Sunday, April 12, 2009

Fakta atau auta?


Tidak dapat dinafikan bahawa masa kini internet merupakan medium utama untuk pelbagai sumber maklumat. Bermula dari tahap pendidikan sekolah sehingga ke universiti dan sehingga menceburi bidang untuk meneruskan saki baki hidup, segala informasi boleh dicari dari internet. Tidak kurang juga ada yang menjadikan internet sebagai sumber rezeki melalui perniagaan-perniagaan yang boleh dijalankan melalui medium ini. Internet juga dianggap musuh kepada pihak-pihak yang menguasai media massa di sesebuah negara seperti di Malaysia [1].

Sepanjang melawat pelbagai web, saya dapati pelbagai variasi laman web yang dihasilkan oleh pihak-pihak yang membuat laman web termasuk blogger. Kepelbagaian dari sudut kandungan, corak, bahan-bahan tambahan dan lain-lain lagi disediakan bagi menarik minat pembaca di seanterio dunia mengikutinya. Di sini ingin saya sentuh sedikit tentang kandungan-kandungan web terutama daripada blog-blog yang dihasilkan oleh bloggers.

Sebagai ahli sains, antara aspek yang penting bagi saya ketika menyelami dunia maklumat adalah kesahihan sesuatu maklumat atau fakta. Fakta beerti sesuatu yang benar dan boleh dibuktikan [2]. Fakta ini boleh jadi daripada Al-Quran, hadith, hasil penyelidikan, berita yang sahih, pengalaman hidup dan sebagainya. Sebeb itu saya tidak kisah sekiranya bloggers ingin menjadikan blog mereka sebagai diari untuk tatapan umum (Selagi tidak membuka aib diri). Melaluinya pelbagai pengalaman yang belum dialami oleh orang lain dapat dijadikan tauladan dan sempadan oleh pembaca.

Bertentangan dengan fakta, ada laman web yang tidak menyampaikan sesuatu yang sahih atau auta atau lebih senang lagi disebut temberang [2]. Laman web seperti ini selalunya diwujudkan atas dasar tidak puas hati atau hendak melaga-lagakan pembaca. Dalam blog ini juga diluahkan perkara-perkara yang dituduh untuk memburuk-burukkan seseorang walhal perkara tersebut tidak berlaku. Dalam istilah mudah boleh dikatakan sebagai fitnah. Saya menyarankan kepada pihak yang ingin meletakkan sesuatu informasi ke dalam web atau blog mereka, tidak kira taip sendiri atau salin daripada web orang lain agar lebih berhati-hati agar tidak tergolong dalam golongan yang menanggung dosa besar [3] dan golongan yang munafik.

Ada satu lagi jenis web yang agak terkecuali daripada kedua-dua jenis web di atas. Web ini juga cukup minat untuk saya lawati. Dalam web-web ini ada yang menceritakan perkara yang betul atau ada yang yang fantasi semata-mata. Itulah laman web komik dan animasi. Bab in mungkin saya akan kupasnya pada masa yang akan datang. :-)

Setiap laman web atau blog mempunyai pelbagai kekreativitian tersendiri dalam menarik minat pembaca lain untuk baca. Pelbagai informasi juga dapat diperoleh daripadanya. Ada yang berkongsi fakta dan ada yang sekadar ingin menyebarkan khabar angin. Para pembaca harus berhati-hati dalam memilih dan menerima maklumat yang disampaikan dalam web atau blog.

[1] Utusan Meloya 8 April 09
[2] Kamus Dewan edisi ketiga
[3] Al-Quran; Al-Baqarah 191

Wing 0: Bijak menilai yang mana betul dan yang mana bohong

No comments: