Malam ini genap sudah 3 malam berlalu meniti Ramadhan. Masjid-masjid masih dipenuhi jemaah-jemaah hampir setiap waktu. Semoga ini berkekalan. Ramadhan kali ini sememangnya membuat saya teruja. Pelbagai bekalan disediakan seolah-olah hendak berperang dalam bulan ini. Hendak memusnahkan nafsu diri yang asyik mengajak diri ke arah negatif. Hendak mengumpul sebanyak mungkin ghanimah-ghanimah yang ada dalam mendekatkan diri kepada yang Maha pencipta.
Namun manusia hanya merancang dan Allah SWT jua la penentunya. Malam pertama dan kedua telah diuji dengan kepayahan yang cukup mencabar. Apatah lagi setelah masuk malam ketiga ini. Mungkin antara kelemahan perancangan tersebut ialah masih memikirkan diri ini di peringkat pelajar ijazah yang berada dalam negeri yang sukar nak sampaikan mesej dakwah.
Antara perkara yang paling sedih apabila tidak dapat menggarap seoptimum ilmu yang begitu mudah diperolehi sehingga hari ketiga ini. Bahasa mudahnya tiada pen dan kertas di sisi di kala surau-surau dan masjid-masjid yang sentiasa ada majlis ilmu pada bulan ini. Inilah pada saya ketumpulan senjata yang cukup terkesan hingga ke malam ini. Apatah lagi tahap ingatan diri ini bagai langit dan bumi jika nak dibandingkan dengan Imam Syafie. Di bawah adalah ringkasan-ringkasan yang saya masih ingat daripada apa yang saya perolehi daripada kuliah ilmu. Isinya akan dibentang kemudian.
Definisi Al-Quran
Ulama' feqah telah membuat satu definisi Al-Quran atas dua faktor utama. Pertama disebabkan membezakan antara Al-Quran dan bukan Al-Quran dan kedua untuk dijadikan sebagai panduan meletakkan hukum. Ulama' feqah telah mendifinisikan Al-Quran sebagai;
Kalam Allah SWT yang bersifat mu'jiz, yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam bahasa arab, seperti yang terbentang dalam mushaf, membacanya satu ibadah, dinaqalkan secara mutawakil, bermula dengan suran Al-Fatihah dan diakhiri dengan surah An-Nas
Hak
Allah SWT menurunkan Islam dengan hak yakni kebenaran sepertimana yang dibentangkan dalam surah As-Sof ayat 9:
Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayat petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.
Dan Allah pembimbing orang-orang mukmin ke jalan yang sebenar seperti yang dijelaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 257:
Allah pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah taghut, yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
InsyaAllah akan dipanjangkan perbentangan ilmu yang disebarkan daripada isi di atas. Doakan agar saya dapat dimudahkan saya untuk mudah menerima dan menguasai ilmu
Wing 0: Aktiviti agak banyak dengan masa yang terhad
No comments:
Post a Comment