Friday, September 16, 2016

Terima kasih Tuan Guru...


Hari ini, 16 September 2016 hari rakyat Malaysia kehilangan seorang lagi permata yang banyak memberi manfaat kepada negara. Seorang guru yang menghabiskan masa beliau kepada ummah dalam memimpin agar masyarakat berada pada jalan yang diredhai Allah SWT. Seorang murshid yang memandu jemaah Islam agar tidak terbabas daripada dasar perjuangan Islam yang sebenar. Beliaulah Tuan Guru Ustaz Haron Din. 

Hari ini juga saya tidak dapat fokus dalam melakukan kerja-kerja yang sememangnya banyak dan tidak habis. Masakan mampu apabila terkenang detik-detik menjadi anak murid Tuan Guru pada tahun 2008. Meskipun hanya setahun di Darussyifa', namun kemanisan menuntut ilmu bersama beliau dan kesan pengajaran ilmu yang beliau perturunkan cukup melekat pada diri saya sehingga kini.

Pertama sekali yang saya ingat ketika kali pertama menyertai kelas beliau, sewaktu beliau baru masuk ke dewan solat menuju ke tempat imam, mata saya terpana melihat kejernihan wajah beliau dan keputihan yang terpancar daripada jubah beliau memberi ketenangan dalam hati ini. Inilah kali pertama saya melihat beliau pada jarak yang dekat. Terkejut ketika itu. Rupanya memang benar Allah SWT memberi kelebihan hatta hanya apabila melihat ulama'. Tidak terbayang bagaimana pula jika dapat melihat Baginda Nabi Muhammad SAW.


Sepanjang hidup saya dalam dunia pendidikan, di sinilah kali pertama saya sertai pengajian dengan tidak pernah cuti atau ponteng walaupun sehari meskipun dalam keadaan sakit atau demam. Setiap minggu terasa cukup rugi apabila tidak menghadiri kuliah meskipun adakala beliau terpaksa gantikan anak murid beliau untuk mengajar pada minggu tersebut. 

Meskipun memakai buku biasa dan bukan seperti kitab kuning, tetapi dengan beliaulah saya dapat kekuatan untuk duduk dalam majlis ilmu dan menadah kitab. Pada ketika umur 24 tahun baru mampu belajar menadah kitab. Sebelum itu hanya mampu ke kuliah-kuliah biasa sahaja dan sekiranya pengajian kitab sudah tentu saya akan terlena meskipun berada di hadapan guru yang mengajar. Di dalam kuliah beliau saya diberi kekuatan untuk tidak tidur sehinggakan satu masa saya terlalu letih sehingga memaksa diri menjegil mata saya melihat beliau. Tidak ingat point apa ketika itu, tetapi Tuan Guru sebut jeggil biji mata sambil buat gaya jeggil mata. Ketika itu ketawa saya dalam hati rasa kena perli.

Kelas Darussyifa' berlangsung pada setiap hari Isnin. Pada hari itu juga selalunya akan ada sekumpulan pelajar yang akan berbuka sekali dengan membawa juadah masing-masing. Teringat satu minggu itu saya duduk seorang di sebuah meja bulat di luar. Pada ketika itu entah rasa cukup bersyukur sangat hendak berbuka puasa dengan sebungkus nasi lemak yang berlauk telur bulat dan ikan bilis. Di kala hendak membuka nasi lemak terasa ada orang menyentuh belakang bahu saya. Terkejut ketika itu dan segera kalih... rupanya Tuan guru yang dalam perjalanan naik ke dewan solat. Beliau tersenyum sahaja ketika itu dan saya tergamam seketika. Kejutan apabila seorang guru sudi memgang bahu anak murid yang tidak seberapa ini.

Di dalam kuliah selalunya beliau akan baca soalan-soalan yang diajukan oleh anak murid-anak murid beliau. Terlalu banyak soalan akan beliau terima setiap minggu. Banyak kali juga saya menghantarnya. Cuma satu sahaja soalan yang beliau pernah baca dan jawabkan. Iaitu tentang bagimana hendak mengetahui jawapan daripada solat istiqarah. InshaAllah saya akan kongsikan dalam post yang akan datang jika diberi kesempatan. Jawapan yang diberikan terus saya pegang sehingga hari ini meskipun ada perbezaan pendapat yang lain tentang jawapan tersebut.

Akhir sekali yang ingin saya kongsikan di sini ialah ketika satu kelas yang saya hadiri dalam keadaan bersalah atas dosa maksiat yang saya lakukan. Pada hari itu saya perasan, Tuan Guru langsung tidak melihat wajah ini. Meskipun beratus pelajar tetapi kami dapat rasa apabila Tuan Guru melihat kami. Namun tidak pada hari itu... Hati ini cukup berasa bersalah. Berkali-kali terdetik "Adakah Tuan Guru memarahi aku? Adakah Tuan Guru memarahi aku?" Entah selepas detikan yang ke berapa terus Tuan Guru cakap "Saya tidak pernah marah anak murid saya." Terkedu saya ketika itu... Terus terkedu... Terasa betapa mulianya darjat yang diangkat oleh Allah SWT kepada seorang ulama'...

Saya tidak kisah sekiranya sedikit perkongsian pengalaman bersama Tuan Guru ini dikatakan taksub, walaun atau sebagainya lagi. Cuma saya kongsikan pengalaman saya bersama seorang ulama' hebat yang masih hidup ketika itu supaya masyarakat tahu betapa hebatnya golongan ulama' ini. Di kala masyarakat asyik menyanjung artis-artis yang langsung tidak membawa mendekati Tuhan, saya berbangga menjadi salah seorang anak murid ulama' dan terus berusaha menyanjungi ulama' dalam perjuangan ini.

Terima kasih Tuan Guru Ustaz Dr. Haron Din. Akan saya teruskan perjuanganmu memahamkan masyarakat tentang Islam meskipun ilmu saya umpama titisan air berbanding lautan ilmu Tuan Guru.

Mari kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Tuan guru...

No comments: