Siri pertama
Bagi sesebuah negara maju, isu yang sering diberi keutamaan ialah isu keselamatan negara. Setiap ancaman luar mahupun dalaman, risiko menghadapi perang, gerakan bawah tanah, dan sebagainya sentiasa diawasi dari semasa ke semasa. Oleh kerana itu, sesebuah negara maju sanggup menyediakan peruntukan belanjawan negara yang besar untuk sistem pertahanan negara. Sistem ketenteraan disediakan dengan senjata-senjata, jet pejuang, kapal dan sebagainya yang berteknologi paling canggih dan sentiasa berada dalam keadaan berwaspada menghadapi perang bila-bila masa sahaja.
Bagi tubuh badan manusia, situasi yang sama juga sedang dihadapi. Dikelilingi oleh musuh yang terdiri daripada bakteria, virus, dan organisma mikro serta ancaman yang berada di mana-mana sahaja termasuk di udara, dalam air, makanan dan persekitaran di mana sahaja yang diduduki, sistem pertahanan manusia sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan tentera-tentera dan teknologi yang cukup mantap. Tentera-tentera yang wala’ dilatih secukupnya dengan kemahiran dan tugasan tertentu oleh pegawai-pegawai yang tidak mengamalkan rasuah. Mereka berperang secara konvensional dan menggunakan senjata kimia.
Setiap hari, masa dan ketika, peperangan sentiasa berlaku antara pihak tentera dan musuh. Peperangan juga berlaku dalam kelompok yang kecil serta di bahagian luar jangkauan yang melibatkan seluruh badan. Keadaan ini memaksa seluruh badan berada dalam keadaan berjaga-jaga setiap masa. Peperangan ini dipanggil “penyakit.”
Pegawai yang terlibat dalam pengurusan strategi peperangan juga hampir tidak ditukarkan. Tipu daya serta komplot sentiasa dibuat oleh pihak musuh demi mengambil alih tubuh badan. Pasukan perisik yang terlatih dihantar oleh pihak tentera untuk mengesan musuh-musuh ini. Apabila musuh dikesan, senjata yang bersesuaian disediakan, tentera dikumpul dan bergerak ke medan tempur.....berlaku pertempuran. Peperangan berlarutan sehingga tiada langsung kesan musuh tinggal di medan perang. Setelah berakhir peperangan, setiap maklumat berkaitan musuh disimpan untuk persediaan peperangan akan datang.....Bersambung
No comments:
Post a Comment