Sunday, May 18, 2008

Memahami Kemenangan Sebenar Perjuangan Islam di Malaysia

Pengisian Kuliah Haraki Zon F
Tarikh: 16 Mei 08
Tempat: Markaz UPU Putra Permai
Masa: 9:45 - 10:55 malam

Berikut adalah ringkasan isi-isi yang diperoleh dan disusun dari kuliah haraki yang diberikan oleh Ustaz Zainul Asri Ramli. Beliau merupakan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah. Berusia 39 tahun. Melibatkan diri dalam pemuda sepenuhnya selepas balik belajar dari Mesir ketika berumur 26 tahun.

Pendahuluan
Adalah perlu diketahui oleh para pejuang gerakan Islam PAS, bahawa hakikat perjuangan masih belum tercapai selagimana belum tertegaknya hukum Allah SWT di muka bumi Malaysia ini. Meskipun jika dilihat UMNO juga melaksanakan hukum rotan kepada penzina (lebih kepada perogol) namun selagimana hukuman tersebut tidak dilaksanakan sepertimana yang disuruh oleh Allah SWT iaitu 100 kali sebatan, maka itu belum dikatakan sebagai tertegaknya hukum Allah di muka bumi. Dalam erti kata lain para pejuang PAS harus betulkan mentaliti bahawa kita belum menang sepenuhnya sekiranya kita menang dalam pilihanraya umum di Malaysia ini.


Tahalluf Siyasi
Almarhum Ustaz Fadhil pernah berkata bahawa cara tahalluf siyasi yang dibawa oleh gerakan Islam PAS sedang diperhati oleh seluruh gerakan Islam di muka bumi ini. Perkara ini kerana PAS adalah gerakan Islam yang pertama bertahalluf dengan non-muslim dalam usaha menegakkan negara Islam. Dalam kata lain tahalluf siyasi yang digunakan di Malaysia ini masih dalam percubaan. Meskipun mempunyai matlamat yang berbeza namun gerakan PAS masih bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam usaha menegakkan keadilan di muka bumi Malaysia ini. Jika diimbas kembali sirah Rasulullah SAW, antara perang yang paling disukai oleh Rasulullah SAW ialah Harbu Fijar (perang Fijar. Ketika itu Baginda masih remaja. Tujuan perang tersebut ialah membela keadilan kepada orang-orang yang dizalimi di Mekah dan berusaha membasmi kezaliman di Mekah melalui perjanjian Alfudhul. [1].

Tarbiyyah dari Allah SWT
Dalam usaha melengkapkan jemaah Islam PAS ini, ahli PAS perlu menyedari bahawa jemaah PAS ini sentiasa disaring oleh Allah SWT. Hikmah kemenangan 5 negeri adalah satu saringan yang dilakukan oleh Allah SWT yang kita tidak tahu hikmahnya. Ini kerana sekiranya dilihat setiap negeri mempunyai cara pemerintahan tersendiri seperti di Kelantan, PAS dapat mentadbir sepenuhnya. Namun jika dilihat di Kedah, kemenangan simple majority yang diperoleh PAS menyebabkan PAS tidak dapat kuasa mutlak dalam pemerintahan di negeri Kedah. Perkara yang berlainan pula berlaku di Pulau Pinang dan Selangor. Jika dilihat di negeri Perak pula meskipun PAS mendapat sedikit kerusi tetapi atas kuasa Allah SWT, ahli PAS telah dipilih untuk menjadi Menteri Besar Perak.

Kemenangan yang pasti
Umat Islam perlu meyakini bahawa Islam pasti akan menang. Melalui kaedah atau cara bagaimana cuma Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui. Tanggungjawab kita hanyalah untuk bekerja bukan mengetahui bila Islam akan menang. Persoalan yang timbul adakah kemenangan yang diperolehi pada pilihanraya kali ini kemenangan hakiki atau istidraj? Sekiranya diteliti kembali, kemenangan yang diperolehi kali ini banyak datangnya daripada bantuan Allah SWT. Melalui perkara ini boleh disimpulkan bahawa kemenangan yang kita perolehi ini tidak dapat dikecapi melainkan daripada Allah SWT. Perbezaan kemenangan istidraj ialah kemenangan tersebut hanya melalui usaha semata-mata tanpa bantuan yang diterima oleh Allah SWT. Kesimpulannya bolehlah dikatakan bahawa kemenangan kita pada pilihanraya umum kali ini adalah kemenangan yang hakiki. Namun perlu kita ingat bahawa perjuangan dalam Islam umpama roda, adakala di atas dan adakala di bawah. Sekiranya Allah SWT meletakkan pada kedudukan di atas maka tiada siapa yang mampu mengubahnya. Begitulah juga jika sebaliknya.

Penerimaan non-muslim kepada PAS
Alhamdulillah, pada masa kini perkembangan politik cukup baik apabila non-muslim sudah berani mendekati ahli-ahli PAS dan menerima PAS itu sendiri. Ini dapat dibuktikan melalui kelab penyokong PAS yang menerima sambutan yang amat menggalakkan. Ada di setengah tempat apabila diminta mereka menyertai keAdilan mereka menolaknya kerana hanya hendak menjadi ahli PAS. Pada muktamar kali ini antara isu yang akan dibincangkan ialah keahlian PAS yang akan dibuka kepada non-muslim. Isu ini telah dirujuk ke majlis syura sejak beberapa tahun lepas namun keputusan belum ditetapkan lagi. Berkemungkinan besar pada muktamar kali ini akan dikeluarkan keputusan tersebut. Ahli PAS perlu menyedari bahawa jemaah ini umpama negara. Perdana Menteri kita ialah Tuan Guru Ustaz Haji Hadi dan dalam sebuah negara mempunyai kafir zimmi yang tidak menyatakan penentangan kepada kita hatta sedia memberi kerjasama. Oleh itu perlulah kita berfikiran terbuka dalam menerima golongan non-muslim ini.

Krisis dalaman sebagai saringan
Krisis adalah fenomena lumrah dalam hidup ini. Kerajaan yang tiada krisis dalaman cuma 4 kerajaan iaitu ketika pemerintahan Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab dan Saidina Uthman. Kestabilan pemerintahan Saidina Uthman hanya dapat bertahan selama 6 tahun, 6 tahun selepas itu bermulalah krisis dalaman yang melanda kerajaan sehinggalah beliau terbunuh. Krisis dalaman ini berlaku dalam setiap kerajaan sehinggalah kejatuhan kerajaan terakhir iaitu Turki Uthmaniyyah. Antara faktor utama yang menyebabkan krisis ini adalah masalah tidak wala' ahli kepada pemimpin. Perlulah difahami bahawa pimpinan kita telah membuat satu keputusan berdasarkan syura atau mesyuarat yang diteliti sepenuhnya sebelum diumumkan. Antara isu yang cukup menjadi sentimen sekarang ialah kerjasama dalam pakatan rakyat. Dalam hal ini kita perlu memahami apabila sesuatu perkara apabila boleh berpakat, kita berpakat. Sekiranya perkara itu khilaf, kita perlu bertolak ansur. Kita perlu berfikiran lebih matang dalam meletakkan Islam ke dalam landasan untuk menegakkan hukum Allah di Malaysia ini.

Kelebihan hanya memenangi 5 buah negeri
Adalah satu kelebihan bagi PAS dan pakatan rakyat yang hanya memenangi 5 negeri dalam pilihanraya umum lalu. Banyak cabaran dan dugaan yang sedang ditempuhi oleh Pakatan Rakyat pada masa kini. Dalam PAS, pengalaman kalah adalah lebih banyak berbanding pengalaman memerintah negeri. Jika dilihat negeri-negeri yang dipegang PAS kini pula latar belakang posisi kaum adalah berbeza. Kelantan dengan majoriti Melayu, Kedah non-muslim majoriti dan Perak lebih banyak keAdilan dan DAP dalam exco. Hikmah perancangan yang ditetapkan oleh Allah SWT ini meskipun tidak diketahui namun memberi banyak kebaikan dan pengalaman kepada PAS untuk pelajari. Jika dilihat dalam manifesto yang dibentangkan sebelum pilihanraya umum lepas, bukan semua mampu dibawa dalam satu penggal pemerintahan. Ada perkara yang hanya boleh dilaksanakan selepas menerima mandat pemerintahan sekali lagi. Ini berlaku kerana keadaan negeri yang diterima selepas kemenangan adalah dalam keadaan yang cukup menyedihkan selepas diperintah oleh Barisan Nasional selama 50 tahun. Kerajaan Pakatan Rakyat terutama PAS memerlukan masa untuk menstabilkan keadaan sebelum dapat melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan sepenuhnya. Antara kebaikan lain yang patut kita fikirkan ialah musuh-musuh luar negara yang bila-bila masa sahaja mengintai peluang untuk mengganggu kestabilan di negara ini. Bagaimana keadaannya sekiranya PAS memenangi seluruh negara pada masa kini. Adakah kita sudah bersedia dengan cabaran yang begitu menggasak dari luar?

UMNO yang semakin pudar
Ketika Tun Dr. Mahathir masih menjadi Perdana Menteri, beliau pernah mengatakan kepada ahli MT UMNO yang UMNO umpama debu di atas tunggul. Bila-bila masa sahaja boleh ditiup angin. Baru-baru ini, Najib mengeluarkan kenyataan yang UMNO masih relevan kepada orang Melayu. Kenyataan tersebut dikeluarkannya tanpa ada asas kuat yang menyokongnya. Usaha mereka sekarang ini lebih untuk mengekalkan UMNO daripada terus lenyap. Oleh itu para pejuang PAS haruslah mengambil kesempatan ini untuk mengkaderkan ahli-ahli UMNO yang lemah tetapi baik. Sirah pernah mencatatkan bahawa golongan yang baik akan menerima Islam seperti kisah Hakim bin Hizam, sepupu kepada isteri Baginda, Khadijah. Beliau pernah membantu Rasulullah ketika Baginda dipulau oleh penduduk Mekah. Beliau menerima Islam ketika peristiwa Fathul Mekah. Rasulullah SAW berkata kepada beliau yang beliau menerima Islam kerana kebaikan yang dia lakukan selama ini. Daripada kisah ini perlulah pejuang PAS untuk lebih bekerja keras mendekati ahli-ahli UMNO yang lemah ini.

Kembali kepada tarbiyyah
Dalam mengakhiri kuliah, beliau berpesan agar semua ahli kembali kepada tarbiyyah untuk berjaya di masa hadapan. Selain menerima pengisian, tarbiyyah dalam PAS akan memahamkan lagi bahawa matlamat PAS tetap Islam walau apapun yang dilakukan parti dan walau apapun yang berlaku.

[1] Fiqh Al-Harakah tulisan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang M.S 53-54

Wing 0: Yakin dengan kejayaan Islam pasti datang

No comments: