Friday, August 1, 2008

Di Hujung Rejab

Dah hampir habis bulan Rejab. Mulai malam esok sudah bermula bulan Sya'ban, bulan Nabi, bulan saya dilahirkan (15 Sya'ban 1404H). Sedar atau tidak satu malam yang cukup bermakna bagi umat Nabi Muhammad SAW selain lailatul Qadar telah berlalu. Malam yang cukup menguji keimanan seorang hamba untuk percaya; malam isra' dan mikraj.

Realiti? Logik? Fantasi?
Tiada gambaran yang boleh digambarkan bagaimana banyak perkara yang berlaku begitu satu malam. Seolah-olah masa terhenti seketika untuk semua perkara tersebut berlaku. Hakikat yang tak mampu dicapai oleh akal fikiran kita hingga ke hari ini, umpama menceritakan sebuah kapal terbang kepada masyarakat zaman paleolitik. Kita hanya dibekalkan dengan;

Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: Jadilah engkau!. Maka ia terus menjadi.
(Yaasin:82)

Apakah nilai kesombongan seorang profesor atau saintis sekiranya kejadian ini tidak mampu dihuraikan?

Fitrah
Putih, gambaran warna fitrah. Tenang mata memandangnya. Mudah dikotorkan dengan pelbagai warna. Serabut melihatnya. Direndamkan, dibersihkan, dichlorockan kembali sehingga ia kembali tenang melihatnya. Umpama baju makmal yang sering dipakai oleh para saintis dan doktor. Tenang mata memandang apabila baju makmal tersebut bersih tanpa kekotoran meskipun ada yang mewujudkan teori baju makmal putih bermaksud tidak bekerja. Teori yang diwujudkan oleh makhluk pemalas yang pengotor.

Diterangkan kepada kita ketika peristiwa isra' dan mikraj melalui pemilihan Baginda SAW ketka diminta memilih antara arak atau susu. Hakikat pada waktu tersebut arak masih belum diharamkan. Namun Baginda SAW memilih susu yang menjadi panduan kepada umat manusia sehingga ke hari ini.

Hidup tertekan... Tak tenang... Serabut...
Gambaran hidup umat manusia pada masa kini. Masih bergelumang dengan kancah dosa untuk menyelesaikan. Umpama memadam api dengan larutan nitrogen. Masih tertanya-tanya mengapa tidak terpadam hatta lebih teruk. Masih meletakkan petunujuk untuk kembali kepada fitrah. Tiada penyelesaian yang mampu dilakukan.

Hadiah buatmu
"Aku tak kisah kalau baju ini mak aku belikan, tapi baju ini awek aku bagi hang tau tak."

Marah seorang budak ketika kawannya mengotorkan bajunya. Itulah ayat yang saya masih ingat meskipun berlaku pada era persekolahan lalu. Betapa sayangnya si balak dengan harta yang diberi oleh si awek. Meskipun awek tiada di sisi tetapi baju tersebut masih dijaga dengan baik.

Hadiah yang mendekatkan diri hamba dengan Tuan. Hadiah yang diberikan yang mampu mengeratkan hubungan hamba dengan pencipta. Mampu menokhtahkan perbuatan keji dan mungkar dalam hidup ini.

...dan dirikanlah sembahyang; sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar ...
(Al-Ankabut:45)

Itulah solat. Meskipun solat adalah suruhan yang diterima pada malam Isra' dan Mikraj namun jika dinilai kembali ia adalah hadiah yang cukup bermakna kepada seorang hamba yang fitrahnya mengharapkan simpati daripada Tuannya.

Menghitung Hari
Masih ada sebulan sebelum bermulanya bulan yang penuh seribu satu kebaikan di dalamnya. Marilah bersama bersedia menuju ke arahnya. Bak kata warming up sebelum bersukan. Mari mulakan.

Wing 0: Terus berusaha

No comments: