Thursday, June 28, 2007

Kemasyarakatan yang terhakis.

Pada Isnin minggu lepas, pertama kali sertai kuliah maghrib di Masjid Al-Munir. Kuliah disampaikan oleh ustaz Hisyam yang membawa kupasan buku Mustika Hadith. Penyampaian dikupas berkaitan dengan bid’ah yang menjadi isu hangat pada masa ini. Terdapat hadith sahih yang menyatakan bahawa perkara baru yang diada-adakan adalah bid’ah dan semua bid’ah adalah sesat. Sememangnya perkara-perkara baru yang mengundang ke arah kesesatan seperti meminta kebenaran makhluk ghaib untuk tinggal di tempat baru adalah haram. Samalah juga menyembah kubur, mempercayai tangkal dan lain-lain lagi yang sememangnya tidak diajar dalam Islam adalah sesat. Tambahan bid’ah yang paling besar melanda negara ini iaitu Islam HadHari (Point ini ditambah sendiri =).

Namun, perkara yang jelas itu bukanlah isu yang selalu dimainkan oleh golongan-golongan tertentu. Isu yang sering dibangkitkan adalah berkaitan dengan kekeliruan adat orang Melayu. Ulama-ulama dahulu di rantau ini telah menyediakan aktiviti-aktiviti keagamaan yang boleh manjadi bahan didikan kepada generasi-generasi mendatang. Amalan-amalan yang sering diamalkan ini lama-kelamaan menjadi adat kepada masyarakat kita pada hari ini.


Contoh aktiviti tersebut ialah wirid-wirid yang dibaca ramai-ramai selepas solat fardhu. Dalam wirid tersebut terkandung ayat-ayat Al-Quran yang dapat melazimkan umat Islam mengamalkan terutama ayat Kursi. Sememangnya Nabi SAW tidak mengamalkan tetapi ada hadith yang menyatakan sekiranya dibaca ayat Kursi selepas solat fardhu maka akan dipelihara seseorang antara dua solat. Ayat kursi juga dapat menjadi pelindung kepada seseorang daripada gangguan makhluk ghaib dan banyak lagi hikmah-hikmahnya. Ahli jemaah yang turut serta secara tidak langsung akan mengetahui ayat-ayat ini dan menghafalnya.


Golongan tertentu memainkan isu ini haram kerana tidak pernah diamal oleh Nabi SAW. Nabi SAW tidak mengamalkannya untuk mengelakkan perkara ini menjadi wajib kepada seluruh umat Islam. Mengapakah isu-isu seperti ini yang hendak dibangkitkan? Adakah pernah kita sedar bahawa masalah umat Islam sekarang ini ialah semakin menjauhkan diri daripada Al-Quran? Pada era 90-an, dalam sistem pendidikan apabila darjah 6 sudah menjadi kewajiban menghafal ayat kursi. Namun pada masa kini, dah nak masuk tingkatan 5 pun ada yang tak reti-reti lagi malah ada yang tak tahu apa itu ayat kursi. Ini cuma sebahagian kecil daripada isu-isu yang sering dibangkitkan. Banyak lagi isu-isu yang dibangkitkan sehingga menyebabkan umat Islam pada masa kini terus meninggalkan Islam. Duduk rumah tengok AF, Geng starz dan lain-lain program yang diadakan pada waktu solat berjemaah.


Impaknya, masyarakat semakin lama semakin menyendiri. Seperti istilah yang sering dipakai oleh Ustaz Hasrizal dalam www.saifulislam.com sentimen aku tidak pedulisma yang makin membarah dalam masyarakat. Solat jemaah yang cukup ditekankan oleh Nabi SAW dan khulafa’ Ar-Rasyidin serta pemimpin-pemimpin mukmin yang agong telah memimpin kepada kejayaan besar umat Islam sehingga dapat tersebar dan kekal hingga ke hari ini semakin ditinggalkan oleh masyarakat Islam pada hari ini. Banyak faktor yang mengundang kepada masalah ini termasuk unsur hedonisme yang makin berleluasa dan tekanan daripada pihak pemerintah. Yang tinggal cuma golongan-golongan yang mempunyai kesedaran dan golongan yang lanjut umur.


Sekiranya isu-isu seperti ini masih lagi dimainkan maka lama-kelamaan akan sunyilah masjid-masjid dan surau-surau. Bersalam-salaman selepas solat yang dapat mengeratkan ukhwah disamping menggugurkan dosa-dosa sepatutnya digalakkan bukan dicantas. Mengapakah perlu dibangkitkan isu-isu ini kepada masyarakat yang tidak tahu hujung pangkal hujah yang dipakai? Solat jemaah sepatutnya dapat melahirkan sifat kemasyarakatan pada diri seseorang. Perkara sedemikian tidak berlaku kerana terdapat golongan-golongan yang fanatik pada fahaman sendiri menolak apa yang dilakukan oleh masyarakat sedia ada dan aktiviti tersebut bukanlah sehingga menjatuhkan aqidah mukmin. Selepas imam bagi salam terus bangun dan balik. Bila nak kenal masyarakat macam ini?



Wing 0: Seperti kata Umar Al-Khatab; “Tiada Islam tanpa jemaah.”


No comments: