Sunday, November 23, 2008

Al-Quran; Mukjizat Akhir Zaman

Penceramah: Ustaz Tazlisham Abdul Rahman
Kitab: Al-Iman
Tempat: Surau Al-Munir
Tarikh: 12 Oktober 08 (Ahad)

Ini adalah kali pertama Surau Al-Munir mengadakan kuliah maghrib setelah berlaku sedikit rombakan dalam organisasi selepas mesyuarat agong dan ini adalah kuliah maghrib yang pertama di sekitar kawasan ini selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pada malam ini, ustaz hanya memulakan mukhadimah untuk pengajian beliau di surau Al-Munir ini.

Sekiranya orang yang mengaku dirinya Islam, apabila disoal apakah rukun-rukun Iman yang perlu diketahui oleh umum maka tiada masalah untuk mereka menyenaraikan satu persatu. Namun jika dipersoalkan secara lebih mendalam tentang rukun-rukun Iman tersebut, apakah mampu seseorang yang menggelarkan dirinya muslim menerangkannya. Seperti contoh beriman kepada Al-Quran; apakah kita sedang beriman dengan kitab yang sama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW? Jika ya, buktikan.

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Zikra (Al-Quran) dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.
(Al-Hijr:9)

Adakah cukup dengan sepotong ayat ini bagi kita meyakinkan seseorang yang amat lemah imannya atau golongan yang tidak beriman untuk percaya bahawa Al-Quran yang kita sedang beriman pada masa kini adalah Al-Quran yang telah diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu.


Asal Kejadian Manusia yang Tidak Berilmu

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.
(An-Nahl:78)

Pada masa kini kita boleh melihat ramai orang yang luas ilmu pengetahuannya baik dalam bidang agama, sains, seni, politik dan sebagainya mendabik dada menyatakan bahawa mereka adalah orang yang cukup hebat. Lebih menyedihkan apabila golongan-golongan ini menghina golongan-golongan yang tidak berpeluang mendapat pengetahuan sepertmana yang diperolehi oleh mereka. Ayat di atas memberi ingatan kepada kita bahawa pada asal kejadian kita juga adalah tidak berpengetahuan. Hanya dengan izinNya sahaja kita boleh dikategori dalam golongan orang-orang yang berilmu. Dalam kata lain adakah perlu kita sombong dengan ilmu yang sedikit yang kita perolehi sedangkan selautan ilmu lagi masih kita tidak ketahui.

Dalam ayat di atas juga Allah SWT mengajar kita cara-cara untuk mendapatkan ilmu. Ini dapat membezakan antara golongan yang malas mencari ilmu dan golongan yang berusaha mencari ilmu. Untuk mendapatkan ilmu, kita perlu menggunakan deria-deria kita iaitu mata, telinga dan akal fikiran seperti dalam ayat di atas. Ilmu tidak akan sampai dengan hanya duduk bersahaja tanpa sedkit pun berusaha mendapatkannya. Bagi golongan ini, Allah SWT menemplak mereka dalam surah Al-An'am ayat 46;

Katakanlah (wahai Muhammad): Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu dan Dia pula memeteraikan atas hati kamu? Siapakah Tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu? Lihatlah bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan berbagai cara), dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling ingkar.

Ilmu Allah SWT
Kita ketahui bahawa hakikat ilmu semuanya daripada Allah SWT. Tidak semua ilmu mampu kita kaji untuk mendapatkan jawapannya. Sebab itulah Allah SWT telah mengutuskan Rasul-rasulNya untuk menyampaikan ilmu-ilmu yang tidak mampu dicapai oleh akal pemikiran manusia yang terdiri daripada berita gembira dan berita amaran.

Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(An-Nisa':165)

Disebabkan ilmu-ilmu yang disampaikan oleh Rasul-rasul ini, mereka yang mampu berfikir akan kembali ke jalan Allah SWT. Kisah ini dibuktikan daripada kisah Nabi Musa A.S dengan ahli-ahli sihir Fir'aun. Pada masa ini, golongan yang mengetahui ilmu sihir adalah golongan yang dikategorikan sebagai golongan yang hebat. Ahli sihir Fir'an adalah antara elit dalam golongan ahli sihir pada zaman tersebut. Disebabkan mereka ini terlalu hebat dalam bidang sihir maka apabila tongkat Nabi Musa A.S bertukar menjadi ular dan menelan ular-ular mereka, diri mereka insaf bahawa apa yang Nabi Musa buat bukanlah sihir dan memperi pedoman kepada mereka bahawa ada kuasa yang lebih besar dan lebih hebat daripada ilmu sihir yang mereka. ketahui.

No comments: