Monday, November 14, 2016

Kandungan khutbah Jumaat TGHH 4 November 2016 bersamaan 4 Safar 1438H



Wahai hamba-hamba Allah, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar dengan penuh perhatian kepada firman Allah Taala:

Maksudnya: Manusia itu adalah umat yang satu. (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutuskan para nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka kitab dengan benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan.Tidaklah berselisih tentang kitab itu melainkan orang yang telah di datangkan kepada mereka kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendaknya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang di kehendakinya kepada jalan yang lurus. (surah Al Baqarah 213).

Para ulama tafsir, diantaranya Ibnu Abbas R.A, sepupu Rasulullah S.A.W yang dibawa dan diletakkan diatas ribanya ketika dilahirkan ke dunia semasa Rasulullah S.A.W berada di Mekah sebelum Hijrah dan berdoa kepadanya:

Maksudnya: Ya Allah, berilah kepadanya faham dalam agama dan ilmu menafsirkan Al Quran.(riwayat Imam Ahmad)

Ibnu Abbas menyatakan ayat ini menunjukkan bahawa manusia itu bermula dengan Nabi Adam A.S, melahirkan zuriat keturunannya dalam satu keluarga, berkembang dan seterusnya menjadi jumlah yang besar, sehingga selepas wafatnya Nabi Adam A.S manusia dalam keadaan beriman kepada Allah S.W.T kesalahanya sekadar melakukan maksiat dosa yang besar dan kecil.


Setelah sampai seribu tahun setelah wafatnya Nabi Adam A.S, bermulanya kesesatan dan kekufuran yang besar dalam kalangan manusia. Mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah S.W.T yang dipuja dan disembah. Mereka mengadakan peraturan-peraturan dan hukum-hukum sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah S.W.T .

Maka Allah S.W.T mengutuskan Nuh A.S rasul yang pertama berjuang menentang kekufuran, kezaliman dan kejahatan yang bermula daripada syirik yang besar, menyekutukan Allah S.W.T dan melahirkan dosa-dosa yang lain. Nabi Nuh A.S dipanjangkan usianya, berdakwah sehingga 950 tahun, bermakna diberi peluang kepada umat di zaman itu untuk bertaubat dan kembali kepada Allah S.W.T sepanjang 950 tahun.

Mereka mati, kemudian dilahirkan semula generasi yang baharu. Hanya sedikit sahaja yang beriman kepada nabi Nuh A.S . Sampai kepuncaknya Allah S.W.T menghukum dengan bencana yang besar. Hanya segelintir sahaja manusia yang selamat, iaitu yang beriman bersama dengan Nabi Nuh A.S.

Manusia yang ramai di zaman ini adalah kelahiran daripada ibu bapa. Nuh dan anak-anaknya dengan jumlah yang besar sehingga dunia hari ini, Allah S.W.T mengutuskan rasul yang silih berganti mengajak manusia beriman kepada Allah S.W.T, meninggalkan kekufuran, beramal dengan syariat Allah S.W.T .

Manusia juga kufur dan kafir serta jahat dan zalim silih berganti sehingga Allah S.W.T melahirkan Nabi Muhammad S.A.W, Nabi akhir zaman yang menghadapi cabaran yang paling besar yang datang daripada seluruh pelusuk dunia.

Oleh kerana besarnya cabaran dan ujian di zaman nabi S.A.W, apatah lagi selepas wafatnya Nabi S.A.W, maka seorang sahabat bernama Sufian bin Abdullah R.A berkata kepada Rasulullah S.A.W :

Maksudnya: Wahai rasulullah, katakan kepada saya berkenaan islam dan kata-kata yang terang dan jelas sehingga tidak perlu lagi saya bertanya kepada orang-orang lain. Sabda rasulullah S.A.W: Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamah. ( riwayat Muslim)

Beriman atau percaya kepada Allah S.W.T dan beristiqamah dengan makna berada di jalan yang betul mengikut ajaran islam yang dibawa oleh rasulullah S.A.W yang menerimanya daripada Allah S.W.T, maka semua ajaran sama ada yang di namakan agama atau ideologi atau teori dalam perkara yang berkait dengan ibadat atau berkait dengan kehidupan manusia seperti berumahtangga, bernegara dan bermasyarakat, berkerja dan segala-galanya telah ditetapkan petunjuknya oleh Allah S.W.T di dalam Al Quran yang telah dinyatakan oleh Allah:

Maksudnya: kitab Al Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya tentang datangnya dari Allah dan sempurnanya, ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang hendak bertaqwa . Maka sesiapa yang tidak mengikut petunjuk Al Quran dalam semua perkara kehidupannya, bermakna dia sesat dan tidak bertaqwa kepada Allah S.W.T. (surah Al Baqarah 2).

Maksudnya: maka adakah orang yang berjalan, melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata? (Surah al mulk 22)

No comments: