Penceramah: Ustaz Idris
Tempat: Surau Al-Irsyad Apartment Vist Pinggiran
Tarikh: 8 Ogos 08 (Jumaat)
Meskipun pada tarikh ini sudah memasuki bulan Sya'ban tetapi pengajaran Isra' dan mikraj masih lagi diperhalusi. Pada ceramah ini Ustaz Idris pertama kali dijemput ke surau ini. Memandangkan kedudukannya di apartment yang agak sukar dicari maka ceramah ini yang sepatutnya bermula jam 8 malam ditangguh sehingga selepas solat Isya'. Ustaz yang datang dari Taman Melewar terlaja sehingga masuk Puchong ketika dalam perjalanan ke surau ini. Walau bagaimanapun ceramah berjalan dengan baik dan jayanya.
Pendahuluan
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Al-Isra':1)
Di awal ceramah, ustaz mendifinisikan maksud isra' dan mikraj di mana isra' bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Mekah ke Palestine manakala Mikraj pulak perjalanan dari Palestine ke Sidratul Muntaha. Pada zaman Baginda SAW perjalanan dari Mekah ke PAlestine mengambil masa berbulan-bulan sekiranya menaiki unta. Peristiwa ini menjadi perkara yang cukup istimewa kerana Baginda SAW hanya memerlukan sehari untuk ke Palestine malah ke Sidratul Muntaha. Sekiranya diteliti ayat Al-Quran di atas, Allah SWT telah menggunakan istilah telah menjalankan hambaNya dalam erti kata bahawa Rasulullah SAW tidak pergi sendiri tetapi telah dijalankan oleh Allah SWT pada malam tersebut.
Mengimbas sistem pemerintahan di Mekah
Pada zaman Nabi SAW berdakwah di Mekah, sistem pemerintahan yang dijalankan di Mekah menggunakan Sistem Himayah. Pada masa kini sistem ini dipanggil sebagai sistem gangster, di mana golongan yang kuat menindas golongan yang lemah. Pada ketika itu juga, golongan bangsawan adalah golongan yang cukup dihormati. Golongan hamba-hamba pula adalah mangsa kekejaman sistem tersebut. Golongan yang dipanggil golongan Marhain ini adalah golongan yang teramai memeluk Islam pada fasa awal dakwah Islam.
Di sisi Nabi Muhammad SAW pada ketika itu ada Abu Talib dan Siti Khadijah iaitu bapa saudara dan isteri Baginda SAW. Mereka adalah antara golongan yang berpengaruh dan berharta. Baginda SAW dilindugi mereka daripada kekejaman kaum Musyrikin Mekah pada ketika itu kerana mereka cukup menghormati Abu Talib dan Siti Khadijah atas faktor pengaruh dan kekayaan mereka.
Islam dipelihara Allah SWT
Sememangnya satu perancangan Allah SWT dalam mentarbiyyah Baginda SAW. Pada tahun yang sama, nyawa Abu Talib dan Siti Khadijah telah diambil sekali sehingga dijadikan tahun itu sebagai tahun kesedihan bagi Nabi. Jika difikir logik, pada ketika itu boleh sahaja Islam dikuburkan oleh kaum musyrikin kerana tiada lagi 'penjaga' Baginda yang menjadi punca utama penyebaran Islam. Namun sehingga ke hari ini, Islam tetap terus tersebar dan masih lagi terpelihara daripada dihapuskan.
Pada hari ini, berbondong-bondong masyarakat dunia masuk Islam. Di UK bilangan umat Islam yang meningkat kepada 1.6 juta orang telah memaksa kerajaan untuk mengadakan insuran Islam bagi umat Islam di sana. Ini kerana setiap rakyat UK perlu ada insuran masing-masing dan sistem insuran yang ada sebelumnya tidak berlandaskan Islam. Pada tahun 2030, sekiranya kadar kemasukan Islam terus berkembang dijangkakan bilangan umat Islam di Eropah mencecah kepada 15 juta orang.
Menyampaikan Islam walaupun pahit
Pada pagi itu setelah Nabi SAW telah pulang dari langit, Baginda SAW menceritakan peristiwa ini kepada beberapa orang sahabat dan saudara Baginda. Ada di kalangan mereka yang melarang peristiwa Isra' dan Mikraj ini disebarkan kepada masyarakat pada ketika itu takut-takut tidak dipercayai oleh mereka. Nabi Muhammad SAW tetap menceritakan peristiwa tersebut kerana tugasnya dan sifatnya hanya menyampaikan.
Ditakdirkan pada pagi itu juga Nabi SAW bertemu dengan Abu Jahal. Dia menyoal Nabi sekiranya ada berita-berita terbaru. Setelah mendengar kisah Isra' Mikraj dari Baginda, Abu Jahal terus mengumpulkan penduduk Mekah kerana dia merasakan ini peluangnya untuk menghapuskan pengaruh Baginda SAW. Sememangnya ada di kalangan muslim pada ketika itu ada yang goyah imannya tetapi bagi mereka yang kuat imannya tetap mempercayainya walaupun kisah tersebut lebih dari itu.
Pengajaran dari kisah ini menggambarkan tidak semua perkara dapat diterima oleh masyarakat yang hanya memikirkan logik aqal dan dipandu oleh nafsu. Namun sebagai pendakwah tidak kira apa yang berlaku perlu diteruskan menyampaikan yang hak dan melarang yang batil. Tiada gunanya menjadi seorang 'ustaz' tetapi mulut terpaksa dikunci daripada menceritakan yang sebenarnya.
Solat dan masalah sosial
Salah satu perkara yang dilihat Nabi SAW ketika perjalanan mikraj ialah golongan yang memecahkan kepala mereka dengan batu sehingga pecah tetapi kepala tersebut jadi jadi baik semula kemudian dipecahkan lagi. Itulah balasan bagi mereka yang meninggalkan solat. Pada masa kini solat dilihat sesuatu perkara yang ringan diambil oleh masyarakat. Akibatnya masalah sosial yang makin menjadi-jadi. Kekronikan masalah ini sehinggakan pihak berkuasa tidak berani mengambil tindakan. Sebagai contoh kes mat rempit yang sudah boleh dikategorikan sebagai musuh negara. Kebiadaban mereka sehinggakan berani mengepung balai polis. Solat dapat menghindar daripada perbuatan keji dan mungkar sebagaimana dirakamkan dalam Al-Quran:
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
(Al-Ankabut:45)
Meskipun sejam berlalu namun tidak semua perkara dapat disentuh berkenaan peristiwa Isra' dan Mikraj ini. Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada apa yang disampaikan.
Wing 0: Pengajaran sepanjang masa
No comments:
Post a Comment