Monday, December 5, 2016

Kandungan Khutbah Jumaat TGHH 25 Nov 2016 bersamaan 25 Safar 1438H



Wahai hamba-hamba Allah, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertakwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertakwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita dengan penuh faham, beriman dan yakin serta gerun dan takut kepada amaran Allah SWT dengan Firman-Nya:

(Maksudnya) : Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah.

Setiap manusia, khususnya orang-orang yang beriman sepatutnya percaya kepada Allah SWT bukan sahaja Rabbul a'lamin (Tuhan yang menjadikan seluruh alam), memtadbir dan mengurusnyanya, Allah juga 'Ahkamul Hakimin (Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana segala hukuman-Nya). Allah SWT yang bernama dan bersifat dengan 'Ar rahman Ar Rahim'(yang sangat memberi rahmat, kasih dan sayang kepada hamba-Nya) lebih daripada sayang ibu bapa kepada anak-anak mereka, kerana Allah SWT yang mencipta mereka, memberi dengan seluruh perhatian ilmu, melihat dan mendengar sejak manusia di dalam perut ibu sehingga dilahirkan kedunia dan sehingga meninggal dunia. Mereka tidak dijadikan begitu sahaja, tetapi dijadikan kepada mereka hukum-hukum, undang-undang dan peraturan yang munasabah dengan sifat semulajadi mereka.

Diantara undang-undang yang menyuruh kepada-Nya yang baik dan mencegah kemungkaran dalam perkara yang tidak mungkin difikir dan dicapai oleh akal manusia. Maka Allah SWT menetapkan hukum-hakam secara nas; yang dihalal, yang diwajib, yang diharamkan, hukuman qasas dan hudud dalam menghadapi masalah jenayah dan kejahatan masyarakat manusia. Tidak mungkin manusia menyelesaikan masalah dengan hukum yang lain daripada hukum Allah SWT. Dihadapan mereka hanya dua hukum sahaja, samada hukum Allah ataupun hukum jahiliyyah, hukum yang ditolak oleh Allah SWT.


Di sana ada hukum yang mengizinkan manusia menggunakan akal. Manusia diizinkan untuk berfikir dengan akal yang bijaksana, ilmu yang mendalam dan kajian yang meluas, bukan dengan cara yang bodoh, boleh difikirkan oleh orang-orang yang bijaksana daripada kalangan manusia. Apa yang menjadi masalah, terdapat dalam kalangan manusia yang mengadakan undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Allah memberi amaran:

(Maksudnya) : patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk meneguhkan hukuman hingga kesuatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta merta kepada mereka (yang berbuat demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh akan beroleh seksa yang tidak terperi sakitnya.

Dunia hari ini dilanda masalah seperti masalah kehidupan manusia di negeri masing-masing dan masalah hubungan masyarakat antarabangsa yang huru-hara. Puncanya kerana manusia merasakan diri mereka sendiri, meninggalkan hukum Allah SWT dan mengadakan hukum sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Tanah air kita Malaysia ini, Islam datang dengan sempurna, hukum-hukum Islam diamalkan bersama dengan kedatangan Islam dan syariat Allah dilaksanakan. Betapa adilnya syariat Allah SWT ini sehingga orang-orang Melayu yang beragama Hindu dan Budha masuk Islam dan meninggalkan agama syirik dan kufur. Mereka masuk Islam tidak dengan paksaan. Semuanya adalah kesan daripada hukum Allah SWT yang Maha Bijaksana lagi Maha Adil.

Adapun hukum yang datang pada hari ini yang diamalkan dalam masyarakat kita adalah undang-undang yang dibawa oleh penjajah. Mereka tidak menjajah tanah air kita sahaja, tetapi mereka turut menjajah pemikiran kita sehingga hukum-hukum yang diamalkan ciptaan mereka itu menjadi darah daging dalam kalangan orang-orang Islam sendiri yang masih bersembahyang, berpuasa, mengerjakan haji, tetapi jahil dengan hukum agama mereka sendiri.

Ini membuktikan ada yang terlanjur dan terlajak menghina hukum Islam, merasakan kalau diamalkan hukum Islam itu menjadi huru-hara dan sebagainya. Mereka mempersenda hukum Islam, secara jahilnya, mempersendakan Allah SWT yang menurunkan hukum itu kepada Nabi Muhammad SAW yang benar dan amanah, yang menunaikan agama Islam sehingga agama Islam menakluk dunia yang luas dan baik hukumnya.

Hari ini seluruh umat menyedari betapa wabak jenayah, wabak kemungkaran dan wabak kejahatan tersebar di dalam masyarakat yang tidak menunjukkan kegagalan undang-undang rekaan manusia dan kebatilan undang-undang jahiliyyah. Sudah tiba masa kita kembali kepada hukum Allah SWT. Allah yang kita percaya Tuhan yang menciptakan kita, Tuhan yang Maha Adil, Tuhan yang Maha Bijaksana, yang menyelamatkan kita di atas dunia ini sehingga selamat di hati akhirat.

(Maksudnya) : Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum diantara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

No comments: