Monday, August 18, 2008

Ingat 5 Perkara Sebelum 5 Perkara

Penceramah: Ustaz Taib Azamuddin
Tempat: Surau Al-Muttaqin
Tarikh: 10 Ogos 08 (Ahad)

Kedatangan Ustaz Azamuddin pada kali ini membawa 2 misi; menyampaikan kuliah dan mendapatkan bantuan penduduk di parlimen beliau Baling. Surau Al-Muttaqin telah membuka ruang kepada penduduk qariyah untuk menyumbangkan pakaian kepada penduduk Baling. Ustaz juga telah membawa barang-barang untuk dijual disamping menyediakan kupon untuk sumbangan wang saku pelajar. Kedatangan ustaz agak sedikit lewat pada malam tersebut kerana beliau berbuka puasa sebelum datang ke surau.

10 Perkara yang dialami setiap insan
Selalu kita dengar dan diingat 5 perkara sebelum 5 perkara. Hadith tersebut merupakan hadith peringatan kepada kita kerana semua orang akan alami sepuluh perkara tersebut. Tiada yang akan terlepas daripada perkara-perkara tersebut.

Pada awal ceramah, beliau mengupas hadith berkaitan 2 nikmat yang sering dilupakan oleh manusia iaitu nikmat sihat dan masa lapang. Sebagai seorang mukmin, nikmat sihat perlu digunakan sebaiknya untuk memanfaatkan iman. Ini kerana iman adalah sebenar-benar nikmat yang mana iman mampu mengatasi kemampuan aqal, ilmu dan pancaindera sekalian makhluk. Contoh utama yang boleh diambil ialah peristiwa isra' dan mikraj. Disamping itu juga puasa boleh dijadikan sebagai kayu ukur. Mereka yang berniat puasa dan tidak berniat akan mengalami situasi yang berbeza apabila tidak makan pada waktu siang.

Umat Islam diingatkan agar tidak menangguh sesuatu perkara kerana tidak semua orang akan dapat nkmat masa lapang. Sekiranya sebelum berkahwin disibukkan dengan kerja yang banyak untuk mengumpul wang. Selepas kahwin disibukkan dengan urusan penstabilan rumah tangga. Selepas dapat anak disibukkan dengan urusan menguruskan anak. Dalam erti kata lain bahawa setiap masa kita akan disibukkan dengan pelbagai mehnah dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Sebab itu jika ada ruang masa yang lapang, manfaatkkan sebaik yang mungkin.

Masa depan di tangan pemuda
Sekiranya ingin melihat bagaimana keadaan negara pada masa hadapan, lihatlah golongan muda-mudi zaman sekarang. Itulah peringatan yang telah diingatkan oleh imam Syafie pada masa lalu. Disebabkan lemahnya sifat tanggungjawab pemimpin negara pada masa kini dalam memupuk nilai-nilai Islam kepada muda-mudi pada masa kini maka kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di masa hadapan. Adalah lebih teruk lagi apabila tindakan pemimpin negara itu sendiri yang menjadi katalis dalam merosakkan golongan muda-mudi ini.

Cadangan ingin melanjutkan masa kelab malam sehingga jam 5 pagi adalah satu contoh yang cukup jelas betapa kurangnya ambil berat pemimpin negara terhadap golongan muda-mudi. Mereka lebih mementingkan persepsi masyarakat luar dalam masa sama mengabaikan rakyat sendiri. Siapa lagi golongan yang akan meramaikan kelab-kelab malam tersebut sekiranya bukan orang-orang muda. Jam 5 pagi ketika bilal sudah bersiap sedia ke masjid, anak-anak muda ini baru hendak balik tidur.

Melantik menteri di kalangan bukan Islam untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat telah mengundang suasana yang cukup bahaya terutama kepada golongan gadis-gadis remaja. Ini kerana sukar untuk menasihati menteri ini kerana tidak tahu betapa bernilainya golongan wanita dalam Islam. Pandangannya hanya tertumpu kepada logik aqal semata-mata. Sememangnya tidak dinafikan adanya orang-orang Islam di bawah kementerian tersebut. Namun perlu diingat bahawa mereka langsung tiada autoriti dalam membuat keputusan.

Ujian dalam hidup
Dunia bukanlah tempat pembalasan kerana dunia hanyalah ujian kepada orang-orang yang beriman. Oleh sebab itu kesempatan hidup di dunia perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana setelah meninggal tiada amalan yang mampu dilakukan untuk menampung kembali kekurangan-kekurangan yang akan menyusahkan kita kelak. Segala perkara baik dan buruk yang menimpa kita perlulah kita sedari bahawa itu bukannya pembalasan mutlak dari Allah SWT kerana balasan yang sebenar hanya akan kita alami di akhirat kelak.

Dalam satu kisah, Saad bin Abi Waqas melawat Baginda SAW setelah beberapa hari tidak nampak Baginda di luar. Apabila berjumpa di rumah Baginda, Saad melihat Baginda berada dalam keadaan yang terlalu panas. Beliau risau terhadap Baginda namun Baginda SAW menyatakan bahawa perkara tersebut adalah ujian biasa bagi para Nabi dan Rasul. Baginda menyatakan lagi bahawa golongan selepas itu yang menerima ujian yang berat ialah golongan ulama' dan akhir sekali ialah golongan orang-orang soleh. Selepas golongan ini tidak lagi dinamakan ujian kerana segala yang mereka lakukan atau hadapi hanya sia-sia.

Mewah dan miskin
Malaysia adalah sebuah negara yang diwar-warkan negara yang kaya dan rakyat semua hidup dalam keadaan yang serba cukup. Hakikat ini sebenarnya hanya dinikmati oleh golongan-golongan yang berkedudukan dan berharta. Sekiranya mereka seorang wakil rakyat sudah tentu mereka ini jarang turun menemui rakyat-rakyat di kawasan mereka. Setiap negeri masih ada golongan yang susah tetapi tidak mendapat bantuan. Golongan wakil rakyat yang hanya bergoyang kaki sememangnya tidak akan memahami kesusahan yang dihadapi oleh golongan-golongan ini.

Antara tempat yang serba dhaif di negara ini adalah Baling. Ustaz sendiri mengakui betapa sukarnya dalam menghadapi setiap masyarakat yang berada di parlimen beliau. Keadaan susah ini bukan sahaja dari golongan melayu hatta golongan india dan cina turut terlibat. Dalam satu masa lebih 200 orang pelajar sekolah rendah yang berada dalam golongan miskin tegar tidak membawa duit ke sekolah. Dalam kata lain mereka terpaksa menahan perut dari awal pagi sehingga habis sekolah tanpa makan apa-apa. Bagi pembaca artikel ini yang ingin membantu mereka ini bolehlah menderma ke tabung sumbangan wang saku pelajar. Berikut adalah akaun yang disediakan;

Maybank: 502045005137
Parlimen Baling
Pejabat Sekretariat Wakil Rakyat (SKWAT) Baling
No. 8 Jalan Kemajuan,
Pekan Baru Kupang,
09200 Kupang, Baling, Kedah
Tel/Fax: 04-4765310

Wing 0: Perlu sentiasa muhasabah diri

No comments: