada hak untuk memiliki harta kecuali golongan bangsawan yang perhambakan rakyat yang lemah. Kaum wanita dijual beli dan diperlakukan mengikut hawa nafsu.
Semua kebendaan yang dibaggakan di Mesir, China, India, Parsi dan Rom seperti bangunan-bangunan yang hebat dibina di atas mayat-mayat rakyat yang diperhambakan. Kitab-kitab Allah tidak dihiraukan. Paderi-paderi yang ikhlas mengasingkan diri dengan masyarakat. Mereka tinggal betapa di hutan rimba belantara, di padang pasir yang jauh dan pulau-pulau yang terpencil untuk menunggu kelahiran Nabi akhir zaman yang dijanjikan oleh Allah SWT dan dijanjikan oleh Nabi masing-masing.
Disaat inilah Allah SWT melahirkan Nabi Muhammad SAW dibumi Mekah yang terpencil di tengah padang pasir yang jauh daripada semua tamadun dunia dan semua penganut agama Samawi yang dianggap paling maju dan berfikir jauh daripada ahli-ahli falsafah.
Baginda dilahirkan dalam keadaan yatim piatu, dimatikan bapa dan ibu serta datuknya, diperlihara oleh keluarganya supaya tarbiah dan ilmunya secara langsung daripada Allah SWT. Baginda dicipta dalam keadaan buta huruf, tetapi cerdik yang luar biasa untuk menerima kitab Al-Quran Karim yang diwahyukan, untuk menyatakan kitab itu daripada Allah SWT, bukan ditulis dan direka oleh Nabi Muhammad SAW.
Allah mencabar manusia dengan Firman-Nya:
(Maksudnya): dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad SAW), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu dan panggilkanlah orang-orang yang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.
Dengan al-Quran dan kebijaksanaan Al-Hayyu daripada Allah SWT yang menciptanya daripada zuriat Ibrahim Ibrahim yang dimuliakan, Nabi Muhammad SAW bersama petunjuk al-Quran berasaskan kepada empat perkara yang penting, iaitu dua rukun iman (dua konsep yang penting) iaitu beriman kepada Allah dan beriman kepada hari akhirat, bertakwa kepada Allah dan rahmat keadilan Islam untuk seluruh manusia.
Bertakwa kepada Allah SWT menjadikan semua raja dan pemimpin dunia tidak boleh berlagak menjadi tuhan. Beriman kepada hari akhirat menjadikan manusia yang percaya adanya hidup selepas mati, semua amalan mereka dihisab. Mereka yang dididik dengan dua rukun iman ini tidak akan menipu rakyat, tidak menyalahgunakan harta benda dan kuasa negara.
Konsep takwa menjadikan:
(Maksudnya): sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya diantara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah yang Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
Kemuliaan bukan dengan baka dan keturunan, kaya dan miskin, alim dan jahil, warna putih, hitam dan sebagainya. Ukurannya adalah yang bertakwa kepada Allah SWT. Ia menjadikan manusia tidak berlagak sombong bersama dengan Islam.
Rahmat yang memancarkan keadilan Allah SWT dengan hukum Islam yang hebat menakutkan penjenayah dan orang-orang yang zalim. Hukuman dilaksanakan dengan adil, pembahagian harta benda bagi diri,keluarga dan masyarakat diseimbangkan.
Dengan keempat perkara ini, kumpulan awal umat Islam dalam masa 80 tahun sahaja mara ke perbatasan China, India dan ke Asia Tenggara di sebelah timur, mara ke Utara Afrika, menyeberang ke Spanyol, Benua Eropah, meranapkan ajaran-ajaran jahiliyyah, agama-agama yang karut, sehingga jatuhnya pemimpin-pemimpin yang zalim. Rakyat yang dihina masuk Islam berduyun-duyun. Kawasan yang didatangi oleh Islam meranapkan ajaran yang lain, melaksanakan Firman Allah SWT :
(Maksudnya): dialah yang telah mengutuskan RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggalkan atas segala yang lain, walaupun orang-orang Musyrik tidak menyukainya.
No comments:
Post a Comment