Thursday, December 29, 2016

Asas Kandungan Al-Quran


Al-Quran, mukjizat yang istimewa diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW yang menjadi panduan dan penyelamat untuk kehidupan dunia dan akhirat.

Terdapat 4 perkara asas yang dibawa oleh Rasulullah SAW daripada Al-Quran;
  1. Beriman kepada Allah SWT.
  2. Beriman kepada hari akhirat.
  3. Bertaqwa kepada Allah SWT.
  4. Rahmat keadilan Islam kepada seluruh manusia.
Beriman kepada Allah SWT
Apabila menyedari dan percaya bahawa Allah ialah tuhan yang mentadbir alam maka tidak akan ada yang berani mendabik dada mengaku bahawa diri mereka adalah tuhan seperti firaun. 

Ini juga menjadi asas untuk setiap tindakan manusia agar menyedari bahawa segala yang kita lakukan adalah sentiasa diperhati oleh Allah SWT. Secara tidak langsung akan melahirkan keyakinan bahawa bantuan Allah SWT amat dekat dengan kita.

Beriman kepada hari akhirat
Apabila kita mengetahui dan menyedari setiap tindakan kita akan dibalas meskipun sebesar zarah maka kita tidak sewenang-wenangnya akan melakukan kemaksiatan dan kerosakan di atas muka bumi ini.

Ini juga akan menjadikan kita berlumba-lumba melakukan kebaikan kerana yakin sekiranya kebaikan tersebut tidak terbalas di dunia, di akhirat kelak pasti akan terbalas. Amalan ini bergantung kepada keikhlasan kita.

Bertawakal kepada Allah SWT
Bertawakal dalam erti kata melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT. Segala arahan dan larangan ini telah diberikan melalui Al-Quran dan hadith Nabi SAW. 

Sekiranya setiap alat memerlukan manual untuk beroperasi dengan baik dan sempurna maka Al-Quran adalah manual kepada kehidupan setiap manusia. 

Rahmat keadilan Islam untuk seluruh manusia 
Keadilan Islam bukan hanya memberi faedah kepada penganutnya hatta menjaga dan membela seluruh alam. Setiap hukuman yang termaktub adalah lebih untuk mendidik daripada menghukum.

Berbeza dengan amalan atau isme yang dicipta oleh manusia yang hanya memberi kebaikan kepada penganutnya sahaja, Islam tidak sesekali akan menzalimi agama atau budaya penganutnya selagi tidak memberi kerosakan kepada masyarakat.

No comments: