Alangkah hairannya bagi orang yang telah sampai umurnya kepada bulan Ramadan, apabila habis Ramadan dia tidak mengambil kesempatan untuk Allah mengampunkan semua dosa-dosanya.
(Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Besar makna yang terdapat daripada hadith ini. Dalam hadith lain dinyatakan bahawa salah satu fasa yang terdapat dalam pertengahan bulan Ramadhan ini ialah pengampunan. Alangkah ruginya tahun ini sekiranya kelebihan dalam bulan yang mulia sendiri tidak dapat dikecapi. Bertambah teruk lagi apabila tiada langsung kekuatan yang boleh dibawa selepas bulan Ramadhan dalam menempuh 11 bulan selepas itu. Seolah-olah setahun dibuang tanpa perkara yang baik.
Istiqamah sebelas bulan
Istiqamah; perkataan yang didifinisikan sebagai amalan yang berterusan oleh sesetengah ilmuan. Para mukmin yang menjadikan Ramadhan sebagai bulan tarbiyyah akan menghadapi ujian yang cukup getir apabila selesai bulan ini; menjadikan amalan yang dilakukan sepanjang Ramadhan sebagai amalan selama 11 bulan mendatang. Hatta hingga Rasulullah SAW sendiri menyatakan Baginda dituakan disebabkan surah Hud; surah yang menyentuh soal istiqamah (ringkasan hadith dari Ibn Abbas).
Amal Kebajikan
Di kala bulan Ramadhan, banyak kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh setiap individu-individu dan masyarakat termasuk syarikat-syarikat dalam meraih kebaikan di bulan Ramadhan. Anak-anak yatim diraikan dengan majlis-majlis berbuka puasa sehinggakan ada yang merungut tidak sempat hendak membaca Al-Quran. Setiap hari di surau-surau ada yang melaburkan wang menyediakan jamuan berbuka. Individu-individu tidak luak menghulurkan sumbangan kepada masjid-masjid dan surau-surau.
Bagaimana sebelas bulan mendatang nanti? Anak-anak yatim sedih kerana menjadi yatim kembali selama sebelas bulan (istilah Ustaz Hasrizal). Projek-projek surau dan masjid terpaksa tertangguh atau berjalan perlahan kerana kekurangan sumbangan daripada individu-individu. Tiada lagi jamuan-jamuan yang memeriahkan lagi suasana surau-surau dan masjid-masjid.
*Artikel-artikel suasana dan perasaan anak yatim boleh dirujuk dalam Saifulislam.com
Memelihara Solat
Jika dimaklumkan kepada setiap orang yang solat itu tiang agama, sudah tentu ramai mengakui telah tahu. Namun berapa ramai yang betul-betul memahami tiang agama tersebut? Di bulan Ramadhan, di kala Allah SWT meninggikan kemuliaan bulan ini, ramai mampu untuk memelihara waktu solat, terutama solat subuh dan maghrib. Alangkah indahnya Allah SWT meletakkan waktu sahur berakhir pada waktu subuh dan berbuka pada waktu maghrib. Jika dilihat pada bulan-bulan lain, kedua-dua waktu ini adalah waktu yang paling sukar dipelihara. Waktu subuh; waktu di mana umat manusia masih tidur dan waktu maghrib; waktu umat manusia masih bersuka-suka beriadah atau masih berehat. Di bulan Ramadhan, kedua-dua waktu ini adalah waktu yang amat dikejar-kejar oleh umat manusia.
Di bulan Ramadhan juga kita dapat lihat masalah sosial kurang daripada bulan-bulan lain. Sepertimana yang dijelaskan dalam surah Al-Ankabut ayat 45;
...Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar...
Meskipun dapat dikurangkan namun masih belum dapat dibendung. Jika diselidik, berapa ramai anak muda yang menunaikan solat? Jika solat pun berapa ramai yang menunaikan solat dalam keadaan berilmu? Jika berilmu masakan sanggup keluar membeli baju raya mesti bersama pasangan yang bukan muhrim? Berpeluk-peluk ketika menunggang motosikal, berpegang-pegang tangan dalam melihat baju, bersentuh-sentuhan ketika memilih baju. Apa erti Ramadhan bagi golongan ini? Semoga kita dikurniakan kekuatan dalam memelihara solat dan agama kita.
Memperlembagakan Al-Quran
Kemuliaan Ramadhan juga dikait dengan bulan turunnya Al-Quran (Nuzul Al-Quran). Pada bulan ini kita berlumba-lumba membaca Al-Quran. Ada yang berkemampuan mengkhatamkan sekali, dua kali dan ada tiga kali. Sememangnya ramai yang tidak mahu mensia-siakan peluang memperoleh ganjaran pahala sunat seperti pahala wajib pada bulan Ramadhan ini. Namun adakah setakat terhenti selepas selesainya Ramadhan?
Al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang diturunkan bukan hanya untuk dibaca. Pada awal Al-Quran kita telah membaca ayat yang menyatakan Al-Quran sebagai petunjuk bagi orang-orang bertaqwa (Al-Baqarah:2). Jelas daripada ayat ini betapa perlunya kita perlembagakan Al-Quran dalam kehidupan sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan mendirikan kembali khalifah di muka bumi ini. Sunnah perjuangan Nabi Muhammad SAW adalah mentadbir dan mengurus ummah melalui negara. Kita sebagai umat Baginda SAW seharusnya bersama-sama meneruskan apa yang telah Baginda SAW lakukan. Bukan meletakkan dasar berkecuali dalam menentukan siapa yang perlu mentadbir negara kita.

Penutup
Dikala mengakhiri bulan Ramadhan ini marilah kita bersama-sama mendoakan agar kita dapat memelihara amal ibadah dan agama kita selama 11 bulan yang mendatang. Semoga dengan kekuatan ini dalam menggolongkan dalam golongan orang-orang yang bertaqwa di sisi Allah SWT dan dipanjangkan umur bertemu kembalai Ramadhan pada tahun hadapan.
Wing 0: Bersedia meniti bulan-bulan mendatang
1 comment:
Moga bertemu Ramadhan yang akan datang.. untuk kita sama-sama..
Post a Comment