Saturday, December 31, 2016

Berbengkel sambil berdakwah


Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk menyertai Bengkel Penulisan Artikel Popular yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Moderator program ialah Dr. Nizam. Selalunya apabila ada masalah gout, beliau akan hubungi saya untuk bekam. 

Bengkel ini memberi tips dan motivasi untuk menghantar artikel ke majalah-majalah tempatan seperti Dewan Tamadun, Solusi, Dewan Siswa dan sebagainya. Di samping mendapat sagu hati, usaha ini sebenarnya dapat meningkatkan kefahaman kita dalam sesuatu bidang ilmu. 

Peserta bengkel terdiri daripada pelajar, pensyarah dan penerbit buku USM. Salah seorang peserta ialah seorang profesor bukan Islam dari USM Kubang Kerian. Penyertaan beliau memberi pengalaman yang menarik kepada kami. 


Semasa kami sedang melakukan praktikal penulisan, beliau mula bertanya; 

"Kenapa orang Islam tidak boleh pegang anjing?"

Soalan yang memecah keheningan petang itu. 

"Orang Islam boleh pegang anjing. Cuma sekiranya anjing atau tangan yang memegang anjing itu basah maka kena samak." Dr. Nizam jawab. 

"Oh ya ke. Saya tengok seolah-olah orang Islam takut sangat dengan anjing. Saya pernah lihat ada budak Melayu tutup muka anak anjing dengan plastik kemudian pukul ramai-ramai."

Itu antara isu yang memberi kami info dan memaksa kami berfikir untuk jawab. 

Antara yang ditanya termasuk; 

  • Mengapa orang Islam pakai tudung tapi pakai baju ketat?
  • Mengapa orang Islam hanya pakai tudung dalam Malaysia sahaja? 
  • Mengapa babi haram? 
  • Kenapa orang Islam datang minta duit kepada saya semasa bulan puasa


Antara kesimpulan yang kami boleh buat petang itu ialah banyak persepsi yang salah dibuat oleh non-Muslims kepada orang Islam kerana pengamalan yang silap oleh orang Islam sendiri. 

Usaha perlu digandakan dalam memberi penerangan yang sebenar kepada masyarakat. Umat Islam perlu berusaha kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bukan terikut-ikut dengan fesyen semasa yang tidak memenuhi apa yang disuruh dalam agama.

No comments: