Thursday, January 28, 2016

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman, Siri 7 oleh Ust Wadi Annuar


Antara makhluk yang dipanjangkan umur seperti iblis, syaitan, dan Nabi Isa ialah dajjal. Sahabat Nabi SAW pernah berjumpa dengan dajjal secara bersemuka di sebuah pulau. Ada kemungkinan orang lain juga pernah bertemu dajjal di pulau ini.

Fitnah dajjal adalah fitnah yang paling besar di dunia ini hatta lebih besar daripada fitnah iblis. Ini kerana dajjal menyuruh manusia mengaku dia adalah tuhan, dan suruhan tersebut datang secara bersemuka, bukan melalui bisikan. Pada ketika itu, semua benda akan mematuhi dajjal. Daripada tanah, awan hingga ke syaitan dikawal oleh dajjal sebagai tenteranya.

Allah SWT himpunkan semua fitnah yang pernah berlaku pada zaman nabi-nabi terdahulu pada akhir zaman. Disebabkan itu banyak kelebihan Allah SWT kurniakan kepada umat akhir zaman. Antara kelebihan tersebut ialah dapat dimasukkan ke syurga tanpa dihisab. Semua umat nabi sebelum Nabi Muhammad SAW hatta nabi-nabi juga tidak dapat kelebihan ini.

Apabila seseorang itu rapat dengan Allah SWT, segala makhluk termasuk iblis dan dajjal tidak menjadi masalah bagi mereka. Selagi alam itu bukan syurga, akan sentiasa ada ujian dan seksaan daripada Allah SWT. Orang beriman sentiasa selamat dengan izin Allah SWT. Keperluan kita ialah bersedia untuk menghadapi hari kiamat, bukan menunggu bila akan berlaku hari kiamat.

Sebelum keluar dajjal, dunia akan mengalami kemarau selama 3 tahun. Tahun pertama kurang sepertiga hujan. Pada tahun kedua berkurang dua pertiga, tahun ketiga hujan tak turun langsung. Selepas 3 tahun kemarau, keadaan yang terdesak menyebabkan mereka yang lemah iman mudah mengaku dajjal itu tuhan. Sewaktu dajjal keluar mengaku tuhan dia datang dalam rupa manusia yang buta sebelah. Namun pada waktu itu ramai yang mengikutnya.

Daerah yang mengaku dajjal tuhan, dajjal akan mengarah hujan ke kawasan tersebut. Penduduk yang tidak mengaku ketuhanan dajjal akan terus kelaparan meskipun kebun mereka sebelah daerah mereka yang mengaku ketuhanan dajjal.

Ada ulama' takwil keadaan negara pada ketika itu berlaku seperti sekarang. Negara yang tak ikut dajjal akan dihancurkan sehingga negara tersebut berada dalam keadaan sengsara, tiada makan dan minum. Manakala yang lainnya berkata keadaan seperti yang dikisahkan dalam hadith. Walau bagaimanapun semua ulama' bersepakat bahawa mereka yang ikut dajjal akan mendapat makanan dan minuman, manakala jika tidak ikut sengsara.

Selepas dajjal hancurkan satu kawasan itu, dajjal datang balik membawa kemewahan harta emas menyebabkan kawasan itu diuji oleh dajjal untuk kali kedua. Pada ketika itu ada juga kawasan yang tertewas, percaya kepada dajjal. Sewaktu itu, makanan bagi orang yang beriman hanyalah zikir yang dapat mengenyangkan mereka.

Dajjal akan memerintah selama 40 hari. Namun pemerintahannya umpama 14 bulan 14 hari. Hari pertama pemerintahannya umpama setahun, hari kedua umpama sebulan, hari umpama ketiga seminggu, manakala hari keempat kembali normal. Dajjal akan membawa syurga dan neraka, serta sungai air dan syurga api untuk menguji manusia. Mengikut hadith Nabi SAW apabila diuji oleh dajjal dengan sungai air dan sungai api, maka terjunlah ke dalam api, kerana sungai api dajjal sebenarnya ialah air yang sejuk.

Twitter: Farhan_Yusri

No comments: