Tuesday, November 29, 2016

Peristiwa selepas kewafatan Rsulullah SAW


Seluruh alam bersedih...

Alam telah kehilangan seorang yang dicintai oleh semua makhluk. 

Baginda mulia Rasulullah SAW telah wafat di bilik isteri Baginda, Saiditina Aisyah pada 12 Rabiul Awal ketika Baginda berumur 63 tahun.

Pelbagai reaksi ditimbulkan masyarakat ketika itu. Kesedihan tak terkira dialami oleh para sahabat Baginda. Saidina Umar menafikan kematian tersebut dengan menyatakan Baginda SAW hanya pengsan sepeti Nabi Musa AS bertemu Allah SWT. Saidina Umar akan mencabar sesiapa sahaja yang menentangnya.

Golongan munafik memulakan gerakan gunting dalam lipatan mereka. Golongan yang berkepentingan memeluk Islam ketika Baginda SAW masih hidup kembali murtad kepada agama masing-masing.


Pada ketika ini, Saidina Abu Bakar yang baru selesai melawat Baginda SAW dan mengesahkan kematian Baginda berdiri hadapan orang ramai seraya berkata;

"Wahai semua yang hadir, sekiranya kamu menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah mati. Sekiranya kamu menyembah Allah SWT sesungguhnya Allah SWT maha hidup selama-lamanya dan tidak akan mati sekali-kali."

Kemudian Saidina Abu Bakar menyambung dengan mengambil ayat surah Aal-Iimran ayat 144;

"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)."


Pada ketika itu Saidina Umar terdiam. Semua para sahabat muhasabah kembali. Ayat tersebut diturunkan ketika perang Uhud. Mereka kembali bertenang dan bersabar. Mereka kembali melaksanakan tugas mereka untuk mengembangkan Islam yang telah mereka perolehi secara terus daripada Baginda Nabi Muhammad SAW.

No comments: