Sunday, May 31, 2015

Kandungan khutbah Jumaat TGHH 22 Mei 2015


Isra' dan mikraj menjadi ujian kepada umat Islam dari zaman Rasulullah SAW sehingga ke akhir zaman. Ujian ketuhanan kepada umat Islam yang menganut Islam. Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW wajib dibawa dan disebar ke seluruh alam ini untuk membawa rahmat ke seluruh alam. 

Ketikamana Rasulullah SAW dikepung oleh kuasa-kuasa besar Arab, Allah SWT membawa Rasulullah SAW melawat kerajaan Allah SWT yang sangat jauh. Dibawa melawat hanya satu malam sahaja. Ditunjukkan grand design yang akan berlaku kepada semua makhluk di alam ini dari dahulu sehingga ke akhirat kelak. Peristiwa ini merupakan satu pengiktirafan yang cukup besar bagi seorang hamba.

Kita sedang menghadapi kelemahan umat Islam kerana meninggalkan Islam sepertimana Saidina Umar Al-Khatab telah berkata ketika pembukaan Baitulmaqdis. Kita sedang menghadapi kehinaan umat Islam kerana meninggalkan Islam. Rasulullah SAW telah memberi peringatan kepada kita dalam banyak hadith Baginda SAW namun kita tetap lalai. 

Kurang yakin pada hari akhirat, kurang yakin kepada janji Allah; kita melihat kejatuhan khalifah Islam, negara-hegara Islam dipecahkan, perjuangan menentang penjajah hanya kerana sifat kebangsaan, apabila kemerdekaan dicapai kita mengikut pecahan-pecahan peta yang dibuat oleh golongan penjajah. 

Kita dapat saksikan peperangan sesama Islam kerana dimanipulasi oleh pihak musuh. Umat Islam berperang menggunakan senjata yang disediakan oleh musuh-musuh Islam demi membunuh sesama sendiri. Perjuangan hanya untuk golongan atasan, yang boleh melarikan diri bila-bila masa dari negara apabila diserang. Rakyat juga yang menjadi mangsa. Peringatan ini telah diperingat oleh Rasulullah SAW tetapi tidak dihayati oleh umat Islam zaman sekarang. 

Segala cabaran ini akan berakhir. Allah SWT tidak akan membenarkan cahaya Islam itu akan dipadamkan. Allah SWT tetap akan menyempurnakan agamanya meskipun dibenci oleh musuh-musuh Islam. Dunia telak saksikan kegagalan sistem-sistem yang telah dilakukan bertentangan dengan Islam. Manusia akan tercari-cari penyelesaian dan akan kembali ke Islam. Terpulang kepada umat Islam untuk menyampaikan Islam kepada mereka.

No comments: