Sunday, April 13, 2008

Isu Melayu

Berita yang dipanaskan media ketika ini:
Ketuanan Melayu Tercabar

Apabila melihat isu ini timbul, tertanya dalam hati kenapa isu ini terlalu ditekankan sangat pada masa kini walhal isu ini telah lama bertapak di negara ini. Siapa yang sebenarnya menjadi dalang dalam masalah ini.

Pada pilihanraya ke-12, kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh UMNO pertama kali mengalami kekalahan yang cukup teruk apabila 5 negeri telah berjaya ditakluki oleh Pakatan Rakyat. Sejak hari itu pelbagai tuduh-menuduh berlaku dalam mempertahankan diri daripada dituduh sebagai punca kekalahan besar dalam pilihanraya tersebut. Perpecahan di kalangan UMNO sendiri dilihat makin membarah sehingga wujud dengan jelas golongan yang masih menyokong pimpinan Pak Lah dan yang menentangnya. Pelbagai seminar, forum, dan perhimpunan diadakan bagi membela diri atau menyerang sesama sendiri daripada duduk bersama dan meneliti kembali kesalahan yang telah dilakukan. Ini menunjukkan betapa tidak cerdiknya UMNO dalam menghadapi satu situasi yang cukup genting melanda parti.

Keadaan yang berbeza berlaku kepada team Barisan Alternatif yang dianggotai oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) selepas mengecapi kemenangan dengan bantuan DAP yang bersama dalam menghadapi Parti Barisan Nasional. Hasil kemenangan ini mengeratkan lagi hubungan sesama parti sehingga tertubuhnya Pakatan Rakyat (PR). Keadaan ini langsung tidak menunjukkan sebarang masalah perpecahan Melayu yang wujud dalam Pakatan Rakyat.

Wakil Gapena ketika ditemu ramah menyatakan bahawa cuma UMNO yang mampu mengetuai pemerintahan pelbagai kaum di Malaysia kerana sudah lama memerintah Malaysia. Dikatakannya juga sekiranya PAS atau KeAdilan tidak menerima tunjuk ajar UMNO maka kedaulatan Melayu akan lebih tercabar.

Atas dasar apa yang digunakan untuk mengeluarkan kenyataan ini? Apakah selama ini UMNO berjaya menyatukan pelbagai bangsa sehingga berlakunya peristiwa 13 Mei 1969? Adakah benar cuma UMNO yang mampu memerintah pelbagai kaum? Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa hanya dengan Islam rakyat yang berbilang kaum dan agama mampu dipimpin di bawah satu payung. Jika hendak dibandingkan di Malaysia, Rasulullah SAW memimpin negara yang mempunyai bangsa yang cukup kuat Asabiyyahnya seperti Arab dan Yahudi. Namun keamanan dan kegemilangan Islam masih dapat diteruskan dan dikekalkan sehingga ke hari ini. Tidakkah diri terasa betapa lemahnya akidah kepada Allah SWT apabila menyatakan bahawa cuma UMNO yang boleh memerintah? Segala kemuliaan, dan kekuasaan hanya dikurniakan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Bukan kenyataan di atas hendak menafikan ketuanan Melayu di negara ini. Sebelum mengeluarkan kenyataan telitikanlah dahulu kata-kata. Malaysia masih lagi diketuai oleh Yang Dipertua Agong sebagai ketua negara yang berbangsa Melayu. Baginda berada dalam kedudukan tertinggi dalam heiraki pemerintahan di Malaysia. Kenapa perlu ada golongan di kalangan UMNO sendiri yang tergamak menentang keputusan Baginda dan yang paling hina sehingga berani mengeluarkan istilah 'natang' (binatang) kepada Baginda. Mengapa mereka ini masih tidak diambil tindakan? Adakah disebabkan mereka ini dilabel pejuang bangsa mereka?

Semoga rakyat negara ini lebih terbuka hati dan minda dalam menghadapi ujian dan cabaran yang ada. Semoga ketuanan MELAYU yang beragama ISLAM terus memerintah negara.

Wing 0: Melayu bangsaku, Islam agamaku dan perjuanganku

No comments: