Sunday, October 5, 2008

Meraikan Hari Raya

Pada jam 11 malam di hari raya ke-4, saya bersama adik saya telah menaiki bas menuju pulang ke ibu kota. Sememangnya masih tidak puas meraikan hari raya namun disebabkan masih banyak tanggungjawab yang perlu diselesaikan maka keseronokan terpaksa diabaikan seketika. Harap dapat menyelesaikan projek Master pada bulan ini memandangkan semester ke-3 hampir habis dan duit geran pensyarah juga makin habis... Sepanjang perjalanan sebelum terlena, terfikir tentang sambutan hari raya.

Balik kampung
Tahun ini mungkin tahun terakhir bagi saya nak merasai balik kampung dari Lembah Klang dan tahun ini jugak lah saya rasa paling tenang menghadapi suasana balik kampung. Lengang sahaja jalan. Bertolak pukul 11 malam ahad sampai pukul 3:30 pagi Isnin. Tidur pun tak puas. Namun suasana dalam perjalanan nak balik beraya tetap dapat dirasa. Sanak-saudara semua pulang berhari raya di kampung. Satu suasana indah yang dapat mengeratkan silaturrahim. Teringat hadith nabi;

Siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, hendaklah ia memelihara hubungan silaturrahim
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasanya sebab itu orang-orang tua di kampung sentiasa dimurah rezeki dan hidup lama. Sentiasa menerima anak-anak dan cucu-cucu yang dirindui setelah sekian lama tidak bertemu. Masing-masing bertemu dalam masa yang sama mengeratkan lagi silaturrahim antara adik-beradik dan sanak-saudara.

Bermaaf-maafan
Sekiranya kita ingin bermaaf-maafan dengan orang luar negara (yang bukan warganegara Malaysia) di bulan Syawal ini sudah tentu mereka akan pelik melihat kita. Silap haribulan siap ada yang tanya mana punya dalil kita bermaaf-maafan di hari raya ini. Itulah bagi saya satu keistimewaan sambutan yang menghidupkan suasana hari raya di Malaysia ini. Masing-masing bermaaf-maafan yang mana dapat menghilangkan dendam perasaan yang terbuku. Jika hendak terus bermaaf-maafan setelah melakukan kesalahan tentu ada yang malu. Apatah lagi dengan keegoan yang tinggi yang langsung tidak memikirkan perkara tersebut.

Alangkah indahnya bulan Ramadhan yang telah mendidik kita agar sentiasa bersabar. Ketikamana orang mencaci, mengherdik, menghina, kita cuma membalas dengan 'aku sedang berpuasa.' Nafsu dikekang daripada marah dan dalam masa sama kroni-kroni syaitan tidak dapat membisik kerana dirantai pada bulan tersebut. Sekiranya marah sekali pun hanya sementara memandangkan perut kosong yang menatijahkan tidak bertenaga. Kesannya maka lahirlah sifat sabar yang tinggi. Daripada sifat ini juga maka kita secara tidak langsung tidak tergamak melakukan perkara yang buruk juga kepada orang lain atas kesabaran daripada terburu-buru ketika bertindak (isti'jal).

Bak dalil pesanan Ustaz Zaharuddin ketikamana ada orang bertanya tindakan kepada orang yang ingin bermaafan setelah mengakui dosanya;

Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang- orang yang sabar.
(An-Nahl:126)

Sedangkan Nabi Muhammad SAW memaafkan umatnya apatah lagi kita bersama sanak saudara yang seagama. Maka setelah sebulan melatih dan mengasah kesabaran maka indahnya di pagi raya kita bermaaf-maafan dan melupakan segala sengketa yang telah berlaku.

Rai dengan kemenangan
Sedih rasanya mendengar takbir sayu di pagi raya. Apa yang dikenangkan entah la. Nak kata sedih meninggalkan Ramadhan tentu tidaknya. Mana taknya, keitka 10 malam terakhir di saat lailatul qadar selalunya tiba berapa ramai yang membanjiri surau-surau dan masjid-masijid. Jika pada awal Ramadhan sebelum masuk waktu solat sudah ke surau, di hujung Ramadhan sebelum buka pasaraya sudah berada di pintu kedai. Apa yang hendak disedihkan? Mungkin ada sebahagian yang terkenangkan mereka yang telah kembali ke rahmatullah. Satu fitrah yang mungkin boleh diterima alasannya. Namun adakah ini caranya meraikan hari raya aidilfitri?

Menurut Ustaz Abu Syam, perayaan aidilfitri diraikan kerana telah mengembalikan diri kita kepada fitrah kejadian manusia. Jika pada bulan-bulan lain tindakan kita berlebihan sehingga jatuh martabat kita daripada status manusia maka pada bulan Syawal kita sepatutnya gembira kerana berjaya mengembalikan status kita sebagai seorang manusia. Status yang meletakkan kembali kita sebagai seorang 'Islam' yang tunduk dan patuh atas segala perintahNya dan menjauhi laranganNya yang menjadikan kita insan yang bertaqwa.

Setelah diletakkan kembali status kepada insan yang bertaqwa seharusnya kita lebih bersyukur dan lebih progresif dalam menjadi insan yang sentiasa berusaha mencari keredhaan Allah SWT serta bermanfaat kepada masyarakat. Inilah matlamat hidup yang sepatutnya tersemat pada seorang insan. Sekiranya ini yang dilakukan maka bermanfaatlah raya kita serta bulan-bulan mendatang kerana kita melangkah sebagai seorang pemenang. Kita menang kerana berjaya mengangkat martabat diri kepada insan bertaqwa; kayu ukur Allah SWT kepada seorang hamba dan meningkatkan martabat diri dalam masyarakat.

Penutup
Semoga kita terus mengorak langkah mencari keredhaanNya di bulan ini. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin jika ada sebarang salah dan silap.

Wing 0: Selamat beraya...

No comments: