Monday, November 21, 2016

Kandungan khutbah Jumaat TGHH 11 November 2016 bersamaan 11 Safar 1438H



Wahai hamba-hamba Allah, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya Berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar dan memahami peringatan daripada Allah S.W.T :

Maksudnya : Katakanlah wahai Muhammad S.A.W : Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? Iaitu orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat tuhan mereka dan akan pertemuan dengannya : oleh itu gugurlah amal-amal mereka : maka akibatnya kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

Walapun ayat-ayat ini berkait dengan golongan ahli kitab di zaman nabi S.A.W yang berbangga kerana mereka mengikut kitab Allah, taurat dan injil serta beriman dengan nabi Musa dan nabi Isa A.S .yang mereka merasakan sudah cukup, tetapi mereka sudah menyeleweng kerana tidak mengikut perintah Allah S.W.T dalam taurat dan injil supaya beriman dengan nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W . Mereka juga tidak mengikut hukum-hukum Allah yang ada dalam taurat dan injil. Diantaranya sama dengan apa yang ada didalam taurat dan injil.

Para ulama menyatakan:

Maksudnya : pengajaran diambil daripada lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus.

Ini menunjukkan bahwa sekiranya ada dalam kalangan umat Muhammad S.A.W yang berperangai begitu yang tidak mengikut petunjuk nabi Muhammad S.A.W , tidak memakai hukum yang ada di dalam al-quran atau tidak percaya kepada hukum-hukum itu , walaupun mereka bersembahyang, berpuasa, mengerjakan haji dan umrah, mengerjakan amal-amal yang baik, tetapi mereka tidak menjadikan al-quran sebagai petunjuk di dalam urusan hidup mereka, maka Allah S.W.T tidak akan menerima amalan-amalan mereka. Mereka menganggap petunjuk-petunjuk yang lain itu lebih baik daripada islam ataupun meraka layak terhadap benarnya ajaran islam dan merasakan petunjuk yang lain sama sahaja.

Allah S.W.T telah menunjukkan betapa dalam dunia islam hari ini ramai daripada kalangan orang islam yang seperti ini yang mengaku sebagai orang islam dengan mengerjakan amal islam yang banyak, tetapi mereka menerima berbagai-bagai fahaman dan ideologi yang tidak ada kena mengena dengan islam. Dan Allah S.W.T telah menunjukkan kepada mereka beberapa akibat daripada meninggalkan petunjuk Allah S.W.T . Mereka hidup dalam keadaan huru-hara, akhlak yang runtuh, jenayah yang banyak, harga barang yang mahal dan berbagai-bagai kesusahan yang dihadapi oleh mereka.
Sepatutnya kita sedar dengan amaran Allah S.W.T ini.

Maksudnya : Telah timbul beberapa kerosakan dan bala’ bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia: timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.

No comments: